KOMSAS BM SPM – Syair Bidasari

Syair Bidasari

Syair Bidasari ialah Puisi Tradisional karya Jamilah Hj Ahmad. Berikutnya tema, persoalan, maksud, gaya bahasa, bentuk, nilai dan pengajaran Syair Bidasari.

Tema Syair Bidasari

Tema yang terdapat dalam Syair Bidasari ialah cabaran yang dihadapi oleh seorang raja ketika mentadbir negara. Raja Negeri Kembayat yang pertama amat bijaksana dan cekap dalam mentadbir urus negara.


Persoalan Syair Bidasari

Keadilan dalam pemerintahan.

Raja Negeri Kembayat menjalankan pemerintahan secara adil dan saksama. Baginda melayani pedagang dan ulama yang datang ke negeri baginda dengan baik.

Tanggungjawab semasa menjalankan tugas.

Raja Negeri Kembayat merupakan raja yang bertanggungjawab kerana baginda mengambil peduli masalah yang menimpa negeri baginda.

Ketaatan terhadap pemimpin/pemerintah

Rakyat Negeri Kembayat yang taat sentiasa bersama-sama dengan baginda ketika susah dan senang.

Kasih sayang terhadap isteri.

Raja Negeri Kembayat amat menyayangi permaisuri baginda yang sedang beberapa bulan hamil.


Maksud Syair Bidasari

Dengarkan tuan suatu riwayat,
Raja di desa Negeri Kembayat,
Dikarang fakir dijadikan hikayat,
Supaya menjadi tamsil ibarat.

Penyair ingin menceritakan suatu kisah yang berlaku di Negeri Kembayat. Kisah ini ditulis oleh seorang fakir untuk dijadikan pedoman atau teladan.

Ada raja suatu negeri,
Sultan halifah akas bestari,
Asalnya baginda raja yang bahari,
Melimpah ngadil dagang senteri.

Negeri Kembayat diperintah oleh seorang sultan yang bijak. Baginda mempunyai rupa paras yang elok dan pekerti yang mulia. Baginda sentiasa melayani rakyat dan para ulama yang datang mendalami ilmu dalam bidang agama dengan adil.

Hairan orang empunya temasya,
Baginda itulah raja perkasa,
Sangat tiada merasai susah,
Entah pada esok dan lusa.

Rakyat begitu kagum akan baginda yang gagah perkasa. Baginda amat disenangi oleh rakyat kerana tidak pernah mendapat kesusahan semasa di bawah pemerintahan baginda. Namun, mereka tidak dapat menduga ketentuan yang akan berlaku pada masa akan datang.

Seri sultan raja bestari,
Setelah ia sudah beristeri,
Beberapa bulan beberapa hari,
Hamillah puteri permaisuri.

Raja yang bijaksana tersebut telah berkahwin dan beberapa bulan selepas itu, permaisuri baginda telah hamil.

Beberapa lamanya dalam kerajaan,
Baginda duduk bersuka-sukaan,

Datanglah beroleh kedukaan,
Baginda meninggalkan takhta kerajaan.

Setelah lama memegang tampuk pemerintahan dalam suasana yang aman dan penuh kegembiraan, akhirnya pada suatu hari, Negeri Kembayat ditimpa bencana, baginda telah mangkat.

Datanglah kepada suatu masa,
Melayanglah unggas dari angkasa,
Unggas gurda sangat perkasa,
Menjadi negeri rosak binasa.

Dikisahkan pada suatu hari yang lain, Negeri Kembayat telah diserang oleh burung garuda yang ganas dan kuat yang terbang turun dari angkasa. Serangan ini telah banyak mendatangkan kemusnahan di Negeri Kembayat.

Datanglah menyambar suaranya bahana,
Gemparlah sekalian mulia dan hina,
Seisi negeri gundah-gulana,
Membawa diri ke mana-mana.

Digambarkan kisah burung garuda menyerang Negeri Kembayat dengan suaranya yang kuat bergema hingga menggemparkan rakyat dan menyebabkan negeri itu menjadi huru-hara. Rakyat jelata lari lintang-pukang menyelamatkan diri masing-masing.

Baginda pun sedang dihadap orang,
Mendengar gempar seperti perang,
Bertitah baginda raja yang garang,
“Gempar ini apakah kurang”

Di istana, rakyat jelata datang untuk menghadap raja yang sedang bermesyuarat. Apabila mendengarkan keadaan di luar istana sangat bising dan gegak-gempita, baginda yang cemas dan prihatin itu berasa hairan apabila melihatkan situasi tersebut. Baginda menanyakanrakyatnyasebab tragedi yang menimpa negeri tersebut.


Gaya Bahasa Syair Bidasari

  1. Bahasa istana
    Contoh : baginda, permaisuri, takhta
  2. Bahasa klasik/arkaik
    Contoh : akas; ngadil; halifah; gurda.
  3. Inversi
    Contoh : Melayanglah unggas dari angkasa (sepatutnya diungkapkan sebagai Unggas melayanglah dari angkasa)
  4. Simile
    Contoh : Mendengar gempar seperti perang (rangkap 8, baris 2).
  5. Kata ganda
    Contoh : gundah-gulana; bersuka-sukaan; dam mana-mana
  6. Pemilihan kata atau diksi yang indah.
    Contohnya, Dengarlah tuan suatu riwayat.
  7. Repetisi.
    Contohnya, Beberapa bulan beberapa hari (rangkap 4, baris 3).
  8. Hiperbola.
    Contohnya, Datanglah menyambar suaranya bahana (rangkap 7, baris 1).
  9. Asonansi. (perulangan bunyi vokal u)
    Contohnya, Baginda duduk bersuka-sukaan.
  10. Aliterasi. (perulangan bunyi konsonan s)
    Contohnya, Seri sultan raja bestari.

Bentuk dan Ciri-ciri Syair

(a) Syair ini berbentuk terikat/tidak bebas.
(b) Terdiri daripada lapan rangkap.
(c) Bilangan baris dalam setiap rangkap adalah sama, iaitu empat baris serangkap.
(d) Semua baris dalam setiap rangkap adalah maksud.
(e) Bilangan katanya antara tiga hingga lima patah perkataan.
(f) Terdiri daripada sembilan hingga tiga belas suku kata sebaris.
(g) Rima akhir syair ini ialah aaaa kecuali rima akhir rangkap ketiga syair ialah aaba.


Nilai Syair Bidasari

  1. Kebijaksanaan
    Contoh : Raja Negeri Kembayat merupakan seorang raja yang bijak.
  2. Kasih sayang
    Contoh: Raja Negeri Kembayat amat menyayangi permaisuri baginda yang sedang hamil beberapa bulan.
  3. Keadilan
    Contoh: Raja Negeri Kembayat menjalankan pemerintahan secara adil dan saksama. Baginda melayani pedagang dan ulama yang datang ke negeri baginda dengan baik.
  4. Tanggungjawab
    Contoh: Raja Negeri Kembayat merupakan raja yang bertanggungjawab kerana baginda mengambil peduli masalah yang menimpa negeri baginda.
  5. Ketaatan
    Contoh: Rakyat Negeri Kembayat yang taat sentiasa bersama-sama raja ketika susah dan senang.

Pengajaran Syair Bidasari

1.Kita sebagai pemerintah mestilah memerintah negara dengan bijaksana.
Contoh : Raja Negeri Kembayat merupakan seorang raja yang bijaksana.

2. Kita mestilah menyayangi pasangan kita.
Contoh : Raja Negeri Kembayat amat menyayangi permaisuri baginda yang sedang beberapa bulan hamil.

3. Raja mestilah adil memerintah sesebuah negara.
Contoh : Raja Negeri Kembayat menjalankan pemerintahan secara adil dan saksama. Baginda melayani pedagang dan ulama yang datang ke negeri baginda dengan baik.

4. Raja hendaklah bertanggungjawab dalam segala hal
Contoh : Raja Negeri Kembayat merupakan raja yang bertanggungjawab kerana baginda mengambil peduli masalah yang menimpa negeri baginda.

5. Kita mestilah taat kepada pemerintah.
Contoh : Rakyat Negeri Kembayat yang taat sentiasa bersama-sama raja ketika susah dan senang.

Leave a Reply

Your email address will not be published.