Skip to content

Nota Komsas – Sajak Erti Hidup Bererti

Sajak Erti Hidup Bererti Nota Komsas - Sajak Erti Hidup Bererti

Sajak Erti Hidup Bererti karya Teo Wei Sing merupakan komsas tingkatan lima. Berikutnya nota tema, persoalan, maksud, gaya bahasa, nilai dan pengajaran Sajak Erti Hidup Bererti.

Maksud Sajak Erti Hidup Bererti

Aku selalu didatangi
malam sepi
bagai kalung
yang melingkari leherku
tidak berubah keesokan hari
siapa yang akan datang menjengukku keluhan seorang tua sunyi.

Penyajak sentiasa kesunyian kerana malam yang dilalui begitu sepi.  Bagi orang tua tersebut tiada sesiapa akan menziarahinya pada keesokan harinya dan keadaan itu akan berterusan Kesunyian hidup pada usia tua Ketabahan. Walau bagaimanapun, keadaan itu tetap tidak berubah pada keesokan harinya kerana tiada sesiapa yang datang untuk menziarahinya yang sudah tua.

Keheningan tasik
kehijauan rumput
hanya menjadi bayangan
di penjuru ruang zaman
cinta dalam rahim dilupai
dari sulung ditendang ke bongsu dari angah ditendang ke sulung balik kucari erti hidup
menderita mengerang sakit
berdiri tanpa ruang.

Penyajak membayangkan ketenangan hidup yang pernah dilaluinya pada usia muda. Pada usia tua, penyajak meluahkan rasa kecewa terhadap anak-anak yang kian melupakan ibu yang pernah mengandungkannya. Anak-anak tidak mahu bertanggungjawab menjaga ibu yang sudah tua sebaliknya menghantar dari rumah seorang anak ke rumah seorang anak yang tidak mahu menjaganya dengan lama. Lantas, penyajak mencari erti hidup sewaktu dirinyamenanggung penderitaan hidup tanpa ada tempat bergantung yang kukuh.

Aku bagi mereka
tiada makna
anakku bakaku
baik setia mahupun derhaka
semoga disirami benih keinsafan
menjadi penawar dalam hati
embun cinta atasi angina dingin
jangan terpegun
ada yang mati
ada yang hidup
tiada yang kekal kecuali Tuhan.

Penyajak berasa bahawa dirinya tidak bermakna kepada anak-anaknyawalaupun mereka merupakan anak kandungnya sendiri. Namun, penyajak berdoa agar anak-anaknya diberi keinsafan atas kesilapan yang dilakukan oleh mereka agar tidak terus menjadi anak derhaka supaya duka dihatinya terubat.

Penyajak turut berharap agar dapat hidup dengan berkasih sayang dan menggantikan hubungan yang hambar sebelum ini. Penyajak juga mengingatkan supaya manusia jangan leka kerana dalam putaran hidup ini akan ada yang hidup dan mati kecuali hanya Tuhan yang kekal.


Tema Sajak Erti Hidup Bererti

Sajak “Erti Hidup Bererti” bertemakan kesunyian hidup yang dilalui oleh golongan warga tua.

Seorang ibu yang mengharapkan belaian kasih sayang anak-anak pada penghujung usianya. Walau bagaimanapun anak-anak tidak mengendahkan dan melaksanakan tanggungjawab menjaganya. Keluhan ibu tua yang diabaikan oleh anaknya sendiri. Jauh di sudut hati ibu tua ini masih mengharapkan anak-anaknya akan insaf.


Persoalan Sajak Erti Hidup Bererti

Kasih sayang seorang ibu

Seorang ibu yang mengandungkan dan menjaga anak semasa kecil sehinggalah anak-anaknya dewasa.

Nasib warga tua yang dipinggirkan oleh anak-anak

Anak-anak tidak boleh mengabaikan ibu yang melahirkan dan membesarkan mereka.

Kebahagiaan hidup merupakan impian setiap individu

Seorang ibu berharap agar anak-anak dapat memberikan kebahagiaan pada hari tuanya.

Tanggungjawab seorang anak terhadap ibu bapa

Anak-anak perlu sedar terhadap tanggungjawab untuk menjaga kebajikan ibu kandung/ ibu bapa dan memberikan kebahagian kepadanya/ mereka.

Keyakinan terhadap kekuasaan Tuhan

Penyajak mengingatkan pembaca bahawa dalam putaran hidup ini akan ada yang hidup dan mati kecuali hanya Tuhan yang kekal.


Bentuk Sajak Erti Hidup Bererti

  • Terdiri daripada tiga rangkap.
  • Bilangan baris dalam setiap rangkap tidak sama.
    Rangkap pertama: tujuh baris
    Rangkap kedua: sepuluh baris
    Rangkap ketiga: sebelas baris.
  • Jumlah patah kata dalam setiap baris juga tidak sama, iaitu antara dua hingga enam patah kata dalam satu baris.
  • Bilangan suku kata: antara empat hingga tiga belas suku kata.
  • Rima akhir sajak ini ialah
    rangkap pertama: aabcaca
    rangkap kedua: abccdeafgh
    rangkap ketiga: aabacdefdgc.

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

  1. Anafora
    Contoh: ada yang mati ada yang hidup (rangkap 3; baris 9 & 10)
  2. Diksi atau pemilihan kata begitu indah dan berkesan.
    Contoh: dari sulung ditendang ke bongsu; berdiri tanpa ruang; semoga disirami benih keinsafan.
  3. Hiperbola.
    Contoh: cinta dalam rahim dilupai; embun cinta atasi angin dingin.
  4. Metafora.
    Contoh: benih keinsafan. (rangkap 3; baris 5)
  5. Simile.
    Contoh: bagai kalung. ( rangkap 1; baris 3)
  6. Unsur alam.
    Contoh: malam; tasik; rumput; angin.
  7. Asonansi.
    Contoh: Aku selalu didatangi (perulangan bunyi vokal a).
  8. Aliterasi.
    Contoh: menderita mengerang sakit (perulangan bunyi konsonan m).
  9. Personifikasi
    Contoh: malam sepi (rangkap 1; baris 2)
  10. Sinkope
    Contoh : anakku bakaku (rangkap 3; baris 3)
  11. Responsi
    Contoh : dari sulung ditendang ke bongsu
    dari angah ditendang ke sulung balik (rangkap 2; baris 6 & 7)

Sajak “Erti Hidup Bererti” bernada melankolik.


Nilai Sajak Erti Hidup Bererti

Nilai Kasih sayang

Ibu bapa mestilah bersikap penyayang terhadap anak-anak supaya kehidupan mendapat berkat. Penyajak tetap menyayangi anak-anaknya walaupun dipinggirkan misalnya penyajak tetap mendoakan anaknya agar Tuhan memberikan keinsafan terhadap anak-anaknya.

Nilai Tanggungjawab

Anak-anak hendaklah bertanggungjawab dalam menjaga ibu bapa semasa tua agar mendapat keredaan Tuhan. Anak-anak penyajak seharusnya bertanggungjawab menjaga kebajikan ibu mereka walaupun telah berkeluarga dan tinggal berjauhan.

Nilai Ketabahan

Kita haruslah tabah menghadapi dugaan hidup agar tidak dirundung rasa putus asa. Penyajak tabah menjalani kehidupan yang sunyi akibat diabaikan oleh anak-anaknya.

Nilai Berjasa

Anak-anak tidak boleh mengabaikan ibu yang melahirkan dan membesarkan mereka. Penyajak berasa kecewa kerana jasanya yang membesarkan anak-anaknya tidak dihargai.

Nilai Keinsafan

Kita hendaklah berasa insaf dan sedar bahawa kehidupan di dunia hanya sementara dan Tuhan sahaja yang kekal. Penyajak sedar dan insaf bahawa yang kekal hanyalah Tuhan.

Nilai keikhlasan

Ibu bapa hendaklah sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kebahagian anak-anak agar mereka sedar bahawa kasih saying ibu bapa tetap ikhlas. Penyajak mendoakan kesejahteraan hidup anak-anaknya walaupun mereka tidak mengenang jasanya yang melahirkan mereka.


Pengajaran Sajak Erti Hidup Bererti

Kita hendaklah sentiasa menyayangi ahli keluarga

Contoh: Penyajak mengharapkan belaian kasih sayang daripada anak-anak pada penghujung usianya.

Kita perlu tabah menghadapi cabaran dan dugaan dalam kehidupan terutamanya ketika usia tua.

Contoh: Penyajak tabah menjalani kehidupannya yang diabaikan oleh anak-anak dengan mencari kehidupannya sendiri serta menanggung penderitaan hidup tanpa ada tempat bergantung yang kukuh.

Kita haruslah bertanggungjawab menjaga kebajikan dan menggembirakan ibu bapa walaupun tinggal berjauhan

Contoh: Anak-anak perlu sedar terhadap tanggungjawab untuk menjaga kebajikan ibu kandung/ ibu bapa dan memberikan kebahagian kepadanya/ mereka.

Kita haruslah sedar dan insaf bahawa kehidupan di dunia ini hanya sementara dan hanya Tuhan sahaja yang kekal.

Contoh: Penyajak sedar dan insaf bahawa dalam kehidupan ini tidak ada yang kekal kecuali Tuhan.


SoalanSajak Erti Hidup Bererti

Apakah Tema Sajak Erti Hidup Bererti?

Sajak Erti Hidup Bererti memaparkan tema keluhan ibu tua yang diabaikan oleh anaknya sendiri . Seorang ibu yang mengharapkan belaian kasih sayang anak-anak pada penghujung usianya. Walau bagaimanapun anak-anak tidak mengendahkan dan melaksanakan tanggungjawab menjaganya. Jauh di sudut hati ibu tua ini masih mengharapkan anak-anaknya akan insaf.

Apakah nilai Sajak Erti Hidup Bererti?

Nilai Bertanggungjawab, Keinsafan, Kasih sayang, Ketabahan.

Sekiranya seseorang anak mengabaikan ibu bapanya, apakah yang terjadi kepada anak itu pada masa akan datang?

Pada pendapat saya, implikasi yang diterima oleh seorang anak sekiranya mengabaikan ibu bapa ialah kemungkinan dia akan menerima nasib yang sama iaitu diabaikan oleh anak-anaknya. Selain itu, anak yang meminggirkan ibu bapa tidak akan mengalami kehidupan yang tenteram kerana berasa berdosa terhadap ibu bapanya. Di samping itu, anak yang tidak mempedulikan ibu bapa akan menyesal kerana tidak menghormati ibu bapanya.

Berikan maksud embun atasi angin dingin

Maksud embun atasi angin dingin ialah perasaan kasih syang dapat menghindari pengabaian terhadap ibu dan bapa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *