Skip to content

Karangan tanggungjawab terhadap ibu bapa

Karangan tanggungjawab terhadap ibu bapa

“Seorang ibu dapat menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu.” Huraikan tanggungjawab terhadap ibu bapa.

Anak ialah anugerah terindah bagi setiap ibu bapa. Anak jugalah hadiah paling istimewa bua tmereka. Tanpa anak, hidup mereka tidak bermakna. Ibu, insan mulia yang pernah memperjudikan nyawa demi melahirkan seorang manusia yang bergelar anak. Ibu itu umpama matahari, hadirnya membawa cahaya kepada anak-anaknya. Tidak pernah kita mendengar keluh-kesah ibu dalam menghadapi kerenah anak- anaknya. Sesungguhnya seorang ibu itu dapat menjaga sepuluh oranganak tetapi sepuluh orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu. Hal ini terbukti apabila ada anak-anak yang tegar meninggalkan ibu mereka yang telah tua di rumah kebajikan. Di manakah letaknya hati anak-anak ini? Mereka bagaikan lupa bahawasanya mereka ialah anak yang bertuah.Ibu mereka, dengan penuh kasih sayang mendidik, menyayangi dan membelai mereka sejak mereka sekecil tapak tangan sehinggalah besar, menjadi dewasa dan berakal. Ibu, insan yang tiada dua atau tiga, tiada ganti setelah hilang, tiada yang sama walau seiras. Hal ini menjelaskan bahawa anak-anak perlulah bertanggungjawab terhadap ibu dan bapa mereka.

Ibu dan bapa, sama penting, sama berjasa. Menjalankan tanggungjawab terhadap ibu bapa tidaklah sesukar membina sesebuah bangunan. Cukuplah sekadar kita menghormati, menyayangi dan menghargai mereka sepertimana tanggungjawab yang pernah dilaksanakan oleh mereka kepada kita. Bersopanlah ketika bertutur dengan mereka kerana bicara yang lembut daripada anak-anak ini pastinya dapat menenangkan hati si ibu dan si bapa. Tidak perlu kita belikan mereka sebuah rumah banglo untuk membuktikan kasih sayang kita kepada mereka. Cukuplah sekadar memberikan pelukan kasih. Hargailah mereka dengan mengaku merekalah ibu dan bapa kita. Janganlah bersikap seperti Si Tanggang, kerana darjat, ibunya dihina. Tiada yang hina jika kita mengaku ibu dan bapa kita yang miskin itu, tiada yang hilang jika ibu dan bapa kita hormati, kita kasihi. Sesungguhnya ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya, anak yang berjaya tidak akan kecundang jika menghormati ibu dan bapanya yang miskin. Oleh itu, hormtilah, sayangilah dan hargailah ibu dan bapa anda sebelum mereka pergi meninggalkan anda buat selamanya.

Semua agama mengiktiraf jasa ibu dan bapa. Sebagai seorang yang beragama, seorang anak perlu faham akan tanggungjawab mereka. Patuhilah setiap suruhan ibu bapa selagi suruhan itu tidak melanggar hukum syarak. Namun begitu, senario ini tidak berlaku pada zaman serba moden dancanggih ini. Lihatlah di akhbar-akhbar tempatan, ada sahaja keluhan ibu dan ayah apabila anak yang dipelihara bagai menatang minyak yang penuh, membuat onar. Si anak gadis lari dari rumah kerana kekasih, si terunanya pula terlibat dengan pelbagai jenayah. Sukarkah mahu dipatuhi setiap arahan ibu bapa? Payah benarkah mahu menjadi anak yang mendengar kata? Kasihanilah ibu dan bapa kita lantaran mereka tidak pernah mengajar anak- anak untuk menjadi ‘Abu Jahal’ alaf baru.Tidak susah untuk menjadi anak yang bertanggungjawab jika kita mematuhi setiap kata ibu danbapa. Janganlah kerana ‘orang luar’, kita campak ibu bapa, kita lupa akan pesanan mereka. Ibu danbapa kita tidak akan sama dengan orang lain lantaran darah daging itu lebih akrab sekali gus, air dicencang, takkan putus.

Jika kita mampu mematuhi suruhan mereka, pasti kita juga mampu memikul tanggungjawab untukmenjaga nama baik mereka. Elakkan perkara-perkara yang mampu mengaibkan ibu bapa kita. Janganlah kerana terlalu mengikut darah muda yang bergelodak dalam jiwa, kita lakukan maksiat,dan apabila ditangkap, ibu bapalah yang terpaksa menerima hinaannya. Orang tidak akan bertanya siapa pesalahnya, yang ditanya-tanya dan disebut-sebut, pesalah itu anak siapa? Tika itu, mana perlu kita letakkan maruah ibu bapa kita yang ranap menjadi hinaan, mana topeng yang mampumelindungi malu ibu dan bapa? Ingatlah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Jangan dinanti tika dan masa si ibu pengsan menerima berita, si bapa menangis melihat si anakterheret ke kandang besi. Peliharalah maruah dan nama baik ibu bapa kerana anak yangbertanggungjawab selalu mengerti tentang pentingnya maruah diri. Jika kita berjaya, kitalah yang menerima pujian, tetapi jika kita gagal, ibu bapalah yang akan dipersalahkan lantaran ibu bapa itulah yang mendidik anak-anak. Gagal si anak, gagallah ibu bapanya. Janganlah kita menjadi anak yang tidak bertanggungjawab lantaran seekor kerbau membawa lumpur, habis semua terpalit.

Seterusnya, anak-anak perlulah peka terhadap ibu bapa. Peka ini merujuk kepada prihatin terhadap segala aspek berkaitan ibu bapa kita. Sebagai anak, kita perlulah mengerti bahawa kemarahan ibu bapa bukanlah tanda kebencian mereka, sebaliknya marah mereka itu tandanya sayang kerana sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang anak tangan-tangankan. Selain itu, janganlah bersikap terlalu meminta. Ibu bapa bukan tempat menuntut kehendak. Caknalah pada keadaan mereka. Ambil sedikit masa untuk kita kenali ibu bapa kita. Fahamilah keadaan kesihatan mereka, status kewangan mereka dan selamilah hati mereka.

Jika kita meminta sesuatu, namun ibu atau bapa kita tidak dapat menunaikannya, jangan salahkan mereka. Jika mereka mampu, dunia ini pun akan diberikan kepada anak-anak. Oleh itu, sebagai anak yang baik, sekali-sekala cubalah anda ambil tahu perihal ibu bapaanda. Pastikan mereka gembira sepertimana mereka menggembirakan anda. Ibu bapa itu permulaan kita, tanpa mereka, tiadalah kita di dunia ini.

Jika sejak kita dilahirkan hinggalah kita dewasa, ibu bapa sabar memelihara kita, seharusnya kita menunaikan pula tanggungjawab kita kepada mereka selagi hayat mereka dikandung badan. Meniti usia tua bersama anak-anak pastinya menjadi suatu hadiah terhebat buat ibu bapa. Peliharalah mereka apabila mereka sudah tua atau ketika mereka sakit. Jika ibu dan bapa tidak pernah bosan melayan keletah anak- anak mereka, tiada salahnya anak-anak yang telah dewasa memelihara mereka ketika usia senja mereka. Jangan ditambah lagi bilangan penghuni rumah orang tua-tua. Habiskanlah usia tua mereka dengan merasai kasih sayang daripada cahaya mata mereka. Seorang ibu pasti pernah berkata kepada anaknya, “Adik, ibu tak minta harta Adik, ibu tak minta ilmu Adik,tapi cukuplah sekadar Adik jengah ibu sebulan sekali apabila Adik dah besar nanti”. Begitu besar harapan si ibu untuk dijengah sebulan sekali. Namun begitu, bagi anda yang pernah membuat ibuanda berjaga malam, bapa anda membanting tulang, cukupkah balasan seperti itu? Peliharalah mereka seperti mereka memelihara kita bagai menatang minyak yang penuh.Tidak rugi berbakti kepada ibu bapa kerana suatu masa nanti, anak-anak kita juga akan berbakti kepada kita.

Oleh hal yang demikian, hargailah ibu dan bapa kita. Janganlah dinanti jenazah ibu atau bapa dibawa ke liang lahad, kerana saat itu semuanya telah terlambat. Pernahkah anda mengucapkan“saya sayang mak” kepada ibu anda? Atau pernahkah anda memeluk erat bapa anda tanpa sebab? Jika tidak, cubalah buat pertama kalinya dalam hidup anda. Kasih sayang yang wujud dengan sendirinya tidak perlukan paksaan. Begitulah yang akan anda rasakan apabila kasih sayang anda salurkan pada ibu bapa anda tanpa paksaan, dan semuanya anda lakukan kerana anda sayang ibu anda, anda sayang bapa anda. Hasilnya, akan wujud istilah harmoni dalam jiwa anda. Memanglah yang patah tumbuh, yang hilang berganti, tetapi hilangnya tiada berganti, hilangnya bapa tiada yang lain lagi. Selagi masih ada bulan mentari, selagi masih ada rasa di hati, ucapkanlah kepada ibu dan bapa betapa anda menghargai mereka, seperti yang terungkap dalam bait- bait lagu merdu dendangan Sudirman yang bertajuk ‘Ayah dan Ibu’, terdapat satu mesej yang jelas tentang perlunya anak bertanggungjawab terhadap ibu dan bapa, dan mesej itu berbunyi;

‘Ayah dan ibu,
Ayah dan ibu,
Itulah permulaan kami,
Dapat melihat bulan dan matahari.’
Oleh itu, beringatlah wahai insan yang bergelar anak.

Contoh Karangan lain: Tanggungjawab anak terhadap ibu bapa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *