Skip to content

Karangan Perbahasan: Punca Kelemahan Bahasa Melayu

Punca Kelemahan Bahasa Melayu

“Kelemahan sesetengah pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu berpunca daripada sikap tidak bersungguh-sungguh untuk mempelajari Bahasa Melayu.” – Perbahasan.

Punca Kelemahan Bahasa Melayu

Apabila sesuatu keputusan peperiksaan diumumkan, pelbagai analisis dibuat untuk mengkaji prestasi para pelajar. Salah satu hasil analisis yang pernah kita baca ialah merosotnya pencapaian pelajar Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Oleh sebab yang terlibat ialah pelajar-pelajar Melayu yang bahasa ibundanya bahasa Melayu, maka pelbagai rumusan dibuat. Salah satu rumusan itu ialah sikap tidak bersungguh-sungguh para pelajar Melayu sendiri untuk mempelajari bahasa Melayu. Adakah benar rumusan itu? Jika benar, apakah punca kelemahan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar?

Tidak mengambil berat terhadap Bahasa Melayu

Sesetengah pelajar Melayu tidak mengambil berat terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu. Hal ini demikian kerana mereka menganggap bahawa mereka sudah mahir berbahasa Melayu. Ketika mata pelajaran Bahasa Melayu diajarkan di dalam kelas, maka pelajar-pelajar Melayu tersebut tidak menumpukan perhatian yang sepenuhnya.

Bahasa Melayu dianggap lebih mudah

Ketika mengulang kaji pelajaran untuk menghadapi peperiksaan pula, mata-mata pelajaran lain seperti Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Geografi, Sejarah, dan sebagainya diberi tumpuan yang lebih banyak jika dibandingkan dengan mata pelajaran Bahasa Melayu. Hal ini berlaku kerana mata pelajaran Bahasa Melayu dianggap oleh pelajar-pelajar lebih mudah. Pada saat terakhir barulah mata pelajaran Bahasa Melayu hendak diulang kaji. Sebagai akibatnya mata pelajaran Bahasa Melayu tidak dapat diulang kaji secara menyeluruh. Oleh hal yang demikian, pelajar-pelajar Melayu itu gagal menjawab soalan-soalan peperiksaan yang dikemukakan itu dengan baik.

Jarang merujuk kepada kamus

Ada juga yang jarang-jarang atau tidak merujuk kepada kamus apabila menemukan kata-kata baru atau kata-kata yang sukar. Biasanya, mereka lebih gemar mengagak-agak maknanya atau ejaannya dan terus menggunakannya dalam ayat. Sebagai akibatnya, pelbagai kesalahan dari segi penggunaan kata dan ejaan dapat ditemukan, baik dalam latihan yang dikerjakan mahupun dalam kertas jawapan peperiksaan.

Kurang membaca buku tentang tatabahasa Melayu

Dalam pada itu, sebilangan pelajar Melayu didapati amat kurang membaca buku tentang tatabahasa Melayu. Mereka tidak berbuat demikian kerana yakin bahawa bahasa yang dituturkan oleh mereka itu sudah cukup baik dan bentuk bahasa Melayu yang digunakan dalam bahan bacaan yang selalu dibaca, misalnya surat khabar, majalah, cerpen, novel, dan sebagainya adalah betul. Biarpun mungkin bentuk bahasa yang digunakan itu salah, mereka tidak mengetahuinya. Sebagai akibatnya, bentuk bahasa yang salah dianggap sebagai betul. Bentuk bahasa yang salah inilah yang sering digunakan oleh mereka, baik dalam latihan atau dalam kertas jawapan peperiksaan.

Penutup Perbahasan Kelemahan Bahasa Melayu

Berdasarkan fakta-fakta yang diberikan, ternyatalah bahawa sikap tidak bersungguh- sungguh sesetengah pelajar Melayu itu sendirilah yang menyebabkan mereka lemah dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Anggapan bahawa sebagai penutur asli maka pelajar Melayu mudah dapat menguasai Bahasa Melayu haruslah dikikis.


Contoh Karangan – Usaha Mengantarabangsakan Bahasa Melayu
Contoh Karangan: Kepentingan Penguasaan Bahasa Inggeris
Contoh Karangan: Kepudaran Bahasa Melayu (Faktor dan Langkah)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *