Skip to content

Contoh Karangan SPM: Punca Banjir Kilat Berlaku

Karangan Punca Banjir Kilat Berlaku

Banjir kilat kerap berlaku di negara kita dan mendatangkan kesan buruk terhadap semua hidupan sehingga boleh membawa kematian. Apakah punca-punca banjir kilat berlaku di negara kita?

Punca Banjir Kilat Berlaku

Saban hari, berita dan laporan tentang bencana alam seperti banjir kilat dan tanah runtuh telah menghiasi dada akhbar. Banjir kilat sering berlaku apabila hujan lebat turun secara tiba-tiba. Banjir kilat merupakan antara bencana alam yang kerap berlaku di negara kita dan boleh mendatangkan kesan buruk terhadap semua hidupan sehingga boleh membawa kematian. Apakah punca-punca banjir kilat berlaku di negara kita?

Sistem perparitan yang tidak cekap

Masalah banjir kilat yang sering melanda bandar pula adalah disebabkan kekurangan sistem perparitan yang sempurna. Parit yang dan longkang yang dibina di kawasan bandar terlalu kecil dan cetek serta sering tersumbat. Apabila berlaku hujan lebat parit tersebut tidak dapat menampung sejumlah air yang banyak, maka air melimpah keluar dari parit menyebabkan banjir kilat berlaku. Pengaliran air akan tersekat dan melimpah di jalan raya. Contohnya banjir kilat yang berlaku di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Penguatkuasaan yang terlalu longgar

Di samping itu juga, faktor penguatkuasaan yang terlalu longgar merupakan punca banjir kilat. Hal ini kerana tiada tindakan undang-undang terhadap orang yang membuang sampah di merata-rata tempat. Pihak Berkuasa Tempatan pula tidak memantau kawasan pembuangan sampah. Apabila hujan, kawasan pembuangan sampah menakung air dan banjir kilat berlaku. Contoh peniaga pasar malam sesuka hati membuang sampah berhampiran parit atau longkang tanpa dikenakan hukuman. Oleh itu, jelaslah bahawa penguatkuasaan yang longgar merupakan punca terjadinya banjir kilat.

Hujan yang berterusan

Banjir kilat berlaku disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah akibat hujan yang berterusan. Punca ini merupakan penyebab yang berasal dari alam itu sendiri. Iklim dunia yang tidak menentu iaitu kadang-kadang hujan dan kadang-kadang panas boleh menyebabkan banjir kilat. Keadaan ini semakin buruk dengan fenomena El-nino yang menyebabkan hujan lebat. Hujan yang berterusan tanpa berhenti-henti selama beberapa jam akan menyebabkan banjir berlaku. Air hujan akan dialirkan ke sungai tetapi di kawasan-kawasan yang rendah, air yang memenuhi sungai akan melimpah keluar sehingga menyebabkan kawasan tanah rendah dipenuhi air.

Sikap manusia yang tamak

Kalau kita tinjau dari sudut yang lain, bencana alam berlaku sentiasa disebabkan oleh sikap manusia yang tamak dan bertuhankan kekayaan. Pelabur asing telah membuka kilang di merata-rata tempat untuk menjana ekonomi di negara asal mereka. Kilang-kilang tersebut yang berkaitan dengan penggunaan bahan mentah seperti kayu dan sumber hutan yang lain telah menyebabkan hutan-hutan yang malar hijau terpaksa digondolkan. Penggondolan hutan tersebut secara tidak diketahui telah menjurus kepada bencana alam seperti banjir kilat. 

Proses pembandaran

Proses pembandaran merupakan salah satu punca banjir kilat berlaku. Kawasan-kawasan tanah rendah telah ditebus guna dengan mengambil tanah dari kawasan bukit. Pembukaan tanah berleluasa dan penebangan pokok yang tidak terkawal telah menyebabkan resapan air ke tanah berkurangan. Aktiviti-aktiviti seperti ini merupakan punca penyebab berlakunya banjir kilat kerana apabila hujan turun, air akan mengalir dari kawasan bukit ke kawasan yang rendah dan kemudian bertakung. Hal ini telah menyebabkan kawasan tadahan air dimusnahkan dan membawa kepada masalah banjir kilat.

Pembalakan haram

Pembalakan haram juga merupakan punca berlakunya banjir kilat. Hutan negara atau taman negara telah banyak diwartakan sebagai kawasan larangan dalam apa-apa aktiviti pembangunan, namun pembalakan haram secara besar-besaran telah berlaku di kawasan tanah tinggi di negara kita. Hutan yang berperanan untuk menyerap air hujan semakin berkurangan. Hal ini menyebabkan air hujan terus turun ke bumi tanpa diserap oleh tumbuhan. Hujan yang turun dengan lebat menyebabkan air mengalir dengan banyak ke dalam sungai. Apabila sungai tidak dapat menampung air hujan dalam jumlah yang banyak, maka berlakulah banjir kilat.

Hakisan sungai

Hakisan sungai yang kerap berlaku juga boleh mendatangkan banjir kilat. Faktor semula jadi berlaku apabila hujan turun dengan lebat, air akan mengalir deras and menghakis tebing-tebing sungai. Akhirnya tanah tebing akan runtuh dan membentuk satu mendapan di dasar sungai. Seterusnya sungai akan menjadi cetek. Begitu juga dengan aktiviti manusia yang suka membuang sisa-sisa domestik seperti sampah-sarap dan sisa-sisa industri ke dalam sungai boleh menyebabkan sungai menjadi cetek dan pengaliran air tersekat. Apabila hujan lebat turun, sungai tersebut tidak dapat megalirkan air hujan yang banyak. Akhirnya air sungai akan melimpah ke tebing dan dengan ini banjir akan berlaku.

Penutup Karangan Punca Banjir Kilat

Kesimpulannya, hujan dan banjir merupakan fenomena alam yang berlaku secara semula jadi dan membawa rahmat kepada manusia. Kesedaran yang jitu penting dan harus ada dalam diri setiap individu untuk memastikan fenomena alam khasnya banjir kilat tidak akan terus berlaku. Kita mestilah menghargai sumber alam yang dianugerahkan kepada kita supaya kita tidak akan merasa satu kerugian yang amat besar disuatu hari nanti. Masalah bencana alam hanya dapat ditangkis dan dibendung melalui rancangan kerajaan yang ampuh bersama-sama dengan kerjasama daripada semua pihak baik golongan ibu bapa mahupun golongan remaja. Hanya dengan strategi yang tersusun dan terancang, masalah bencana alam, banjir kilat dan tanah runtuh dapat ditangani secara bersepadu. 

Contoh Karangan: Cara menangani masalah banjir

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You cannot copy content of this page