Skip to content

Nota Komsas Puisi Tradisional – Syair Burung Nuri

Nota Komsas Syair Burung Nuri

Syair Burung Nuri karya Rahman Kaeh merupakan Puisi Tradisional bagi komsas tingkatan 3. Berikutnya nota maksud, tema, persoalan, bentuk, gaya bahasa, nilai dan pengajaran syair ini.

Maksud Syair Burung Nuri

Bermula warkah surat rencana,
Ikatan fakir yang sangat hina,
Sajak dan nazam banyak tak kena,
Daripada pendapat kurang sempurna.

Penyair menceritakan sebuah warkah yang ditulis oleh seorang yang dipandang hina sehinggakan kata-kata yang ditulisnya itu mungkin dianggap salah berdasarkan buah fikirannya yang tidak sempurna.

Gerangan sungguh amatlah leta,
Perinya akal gelap-gelita,
Hemat pun rendah daif berserta,
Tambahan badan miskin dan nista.

Menurut penyair, seseorang itu dianggap hina jika dia tidak berakal, bersikap kurang sopan, berakhlak rendah, dan hidup dalam keadaan miskin.

Beribu ampun kiranya tuan,
Atasnya hulu fakir nistawan,
Daripada masyghul gundah merawan,
Terperilah madah patik nin tuan.

Penyair juga memohon maaf sekiranya perkara yang ditulis daripada perasaan kecewanya itu menghasilkan kata-kata yang kurang menarik dalam warkah tersebut.

Dituliskan sahifah supaya nyata,
Barang yang ghairah di dalam cinta,
Terfikir-fikir bukan menderita,
Dakwat dan kertas tempat berkata.

Penyair menulis lembaran yang jelas tentang adab kepada pasangan yang sedang bercinta agar mereka tidak kecewa dan menjadikan surat sebagai saluran meluahkan perasaan.

Sudahlah nasib untung yang malang,
Mengambah lautan berulang-ulang,
Mudaratnya bukan lagi kepalang,
Senantiasa di dalam nasib dan walang.

Penyair menceritakan nasib malang yang ditempuhinya secara berulang kali sehingga boleh membawa kemudaratan dan menyebabkan dirinya sentiasa dalam keadaan sedih dan kecewa.

Hanyutlah badan ke sana ke mari,
Segenap pesisir desa negeri,
Bertambahlah pula sopan dan negeri,
Santap nan tidak minum pun kari.

Penyair mengisahkan kehidupannya terumbang-ambing tanpa arah tuju, tidak terurus hingga melupakan makan dan minum.

Bangun terjunun badan suatu,
Gundahlah fikir tiada tertentu,
Laksana cermin jatuh ke batu,
Remuk dan redam hancur di situ.

Namun penyair tersedar bahawa tiada guna hidup dalam kekecewaan sehingga boleh menyebabkan kehidupannya menjadi hancur.

Remuk dan redam rasanya hati,
Lenyaplah fikir budi pekerti,
Jikalau kiranya hamba turuti,
Daripada hidup sebaiknya mati.

Penyair sedar apabila berada dalam keadaan yang sangat kecewa boleh menyebabkan fikirannya tidak waras. Sekiranya dituruti perasaan kecewa itu, penyair berfikir lebih baik mati daripada hidup dalam keadaan sebegitu.


TemaSyair Burung Nuri

TemaSyair Burung Nuri ialah adab dalam kehidupan seseorang.

Penyair menceritakan adab dalam kehidupan yang ditempuhi oleh seseorang. Masalah kekecewaan dalam perhubungan dan kegagalan berfikir dengan rasional akan memusnahkan kehidupan kita.


PersoalanSyair Burung Nuri

Kepentingan memiliki ilmu pengetahuan dan berakhlak mulia.

Kekecewaan yang boleh merosakkan kehidupan seseorang.

Kebijaksanaan dalam mengawal diri ketika bercinta.

Rasional dalam berfikir dan membuat tindakan.


Bentuk dan Ciri-ciri Syair

  1. Syair ini terdiri daripada 8 rangkap.
  2. Berisi 4 baris dalam setiap rangkap.
  3. Semua baris merupakan maksud.
  4. Bilangan katanya 3 hingga 6 patah kata sebaris.
  5. Terdiri daripada 10 hingga 13 suku kata sebaris.
  6. Bentuk syair ini terikat.


Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

Inversi (ayat songsang)
Contoh: Dituliskan sahifah supaya nyata. (Sepatutnya: sahifah dituliskan supaya nyata.)

Anafora (perulangan perkataan di awal baris)
Contoh: Remuk dan redam hancur di situ, Remuk dan redam rasanya hati.

Simile
Contoh: Laksana cermin jatuh ke batu.

Sinkope
Contoh: Sajak dan nazam banyak tak kena.

Repetisi
Contoh: Hanyutlah badan ke sana ke mari.

Asonansi
Contoh: Bermula warkah surat rencana. (perulangan vokal a).

Aliterasi
Contoh: Gundahlah fikir tiada tertentu. (perulangan konsonan t).

Diksi – Penggunaan Bahasa Arab
Contoh: Masygul


NilaiSyair Burung Nuri

Nilai Kesedaran
Contoh: Penyair sedar akan kesilapan yang dilakukannya akibat terlalu menurut perasaan.

Nilai Merendah diri
Contoh: Penyair meminta maaf terlebih dahulu sebelum meneruskan bicara dalam lembarannya itu.

Nilai Rasional
Contoh: Penyair menyarankan agar seseorang itu bertindak secara rasional.

Nilai Hemah tinggi
Contoh: Penyair menasihati agar pasangan yang bercinta menjaga adab masing-masing.

Nilai Kebijaksanaan
Contoh: Penyair menyarankan agar setiap pasangan bijak menguruskan percintaan mereka.


PengajaranSyair Burung Nuri

Kita sepatutnya bersikap merendah diri .

Kita haruslah insaf akan kesalahan yang telah dilakukan.

Kita janganlah mementingkan percintaan dalam kehidupan.

Kita tidak boleh berputus asa.

Kita janganlah bertindak mengikut kata hati.


Contoh Soalan Syair Burung Nuri

Dua kelemahan yang ada pada pengarang ialah buah fikiran pengarang yang kurang sempurna. Selain itu, nasib yang ditempuhi oleh pengarang secara berulang-ulan kali sehingga boleh membawa kemudaratan.

Pada pendapat saya, cara-cara membawa diri seharusnya diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat ialah pandai membawa diri dalam kehidupan seharian. Selain itu, cara membawa diri ialah kita mesti bersikap sopan santun dan tidak bersikap sombong kerana sikap itu tidak disukai oleh masyarakat. Akhir sekali, kita hendaklah menghormati orang lain jika mahu orang lain menghormati kita.

Penyair menyatakan bahawa pemikirannya tidak luas, dipandang hina dan miskin.

  • Kita haruslah mengamalkan sikap merendah diri supaya disenangi oleh orang lain.
  • Kita hendaklah tabah menghadapi setiap dugaan dalam kehidupan.
  • Kita mestilah gigih berusaha demi menawan hati seseorang yang disayangi.
  • Sentiasa merendah diri.
  • Menjalankan tugas dengan penuh amanah.
  • Berkongsi ilmu pengetahuan untuk manfaat masyarakat.
  • Sentiasa menolong orang yang berada dalam kesusahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *