Skip to content

Contoh Karangan SPM: Cara menangani masalah banjir

Karangan Cara menangani masalah banjir

Masalah banjir kilat yang melanda hampir keseluruhan kawasan Klang telah mengejutkan pelbagai pihak. Bagaimana kita secara individu dan juga negara boleh menangani masalah banjir untuk meminimumkan risiko bencana alam ini?

Cara menangani masalah banjir di Malaysia

Hujan dan banjir merupakan fenomena alam yang berlaku secara semula jadi. Manakala, masalah banjir kilat yang melanda hampir keseluruhan kawasan Klang telah mengejutkan pelbagai pihak. Banjir kilat memang lazim di kawasan Kuala Lumpur apabila hujan lebat beberapa jam. Hal ini berlaku secara tempatan dan surut pada masa singkat. Masyarakat kita telah mengutarakan pendapat tentang faktor-faktor yang mendorong wujudnya bencana alam ini Sebenarnya, banyak perkara yang mampu dilakukan untuk menangani masalah banjir di negara kita.

Sistem perparitan dalam keadaan baik

Kerajaan seharusnya memastikan sistem perparitan dalam keadaan baik. Pihak berkuasa tempatan haruslah menjalankan pemeriksaan parit dan longkang di kawasan yang memang dianggap berisiko tinggi untuk menerima banjir. Parit-parit yang telah cetek akibat daripada bahan-bahan kumuhan hendaklah sentiasa dibersihkan. Sikap telus dalam aspek ini memastikan aliran air tidak akan terganggu atau tersumbat. Seterusnya, air tidak boleh bertakung sebegitu mudah dan air limpahan dapat dialirkan dengan baik. Sistem perparitan yang baik juga memastikan air mudah surut selepas banjir.

Projek Pendalaman Sungai

Kebanyakan kejadian banjir berlaku kerana kecetekan sungai. Jika dahulu sungai mampu mengalirkan sejumlah air yang banyak dalam sesuatu masa, kini pengaliran telah berkurangan. Hal ini disebabkan proses pemendapan dan pembuangan bahan-bahan buangan. Langkah untuk menangani masalah ini ialah dengan menjalankan proses pendalaman sungai dengan mengorek semua lumpur dan kekotoran yang terdapat di sungai. Apabila proses ini dilakukan, sungai bukan sahaja menjadi dalam tetapi mampu mengalirkan jumlah air hujan dengan banyak.

Memelihara Hutan

Kegiatan pembalakan di mana penerokaan di kawasan pinggir sungai boleh menyebabkan tanah terhakis dan runtuh ke sungai. Keadaan yang sama juga berlaku apabila aktiviti pembalakan yang giat dilakukan di lereng-lereng bukit. Oleh itu pemeliharaan hutan merupakan cara yang baik untuk mengatasi masalah banjir. Hutan boleh dijadikan kawasan tadahan yang mampu menyerap air hujan daripada mengalir terus ke bumi. Hutan boleh berfungsi untuk menyerap air hujan dan mengalir dengan perlahan-lahan ke anak-anak sungai. Hanya dengan ini sahaja pengurangan air hujan dapat dilakukan.

Kempen kesedaran tentang isu banjir

Selain itu, kerajaan seharusnya menjalankan kempen kesedaran terhadap isu ini melalui media massa. Dalam kempen itu, pelbagai cara atau kaedah menghadapi banjir dijelaskan kepada rakyat. Pengetahuan ini mampu digunakan oleh mangsa-mangsa banjir dengan lebih bijak demi keselamatan mereka.. Kemahiran ini juga memastikan mangsa-mangsa banjir mengetahui cara-cara mendapatkan maklumat seperti kewujudan pusat-pusat bantuan banjir dan keadaan cuaca semasa. Pengetahuan ini memastikan mangsa-mangsa banjir tidak panik.

Penguatkuasaan undang-undang

Banjir kilat yang berlaku terutamanya di bandar disebabkan aktiviti manusia yang tidak bertanggungjawab. Masalah pembalakan haram di negara kita merupakan salah satu faktor bencana alam ini. Selain itu, pembuangan sampah dan sisa industri ke sungai dan parit juga menyebabkan masalah banjir menjadi semakin teruk. Kerajaan seharusnya menguatkuasa atau menggubal undang-undang untuk membanteras masalah pembalakan haram di negara kita. Pihak swasta dan invididu tertentu juga harus bertanggungjawab menentukan sungai sentiasa bersih dan tidak dijadikan tempat pembuangan sampah. Justeru, pihak kerajaan harus mengambil tindakan sebelum nasi menjadi bubur.

Penutup Karangan Cara menangani masalah banjir

Kesimpulannya, walaupun masalah banjir kilat sukat diatasi tetapi sikap berwaspada mampu mengurangkan impak bencana ini. Semua pihak tanpa perlu menuding jari haruslah memainkan perana mereka dalam isu ini. Rakyat seharusnya lebih bersikap proaktif dengan membuat persediaan awal mereka sendiri tanpa bergantung kepada kerajaan. Kita tidak mahu pelbagai masalah wujud selepas bencana ini surut. Peribahasa ‘Sediakan payung sebelum hujan’ boleh menjadi renungan semua.


Contoh Karangan: Punca Banjir Kilat Berlaku

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *