Skip to content

Contoh Karangan SPM: Punca keruntuhan akhlak remaja

Punca keruntuhan akhlak remaja Contoh Karangan SPM: Punca keruntuhan akhlak remaja

Masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja semakin kritikal walaupun pelbagai usaha telah dilakukan. Nyatakan punca-punca berlakunya masalah ini.

Punca keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja

Remaja merupakan pemangkin kemajuan negara kita. Merekalah yang akan menggantikan generasi terdahulu untuk menerajui dan membangunkan negara. Bak kata pepatah, “di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi”. Jika elok remaja, maka eloklah masa depan sesebuah negara itu, tetapi jika rosak remaja, maka rosaklah masa depan sesebuah negara itu. Oleh itu, golongan remaja yang cemerlang sangat diperlukan untuk membentuk sesebuah negara yang berjaya. Malangnya, keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja semakin bertambah. Pelbagai masalah yang berkaitan dengan keruntuhan akhlak seperti kes buli, gangsterisme, dan vandalisme sentiasa diberitakan. Persoalannya, apakah punca yang menyebabkan keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja?

Pengaruh rakan sebaya

Terdapat banyak punca yang menyumbang kepada runtuhnya akhlak remaja. Antaranya ialah pengaruh rakan sebaya kerana mereka lebih rapat dengan rakan sebaya berbanding keluarga. Rakan sebaya sangat mudah mempegaruhi seseorang remaja itu samaada ke jalan yang benar atau ke jalan yang songsang. Para remaja ini akan saling cabar-mencabar dengan rakan sebaya untuk melakukan sesuatu, walaupun mereka tahu perkara itu salah. Mereka akan terburu-buru menurut ajakan dan suruhan kawan sebaya, apatah lagi jika remaja berkenaan bergaul dalam kumpulan remaja yang bersikap negatif dan bermasalah dalam kehidupan sehari-hari.

Pengaruh media massa dan Internet

Seterusnya, remaja juga agak mudah terpangaruh oleh paparan negatif dalam media massa dan internet. Pada zaman yang serba moden ini, media massa dan internet merupakan satu keperluan dalam kehidupan seharian. Media massa dan media sosial banyak memberikan manfaat, tetapi juga boleh mempengaruhi seseorang “seperti api dalam sekam“. Cerita-cerita yang berunsurkan keganasan malah seks sentiasa ditayangkan oleh media massa. Pada masa yang sama juga, Kemudahan Internet, yakni dunia tanpa sempadan turut menawarkan cukup banyak laman negatif yang mudah dilayari oleh remaja. Pengaruhan ini telah merangsang remaja untuk meniru aksi-aksi negatif, dan hasilnya, keruntuhan akhlak remaja semakin menjadi-jadi.

Kesibukan ibu bapa

Selain itu, kesibukan ibu bapa juga turut menyumbang kepada berlakunya gejala ini. Keluarga yang porak-peranda turut menyumbang kepada keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja kini. Sebenarnya, lumrah ibu bapa ialah mendidik dan mengasuh anak-anak supaya menjadi orang yang berguna. Sesetengah ibu bapa yang kurang mengambil tahu masalah anak-anak mereka akan menyebabkan remaja sesat dan memilih jalan yang songsang. Akhirnya, anak remaja yang terbiar tanpa bimbingan dan kasih sayang yang sepatutnya mula mencari jalan keluar dan bergaul dengan anasir-anasir negatif di luar rumah. Ibu bapa ini hanya akan tersedar ketika anak mereka sudah teruk. Bak kata pepetah, “sudah terhantuk, baru tergadah”.

Sifat semulajadi remaja

Salah satu punca keruntuhan akhlak ialah sifat semulajadi remaja yang ingin mencuba sesuatu yang baru. Kegagalan remaja itu sendiri mengawal diri dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan cabaran. Mereka ingin mencuba perkara baharu tanpa memikirkan kesannya. Walaupun pada awalnya niat mereka hanyalah untuk mencuba, tetapi lama-kelamaan mereka akan ketagih dan terus terjebak ke dalam aktiviti haram itu. Remaja terlalu ghairah untuk menunjukkan kehebatan diri sehingga mendorong diri sendiri terlibat dalam aktiviti haram seperti gejala merokok, penyalahgunaan dadah dan vandalisme.

Penutup Punca keruntuhan akhlak

Kesimpulannya, keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja kini haruslah ditangani dengan bijak dan segera. Para remaja merupakan peneraju masa depan sesebuah negara. Semua pihak, termasuklah ibu bapa atau penjaga, pihak sekolah, jiran tetangga, serta segenap lapisan masyarakat haruslah berganding bahu dan bersama-sama mengatasi masalah yang kian runcing di negara kita pada hari ini. Remaja hendaklah diberi perhatian penuh dan diberi pimpinan agar mereka tidak sesat ke arah yang songsang supaya masa depan mereka sentiasa cerah.

1 thought on “Contoh Karangan SPM: Punca keruntuhan akhlak remaja”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *