Skip to content

Contoh Karangan SPM: Punca Masalah Sosial

Karangan Punca Masalah Sosial

Masalah sosial dalam kalangan remaja telah mencetuskan kebimbangan masyarakat kita. Apakah punca masalah sosial dalam kalangan remaja?

Punca Masalah Sosial dalam Kalangan Remaja

Masalah sosial dalam kalangan remaja bermaksud salah laku sosial yang dilakukan oleh golongan remaja. Masalah sosial seperti membuli rakan, mencuri, terlibat dengan lumba haram dan sebagainya bukanlah sesuatu yang baharu dalam kalangan remaja pada hari ini. Sehubungan itu, masa depan negara akan terjejas kerana generasi pelapis yang ada sekarang sudah hilang jati diri, identiti dan samangat patriotik untuk membangunkan negara. Masalah ini semakin menjadi-jadi dari hari ke hari sehingga telah membimbangkan banyak pihak. Sesungguhnya terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan fenomena ini terus berleluasa.

Kurang perhatian daripada ibu bapa

Masalah sosial ini berlaku kerana para remaja kurang perhatian daripada ibu bapa, khususnya bagi ibu bapa yang bekerja di bandar. Ibu bapa sibuk bekerja sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Akibat keletihan, mereka langsung tidak mengambil tahu tentang pelajaran anak-anak, apatah lagi untuk meluangkan masa bagi mendengar masalah anak-anak mereka. Sejak kecil anak-anak mereka telah dibesarkan oleh pengasuh sehingga menyebabkan mereka kurang mendapat perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa mereka sendiri. Apabila meningkat remaja mereka akan mengisi kekosongan jiwa mereka itu dengan aktiviti yang tidak berfaedah seperti minum arak, berdisko dan merempit. Oleh itu, kurang perhatian daripada ibu bapa telah mendesak anak-anak terjebak dengan pelbagai masalah social yang amat membimbangkan.

Pihak sekolah yang mementingkan prestasi akademik

Di samping itu, pihak sekolah lebih mementingkan prestasi akademik pelajar berbanding pembentukan sahsiah diri pelajar. Hal ini menjelaskan kepada kita bahawa remaja kini hanya diberi penekanan terhadap prestasi akademik dan tidak diberi penekanan terhadap pembentukan sahsiah diri remaja. Keadaan inilah yang menyebabkan berlakunya masalah sosial dalam kalangan remaja. Justeru, guru-guru boleh memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian yang ungugul dalam kalangan para pelajar di sekolah.

Pengaruhan Rakan sebaya

Selain itu, remaja zaman sekarang amat mudah dipengaruhi olen rakan-rakan mereka khususnya dalam pembentukan sahsiah dan tingkah laku. Remaja kini lebih banyak meluangkan masa dengan rakan berbanding dengan keluarga. Hal ini bermakna pengaruh rakan sebaya juga turut mempengaruhi penglibatan remaja dalam pelbagai gelaja sosial yang menjijikkan itu. Remaja takut diri mereka akan dipinggirkan daripada kumpulan rakan-rakan sekiranya tidak mengikut perbuatan mereka. Keadaan ini akan menimbulkan konflik dalam diri remaja yang tidak mahu disisihkan atau dianggap tidak berani mencuba. Sehubungan dengan itu, hidup mereka seolah-olah sudah hilang arah tujuannya sehingga mereka terjebak pula dalam masalah sosial seperti merokok dan pergaulan bebas. Dalam hal ini, remaja perlu sedar bahawa mereka perlu bijak memilih rakan.

Melarikan diri daripada masalah keluarga

Sementara itu, segolongan remaja pula mengambil jalan mudah dengan melakukan perbuatan yang tidak baik kerana hendak melarikan diri daripada masalah yang menimpa keluarga mereka. Contohnya perceraian antara ibu bapa mereka.dan pengaruh rakan sebaya juga merupakan antara punca berlakunya gejala sosial di negara kita. Para remaja yang buntu dengan masalah yang dihadapi keluar dari rumah dan mencari kebebasan dengan bergaul dengan kumpulan yang tidak senonoh.

Kekurangan didikan agama dan moral

Disuntik nilai tambahnya, kurang didikan agama dan moral turut menjadi punca masalah sosial dalam kalangan remaja. Pendidikan agama dan moral perlu diberi keutamaan sejak anak-anak masih kecil lagi kerana didikan yang cukup dan sempurna menjadi benteng yang kukuh untuk menangkis segala anasir yang tidak baik. Masalah sosial seperti gejala pembuangan bayi dalam kalangan remaja merupakan akibat daripada remaja yang kurang didikan agama dan sukar mengawal nafsu. Melentur buluh biarlah dari rebungnya merupakan peribahasa yang menjelaskan kepada kita betapa pentingnya anak-anak dididik sejak kecil dengan didikan agama dan moral. Izharnya, mereka yang terlibat dengan gejala sosial adalah mereka yang tidak menghayati ajaran agama. Ingatlah “agama tanpa ilmu adalah buta, manakala ilmu tanpa agama adalah lumpuh”.

Pengaruh media massa

Di samping itu, pengaruh media massa juga turut memainkan peranan mendorong para remaja terlibat dengan gejala sosial. Dasar langit terbuka yang diamalkan sekarang telah merosakkan minda para remaja. Hal ini demikian kerana, mereka boleh melayari internet untuk memuat turun cerita-cerita lucah atau porno terutama dari luar negeri. Keadaan ini ditambah pula dengan penayangan filem-filem barat yang mempamerkan cara hidup bebas, seks dan dadah sebagai amalan hidup mereka di kaca televisyen . Unsur ini telah menyendatkan minda remaja dengan perkara negatif dan mereka mudah terikut dengan budaya tidak sihat itu. Oleh itu, media massa juga mempunyai kuasa yang sangat hebat dalam membentuk remaja kerana pembentukan identiti mereka berpunca daripada apa yang mereka tonton setiap hari.

Penutup Karangan Punca Masalah Sosial

Tegasnya, masalah sosial dalam kalangan remaja telah mencetuskan kebimbangan kepada semua pihak termasuklah golongan ibu bapa, guru, masyarakat, dan negara. Oleh tu, semua pihak harus bekerjasama dalam menentukan golongan remaja yang akan meneruskan kepemimpinan negara pada masa hadapan. Sikap masayarakat kita yang “tidak mahu menjaga tepi kain orang” haruslah diubah. Anggota masyarakat sepatutnya prihatin dengan melaporkan segala kegiatan salah laku yang melibatkan golongan remaja kepada pihak yang berkuasa.


Contoh Karangan: Cara mengatasi masalah sosial remaja

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *