Skip to content

Teknik menulis karangan dan contoh menulis

Belajar online

Berikut ialah contoh bahan pengajaran tentang cara-cara menulis perenggan pengenalan, perenggan isi, dan perenggan penutup. Pelajaran disampaikan secara induktif.

Teknik menulis karangan Bahasa Melayu

Asas penulisan sesebuah karangan ialah kemahiran membina perenggan sama ada perenggan pengenalan, perenggan isi atau perenggan penutup. Hal ini disebabkan pemerengganan merupakan unsur penting pembentukan fizikal sesebuah karangan. Sebagai contoh, melalui perenggan pengenalan, pelajar dapat menyampaikan idea awal untuk memancing minat pembaca.

Selain itu, pengenalan seharusnya dapat memberi gambaran ringkas tentang hala tuju penulisan yang akan dipersembahkan. Manakala perenggan isi pula merupakan badan sesebuah karangan. Keutuhan perenggan isi pula bergantung pada isi yang dihuraikan dengan jelas. Seterusnya, perenggan penutup merupakan kesimpulan penulis terhadap tajuk yang dibincangkan.

Penulisan Pendahuluan

Perenggan pendahuluan boleh diumpamakan seperti penampilan manusia. Perawakan yang menarik akan mempengaruhi minat orang. Wajah, pakaian dan unsur luaran lain memberi impak kepada hati sesiapa yang melihat.

Oleh sebab perenggan ini memberi kesan pertama terhadap keseluruhan karangan, maka peranannya amatlah penting. Tujuan pendahuluan karangan SPM adalah mempengaruhi pemeriksa agar terpikat dan jatuh hati. Tanggapan positif pemeriksa pada peringkat awal boleh memberi kelebihan dan keuntungan.

Soalan:
Telefon bimbit kini semakin digemari oleh masyarakat tanpa mengira golongan. Jelaskan sebab-sebab alat ini menjadi pilihan orang ramai dan kesan yang timbul daripada penggunaannya.

Pendahuluan karangan seharusnya mengandungi pernyataan soalan (PS), latar belakang isu yang diperkatakan (LBI) dan kehendak soalan (KS).
Jumlah perkataan antara 80-90 patah kata.

Cadangan penulisan:

Dewasa ini, telefon bimbit semakin digemari oleh masyarakat di negara kita (PS). Semua golongan masyarakat sama ada yang tinggal di bandar mahupun yang tinggal di desa memiliki telefon bimbit kerana tertarik dengan pelbagai kemudahan yang disediakan oleh pengeluar telefon tersebut. Menurut kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, pada 2006 hampir 20.5 juta rakyat Malaysia memiliki telefon bimbit. Permintaan yang tinggi daripada pengguna telah menyebabkan syarikat telekomunikasi prabayar melebarkan sayap mereka ke pelosok negara. (LBI) Persoalannya, mengapakah masyarakat Malaysia memiliki telefon bimbit dan selamatkah mereka ketika alat itu digunakan? (KS)

(87 patah kata)


Perenggan isi karangan

Perenggan isi seharusnya mengandungi:

A1 (ayat topik)
A2 (ayat huraian untuk menjawab soalan siapa/mengapa)
A3 (ayat huraian untuk menjawab soalan bagaimana/akibat)
A4 (bukti/contoh)
A5 (ayat penegas+peribahasa)
Jumlah perkataan antara 80-90 patah kata

Cadangan penulisan:

Antara sebab utama masyarakat di negara kita memiliki sekurang-kurangnya sebuah telefon bimbit kerana kemampuan mereka memiliki alat tersebut (A1). Hal ini disebabkan harga telefon bimbit di pasaran mampu dibayar oleh pengguna (A2). Sebagai contoh harga sebuah telefon bimbit yang terendah ialah RM30.00 bagi siri Nokia 3310 (A3). Dengan harga telefon bimbit semurah itu, mereka yang berpendapatan rendah boleh membelinya (A4). Bagi mereka yang berpendapatan tinggi pula mampu memiliki telefon bimbit yang harganya melebihi RM 2000.00 seunit (A4). Dalam hal ini, peribahasa ‘ukur baju di bdan sendiri’ dapat menggambarkan bahawa masyarakat Malaysia yang pelbagai golongan yang mampu memiliki telefon bimbit (A5)

(93 patah kata)


Penulisan Perenggan penutup

Perenggan penutup seharusnya mengandungi:

PP (pandangan penulis tentang tajuk yang dibincangkan)
LT (mengemukakan langkah untuk tindakan yang dibincangkan)
HP (menyatakan harapan penulis)
Jumlah perkataan antara 60-70 patah kata

Cadangan Penulisan:

Tuntasnya, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan masyarakat Malaysia secara meluas menggambarkan mereka berfikiran positif terhadap teknologi komunikasi dan bersedia untuk berada di dalam dunia tanpa sempadan (PP). Kendatipun, keghairahan mereka menggunakan telefon bimbit janganlah sampai menyusahkan diri sama ada dari aspek ekonomi mahupun sosial (PP). Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia perlulah memantau perkembangan teknologi ini (LT) agar masyarakat di negara kita dapat ‘ berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ dengan bangsa yang maju di dunia mengikut acuan budaya sendiri (HP).

(73 patah kata)

Setelah pelajar mengikuti pelajaran penulisan perenggan, langkah seterusnya yang perlu diikuti adalah dengan membuat latihan berdasarkan soalan yang diberikan untuk membuktikan pelajar memahami pelajaran tersebut.


Kehendak Soalan dan Jenis Karangan

Perkara pertama yang perlu diberi perhatian selepas mendapat soalan karangan sama ada soalan bahagian A atau B ialah tema bahan rangsangan atau kehendak soalan. Kehendak soalan atau kata kunci yang terdapat dalam soalan perlu dikenal pasti terlebih dahulu. Hal ini amat penting kerana kesilapan memahami kehendak soalan akan memberi kesan kepada markah. Apa akan berlaku jika pelajar tersilap langkah dan mengenal pasti kehendak soalan yang salah, tidak tepat dan menyimpang daripada idea sebenar?

Pendek kata, idea pelajar hendaklah selari dengan tema bahan rangsangan atau tugasan. Garisi kehendak soalan atau kata kunci yang ada dalam soalan. Kesilapan dalam langkah pertama ini akan menyebabkan pelajar tersasar daripada destinasi yang dikehendaki. Berhati-hatilah ketika memilih soalan. Pilihlah soalan yang betul-betul difahami dari segi tema atau tugasannya. Insyaallah, anda akan mendapat markah terbaik.

Selain itu, para pelajar perlu mengenal pasti jenis karangan yang betul. Hal ini akan menentukan ketepatan format karangan dan laras bahasa bagi karangan anda. Jangan biarkan markah karangan anda terjejas dengan kesilapan kecil ini. Kebiasaannya, jenis karangan dinyatakan dengan jelas dalam soalan. Bulatkan perkataan jenis karangan yang ada dalam soalan. Tindakan ini akan dapat mengelakkan anda tersasar daripada format yang dikehendaki. Semoga ada manfaatnya daripada panduan ringkas ini.

Karangan yang Cemerlang

Para pelajar perlu mengetahui dan mengenali kriteria karangan cemerlang. Para pelajar perlu membaiki karangan mereka dan membuat penambahbaikan sehingga karangan mereka mencapai tahap cemerlang. Di bawah ini saya senaraikan kriteria karangan cemerlang sebagai panduan.

Bahagian A Karangan Cemerlang :

  • Karangan menepati tema bahan rangsangan
  • Bahasa gramatis dari segi kata dan ayat
  • Penggunaan tanda baca betul dan tepat
  • Ejaan mengikut Sistem Ejaan Rumi Baru
  • Penggunaan kosa kata luas dan tepat
  • Wacana lengkap
  • Unsur bahasa yang digunakan bervariasi
  • Penggunaan ungkapan menarik (peribahasa, slogan, cogan kata, frasa menarik, kata hikmat, maksud hadis dan al-Quran)
  • Idea relevan dengan tema bahan rangsangan
  • Huraian jelas dan matang
  • Panjang karangan antara 150 hingga 200 patah perkataan
  • Tulisan yang jelas

Bahagian B Karangan Cemerlang :

  • Penggunaan pelbagai jenis kata yang luas dan tepat
  • Penggunaan pelbagai ayat majmuk yang gramatis
  • Ejaan dan tanda baca betul
  • Laras bahasa sesuai dengan tugasan
  • Penggunaan kosa kata luas dan tepat
  • Idea yang relevan dengan tugasan
  • Huraian yang jelas dan matang
  • Penggunaan contoh yang sesuai
  • Pengolahan yang menarik
  • Wacana yang lengkap
  • Kesinambungan idea yang jelas antara perenggan
  • Format menepati kehendak soalan
  • Penggunaan unsur bahasa bervariasi
  • Gaya bahasa yang menarik dari segi keindahan bahasa
  • Penggunaan ungkapan menarik (peribahasa, cogan kata, frasa menarik, kata hikmat, pantun)
  • Kesalahan ejaan sifar
  • Panjang karangan melebihi 350 patah perkataan
  • Tulisan yang boleh dibaca dan tidak terlalu kecil
  • Satu isi dalam setiap perenggan
  • Penggunaan penanda wacana yang betul

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You cannot copy content of this page