Skip to content

Komsas BM Tingkatan 4 – Sajak Gelanggang

Sajak Gelanggang

Sajak Gelanggang karya Onn Malini. Berikutnya maksud sajak, tema, persoalan, bentuk, gaya bahasa, nilai dan pengajaran komsas ini.

Maksud Sajak Gelanggang

Ini gelanggang kita
yang diwariskan oleh pendekar-pendekar datuk moyang lebih
lima dekad yang lalu
satu persepakatan kaum untuk diturunkan kepada anak cucu
di kemudian hari.

Penyajak menyatakan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang ditubuhkan olehpara pemimpin generasi terdahulu kira-kira 50 tahun yang lalu. Malaysia terbentuk hasildaripada perpaduan danpersepakatan setiap kaum demi masa depan generasi seterusnya.

Hari ini kitalah pewaris gelanggang yang terbina dari keringat
dan air mata
dengan gelanggang inilah negara aman makmur rakyat

berpadu
kita pelihara gelanggang ini dengan kejap sepenuh hati
kita mempertahankan kedaulatan watan dari anasir jahat
kerana telah terbukti dapat menyatupadukan pelbagai
keturunan.

Rakyat atau generasi merdeka hari ini merupakan pewaris negara yang lahir daripada perjuangan dan pengorbanan generasi terdahulu. Dengan tertubuhnya Malaysia, kemakmuran tanah air dapat dinikmati bersama-sama. Kita perlu menjaga keharmonian dan kedaulatan negara ini daripada sebarang bentuk ancaman luaryang cuba memusnahkan. Hal ini dikatakan demikian kerana telah terbukti bahawa cara ini mampu mewujudkan perpaduan pelbagai kaum di negara kita.

Para pendekar kita harus berani berjuang menangkis tohmahan
demi mempertahankan maruah gelanggang keramat suci ini
suara-suara momokan sumbang memperlekehkan menyentuh
hati nurani
kita sanggah nyah tanpa kompromi dari menggugah
gelanggang
jangan sekali bermain api kelak membinasakan diri sendiri.

Penyajak berpendapat bahawa pemimpin kini harus berani melawan tuduhan meluludan propaganda pihak luar untuk mempertahankan kedaulatan negara. Pendapat yang dikemukakan oleh hasutan yang cuba menjatuhkan Malaysia harus kita tentang tanpa tolak ansur supaya tidak menggugat kedaulatan negara. Pihak tersebut tidak harus melakukan tindakan untuk mencabar Malaysia kerana perbuatan mereka akan menyusahkan diri mereka.

Marilah para pahlawan setia kita kukuhkan ukhuwah
elakkan pertelingkahan sesama sendiri.

Penyajak menyeruagarwarganegara yangtaat setia dan cinta akan negara ini saling mengukuhkan tali persaudaraan agar pertelingkahan sesama rakyat dapat dihindari.

Kitalah pewaris abadi yang menjunjung amanah ini
agar kecemerlangan tercerna di persada arena
terus memacu kejayaan demi maruah harga jati diri

membina sebuah negara bangsa yang harmoni dan dihormati
kita junjung dan taat ke akhir hayat.

Penyajak menyatakan bahawa kita sebagai rakyat Malaysia bertanggungjawab memikul amanahbagi memastikannegara kita kekal cemerlang pada peringkat dunia. Hal ini demikian kerana kejayaan yang diperoleh rakyat Malaysia melambangkan maruah Malaysia dan jati diri mereka. Kita bertanggungjawab dalam meneruskan kesinambungan Malaysia sebagai negara yang harmoni. Kita mestilah menghargai dan menanamkan kesetiaan serta perasaan cinta akan negara Malaysia untuk selama-lamanya.


Tema Sajak Gelanggang

Sajak ini bertemakan kepentingan mempertahankan keharmonian dan kedaulatan tanah air.

Usaha dan perjuangan nenek moyang yang berusaha memerdekakan dan mendaulatkan tanah air wajar dikenang. Semua rakyatperlulah memelihara kedaulatan negara dengan penuh tanggungjawab daripada pihak luar yang cuba memusnahkan negara.


Persoalan Sajak Gelanggang

Perjuangan generasi dahulu dalam mendapatkan kemerdekaan
Contoh : Generasi dahulu berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan negara dengan keringat dan air mata.

Kepentingan perpaduan dalam kehidupan masyarakat yang berbilang kaum
Contoh : Penyajak menyatakan bahawa rakyat yang bersatu padu telah terbukti dapat memelihara negara daripada ancaman luar.

Tanggungjawab rakyat dalam mendaulatkan negara
Contoh : Penyajak menyeru semua rakyat supaya memelihara kedaulatan negara dengan penuh tanggungjawab daripada pihak luar yang cuba memusnahkan negara.


Bentuk dan Ciri-ciri Sajak

  • Sajak ini berbentuk bebas atau tidak terikat pada ciri-ciri puisi tradisional.
  • Terdiri daripada lima rangkap.
  • Jumlah bilangan barisnya tidak sama:
    rangkap pertama (lima baris)
    rangkap kedua (lapan baris)
    rangkap ketiga (tujuh baris)
    rangkap keempat (dua baris)
    rangkap kelima (lima baris).
  • Jumlah patah kata dan suku kata dalam sajak ini juga tidak sama.
    Misalnya, pada rangkap kedua baris pertama ada sembilan patah kata dengan dua puluh dua suku kata. Sebaliknya, pada rangkap kedua baris ketiga ada satu patah kata sahaja dengan tiga suku kata.
  • Sajak ini mempunyai 27 baris.
  • Rima akhirnya bebas:
    abccd, abacdade, abcbcdb, ab, abaac.

Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

Unsur kata atau diksinya indah (puitis)
Contohnya, agar kecemerlangan tercerna di persada arena.

Anafora
Contohnya, kita pelihara, kita mempertahankan (rangkap 2 baris 5 dan 6).

Perlambangan atau imejan
Contohnya, pewaris gelanggang. (imej pewaris merujuk generasi muda, manakala, imej gelanggang merujuk kepada negara)

Perulangan kata
Contohnya, kata gelanggang disebut sebanyak enam kali dalam sajak ini.

Asonansi. (perulangan bunyi vokal a)
Contohnya, kita sanggah nyah tanpa kompromi dari menggugah.

Aliterasi. (perulangan bunyi konsonan s)
Contohnya, elakkan pertelingkahan sesama sendiri.

Metafora
Contoh: Gelanggang keramat

Repetisi
Contoh: kata gelanggang diulang sebanyak enam kali dalam sajak ini.

Sajak ini bernada patriotik.


Nilai Sajak Gelanggang

Tanggungjawab
Contoh: Penyajak menyeru semua rakyat supaya memelihara kedaulatan negara dengan penuh tanggungjawab  daripada pihak luar yang cuba memusnahkan negara.

Nilai keberanian
Contoh: Penyajak menyatakan bahawa pemimpin negara kita harus berani  berjuang untuk menangkis tohmahan pihak luar.

Nilai perpaduan
Contoh: Penyajak menyatakan bahawa rakyat yang bersatu padu telah terbukti dapat memelihara negara daripada ancaman luar.

Nilai Kerjasama
Contoh: Setiap kaum menjalinkan kerjasama yang erat untuk mencapai kemerdekaan.

NilaiBersatu padu
Contoh: Rakyat yang bersatu padu dapat memajukan negara dan mengekalkan kedaulatan dan kemakmuran negara.

Nilai Pengorbanan
Contoh: Pendekar sanggup berkorban demi negara tercinta.


Pengajaran Sajak Gelanggang

Kita hendaklah bertanggungjawab untuk menjaga kedaulatan negara daripada pihak luar yang cuba memusnahkan negara.

Kita mestilah berani menangkis segala bentuk propaganda dan tuduhan melulu daripada pihak luar yang cuba mengganggu-gugat kedaulatan negara.

Kita perlulah menghargai pengorbanan dan jasa yang dicurahkan oleh generasi dan para pemimpin terdahulu yang berusaha untuk memerdekakan tanah air yang tercinta.

Sebagai rakyat yang berbilang kaum, kita hendaklah bersatu padu untuk menjamin keharmonian negara yang tercinta ini.

Kita haruslah bekerjasama membangunkan negara agar mencapai kemajuan yang diimpikan.

Kita haruslah bersyukur kerana dapat tinggal di negara yang aman, sejahtera, dan harmoni.

Kita mestilah bersama-sama memajukan negara dalam pelbagai bidang agar maruah negara terjamin pada peringkat antarabangsa.

Kita tidak seharusnya bersengketa sesama sendiri demi keamanan dan keharmonian negara.


Soalan Sajak Gelanggang

Apakah pesanan penyajak dalam rangkap keempat?

Pesanan penyajak dalam rangkap yang keempat ialah rakyat yang cinta akan negara perlu mengukuhkan perpaduan dan mengelakkan pertelingkahan sesama sendiri.

Pada pendapat anda, mengapakah rakyat mesti bersatu dalam sebuah negara yang merdeka?

Pada pendapat saya, rakyat mesti bersatu dalam sebuah negara yang merdeka bagi mengelakkan pergaduhan sesama sendiri dan berprasangka buruk antara kaum. Selain itu, rakyat mesti bersatu untuk mengelakkan campur tangan orang luar dalam politik negara.

Huraikan dua persoalan yang terdapat dalam sajak di atas?

Persoalan yang terdapat dalam sajak di atas ialah kepentingan perpaduan dalam sesebuah negara. Sebagai contoh rakyat mesti bersatu padu untuk mempertahankan negara daripada sebarang bentuk ancaman. Selain itu, terdapat persoalan perjuangan generasi terdahulu dalam menuntut kemerdekaan. Sebagai contoh generasi dahulu berjuang menuntut kemerdekaan dengan keringat dan air mata.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *