Skip to content

Puisi Moden Tingkatan 3 – Sajak Bintang

Sajak Bintang

Sajak Bintang karya Siti Zaleha M. Hashim merupakan puisi moden komsas tingkatan 3. Berikutnya maksud sajak, tema, persoalan, bentuk, gaya bahasa, nilai, pengajaran dan contoh latihan sajak ini.

Maksud Sajak Bintang

Suatu malam aku duduk
di halaman rumah
kulihat cantiknya bintang-bintang
menghias langit yang terbentang
aku ingin terbang ke sana
membawa pulang bintang-bintang
tentu ibu gembira
tentu ayah bahagia
melihat rumah ini
penuh dengan cahaya.

Maksud: Pada suatu malam, penyajak duduk di halaman rumahnya sambil memerhatikankecantikan bintang-bintang yang menghiasi langit. Penyajak ingin terbang ke langit untuk membawa pulang bintang-bintang itu dan memberikan bintang-bintang itu kepada ayah dan ibunya. Penyajak merasakan perbuatannya itu akan membuatkan ibunya gembira dan ayahnya bahagia apabila melihat rumah mereka diterangi oleh cahaya bintang tersebut.

Tetapi kata ibu
itu tidak perlu
ayah sudah ada bintang
begitu juga ibu
rumah sudah bercahaya
begitu juga jiwa mereka
bintang itu adalah aku
bintang hati ayah dan ibu.

Maksud: Namun begitu, ibu penyajak mengatakan bahawa penyajak tidak perlu berbuat demikian kerana ayah dan ibu penyajak sudah memiliki bintang yang bercahaya di rumah dan dalam jiwa mereka. Hal ini demikian kerana penyajak ialah bintang hati ayah dan ibunya.


Tema Sajak Bintang

Tema Sajak Bintang ialah kasih sayang yang utuh antara anak dengan ibu bapanya. Kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak yang dipuja sebagai bintang hati mereka dan tidak dapat dibandingkan dengan apa-apa pun.


Persoalan Sajak Bintang

Kasih sayang yang mendalam sesama ahli keluarga.
Huraian: Penyajak amat menyayangi kedua-dua ibu bapanya.

Pengorbanan dan jasa ibu bapa yang tiada nilainya kerana anak mereka melebihi segala-galanya.
Huraian: Penyajak sangat menyayangi ibu bapanya dan ingin membahagiakan mereka

Tanggungjawab seorang anak untuk membahagiakan ibu bapanya.
Huraian: Penyajak ingin menghadiahkan bintang di langit kepada ayah dan ibunya agar mereka berasa gembira dan bahagia.

Pengorbanan dan jasa ibu bapa yang tiada nilainya
Huraian: Penyajak ingin memetik bintang di langit untuk dihadiahkan kepada ayah dan ibunya sebagai membalas jasa mereka membesarkan penyajak selama ini.

Kebahagiaan ibu bapa terhadap anak yang taat dan bertanggungjawab.
Huraian: Ayah dan ibu akan berasa bahagia dan gembira jika dikurniakan anak-anak yang taat, bertanggungjawab, dan mengenang jasa mereka.

PersoalanSajak
Anak-anak bintang hati ibu dan ayahbintang itu adalah aku
bintang hati ayah dan ibu
Persoalan kasih sayang ibu dan ayah terhadap anak-anak mereka.ayah sudah ada bintang
begitu juga dengan ibu
rumah sudah bercahaya
begitu juga jiwa mereka
Persoalan kasih sayang seorang anak terhadap ibu dan ayahnya.tentu ibu gembira
tentu ayah bahagia
melihat rumah ini
penuh dengan cahaya
Persoalan kesanggupan seorang anak untuk membuat ibu dan ayahnya gembira.aku ingin terbang ke sana
membawa pulang bintang-bintang
tentu ibu gembira
tentu ayah bahagia
melihat rumah ini
penuh dengan cahaya

Bentuk Sajak Bintang

  1. Sajak ini terdiri daripada dua rangkap.
  2. Setiap rangkap mempunyai jumlah baris yang berbeza, rangkap pertama mempunyai sepuluh baris dan rangkap kedua mempunyai lapan baris.
  3. Bilangan katanya tiga hingga lima patah kata.
  4. Terdiri daripada enam hingga sepuluh suku kata.
  5. Rima akhirnya bebas.

Sajak ini bernada romantik kerana penyajak melahirkan rasa kasih sayang dan tanggungjawabuntuk membahagiakan ibu dan ayahnya.


Gaya Bahasa Sajak Bintang

Anafora (perulangan perkataan pada awal baris)
Contoh: bintang itu adalah aku, bintang hati ayah dan ibu.
Contoh: tentu ibu gembira, tentu ayah bahagia

Epifora (perulangan perkataan pada akhir baris)
Contoh: Tetapi kata ibu, begitu juga ibu

Responsi (perulangan perkataan di tengah baris)
Contoh: tentu ayah bahagia, bintang hati ayah dan ibu.

Metafora
Contoh: bintang hati.

Personifikasi
Contoh: menghias langit yang terbentang.

Kata ganda
Contoh: bintang-bintang.

Inversi
Contoh: tentu ibu gembira (Sepatutnya: Ibu tentu gembira)
Contoh: tentu ayah bahagia (Sepatutnya: ayah tentu bahagia)

Asonansi
Contoh: begitu juga ibu (perulangan vokal u).

Aliterasi
Contoh: begitu juga jiwa mereka (perulangan konsonan j).

Sinkope
Contoh: kulihat cantiknya bintang-bintang

Rima akhir bagi rangkap pertama ialah abccdcdded
Rima akhir bagi rangkap kedua ialah aabaccaa


Nilai Sajak Bintang

Kasih sayang
Ibu dan ayah penyajak sayang akan penyajak.

Nilai Bertanggungjawab
Penyajak bertanggungjawab membahagiakan ibu dan ayahnya.

Nilai Rasional
Ibu dan ayah penyajak menyatakan bahawa mereka tidak memerlukan bintang yang lain kerana penyajak merupakan bintang hati mereka.


Pengajaran Sajak Bintang

Kita mestilah mengamalkan kasih sayang dalam kalangan ahli keluarga.

Kita hendaklah mengenang jasa ibu dan bapa yang banyak berbudi kepada kita.

Kita perlulah taat akan ajaran dan perintah kedua-dua ibu bapa yang membesarkan kita sejak kecil.

Kita hendaklah bertanggungjawab untuk membahagiakan dan menggembirakan hati ibu bapa pada setiap masa.

Kita seharusnya jujur dalam berkata-kata untuk menyatakan kebenaran.

Kita mestilah mengagumi kehebatan kuasa Allah dalam mencipta alam semesta.

Kita mestilah rasional dalam mengemukakan sesuatu pendapat.


Latihan Sajak Bintang

Apakah yang dimaksudkan dengan rangkai kata membawa pulang bintang-bintang?

Menjanjikan kejayaan.

Sesebuah puisi dihasilkan dengan penggunaan gaya bahasa yang menarik. Berdasarkan sajak ‘Bintang’, berikan dua gaya bahasa yang menarik berserta contoh yang sesuai.

Anafora – bintang (rangkap kedua, baris tujuh dan lapan)
Inversi – tentu ibu gembira
Aliterasi – aku ingin terbang ke sana

“Jasa ayah dan ibu tidak ternilai dalam membesarkan kita.”
Pada pendapat anda, bagaimanakah cara yang terbaik untuk membalas jasa ayah dan ibu?

– Menghabiskan masa yang berkualiti bersama-sama ayah dan ibu.
– Memberikan wang belanja setiap bulan kepada ayah dan ibu.
– Sebagai anak, haruslah akur akan perintah ayah dan ibu.
– Mendapatkan keputusan yang cemerlang untuk membalas jasa ayah dan ibu yang sanggup berkorban demi kejayaan anak-anak mereka.

Apakah yang dimaksudkan dengan rangkai kata penuh dengan cahaya?

Dilimpahi kegembiraan

Nyatakan tema bagi sajak ini.

Nilai seseorang anak kepada ibu dan bapanya melebihi segalagalanya dan tidak dapat dibandingkan dengan apa-apa pun.

“Pelbagai cara boleh dilakukan untuk menunjukkan kasih sayang.” Pada pendapat anda, bagaimanakah cara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak?

– Menjadi pendengar terbaik kepada anak-anak.
– Sentiasa meluangkan masa bersama anak-anak.
– Sentiasa menyokong minat anak-anak.
– Sering mengucapkan bahawa mereka menyayangi anak-anak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *