Skip to content

Contoh Karangan SPM: Punca remaja kurang minat membaca

Punca remaja kurang minat membaca

Pepatah “Membaca jambatan ilmu” mengatakan bahawa minat membaca mepunyai banyak faedah tetapi remaja kini kurang berminat membaca. Huraikan punca remaja kurang minat membaca.

Punca kurang minat membaca dalam kalangan remaja

Dalam era gajet yang berteknologi tinggi hari ini, remaja dibekalkan telefon pintar oleh ibu bapa untuk memudahkan komunikasi. Malangnya, peranti elektronik tersebut menyebabkan pelajar kurang berminat membaca dan lebih terpengaruh oleh aplikasi yang terdapat dalam telefon pintar tersebut. Remaja menggunakan bahasa singkat dalam perbualan mereka. Pengetahuan am mereka amat terhad dan hanya mengharapkan bantuan enjin pencarian maklumat seperti “Google” untuk mendapatkan informasi. Masalah ini menyebabkan mereka tiada asas pengetahuan yang mendalam tentang sesuatu perkara. Oleh itu, untuk mengelakkan remaja kita terus hanyut dalam dunia tanpa sempadan ini, maka kita perlu meneliti punca remaja kurang minat membaca.

Sikap remaja yang malas

Salah satu punca yang signifikan dalam isu ini ialah sikap remaja itu sendiri yang malas dan tidak minat membaca. Sikap malas ini mula bercambah dalam diri remaja sejak di bangku sekolah lagi. Mereka membaca apabila ditegur, dimarah oleh ibu bapa di rumah dan guru di sekolah. Mereka beranggapan membaca sebagai satu aktiviti yang tidak menyeronokkan dan membosankan. Jika tidak diambil tindakan segera oleh ibu bapa, sikap ini akan melarat dan merosakkan masa depan remaja itu sendiri. Ungkapan dahulu kala ada menyatakan malas bergerak tidak merasa. Pastinya tindakan mereka yang malas membaca ini akan berjangkit pada pekerjaan lain pula yang akhirnya mereka malas untuk bekerja dan berusaha dalam hidup.

Ibu bapa yang terlalu memberi kebebasan

Selain itu, ibu bapa yang terlalu memberi kebebasan kepada anak mereka untuk membuat sebarang keputusan adalah tidak wajar. Mereka tidak memberi teguran terhadap sikap anak yang kurang membaca menyebabkan budaya membaca tidak wujud dalam keluarga. Apatah lagi ibu bapa sendiri tidak menunjukkan teladan kepada anak-anak. Mereka juga tidak berminat untuk membaca sehingga anak-anak mereka dibiarkan untuk melakukan apa-apa sahaja pada waktu senggang. Secara tidak langsung, situasi ini menggambarkan kegagalan keluarga ini membentuk suasana kondusif untuk anak -anak mereka membaca ditambah lagi dengan pemberian kebebasan mutlak kepada anak.

Pengaruh rancangan televisyen

Di samping itu, faktor lain yang menjadi punca remaja kurang minat membaca adalah disebabkan pengaruh rancangan televisyen. Kehadiran televisyen pintar dan televisyen android telah menjadikan televisyen sebagai salah satu alat elektronik yang utama dalam sesebuah rumah. Mereka boleh menonton dan melayari Internet melalui televisyen yang ada. Malah kewujudan kotak android yang merupakan alat peranti menyebabkan mereka mampu menonton pelbagai siaran dunia tanpa sekatan dan sempadan. Mereka dapat menonton lebih 800 siaran rancangan di seluruh dunia. Akhirnya, waktu membaca hanyalah menjadi aktiviti paksaan apabila digesa oleh pihak sekolah demi menjayakan aktiviti NILAM sahaja.

Pengaruhan rakan sebaya

Faktor lain yang mendorong remaja sehingga mereka tidak minat membaca ialah rakan mereka sendiri. Rakan ialah orang yang paling dekat dengan remaja, mereka kerap bersama di sekolah dan banyak menghabiskan masa bersama. Pengaruh rakan lebih kuat daripada nasihat dan teguran ibu bapa. Malah, mereka lebih mempercayai rakan berbanding orang lain. Akibatnya, apabila remaja berkawan dengan rakan yang tidak minat membaca maka remaja akhirnya akan terpengaruh dan mengikut perangai rakannya yang tidak minat membaca. Maka benarlah peribahasa dahulu ada mengatakan, berkawan dengan tukang besi, kita akan rasa bahangnya, inilah gambaran yang menjelaskan betapa kawan mempengaruhi sikap seseorang remaja.

Penutup Karangan Punca kurang minat membaca

Secara kesimpulannya, minat membaca tidak boleh dipaksa atau diugut dengan pelbagai cara tetapi minat membaca ini boleh dipupuk dan disemai untuk menjadi hobi yang berfaedah dalam diri seseorang. Tiada orang lain yang dapat memupuk minat membaca kecuali dorongan diri sendiri untuk membaca. Sesungguhnya membaca itu merupakan satu proses memperoleh ilmu pengetahuan. Oleh itu, ibu bapa bertanggungjawab untuk memastikan anak -anak mempunyai minat membaca kerana pendidikan awal itu bermula di rumah.


Contoh Karangan – Kepentingan Membaca | Kebaikan Minat Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *