Skip to content

Novel Songket Berbenang Emas – Nota Komsas BM SPM

Novel Songket Berbenang Emas

Novel Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip merupakan komsas SPM tingkatan 5. Berikutnya nota tema, persoalan, sinopsis, plot, watak perwatakan, latar, nilai dan pengajaran novel ini.

Tema Novel Songket Berbenang Emas

Tema Novel Songket Berbenang Emas adalah tentang Ketabahan seorang gadis menghadapi cabaran dan dugaan hidup.

Dahlia seorang remaja berusia 19 tahun tabah menghadapi dugaan hidupnya apabila menghadapi masalah kesihatan ibu. Emaknya, Saleha menghadapi tekanan perasaan dan dimasukkan ke hospital untuk rawatan pemulihan. Masalah kesihatan ibunya ini menyebabkan Dahlia terpaksa mengambil alih semua tugas menguruskan adik-adik dan keperluan rumah.


Persoalan Novel Songket Berbenang Emas

Persoalan tentang kejayaan hasil daripada kegigihan dalam pelajaran. 
Contoh Peristiwa: Dahlia tetap mengutamakan pelajarannya dengan meminjam nota dan bertanyakan kepada Kavita dan Siti Wangi walaupun terpaksa membantu ayahnya menguruskan rumah tangga setelah ibunya di hantar ke hospital untuk menerima rawatan.

Kemiskinan dalam masyarakat kampung.
Contoh Peristiwa: Dalam dunia moden hari ini, masih ada masyarakat kampung yang masih miskin dan memerlukan bantuan untuk menjalani kehidupan.  Contohnya keluarga Embong yang masih miskin dan terpaksa berhutang dengan Tauke Lim untuk membeli barang-barang keperluan harian.

Persoalan berani bertindak dalam menghadapi situasi yang bahaya.
Contoh Peristiwa: Embong berjaya mengalahkan ular sawa yang cuba membelitnya sewaktu memotong kelapa sawit di ladang.

Keinsafan selepas menyedari kesilapan diri
Contoh Peristiwa: Nek Kiah akhirnya insaf setelah Dahlia yang selama ini dibencinya telah menjaga dan merawatnya ketika terlantar sakit.

Bantu-membantu dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh orang lain. 
Contoh Peristiwa: Kavita membantu Dahlia mengulang kaji pelajaran dengan memberikan nota pelajaran sepanjang ketidakhadirannya ke sekolah. Najib cuba menghulurkan bantuan kewangan semasa Nek Kiah beria-ia ingin menjual tanahnya yang menjadi tempat tinggal Dahlia dan keluarganya.

Sikap keprihatinan terhadap orang lain
Contoh Peristiwa: Haji Sulaiman juga amat prihatin kepada keluarga Embong. Beliau juga membantu membawa Saleha untuk dirawat di hospital. Beliau juga selalu meminjamkan wang kepada Embong.

Kepentingan ilmu bagi mengubah taraf hidup.
Contoh Peristiwa: Embong amat mementingkan pelajaran dan sering menasihatkan anak-anaknya agar belajar bersungguh-sungguh.  Embong mengharapkan anak-anaknya dapat mengubah taraf hidup keluarga setelah berjaya dalam pelajaran mereka nanti.

Persoalan pengamalan ilmu hitam dalam kalangan masyarakat.
Contoh Peristiwa: Penemuan dua biji telur ayam berwarna hitam yang berisi jarum, cincin akek, butiran pasir dan dua batang paku oleh Abu Bakar di bawah rumah mereka menunjukkan bahawa masyarakat masih mengamalkan ilmu hitam untuk menganiaya orang lain.

Persoalan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas.
Contoh Peristiwa: Haji Sulaiman telah menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua kampung dengan baik.  Haji Sulaiman banyak membantu keluarga Embong walaupun orang kampung menyisihkan mereka.  Haji Sulaiman mencadangkan agar Saleha dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan. 

Semangat kejiranan walaupun berlainan bangsa.
Contoh Peristiwa: Tauke Limbanyak membantu keluarga Embongyang menghadapi masalah kewangan. Beliau memberi hutang apabila keluarga Dahlia membeli barang di kedainya.

Persoalan pengekalan identiti bangsa dan jati diri.
Contoh Peristiwa: Azhari menghadiahkan sepasang kain songket berbenang emas kepada Dahlia sebagai tanda kenang-kenangan dan berpesan kepada Dahlia agar sentiasa mengingati asal-usulnya sebagai orang Melayu

Persoalan jodoh pertemuan di tangan Allah.
Contoh Peristiwa: Dahlia menyerahkan jodohnya dengan Azhari kepada Allah. Dia mahu meneruskan pelajarannya demi membaiki taraf hidup keluarganya.

Persoalan kasih sayang antara keluarga.
Contoh Peristiwa: Embong amat menyayangi Saleha walaupun dia menghidapi tekanan mental. Beliau sanggup bekerja dari pagi hingga ke malam untuk menyara keluarganya.

Kepentingan ilmu dalam kehidupan.
Contoh Peristiwa: Embong sedar akan kepentingan ilmu kepada anak-anaknya. Oleh sebab itu, beliau marah apabila mendapat tahu Dahlia mahu berhenti sekolah kerana mahu menjaga adik-adiknya. Beliau mahu Dahlia meneruskan persekolahannya, walaupun Embong sendiri tidak tahu cara untuk menyelesaikan masalahnya setelah isterinya dirawat di hospital.

Persoalan sikap mementingkan diri sendiri
Contoh Peristiwa: Nek Kiah seorang yang mementingkan diri sendiri kerana tidak mahu membantu anak dan cucunya sendiri yang hidup dalam kemiskinan.

Keberanian menyelamatkan nyawa orang lain
Contoh Peristiwa: Dahlia seorang yang berani kerana sanggup terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan Said walaupun sungai itu arusnya deras.


Sinopsis Songket Berbenang Emas

Novel Songket Berbenang Emas mengisahkan kehidupan Dahlia, seorang murid yang cerdik dan disenangi oleh teman-temannya. Namun, Dahlia menghadapi masalah keluarga sehingga mengganggu tumpuannya terhadap peperiksaan STPM yang bakal didudukinya.

Sebagai anak sulung, Dahlia terpaksa memberikan perhatian kepada adik-adiknya setelah pelbagai masalah melanda keluarganya. Ibunya, Saleha dirawat di Hospital Permai kerana mengalami masalah tekanan mental. Ayahnya dipatuk ular sehingga dimasukkan ke wad selama beberapa hari. Adik lelakinya pula terpengaruh dengan kawan-kawan sehingga tidak berminat untuk belajar. Situasi ini telah menyebabkan Dahlia terpaksa keluar dari asrama untuk menjaga adik-adiknya. Tekanan hidup Dahlia semakin bertambah apabila hubungannya dengan Azhari dipandang serong oleh jirannya.

Tindakan berani Dahlia terjun ke sungai untuk menyelamatkan Said tidak dihargai, malah dicemuh pula kerana gagal menyelamatkannya. Walau bagaimanapun, Dahlia tetap tabah menghadapi dugaan. Hadiah atas kesabarannya menghadapi pelbagai dugaan hidup ialah kejayaan Dahlia yang dapat melanjutkan pelajaran ke Jepun dan pertunangannya dengan Azhari.  


Binaan Plot Novel Songket Berbenang Emas

Plot novelSongket Berbenang Emas mengikut kronologi urutan masa. 

Dahlia pelajar tingkatan enam atas sedang menjalani latihan bola jaring di padang bola jaring.Mereka berlatih kerana ada perlawanan dengan pelajar-pelajar enam rendah.Semasa berhenti rehat, Dahlia teringat akan emaknya yang hilang ingatan.Azhari datang menemuinya di kantin sekolah dan memberitahu dia sudah tamat pengajiannya di universiti . Dia menyuarakan hasrat mahu merisik Dahlia. Pada petang itu, Azhari menghantar Dahlia pulang ke rumahnya di Kampung Parit Haji Rais.

Dahlia amat sedih apabila melihat keadaan emaknya, Saleha yang berada di kebun getah pada waktu senja. Emaknya sudah tidak mengenalinya lagi. Dahlia dan abahnya memujuk emaknya balik ke rumah dengan bantuan orang kampung.Nek Kiah menyalahkan Embong yang menyebabkan Saleha menjadi kurang siuman. Dengan bantuan Haji Sulaiman, Saleha dibawa ke Hospital Batu Pahat dan seterusnya dihantar ke Hospital Permai di Johor Bahru kerana keadaannya semakin serius.Dahlia terpaksa keluar dari asrama dan kerap ponteng sekolah kerana menguruskan adik-adiknya.Abah Dahlia pula dimasukkan ke wad kerana dipatuk ular.

Seman telah datang ke rumah Nek Kiah dan memujuknya untuk menjual tanah yang menjadi kawasan tempat tinggal Dahlia sekeluarga. Nek Kiah mahu Dahlia dan keluarganya berpindah sekiranya tidak mampu membayar sebanyak RM15,000. Dahlia tertekan kerana keluarganya tidak mampu untuk menyediakan wang sebanyak itu. 

Nek Kiah memandang serong terhadap Dahlia atas kehadiran Azhari dan Najib ke rumah Dahlia. Begitu juga dengan Aton yang sering menyindir Dahlia. Aton juga menyalahkan Dahlia yang menyebabkan anaknya, Said mati lemas sedangkan Dahlia telah berusaha untuk menyelamatkan Said. 

Najib cuba untuk memikat hati Dahlia. Begitu juga dengan Azhari yang telah datang merisik Dahlia kerana bimbang Dahlia dipikat oleh orang lain. 

Penduduk kampung sudah jarang mengamalkan sikap bantu-membantu dan prihatin terhadap orang lain. Selaku ketua kampung Haji Sulaiman menasihati orang-orang kampungnya agar bersatu dan prihatin kepada jiran tetangga.  

Abu Bakar menjumpai kain merah yang sudah reput yang membungkus telur ayam yang mengandungi jarum peniti, cincin akik, butiran pasir dan paku. Dahlia menyuruh Abu bakar membuangnya ke sungai. Selepas itu, Saleha sudah sembuh dan dibenarkan pulang ke rumahnya. Nek Kiah pula sakit dan dirawat di hospital selama dua hari. Keluarga Dahlialah yang menjaganya. Setelah keluar dari wad, Nek Kiah tinggal dengan keluarga Dahlia sehingga benar-benar pulih. Nek Kiah mula berubah dan berbaik semula dengan keluarga Dahlia. 

Banjir yang berlaku di Kampung Parit Haji Rais telah membawa hikmah apabila penduduk kampung bersatu dan bergotong-royong membina rumah Embong yang roboh dilanda banjir setelah dinasihati oleh Haji Sulaiman. 

Dahlia tinggal di asrama semula kerana peperiksaan STPM semakin hampir.Keluarga Azhari menetapkan tarikh pertunangan Dahlia selepas peperiksaan STPM tamat..Kedatangan Cikgu Daim membawa berita gembira apabila Dahlia terpilih untuk mengikuti pengajian di Jepun selama empat tahun. Sebelum ke Jepun ,Dahlia perlu mengikuti kursus bahasa Jepun di Universiti Malaya selama enam bulan. Majlis pertunangan Dahlia terlewat kerana jurucakap majlis lewat sampai. Azhari datang berjumpa Dahlia di stesen bas sebelum Dahlia bertolak ke Kuala Lumpur. Dia telah menghadiahkan songket berbenang emas berwarna merah kepada Dahlia. Azhari mahu Dahlia menjaga jati dirinya sebagai orang Melayu walaupun berada di mana-mana jua.


Peristiwa Songket Berbenang Emas yang menarik

Peristiwa menyelamatkan nyawa orang lain
Dahlia sanggup terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan Said yang lemas.

Peristiwa ini berjaya menarik perhatian saya kerana sifat berani yang ada pada Dahlia yang sanggup menghadapi sebarang risiko dalam menyelamatkan nyawa orang lain ini jarang dimiliki oleh orang lain. Walaupun Dahlia seorang gadis, namun dia berani terjun ke dalam sungai yang berarus deras itu demi menyelamatkan nyawa orang lain.

Peristiwa keluar dari asrama demi kepentingan keluarga
Dahlia sanggup berkorban dengan keluar dari asrama kerana ingin menguruskan adik-adiknya yang masih kecil setelah ibunya dimasukkan ke hospital akibat kemurungan. Walaupun peperiksaan STPM hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi, Dahlia selaku anak sulung tidak mementingkan dirinya sendiri dan sanggup berkorban demi keluarganya yang dilanda musibah.

Peristiwa ini berjaya menarik perhatian saya kerana Dahlia sanggup berkorban dan lebih mengutamakan kepentingan keluarga daripada kepentingan dirinya sendiri yang akan menduduki peperiksaan STPM tidak lama lagi.

Peristiwa mengenai perkara mistik
Pada mulanya, ibu Dahlia tiba-tiba sahaja gila dan dimasukkan ke dalam hospital. Keadaan menjadi semakin pelik apabila binatang berbisa, iaitu ular mula mengganggu keluarga Dahlia. Semuanya terungkai apabila Abu Bakar, adik Dahlia telah menjumpai kain kuning yang usang ditanam di bawah rumah mereka.

Peristiwa ini berjaya menarik perhatian saya kerana pelbagai perkara pelik dan malang yang berlaku dalam keluarga Dahlia secara bertimpa-timpa seolah-olah seperti dirancang.

Peristiwa sikap membantu dalam diri
Dahlia yang membantu anak Aton, Said yang kelemasan di dalam sungai. Pada mulanya, Dahlia ternampak Said bermandi- manda di dalam sungai di hadapan rumahnya. Namun, tiba-tiba sahaja Said lemas. Dahlia mengambil keputusan untuk terjun ke dalam sungai dan menyelamatkan Said. Malangnya, derasan air sungai bermaharajalela ketika itu. Said mati lemas dan niat baik Dahlia itu disalah ertikan.

Peristiwa ini berjaya menarik perhatian saya kerana walaupun tidak pandai berenang, Dahlia tetap memberanikan diri terjun ke sungai untuk menyelamatkan Said. Dia bagaimanapun gagal menyelamatkan Said yang telah lemas.

Peristiwa menghargai pemberian orang lain
– Dahlia amat menghargai kain songket berbenang emas berwarna merah yang dihadiahkan oleh Azhari. Simbolik daripada hadiah Azhari,Dahlia berjanji akan menjaga jati dirinya walaupun di mana- mana jua dia berada.
– Dahlia juga menghargai gelang pusaka yang dihadiahkan oleh Nek Kiah. Pemberian itu merupakan satu anugerah kerana Nek Kiah telah menganggap Dahlia dan adik-adiknya sebagai cucu. Selama ini, Nek Kiah tidak pernah mengambil peduli tentang keluarga Dahlia.

Peristiwa ini berjaya menarik perhatian saya kerana kita mestilah menghargai apa- apa sahaja pemberian orang lain kepada kita supaya dapat memupuk hubungan yang baik sesama kita.

Peristiwa sanggup membantu orang lain tanpa mengira bangsa dan agama

Tauke Lim menyumbangkan barang- barang keperluan untuk Majlis Mauludir Rasul yang diadakan di Kampung Parit Haji Rais, walaupun dia berbangsa Cina.

Tauke Lim juga sanggup memberi keluarga Dahlia membeli barang secara hutang kerana amat memahami penderitaan yang dialami oleh sahabatnya, Embong.

Tauke Lim menyumbangkan sebanyak RM300 kepada Dahlia yang apabila dia berjaya melanjutkan pelajaran ke Jepun.

Tauke Lim juga sanggup membayar harga tanah sebanyak RM15000 kepada Nek Kiah kerana dia tidak mahu keluarga Embong berpindah dari situ apabila tanah itu dijualkan kepada orang lain kerana dia amat memahami penderitaan hidup keluarga Dahlia.

Peristiwa ini berjaya menarik perhatian saya kerana walaupun berlainan bangsa dan agama kita mestilah bersedia membantu dan menyumbangkan apa-apa yang mampu kepada sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan tanpa mengira status, kaum dan agama.


Latar Songket Berbenang Emas

Latar Masa Novel Songket Berbenang Emas

Petang
Azhari menghantar Dahlia balik ke kampungnya dari asrama.

Maghrib
Sehingga maghrib Saleha belum pulang ke rumah ….kentung azan pun sudah bergema (m/s 17)

Pagi
Dahlia menunggu bas untuk ke sekolah

Malam
Haji Sulaiman datang bersama dengan tiga orang pekerja hospital

Empat bulan sebelum peperiksaan STPM
Cikgu Salwani tidak membenarkan Dahlia keluar dari asrama kerana periksaan STPM hanya tinggal empat bulan sahaja.

Tidak sampai seminggu
Embong dirawat di Hospital Batu Pahat. (m/s 177)

Pada waktu petang selepas solat Jumaat
Abu Bakar menemui Dahlia dan bertanyakan sama ada abah mereka masih marah akan tindakannya menjual kambing abahnya.


Latar TempatNovel Songket Berbenang Emas

Padang bola jaring
Dahlia berlatih bola jaring bersama dengan rakannya, Siti Wangi. (m/s 1)

SMK Tun Ismail
Tempat Azhari dan Dahlia pernah belajar sewaktu Dahlia Tingkatan satu dan Azhari Tingkatan Lima (m/s 7)

Sekolah Menengah Temenggung Ibrahim
Dahlia menimba ilmu sebagai pelajar tingkatan enam atas di sekolah ini. Dia tinggal di asrama sekolah kerana rumahnya jauh dan ingin memudahkan dia belajar.

Kampung Parit Haji Rais
Tempat tinggal Dahlia. Di sini, Dahlia menjaga adik-adiknya setelah emaknya dirawat di hospital.

Hospital Batu Pahat
Tempat Saleha dibawa untuk mendapatkan rawatan pada peringkat awal. Abah Dahlia dirawat di hospital ini setelah dipatuk ular.

Hospital Permai, Johor Bahru
Tempat emak Dahlia dirawat.

Sungai dekat dari rumah Dahlia
Dahlia cuba menyelamatkan Said yang lemas di sungai ini.

Kebun kelapa sawit di Parit Haji Kadir
Embong memotong kelapa sawit setelah pulang dari rumah Aton. Di kebun kelapa sawit inilah ular sawa telah membelit Embong.

Sekolah Kebangsaan Jelotong
Said dan Melati bersekolah di sini

Rumah Aton
Dahlia disindir oleh Aton kerana dikatakan Dahlialah yang menyebabkan Said mati lemas.

Balai raya Kampung Parit Haji Rais
Tempat pemindahan mangsa banjir yang berlaku di kampong Dahlia.


Latar MasyarakatNovel Songket Berbenang Emas

Masyarakat kampung
Contoh Peristiwa: Masyarakat kampung yang bekerjasama antara satu sama lain setelah dinasihati oleh Haji Sulaiman semasa gotong-royong untuk sambutan Majlis Maulidur Rasul.  

Masyarakat pelajar
Contoh Peristiwa: Dahlia, Siti Wangi, Najib dan Kavita merupakan pelajar Sekolah Menengah Temenggung Ibrahim.

Masyarakat yang saling membantu 
Contoh Peristiwa: Haji Sulaiman selaku ketua kampung membantu keluarga Dahlia. Tauke Lim juga membantu memberi hutang kepada keluarga Dahlia.

Masyarakat yang bertanggungjawab
Contoh Peristiwa: Haji Sulaiman bertanggungjawab membantu anak buahnya, Embong yang    menghadapi masalah.  

Masyarakat remaja yang terpengaruh dengan rakan sebaya
Contoh Peristiwa: Abu Bakar, adik Dahlia suka berseronok dengan rakan-rakannya dan tidak mahu membantu keluarga mereka yang menghadapi masalah. Dia hanya pulang ke rumah untuk menukar baju sahaja.  

Masyarakat yang insaf akan kesilapannya
Contoh Peristiwa: Nek Kiah akhirnya insaf akan sikapnya terhadap keluarga Dahlia apabila Dahlia dan emaknya  yang banyak membantu beliau ketika sakit sedangkan anak-anak yang selama ini amat disayangi langsung tidak menziarahinya.  

Masyarakat yang tabah menghadapi dugaan hidup
Contoh Peristiwa: Embong tabah menghadapi keadaan hidup mereka sekeluarga yang hidup dalam kemiskinan. Embong tabah apabila beliau tidak disukai oleh ibu mentuanya. Embong juga tabah apabila isterinya mengalami masalah mental. 

Masyarakat yang penyayang
Contoh Peristiwa: Dahlia amat menyayangi adik-adiknya dan sanggup ponteng sekolah apabila Anggerik sakit.

Masyarakat remaja yang terlibat dalam percintaan
Contoh Peristiwa: Azhari mencintai Dahlia. Walaupun dia mengetahui Dahlia mempunyai emaknya yang menghidap tekanan mental dan hidup dalam kemiskinan namun akhirnya dia tetap melamar Dahlia.

Masyarakat yang berani menyelamatkan kawan
Contoh Peristiwa: Dahlia terjun ke dalam sungai yang berarus deras dalam usahanya untuk menyelamatkan Said yang baru sahaja tenggelam ke dasar sungai walaupun dia tidak tahu berenang.


Watak Perwatakan Songket Berbenang Emas

  • Anak sulung dan harapan keluarga yang mempunyai lima orang adik.
  • Seorang yang bakal menduduki STPM- Pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Temenggung Ibrahim.
  • Tertekan dengan masalah yang menimpa keluarganya.
  • Hidup dalam suasana kemiskinan dan berhutang dengan Tauke Lim. 

Seorang yang bijak
Cikgu Hisyam yakin Dahlia akan cemerlang dalam STPM. Dahlia merupakan pelajar harapan sekolah. Dahlia mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Jepun. 

Seorang yang tidak sombong
melayan Aton yang menyindirnya ketika dihantar pulang oleh Azhari. 

Seorang yang taat akan perintah Allah
berdoa selepas sembahyang Isyak.

Seorang yang penyayang
sanggup keluar dari asrama untuk menjaga adik-adiknya. 

Seorang yang menghormati tetamu
memberi layanan yang baik kepada tetamu menghidangkan air walaupun neneknya tidak suka akan keluarganya.

Seorang yang berani
Dahlia terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan Said. 

Seorang yang berjiwa kuat dan mampu menghadapi setiap dugaan.

Seorang yang bertanggungjawab
Dahlia bertanggungjawab menjaga makan minum abah dan adik-adiknya setelah emaknya dirawat di hospital.     

  • Ibu Dahlia.
  • Berumur 39 tahun.
  • Mempunyai enam orang anak (Dahlia, Melati, Kiambang, Mawar, Anggerik dan Abu Bakar) 
  • Menghidap penyakit kemurungan akibat terkena buatan orang.
  • Bekerja sebagai penoreh getah.

Seorang yang penyayang
Semasa sihat, beliau yang menjaga semua keperluan anak-anaknya. 

  • Bapa Dahlia 
  • Berasal dari Melaka.

Seorang yang penyayang
sangat menyayangi isteri dan anak-anaknya.

Seorang ketua keluarga yang bertanggungjawab
Beliau tidak mahu anak-anaknya berhenti sekolah dan mengatakan beliau akan bertanggungjawab menyara kehidupan mereka walaupun isterinya sakit. 

Seorang yang percaya akan kehendak takdir
Isterinya menjadi kurang siuman. 

Seorang yang penyabar
Sanggup dihina oleh ibu mentuanya sendiri kerana hidup miskin. 

Seorang yang mementingkan ilmu untuk anak-anaknya
menyuruh Dahlia pergi ke sekolah dan akan menguruskan hal adik-adik Dahlia. 

Seorang yang berani
Embong berani membunuh ular sawa yang membelit badannya.  

  • Berkumis nipis, bermuka bulat, tinggi  dan kacak.
  • Pelajar senior di sekolah Dahlia iaitu Sekolah Menengah Tun Ismail.
  • Berpendidikan tinggi – baru mendapat segulung ijazah. 
  • Suka akan Dahlia 

Seorang yang suka memberi nasihat
menyuruh Dahlia belajar bersungguh-sungguh.

Seorang yang pandai memujuk
Dia pandai memujuk Dahlia agar menerima lamarannya.  

Berbangsa Cina

Seorang yang suka membantu keluarga Dahlia
sanggup membantu keluarga Dahlia dengan memberi hutang. Beliau juga sanggup memberi wang kepada Embong untuk dibayar kepada Nek Kiah yang berhasrat menjual tanah tempat mereka tinggal. 

Seorang yang prihatin akan masalah orang lain
Sangat prihatin atas nasib keluarga Embong

Seorang yang pemurah
menyumbangkan barang-barang untuk sambutan Maulidur Rasul. Beliau juga memberi wang sebanyak RM300 kepada Dahlia yang akan melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya sebelum ke Jepun. 

Seorang yang pandai bergaul
Walaupun Tauke Lim berbangsa Cina tetapi beliau amat disenangi oleh orang-orang kampung kerana pandai bergaul. 

Ibu Saleha

Suka membandingkan antara anaknya
Nek Kiah suka membandingkan anak-anaknya dengan keluarga Dahlia yang hidup dalam kemiskinan. Nek Kiah lebih menyayangi cucu-cucunya yang lain. 

Tidak suka akan keluarga Dahlia kerana hidup dalam kemiskinan
Nek Kiah tidak suka akan keluarga Dahlia. Apabila keluarga Dahlia dalam kesusahan, dia langsung tidak membantu malah menyalahkan Saleha yang berkahwin dengan Embong yang tidak diketahui asal usulnya. 

Seorang yang suka mempercayai perkara tahyul
Nek Kiah mengatakan rumah Dahlia ada hantu. Dia menggores kapur di setiap pintu kerana dipercayai boleh menghalau hantu. 

Seorang yang mementingkan diri
Nek Kiah tidak mengambil tahu akan keperitan hidup cucunya setelah Saleha dimasukkan ke hospital.  


Gaya Bahasa Novel Songket Berbenang Emas

Repetisi
Contoh:  itulah madu, itulah racun. Menerima salah, menolak juga salah.

Metafora
Contoh:  gunung harapan, kotak fikirannya.

Simile
Contoh :  macam neraka, bagai hendak tersiat-siat hatinya, seperti mahu menelan.

Peribahasa
Contohnya : sudah terang lagi bersuluh, biar alah membeli, menang memakai.

Personifikasi
Contoh: Motosikalnya mengaum membelah kesunyian pagi, bahang kepanasan bertakung di pelupuk mata, rumahnya roboh ditelan air.

Hiperbola
Contoh: kepiluan kian menggunung.

Bahasa asing
Contoh: Bahasa Inggeris – the best men win!
Bahasa Jepun – Koi-bito
Bahasa Indonesia – ongkos


Nilai Novel Songket Berbenang Emas

Kasih sayang terhadap ibu bapa
Dahlia amat menyayangi ibunya walaupun ibunya menghidap penyakit kemurungan. 

Kasih sayang terhadap adik-adik
Dahlia sanggup keluar dari asrama semata-mata mahu menjaga adik-adiknya selepas ibunya dimasukkan ke hospital.

Nilai Kerjasama
Dahlia pelajar tingkatan enam atas bersepakat dengan rakan yang lain untuk berlatih sebagai persediaan untuk bertanding dengan pelajar enam rendah. Pertandingan ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara pelajar tingkatan enam yang tinggal di asrama

Nilai keberanian
Embong berani membunuh ular sawa yang cuba membelitnya.   

Kesetiaan kawan
Kavita seorang yang setia kawan apabila dia sanggup membuat salinan nota untuk diberikan kepada Dahlia yang kerap tidak hadir ke sekolah kerana masalah keluarganya.  

Nilai pengorbanan
Dahlia sanggup berkorban demi menjaga adik-adiknya sewaktu emaknya dirawat di hospital. Dia sanggup ponteng sekolah kerana ingin menguruskan adik-adiknya dan menjaga adiknya, Anggerik yang sakit. Dahlia juga sanggup keluar dari asrama sedangkan hanya tinggal beberapa bulan lagi sebelum menduduki STPM. 

Nilai keikhlasan
Tauke Lim ikhlas membantu keluarga Dahlia tanpa mengharapkan sebarang balasan. Beliau juga ikhlas memberi hutang kepada keluarga Dahlia.

Kerjasama
Penduduk kampung juga bekerjasama mengumpulkan wang untuk diserahkan kepada Dahlia yang akan melanjutkan pelajaran. 

Nilai keinsafan
Abu Bakar menyesal kerana terpengaruh oleh kawan-kawannya sehingga sanggup mencuri kambing milik bapanya.

Kegigihan
Dahlia gigih belajar di balai raya sewaktu rumahnya di landa banjir untuk mencapai kejayaan dalam STPM.

Nilai Ketabahan
Dahlia tabah mengharungi dugaan dalam hidupnya. Dia tabah apabila emaknya sakit dan abahnya dipatuk ular. Dahlia juga tabah apabila mendapat tahu neneknya mahu menjual tanah tempat tinggal mereka.  


Pengajaran novel Songket Berbenang Emas

Kita mestilah gigih berusaha supaya kita dapat mengecapi apa – apa yang kita impikan
Dahlia gigih berusaha untuk mengulang kaji pelajaran dengan membahagikan masa untuk belajar dan menjaga adik-adiknya.

Kita mestilah menyayangi ahli keluarga kita agar ikatan keluarga kita sentiasa berkekalan

Kita mestilah berani menghadapi risiko supaya kita dapat menyelamatkan orang lain.
Dahlia berani mengambil risiko untuk menyelamatkan Said yang lemas di dalam sungai yang berarus deras walaupun tidak berjaya.

Kita mestilah bertanggungjawab dalam menjaga keluarga agar hubungan antara keluarga sentiasa terjaga
Dahlia menjalankan tanggungjawabnya sebagai anak sulung dalam keluarga.

Kita mestilah bijak dalam menguruskan masa agar kita dapat memanfaatkan masa dengan baik.
Dahlia bijak menguruskan masa untuk mengulang kaji pelajaran dan menjaga adik- adiknya sewaktu ibu dan ayahnya dimasukkan ke hospital.

Kita mestilah berani berrtindak dalam kecemasan agar dapat menyelamatkan diri.
Embong berani membunuh ular sawa yang membelit badannya sewaktu dia bekerja di kebun kelapa sawit menggunakan buluh.

Kita mestillah prihatin terhadap nasib orang sekeliling agar perasaan kasih sayang dapat dipupuk.
Haji Sulaiman prihatin terhadap nasib yang menimpa keluarga Dahlia dan menyedarkan penduduk kampung unuk membantu keluarga Dahlia dengan pembinaan semula rumahnya yang telah roboh akibat banjir.

Kita mestilah insaf akan perbuatan lalu agar kita boleh memperbaiki diri kita ke arah lebih baik.
Abu Bakar juga insaf akan kesalahannya yang telah mencuri kambing milik bapanya sendiri.


Contoh Soalan Novel Songket Berbenang Emas

Soalan Tema

Novel yang saya pelajari ialah novel Songket Berbenang Emas hasil karya Khairuddin Ayip. Tema Novel Songket Berbenang Emas ialah ketabahan dan kecekalan seorang gadis remaja menghadapi cabaran hidup.

Dahlia tabah menghadapi karenah ibunya yang tidak mengenalinya setelah menghidap tekanan perasaan.

Dahlia tabah menjaga adik-adiknya yang masih kecil kerana bapanya, Embong dirawat di hospital akibat dipatuk ular tedung dan dia terpaksa berulang-alik ke hospital melawat bapanya.

Dahlia tabah menghadapi desakan neneknya, Nek Kiah yang bercadang hendak menjual tanah yang menjadi tempat tinggal Dahlia dan keluarganya atas alasan tidak mampu membayar wang yang diminta oleh neneknya.

Soalan Peristiwa unsur suspens dan kejutan

Berdasarkan sebuah novel yang saya pelajari iaitu Songket Berbenang Emas hasil karya Khairuddin Ayip terdapat beberapa peristiwa yang mengandungi unsur suspens dan kejutan di dalam novel ini.

Peristiwa yang mengandungi unsur suspens ialah peristiwa kehilangan kambing peliharaan bapa watak utama. Buktinya, pembaca tertanya-tanya siapakah yang mencuri kambing peliharaan Embong tersebut.

Peristiwa yang mengandungi unsur kejutan ialah misteri kehilangan kambing tersebut terbongkar. Pembaca tidak menyangka bahawa anak lelaki Embong sendiri iaitu Abu Bakar telah membuat pengakuan bahawa beliau yang mencuri kambing bapanya sendiri. Abu Bakar membuat pengakuan setelah beliau insaf dan menyedari kesilapannya yang lalu.

Soalan Peristiwa yang tidak wajar dicontohi

Novel yang saya pelajari ialah novel Songket Berbenang Emas hasil karya Khairuddin Ayip. Terdapat beberapaperistiwa yang tidak wajar dicontohi dalam novel ini.

Peristiwa pertama ialah Mak Aton yang suka menghina Dahlia dan keluarganya disebabkan kemiskinan mereka tidak wajar kita contohi. Mak Aton juga suka menabur fitnah tehadap Dahlia dengan mengatakan bahawa Dahlia sudah ditebuk tupai kerana lelaki datang ke rumahnya silih berganti.

Peristiwa Nek Kiah yang sangat membenci keluarga Dahlia tidak wajar kita contohi. Nek Kiah memang tidak suka akan keluarga Dahlia kerana mereka hidup dalam kemiskinan. Nek Kiah membandingkan keluarga Dahlia dengan anakanaknya yang lain yang semuanya hidup senanglenang. Dia juga sering menghina keluarga Dahlia. Sikap begitu tidak sesuai dijadikan teladan.

Peristiwa Seman menuduh Embong mempelajari ilmu guna-guna sehingga Leha sanggup berkahwin dengannya yang tidak diketahui asal usulnya tidak wajar kita contohi. Seman juga mencadangkan agar tanah yang diduduki oleh keluarga Dahlia dijual. Sikap negatif ini tidak wajar kita contohi kerana sikap ini memberikan masalah kepada orang lain.

Soalan konflik Novel Songket Berbenang Emas

Novel yang saya pelajari ialah novel Songket Berbenang Emas hasil karya Khairuddin Ayip. Terdapat beberapakonflik yang dihadapi oleh watak utama novel ini.

Konflik pertama ialah antara Nek Kiah dengan Dahlia apabila Nek kiah berprasangka buruk terhadap Dahlia apabila melihat Azhari menghantar Dahlia pulang ke rumah. Cara penyelesaiannya Dahlia hanya mendiamkan diri sahaja semasa ditegur oleh Nek Kiah.

Selain itu, konflik berlaku antara Dahlia dengan Cikgu Salwani yang tidak membenarkan Dahlia keluar dari asrama untuk menjaga adik-adiknya setelah ibunya dimasukkan ke hospital. Cara penyelesaiannya Dahlia bertekad keluar dari asrama dan berulangalik dari rumah ke sekolah.

Soalan keistimewaan watak utama

Novel yang saya kaji ialah Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip. Watak utama dalam novel ini ialah Dahlia.

Keistimewaan watak utama sehingga menimbulkan perasaan kagum dalam diri pembaca ialah Dahlia seorang yang berhemah tinggi. Contohnya, Dahlia tidak membalas dengan katakata yang kasar atau kesat apabila Mak Aton memaki hamun dan memfitnahnya sebagai perempuan yang tidak baik.

Keistimewaan watak utama yang seterusnya ialah Dahlia seorang yang bertanggungjawab. Dahlia bersedia untuk menjaga adik bongsunya , Anggerik dan adik­adiknya yang lain sepanjang ibunya menerima rawatan di hospital kerana dia sedar akan tanggungjawabnya sebagai anak sulung dalam keluarga.

Keistimewaan watak utama yang lain ialah Dahlia seorang yang gigih. Contohnya, Dahlia gigih mengulang kaji pelajaran sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan STPM walaupun berhadapan dengan berbagai­bagai cabaran seperti masalah emaknya yang sakit dan peristiwa tragis ayahnya yang dipatuk ular tedung.

Soalan nilai kemanusiaan

Novel yang saya kaji ialah Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip. Banyak nilai kemanusiaan yang diutarakan oleh pengarang dalam novel ini.

Dua nilai kemanusiaan yang boleh dijadikan panduan kepada pembaca ialah nilai belas kasihan. Contohnya, Tauke Lim bersimpati terhadap nasib Embong yang berhadapan dengan pelbagai masalah, iaitu masalah kesihatan isterinya, masalah anak lelaki tunggalnya yang menjadi kutu rayau, dan masalah ibu mentuanya yang bersikap prejudis terhadap dirinya sekeluarga.

Nilai kemanusiaan seterusnya yang boleh dijadikan panduan kepada pembaca ialah nilai keberanian. Contohnya, Dahlia bertindak berani dengan terjun ke dalam sungai yang berarus deras dan berkeladak semata­mata untuk menyelamatkan Said yang lemas.

Nilai kemanusiaan seterusnya ialah nilai bertanggungjawab. Contohnya, Dahlia bertanggungjawab menjaga adik­adiknya sepanjang ibunya mendapat rawatan di hospital dan semasa ayahnya keluar bekerja mencari nafkah. ­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­

Soalan masalah kehidupan dan cara mengatasi

Novel yang saya kaji ialah Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip. Banyak masalah kehidupan yang dikemukakan oleh pengarang dalam novel ini.

Antara masalah kehidupan yang terdapat dalam novel ini ialah masalah kemiskinan hidup sebuah keluarga. Contohnya, Embong sekeluarga hidup dalam kemiskinan. Hal ini menyebabkan Embong menghadapi masalah untuk membeli bekalan makanan bagi menampung keluarganya. Masalah ini dapat diselesaikan apabila Tauke Lim membenarkan Embong berhutang di kedainya. Tauke Lim juga menghulurkan RM300 kepada Dahlia kerana dapat melanjutkan pelajaran ke Jepun.

Seterusnya, masalah kehidupan yang terdapat dalam novel ini ialah masalah penghinaan terhadap orang lain. Contohnya, Nek Kiah sangat membenci keluarga Dahlia. Dia juga sering menghina keluarga Dahlia. Masalah ini dapat diselesaikan apabila Nek Kiah terlantar sakit sehingga menimbulkan keinsafan kepada Nek Kiah atas sikapnya selama ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *