Skip to content

Nota KOMSAS SPM – Sajak Sejadah Rindu

Sajak Sejadah Rindu

Sajak Sejadah Rindu karya Mohd. Haikal Aminuddin merupakan KOMSAS Tingkatan lima. Berikutnya Nota sajak, termasuk Tema, Persoalan, Maksud, Gaya Bahasa, Bentuk, Nilai dan Pengajaran.

TemaSajak Sejadah Rindu

Ketuhanan serta ketaatan kepada agama. Penyajak insaf akan dosa-dosanya yang lalu. Lantas, penyajak memohon keampunan dengan bertaubat bersungguh-sungguh sebelum penyajak meninggal dunia. Hal ini demikian kerana penyajak sudah benar-benar insaf dan sedar bahawa dunia ini hanya bersifat sementara.


Maksud Sajak Sejadah Rindu

Terkedu aku
di sejadah rindu
mengungkap kalimah syahdu
bait bicara tersentuh kalbu
merekah keinsafan di hati yang beku
mengenang dosaku yang terdahulu.

Penyajak seperti kehilangan kata-kata ketika berada dalam keadaan beribadat / bermunajat / bermuhasabah diri / mengadu kepada Tuhan sambil mengucapkan perkataan yang memuji kebesaran Ilahi. Kesedaran tentang kesilapan / kesalahan yang lalu muncul satu demi satu dalam hati yang dahulunya tertutup.

Berbekal pancaindera anugerah Tuhan
kupohon kembali nafas kehidupan
dalam keterhadan dan keterbatasan insan
moga terbuka ruang keampunan
sebelum saat aku dinisankan
di masa yang Kautetapkan.

Dengan menggunakan segala pancaindera yang dikurniakan Tuhan, penyajak merayu agar Tuhan menunjukkan dia jalan ke arah kebenaran biarpun akur tentang segala kekurangan dirinya yang ada sebagai manusia biasa. Apa yang diharapkan agar segala taubatnya diterima sebelum beliau meninggal dunia. 

Air mata menjadi saksi
keikhlasan menjadi bukti
akhirnya
aku sujud menghadap Ilahi
di keheningan yang sepi
lafaz taubat mengiringi
nafas sebak kian mengikuti.

Penyajak menangis dengan sesungguh hati dan dia menyerah diri kepada Tuhan. Dalam suasana hening, penyajak teresak-esak menyatakan keinsafan diri. Dengan bersaksikan air mata dan keikhlasan sebagai bukti, penyajak bersujud untuk melafazkan taubat dengan nafas yang sebak dalam suasana yang bening.

Hati ini luluh
jiwa yang kaku tersentuh
ayat-ayat cinta disusun kukuh
di sejadah rindu yang lusuh
kemaafan yang kupohon sungguh
dari pencipta dalam gemuruh.

Penyajak  berasa sangat sedih dan jiwanya terkesan oleh perasaan insaf yang makin galak menguasai dirinya. Dia memuji-muji keagungan Tuhan di tikar sembahyang yang sudah lama ditinggalkan. Dalam keadaan gementar, dia memohon keampunan daripada tuhan agar dosa-dosanya diampunkan 

Ungkapan doa pada Yang Esa
izinkan aku menjadi manusia
yang taat sentiasa
pada perintah Maha Kuasa
agar aku tidak lupa
dunia ini hanya bersifat sementara.

Penyajak memohon kepada Tuhan yang satu agar mengabulkan permintaannya untuk menjadi hamba yang patuh sepanjang hayat, serta supaya dia tidak alpa tentang sifat kehidupan yang fana / tidak kekal.


PersoalanSejadah Rindu

Keinsafan atas segala dosa-dosa lalu yang menghantui hidup.
Contoh: Merekah keinsafan di hati yang beku, Mengenang dosaku yang terdahulu.

Pengharapan terhadap pengampunan daripada Pencipta sebelum meninggal dunia.
Contoh: moga terbuka ruang keampunan, sebelum saat aku di nisankan.

Keikhlasan dalam memohon keampunan daripada Yang Esa.

Taubat yang dilakukan dengan ikhlas hati sehingga menitiskan air mata.

Persoalan kesungguhan dalam memohon keampunan daripada Pencipta.

Dunia ini cuma bersifat sementara.


Bentuk SajakSejadah Rindu

Terdiri daripada lima rangkap.

Bilangan baris dalam setiap rangkap tidak sama, iaitu:
rangkap pertama: enam baris,
rangkap kedua: enam baris,
rangkap ketiga: tujuh baris,
rangkap keempat: enam baris,
rangkap kelima: enam baris.

Jumlah patah kata dalam setiap baris antara satu hingga enam patah kata.

Bilangan suku katanya antara tiga hingga empat belas suku kata.

Rima akhirnya ialah:
rangkap pertama: aaaaaa,
rangkap kedua: aaaaaa,
rangkap ketiga: aabaaaa,
rangkap keempat: aaaaaa,
rangkap kelima: aaaaaa.


Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

Bahasa Arab.
Contoh: kalimah; Ilahi; taubat.

Inversi.
Contoh: Terkedu aku (sepatutnya: Aku terkedu).

Metafora.
Contoh: sejadah rindu.

Personifikasi.
Contoh: Air mata menjadi saksi.

Asonansi.
Contoh: keikhlasan menjadi bukti (perulangan bunyi vokal i).

Aliterasi.
Contoh: kupohon kembali nafas kehidupan (perulangan bunyi konsonan k).

Sajak “Sejadah Rindu” bernada melankolik.


NilaiSajakSejadah Rindu

Keinsafan
Penyajak insaf akan kesalahan yang pernah dilakukannya.

Kegigihan
Penyajak bersungguh-sungguh dan gigih untuk mendapatkan keampunan sebelum meninggal dunia.

Keikhlasan
Penyajak bertaubat dengan penuh keikhlasan sehingga menitiskan air mata.

Ketaatan
Penyajak taat kepada pencipta dan hanya berharap kepada pengampunan daripada Pencipta.

Kesedaran
Penyajak mempunyai kesedaran bahawa dunia ini bersifat sementara sahaja.

Ketaatan kepada Tuhan
Penyajak taat akan perintah Tuhan dengan melaksanakan ibadah.

Rasional
Penyajak menyedari kesilapan yang dilakukannya dan bertaubat.

Kesyukuran
Penyajak bersyukur kerana diberi peluang untuk bertaubat sebelum menemui ajal.


PengajaranSajakSejadah Rindu

Kita hendaklah insaf akan kesilapan diri dan kembali ke jalan hidup yang sebenar.

Kita haruslah berusaha dengan gigih dan tidak berputus asa.

Kita sepatutnya sedar bahawa dunia ini hanya bersifat sementara.

Kita mestilah percaya bahawa adanya kita di bumi ini kepada kuasa Tuhan yang Maha Esa.

Kita mestilah berfikiran matang dan rasional dalam tindakan terutamanya sewaktu usia semakin tua.

Kita mestilah bersyukur kepada Tuhan atas segala nikmat dan peluang hidup yang dikurniakan kepada kita.

Kita mestilah taat akan didikan agama dan mengamalkan ajaran agama dengan penuh ketakwaan.

Kita mestilah mengakui kesalahan diri dan sedar bahawa keampunan daripada Tuhan dapat memberikan ketenangan hidup.

Kita mestilah ikhlas meminta keampunan daripada Tuhan Yang Maha Esa agar hidup menjadi lebih tenang.

Kita haruslah jujur dalam perbuatan dan tingkah laku agar tidak menyesal kemudian hari.


Soalan SajakSejadah Rindu

Apakah yang dimaksudkan dengan rangkai kata “sebelum saat aku dinisankan” ?

sebelum penyajak menemui ajal / meninggal dunia

Mengapakah pegangan agama amat penting kepada seseorang individu?

–  supaya mempunyai pedoman/pegangan hidup
–  supaya mempunyai harapan
–  menjadi tempat untuk mengadu/meluahkan perasaan (berdoa)

Huraikan dua iktibar yang terdapat dalam sajak ini.

–  Kita haruslah sentiasa percaya kepada Tuhan tidak kira apa-apa jua yang berlaku.
–  Kita haruslah menepati janji yang dilafazkan supaya dapat dipercayai oleh orang lain.

Tags:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *