Skip to content

Sajak Pesan Ibu Beribu-ribu – puisi moden tingkatan 3

Sajak Pesan Ibu Beribu-ribu

Sajak Pesan Ibu Beribu-ribu karya Rahman Shaari merupakan puisi moden komsas tingkatan 3. Berikutnya maksud sajak, tema, persoalan, bentuk, gaya bahasa, nilai, pengajaran dan contoh latihan sajak ini.

Maksud Sajak Pesan Ibu Beribu-ribu

Kita ada ibu
ibu kita satu
pesanannya beribu-ribu.

Penyajak menyatakan bahawa setiap anak mempunyai seorang ibu sahaja tetapi terdapat banyak pesanan ibu kepada anak dalam menghadapi kehidupan.

Setiap langkah kita diiringi pesanan ibu
“Buat begini jangan begitu
bacalah buku selalu
kukuhkan diri dengan ilmu
pilihlah kawan yang mulia hati
tolaklah kawan pementing diri
pilihlah kawan yang punya petunjuk
tolaklah kawan bertabiat buruk.”
Ibu yang satu menyekat kita di pintu
bertanya ke mana arah tuju
“Jagalah diri selalu
di luar sana mungkin bencana menunggu.”
Kita menjadi jemu
mendengar pesanan beribu-ribu
tapi ibu tetap ibu
pesanan bertambah satu dan satu
“Jangan dibiar kepala berkutu
carilah ubat jerawat batu.”

Pesanan ibu kepada anak meliputi keseluruhan kehidupan anaknya. Ibu berpesan agar anaknya rajin belajar supaya dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan berhati-hati dalam memilih kawan. Ibu juga berpesan agar anaknya mencari rakan yang baik dan menjauhi rakan yang boleh mempengaruhi anaknya melakukan perkara yang negatif. Ibu berpesan lagi agar si anak berwaspada ketika keluar dari rumah kerana bimbang akan bahaya yang mungkin menimpa diri. Walaupun si anak berasa jemu dengan setiap pesanan ibu namun ibu tidak pernah berhenti berpesan. Pesanannya sentiasa bertambah dari sehari ke sehari, termasuklah pesanan agar menjaga kesihatan diri.

Suatu senja
seorang temanku merintih
kerana kehilangan kekasih
kini baru disedarinya
pilihan musang berbulu arnab
biarpun menyamar cekap
ada masa termasuk perangkap
Si Bedul sudah ditangkap
Si Bedul di dalam lokap.

Suatu hari penyajak melihat rakannya bersedih kerana ditinggalkan oleh kekasihnya. Dia baru menyedari bahawa kekasihnya ialah seorang penipu dan telah ditangkap.

Dia menyatakan kesalnya
kerana dia alpa
ibunya berpesan sejak dulu
“Pilihlah kawan yang bermutu
Jangan dipilih kawan berhantu.”

Mengenangkan nasib temanku itu
aku merindui pesanan ibu.
Ya, pesanan ibu.

Ketika itu rakan penyajak telah menyedari bahawa dia telah mengabaikan pesanan ibunya agar berhati-hati dalam memilih sahabat. Setelah itu, penyajak mula menerima hakikat kebenaran pesanan ibunya dan merindui pesanan-pesanan ibunya.

Ibu,
Kuyakini kau mengenali
Yang mana permata, yang mana kaca
Yang mana budaya,yang mana buaya
Berilah pesanan beribu-ribu
Malah berpuluh ribu
Aku tidak akan jemu
Ini janjiku kerana aku tahu
Sempurna seorang ibu
Dengan pesanan beribu-ribu

Akhirnya, penyajak mengakui bahawa ibunya lebih arif dalam menilai perkara yang baik dan yang buruk. Penyajak sanggup menerima lebih banyak pesanan ibunya kerana dia tidak akan bosan mendengarnya. Penyajak sedar bahawa sempurnanya tanggungjawab seorang ibu apabila beliau dapat menyampaikan pesanan yang baik kepada anaknya.


Tema Sajak Pesan Ibu Beribu-ribu

Tanggungjawab seorang ibu memberi nasihat kepada anaknya supaya tidak tersalah memilih jalan hidup. Pesanan seorang ibu merangkumi semua aspek dalam kehidupan anaknya.


Persoalan Sajak Pesan Ibu Beribu-ribu

Kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya.

Sikap berhati-hati dalam memilih sahabat.

Kepentingan ilmu pengetahuan untuk membezakan baik buruk sebagi penyuluh kehidupan manusia

Penjagaan kesihatan dan kebersihan diri amat penting

Mematuhi pesanan ibu agar tidak terpesong dalam kehidupan


Bentuk Sajak Pesan Ibu Beribu-ribu

  1. Terdiri daripada lima rangkap.
    • Rangkap pertama mempunyai tiga baris,
    • Rangkap kedua mempunyai lapan belas baris,
    • Rangkap ketiga mempunyai sembilan baris,
    • Rangkap keempat mempunyai lapan baris,
    • Rangkap kelima mempunyai sepuluh baris.
  2. Bilangan katanya satu hingga tujuh patah kata.
  3. Terdiri daripada dua hingga enam belas suku kata.
  4. Bentuknya bebas.

Sajak ini bernada romantik kerana penyajak melahirkan rasa kasih sayang seorang ibu kepada anak-anak.


Gaya Bahasa Sajak Pesan Ibu Beribu-ribu

Anafora
(perulangan perkataan pada awal baris)
Contoh: yang mana permata, yang mana kaca yang mana budaya, yang mana buaya.

Responsi
(perulangan perkataan di tengah baris)
Contoh: pilihlah kawan yang mulia hati,
tolaklah kawan pementing diri,
pilihlah kawan yang punya petunjuk,
tolaklah kawan bertabiat buruk.

Epifora
(perulangan perkataan pada akhir baris)
Contoh: aku merindui pesanan ibu. Ya, pesanan ibu.

Repetisi
Contoh: tapi ibu tetap ibu.

Hiperbola
Contoh: kawan berhantu.

Sinkope
Contoh: tapi ibu tetap ibu

Asonansi
Contoh: setiap langkah kita diiringi pesanan ibu. (perulangan vokal i)

Aliterasi
Contoh: kerana kehilangan kekasih. (perulangan konsonan k)

Rima akhir bagi rangkap pertama ialah aaa
Rima akhir bagi rangkap kedua ialah aaaabbccaaaaaaaaaa
Rima akhir bagi rangkap ketiga ialah abbacdddd
Rima akhir bagi rangkap keempat ialah aabbbbbb
Rima akhir bagi rangkap kelima ialah abccaaaaaa


Nilai Sajak Pesan Ibu Beribu-ribu

Nilai Kasih sayang
Contoh: Ibu yang menyayangi anak-anak sentiasa memberikan pesanan demi kebaikan mereka.

Nilai Kesedaran
Contoh: Kawan penyajak menyedari kelalaian dirinya.

Nilai Keprihatinan
Contoh: Ibu sentiasa prihatin akan keselamatan anak-anak.

Nilai Bertanggungjawab
Contoh: Ibu bertanggungjawab mengetahui rakan anak-anak mereka.

Nilai Berhati-hati
Contoh: Sentiasa berhati-hati apabila berada di luar rumah kerana banyak bahaya yang menanti.

Nilai Kebijaksanaan
Contoh: Ibu bijak dalam menilai sesuatu yang baik dengan sesuatu yang buruk.


Pengajaran Sajak Pesan Ibu Beribu-ribu

Kita hendaklah patuh dan mendengar nasihat ibu bapa kerana semua pesanannya adalah untuk kebaikan kita.

Kita hendaklah menghargai jasa dan pengorbanan ibu yang telah membesarkan kita.

Janganlah kita sesekali menderhakai ibu yang telah banyak berkorban untuk membesarkan kita.

Kita mestilah menginsafi kesalahan yang telah kita lakukan dan berazam untuk tidak mengulangi perbuatan itu lagi.

Kita hendaklah rajin dalam menuntut ilmu pengetahuan.

Kita disarankan untuk menjaga kesihatan supaya tidak memudaratkan diri sendiri.

Kita hendaklah menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita.

Seseorang ibu mestilah bertanggungjawab menjaga keselamatan anak-anak mereka.

Kita perlulah bijak dalam memilih sahabat yang boleh memberi tunjuk ajar kepada kita.

Kita janganlah membiarkan diri kita terjebak dalam perkara yang merosakkan.


Soalan Sajak Pesan Ibu Beribu-ribu

Berdasarkan rangkap kedua sajak Pesan Ibu Beribu-ribu, antara pesanan yang disampaikan oleh ibu adalah sentiasa melakukan sesuatu kebaikan dan membaca buku selain memilih kawan yang berakhlak mulia dan mengelakkan kawan yang boleh merosakkan kita.

Dua pengajaran yang terdapat dalam sajak tersebut ialah kita mestilah menurut segala pesanan yang diberikan oleh ibu. Selain itu, kita haruslah berhati-hati dalam memilih kawan demi kebaikan diri.

Pada pendapat saya, langkah yang patut dilakukan oleh seseorang ibu untuk melahirkan anak-anak yang cemerlang adalah memberikan didikan yang sempurna sejak anak masih kecil termasuklah didikan agama. Selain itu, ibu perlulah memberikan kasih sayang yang sewajarnya kepada anak-anak agar mereka berasa disayangi dan dihargai.

Pada suatu lewat petang, kawan penyajak bersedih kerana ditinggalkan kekasihnya. Dia baru menyedari bahawa kekasihnya itu seorang penipu dan telah ditangkap serta dilokap.

Terdapat gaya bahasa anafora, contohnya: Pilihlah kawan yang mulia hati, Pilihlah kawan yang punya petunjuk. Selain itu, Gaya Bahasa yang kedua ialah personifikasi, contoh: di luar sana mungkin bencana menunggu. Akhir sekali, Sinkope iaitu seorang temanku merintih.

Seorang ibu tidak jemu-jemu memberikan nasihat kepada anak-anaknya untuk kebaikan anak-anak supaya anakanak tidak tersilap langkah yang boleh menggelapkan masa depan mereka. Selain itu, tindakan ibu adalah atas dasar kasih sayang ibu terhadap anak-anaknya. Setiap ibu sentiasa berharap anak-anak akan berjaya dan bahagia dalam hidup mereka.

Mencari rakan yang berkualiti.

Seorang rakan mengeluh.

Nilai Kasih sayang
Ibu yang menyayangi anak-anak sentiasa memberikan pesanan demi kebaikan mereka.

Nilai Keprihatinan
Ibu sentiasa prihatin akan keselamatan anak-anak.

Kita haruslah mengingati pesanan ibu
Contoh: Setiap langkah kita diiringi pesanan ibu.

Kita hendaklah berilmu
Contoh: Kukuhkan diri dengan ilmu.

Kita mestilah bijak memilih kawan
Contoh: Pilihlah kawan yang mulia hati, tolaklah kawan pementing diri, pilihlah kawan yang punya petunjuk, tolaklah kawan bertabiat buruk.

– Terjebak dengan gejala sosial seperti buli atau vandalisme.
– Menjadi anak yang tidak bertanggungjawab.
– Menjadi anak yang tidak berwawasan.
– Menjadi warganegara yang tidak produktif.

  • Ibu lebih berpengalaman.
  • Ibu tidak ingin anak-anak ditimpa kesusahan.
  • Ibu tidak mahu anak-anak alpa.
  • Ibu bimbang keselamatan anak-anak apabila berjauhan.
  • Ibu berharap agar anak-anak membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum membuat keputusan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *