Skip to content

Nota Komsas tingkatan 5 – Sajak Kudup Perang

Komsas Sajak Kudup Perang

Sajak Kudup Perang karya Tuah Saujana merupakan komsas tingkatan 5. Berikutnya nota tema, persoalan, maksud, gaya bahasa, bentuk, nilai dan pengajaran Sajak Kudup Perang.

Tema Sajak Kudup Perang

Sajak “Kudup Perang” bertemakan kepentingan kewibawaan dan ketokohan pemimpin dalam menerajui sesebuah organisasi.

Ketika menjadi seorang pemimpin, ada kezaliman dilakukan terhadap penentang dasar. Hal ini menimbulkan perasaan dendam dan tidak berpuas hati. Akibatnya, keadaan menjadi tidak tenteram dan sukar mengembalikan keamanan. Oleh sebab itu, penulis berpendapat bahawa manusia pada zaman moden ini masih memikirkan calon pemimpin mereka yang paling berwibawa dan berketerampilan.


Maksud Sajak Kudup Perang

Sementara dia bergelar panglima
laskar perang; yang terus-menerus
membajakan kezaliman – sering
mengudupkan putik dendam
kita masih perlu berterima kasih
kepada jari-jemari takdir
kerana membenarkan sepasang mata
untuk berlari dengan tangan bergari
sempat juga menadah sejambak puisi
untuk sehari lagi; sambil bertanya;
siapakah pahlawan yang asli?

Penyajak mengingatkan bahawa seseorang yang masih bergelar panglima perang akan sentiasa membuat kezaliman dan menyimpan perasaan dendam. Walau bagaimanapun, penyajak masih bersyukur kerana berpeluang menikmati kehidupan sambil mencari-cari pahlawan sejati.

Memang kita tidak sempat menjenguk
ke luar jendela; sewaktu fajar menghembus
ringkik kuda, gemerincing
pedang pusaka
dan darah yang tiba-tiba membuak
di daerah angkara – perciknya
menumbuhkan kelopak rahsia
dalam keliru, tertanya-tanya kita
tangan mana yang memenggal
leher sang pendusta?

Penyajak sedar bahawa dia tidak sempat hidup pada zaman perbalahan dan penuh angkara. Pelbagai kekeliruan tentang kepahlawanan sebenar menyebabkan manusia tertanta-tanya tentang pemimpin sebenar yang benar-benar berkewibawaan mencipta sejarah. Penyajak tidak sempat untuk mengkaji sejarah tentang peristiwa pertumpahan darah masa lampau.

Andai namamu Tuah, kita masih
tidak mahu
menyanjungnya pendekar paling gagah
kerana takhta setia terbina
di istana wangsa
bukanlah penjamin kukuhnya
pasak saksama
sesekali turut direntakan daki pendusta
melekatlah selumbar sengsara
di tiang maruah kota

Penyajak tidak mahu menyanjungHang Tuah sebagai pendekar paling gagah kerana kesetiaanHang Tuah yang tidak berbelah bahagi terhadap istana. Oleh itu,Hang Tuah tidak akan bersikap saksama walaupun adanya pendustaan sehingga sanggup membiarkan kesengsaraan berlaku di kota.

Andai namamu Jebat, kita masih tidak
menggelarnya sebagai pengkhianat
kerana kita masih menangisi
peta keadilan yang tersirat – nun, karam
di lautan kesumat
sedang warga memanggilnya keramat

Penyajak juga tidak menganggapHang Jebat sebagai pengkhianat kerana dia masih mengingati perjuanganHang Jebat dalam mempertahankan keadilan walaupun menyimpan perasaan dendam. Namun, pengikut Jebat telah beranggapan bahawa Jebatlah pemimpin yang sebenar.

Perang pun melecurkan lidah muslihat
bercabang lalu bertemu bayu palsu;
bertiup dan memindahkan kebenaran pada tempatnya
mewarnakan keindahan pada hodohnya
menjungkitkan amarah pada damainya
teramat lara kita menjahit semula
perca-perca bahagia – seperti perawan
yang dibungkamkan cinta pertama.

Penyajak sedar bahawa peperangan penuh dengan muslihat dan berita palsu yang menghapuskan kebenaran dan membenarkan yang salah. Perang juga membangkitkan keganasan dalam kehidupan yang damai. Justeru, usaha untuk memulihkan sisa-sisa kehidupan yang damai amatlah sukar.

Sehingga senja tiba,
kita masih bertengkar
tentang siapa
pahlawan sebenarnya.

Penyajak sedar bahawa sehingga kini masyarakat masih bertengkar untuk menentukan pahlawan sebenar antara Tuah dengan Jebat.


Persoalan Sajak Kudup Perang

Pengorbanan diri untuk orang lain
Kesanggupan berkorban demi menegakkan kebenaran dan keadilan

Peperangan membawa kesengsaraan hidup
Dalam peperangan berlaku tipu daya dan muslihat serta telah membangkitkan perasaan dendam antara satu sama lain

Menegakkan keadilan
Menjadi tanggungjawab setiap orang untuk menghentikan kezaliman dan penindasan demi menegakkan keadilan

Kesetiaan terhadap negara
Setiap orang mesti menunjukkan kesetiaan terhadap negara yang didiaminya

Penilaian perlu dibuat secara adil berdasarkan konteks
Tindakan Jebat memberontak adalah untuk menuntut keadilan terhadap Tuah dan bukan menderhaka kepada raja


Bentuk Sajak Kudup Perang

Terdiri daripada enam rangkap.

Bilangan baris dalam setiap rangkap tidak sama.
Rangkap pertama: sebelas baris,
Rangkap kedua: sepuluh baris,
Rangkap ketiga: sepuluh baris,
Rangkap keempat: enam baris,
Rangkap kelima: lapan baris,
Rangkap keenam: empat baris.

Jumlah patah kata dalam setiap baris juga tidak sama, iaitu antara dua hingga enam patah kata dalam satu baris.

Bilangan suku katanya antara empat hingga tujuh belas suku kata.

Rima akhirnya ialah
rangkap pertama: abcdefaggag,
rangkap kedua: abcdedddfd,
rangkap ketiga: abcdddddd,
rangkap keempat: abcdbb,
rangkap kelima: abccccdc,
rangkap keenam: abaa.


Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

Bahasa klasik atau Sanskrit.
Contoh: kesumat; keramat; perawan.

Diksi atau pemilihan kata begitu indah dan berkesan.
Contoh: mengudupkan putik dendam; menumbuhkan kelopak rahsia; melekatlah selumbar sengsara.

Hiperbola.
Contoh: jari-jemari takdir; daerah angkara; selumbar sengsara; menjungkitkan amarah.

Inversi.
Contoh: sesekali turut direntakan daki pendusta (sepatutnya: daki pendusta sesekali turut direntakan).

Metafora.
Contoh: peta keadilan, putik dendam

Simile.
Contoh: seperti perawan.

Unsur alam.
Contoh: putik; fajar; selumbar; bayu.

Asonansi.
Contoh: Memang kita tidak sempat menjenguk (perulangan bunyi vokal e).

Aliterasi.
Contoh: bercabang lalu bertemu bayu palsu (perulangan bunyi konsonan b).

Sinkof
Contoh: namamu


Nada: Sajak “Kudup Perang” bernada patriotik.


Nilai Sajak Kudup Perang

Nilai Keadilan

Kita haruslah bersikap adil dan saksama supaya tidak melakukan kezaliman. Hang Tuah dan Jebat hendaklah diadili dengan saksama.

Nilai Rasional 

Kita mestilah bijak memilih pemimpin yang benar-benar berwibawa dalam menerajui sesebuah organisasi.

Nilai Keinsafan 

Kita mestilah insaf bahawa peperangan dan perbalahan tidak akan mendatangkan kebaikan

Nilai Keberanian 

Kita hendaklah berani untuk mencari jawapan yang sahih agar tidak membuat keputusan yang salah. Penyajak berani mencari jawapan dan kepastian antara pahlawan dengan pengkhianat.

Nilai Ketaatan

Pembesar taat setia akan perintah Raja/Sultan.

Nilai Kebijaksanaan

Pemimpin yang bijak menghadapi cabaran dalam pemerintahannya.


Pengajaran Sajak Kudup Perang

  1. Kita hendaklah berani untuk berjuang untuk menegakkan keadilan. Kita hendaklah berani untuk mencari jawapan yang sahih agar tidak membuat keputusan yang salah.
  2. Kita hendaklah insaf bahawa peperangan dan perbalahan tidak akan mendatangkan kebaikan.
  3. Kita mestilah gigih berusaha dan bersungguh-sungguh untuk membina kebahagiaan.
  4. Kita mestilah bertanggungjawab menyelesaikan segala tugasan yang diberikan kepada kita sebagai seorang pemimpin.
  5. Kita haruslah bersikap adil dan saksama supaya tidak melakukan kezaliman.
  6. Kita hendaklah mengkaji sejarah untuk mengelakkan kesalahan yang sama berulang kembali.
  7. Kita perlu menjadi warganegara yang setia kepada negara.
  8. Kita hendaklah berusaha menyelesaikan perselisihan dengan cara yang aman.
  9. Kita mestilahbijak memilih pemimpin yang benar-benar berwibawa dalam menerajui sesebuah organisasidan memiliki ketokohan untuk menerajui.
  10. Kita mestilah menjadi seorang pemimpin yang berkewibawaan demi menjaga maruah diri dan keluarga.
  11. Kita mestilah amanah dalam usaha menjalankan tanggungjawab sebagai seorang yang memimpin sesuatu organisasi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *