Skip to content

Contoh Karangan SPM: Kepentingan Menyertai Koperasi

Karangan Kepentingan Menyertai Koperasi

Penubuhan Koperasi Sekolah memberi faedah kepada golongan sekolah. Huraikan kepentingan kepentingan menyertai koperasi dalam kalangan pelajar.

Kepentingan Menyertai Koperasi Sekolah

Koperasi merupakan satu entiti yang telah wujud bawah nama Jabatan Pembangunan Koperasi Malaysia dan diperbadankan pada 2008 dibawah nama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Pada hari ini, SKM telah melebarluaskan sayapnya ke peringkat sekolah dengan tujuan memupuk jiwa dan semangat berkoperasi dalam diri murid. Pada masa yang sama, menjadi salah satu kompenan dalam kegiatan kokurikulum di sekolah. Kerjasama daripada dua agensi kerajaan ini telah memberi faedah kepada murid yang menyertai koperasi sekolah. Persoalannya ialah, apakah manfaat yang diperoleh seseorang murid apabila menyertai koperasi sekolah?

Pelajar mempelajari pengurusan berniaga

Salah satu kepentingan menyertai ahli jawatankuasa koperasi sekolah ialah pelajar akan dapat mempelajari cara pengurusan sesebuah perniagaan. Bagi murid yang telibat dalam kegiatan kokurikulum, mereka yang terpilih dalam jawatankuasa koperasi sekolah hendaklah mengambil peluang untuk mempelajari selok-belok menguruskan sesebuah perniagaan. Mereka akan diberi tanggungjawab untuk merekod jualan, mengurus akaun, mengira stok barangan, dan menjual barang di dalam kedai koperasi. Pendedahan sebegini akan memberi pengalaman baharu kepada murid yang berminat dalam bidang perniagaan dan penjualan. Secara tidak langsung murid dapat mempelajari pengurusan sesebuah perniagaan sesuai dengan peribahasa alah bisa tegal biasa,

Meningkatkan kemahiran jual beli

Selain mempelajari pengurusan berniaga, murid juga dapat meningkatkan kemahiran jual beli dengan menggunakan tataniaga yang betul. Mereka yang ditugaskan di kedai koperasi sekolah berpeluang mendapatkan kemahiran urusan jual beli harian. Hal ini dikatakan demikian kerana tatacara yang salah ketika berniaga boleh menyebabkan pelanggan yang juga merupakan murid sekolah tidak suka membeli barang di koperasi sekolah dan mereka sanggup membeli di kedai luar yang lebih mahal harga berbanding di kedai koperasi. Oleh itu, mereka mestilah menunjukkan budi pekerti yang baik di hadapan pelanggan walaupun pelanggan tersebut merupakan rakan sekelas. Dengan cara ini, apabila mereka berada di alam pekerjaan nanti, mereka akan mengetahui tatacara berniaga.

Pelajar memiliki minda berniaga

Pada masa yang sama, penglibatan mereka dalam koperasi akan tersemai dengan minat yang mendalam tentang perniagaan. Pelajar akan memiliki minda berniaga sejak alam persekolahan lagi. Hal ini akan menjadikan murid menjadi seorang enterpeneur yang berjaya pada masa akan datang. Malah ada antara murid yang telah berjaya membina empayar seperti seorang pelajar perempuan yang membuat jualan tudung sekolah melalui laman Instagram dan jualannya mencecah ribuan ringgit. Kejayaan murid tersebut ini dapat menjadi bukti bahawa penglibatan mereka dalam koperasi sekolah telah mencambah minat mereka dalam dunia perniagaan. Tampak bahawa, koperasi menjadi pusat pembelajaran murid dalam bidang perniagaan serta memahami sepak terajang dunia perniagaan yang sebenarnya.

Memberi faedah atau dividen kepada murid

Dari sudut yang berbeza pula, koperasi turut memberi faedah atau dividen kepada murid yang menyertai koperasi sekolah. Sebagai ahli koperasi yang berdaftar bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), mereka akan memperoleh dividen pada setiap hujung tahun penutupan akaun koperasi. Pemberian dividen ini sebagai satu langkah positif untuk menggalakkan murid sekolah terlibat dalam pelaburan jangka masa panjang ketika mereka dewasa kelak. Tidak dapat dinafikan bahawa, insentif ini merupakan salah satu kepentingan penglibatan murid dalam koperasi sekolah yang pasti akan disokong oleh ibu bapa demi kebaikan dan masa depan anak mereka.

Penutup Karangan Kepentingan Menyertai Koperasi

Secara keseluruhannya, koperasi sekolah menjadi medan pembelajaran dan pusat latihan dan pendidikan yang membentuk kemahiran berniaga dalam kalangan pelajar. Maka, ibu bapa mestilah menggalakkan dan menyokong anak-anak menyertai Koperasi Sekolah agar anak mereka memiliki minda perniagaan kelas pertama.


Contoh Karangan: Peranan Koperasi Sekolah
Contoh Karangan: Faedah Koperasi Sekolah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page