Kandungan
Berikutnya Sinopsis Jalan Ke Puncak mengikut bab. Novel ini mengisahkan perjuangan Laiman dalam mencapai impiannya meskipun menghadapi cabaran, fitnah, dan tentangan keluarga.
Sinopsis Jalan Ke Puncak
Novel Jalan Ke Puncak mengisahkan perjuangan Laiman, seorang pemuda Sabah yang menjalani latihan di syarikat Shell Sarawak dan menjalin hubungan rapat dengan Soniah, sehingga menimbulkan rasa cemburu rakannya, Muluk. Ketika Laiman tiada di tempat kerja, berlaku kebakaran tangki minyak, menyebabkan dia disyaki sebagai dalang sebelum akhirnya dibuktikan tidak bersalah. Menolak pekerjaan tetap, Laiman memilih untuk mengusahakan projek pertanian dan ternakan, meskipun mendapat tentangan daripada ayahnya, Pak Kiassim. Setelah menghadapi pelbagai cabaran, usahanya akhirnya berjaya, mendapat sokongan Jabatan Pertanian, dan pada saat itu, dia kembali mengenang hubungannya dengan Soniah.
Nota Lengkap Novel Jalan Ke Puncak (KOMSAS Tingkatan 2)
Bab 1: Bagaikan Mimpi
Laiman yang merupakan seorang pelajar dari Sabah merasa sukar untuk mempercayai bahawa dia kini berada di Sarawak bagi menjalani latihan industri dalam bidang kejuruteraan di sebuah syarikat minyak. Sepanjang latihan, dia bekerja dengan penuh kesungguhan dan berkawan rapat dengan Sukri. Laiman memberitahu Sukri bahawa selepas tamat pengajian, dia ingin berehat seketika dan tidak akan tergesa-gesa menerima tawaran kerja, sesuatu yang menimbulkan kehairanan Sukri.
Laiman teringat akan kisah kejayaan Chow Chin, rakannya yang tidak memilih pekerjaan makan gaji selepas tamat pengajian, sebaliknya membina empayar perniagaan sehingga menjadi jutawan. Selain itu, Laiman juga mengetahui bahawa ada individu yang gagal dalam akademik tetapi tetap berjaya kerana pengalaman, kemahiran, dan kesungguhan. Baginya, sama ada seseorang itu memiliki ijazah atau tidak, kejayaan bergantung pada kepandaian dan kerja keras dalam mengejar impian.
Bab 2: Sesal
Selepas waktu pejabat, Laiman bersiar-siar ke Lutong kerana kerjanya telah selesai. Pengurusnya berpuas hati dengan kecekapan dan sikap rajinnya, malah ramai yang memuji Laiman.
Di pekan Lutong, Laiman bertemu dengan Soniah, rakan sekerjanya, dan mereka berbincang tentang kerja. Namun, perbualan mereka berubah apabila Soniah bertanya tentang Muluk. Bagi Laiman, Muluk seorang yang aneh kerana mereka tidak pernah berbual. Ketika Laiman cuba bertanya lebih lanjut, Soniah enggan menjawab, seolah-olah menyembunyikan sesuatu. Laiman akhirnya membiarkan persoalan tentang Muluk tanpa jawapan daripada Soniah.
Bab 3: Musibah
Sukri, ketua jabatan yang menyelia Laiman, menerima berita bahawa sebuah tangki minyak yang dibaiki oleh Laiman telah terbakar. Ketika kejadian berlaku, Laiman berada di Kuching untuk bertemu rakan sekuliahnya dan mengambil buku-buku rujukan. Kebakaran berjaya dipadamkan dalam tiga jam dengan bantuan bomba dan pekerja di situ, tetapi punca kebakaran masih menjadi tanda tanya.
Sukri yakin bahawa Laiman tidak bersalah, kerana dia tiada di tempat kejadian, tetapi tetap bimbang nasib Laiman jika dikenakan tindakan oleh pengurus syarikat. Keesokan harinya, apabila Sukri memaklumkan kejadian itu, Laiman berasa yakin bahawa kerja yang dilakukannya cukup rapi dan sukar mempercayai kebakaran itu boleh terjadi. Sukri akhirnya mengandaikan bahawa kebakaran mungkin berpunca daripada perbuatan khianat, dan hal ini membuatkan Laiman teringat perbualannya dengan Soniah seminggu yang lalu.
Bab 4: Hasrat
Laiman dan Soniah menghabiskan hujung minggu dengan bersiar-siar di Bandar Miri sambil berbincang tentang masa depan. Soniah bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan, tetapi Laiman merasakan bidang itu terlalu mencabar untuknya kerana tugas cari gali minyak memakan masa berbulan-bulan. Namun, Soniah bertegas bahawa dia suka akan cabaran dan ingin menjadi jurutera.
Ketika berbual, Soniah bertanyakan tentang kejadian kebakaran, dan Laiman berharap insiden itu tidak menjejaskan pengajiannya. Sewaktu mereka meneruskan perjalanan, Laiman menyedari bahawa Muluk sedang memerhatikan mereka dari kejauhan.
Bab 5: Pulang
Setelah pulang dari universiti, Laiman berubah.
Bab 6: Tentangan
Laiman kini mengusahakan tanaman tembikai di kampung halamannya di Sabah dan tidak kisah bekerja sebagai petani. Dia mahu berdikari, selaras dengan seruan kerajaan agar siswazah tidak bergantung kepada pekerjaan kerajaan. Baginya, rezeki ada di mana-mana asalkan rajin berusaha. Selain itu, Laiman merancang untuk memulakan projek ternakan lebah madu dan ikan air tawar.
Namun, kenangan setahun lalu di Sarawak masih bermain di fikirannya. Akhirnya, punca kebakaran tangki minyak terbongkar—Muluk sebenarnya cemburu kerana menyangka Laiman menjalin hubungan cinta dengan Soniah. Oleh sebab cintanya tidak berbalas, Muluk menaruh dendam dan membakar tangki minyak. Akibat perbuatannya, Muluk akhirnya menerima hukuman yang setimpal.
Bab 7: Resah
Laiman ditegur oleh ayahnya, Pak Kiassim, kerana menolak tawaran bekerja di Jabatan Pertanian. Ayahnya kesal kerana telah banyak berkorban untuk pengajian Laiman di universiti, tetapi kini Laiman memilih untuk pulang ke kampung menjadi petani daripada memanfaatkan kelulusannya untuk bekerja, terutama dengan jabatan kerajaan.
Laiman berasa tertekan kerana impian dan cita-citanya tidak difahami oleh ayahnya. Namun, dia bertekad untuk membuka mata penduduk kampung agar gigih berusaha tanpa bergantung kepada bantuan kerajaan. Dalam usahanya ini, Laiman mendapat sokongan daripada sepupunya, Milan.
Bab 8: Tekad
Laiman berhasrat mengusahakan tanah paya berhampiran sawah Pak Sahok sebagai kolam ternakan ikan, tetapi rancangannya ditolak. Walaupun tanah itu bukan dalam geran Pak Sahok, beliau telah menggunakan sebahagian daripadanya sebagai sawah, menyebabkan beliau enggan memberikan kebenaran.
Namun, Laiman tidak berputus asa dan terus memujuk Pak Sahok. Sementara itu, kebun tembikainya mula berbuah, dan Milan turut membantu dalam usaha tersebut. Selain itu, Laiman tetap berazam untuk meneruskan projek ternakan lebah madu dan bercadang mengambil anak-anak muda kampung untuk bekerja bersamanya.
Bab 9: Pujuk
Pak Sahok tetap berkeras menolak permintaan Laiman untuk menjalankan projek ternakan ikan air tawar, walaupun ditawarkan untuk berkongsi keuntungan. Akhirnya, Laiman terpaksa mengalah dan mencari lokasi lain bersama Milan, tetapi mereka masih buntu.
Dalam masa yang sama, ayahnya, Pak Kiassim, mula menyedari kejayaan Laiman apabila tanaman tembikainya menjadi buah mulut penduduk kampung. Melihat usaha anaknya membuahkan hasil, Pak Kiassim menawarkan diri untuk berbincang dengan Pak Sahok mengenai projek ternakan ikan air tawar. Laiman berasa terharu dan meminta maaf kepada ayahnya kerana tidak memenuhi hasratnya untuk bekerja seperti siswazah lain.
Bab 10: Harapan
Kejayaan Laiman menarik perhatian banyak pihak, termasuk Jabatan Pertanian yang menawarkan pelbagai bantuan. Setelah sekian lama menolak, Pak Sahok akhirnya bersetuju membenarkan Laiman menggunakan tanah paya untuk projek ternakan ikan air tawar dan udang harimau. Hasil jualan buah tembikai dijadikan modal untuk memulakan projek ini.
Ramai anak muda kampung berminat untuk bekerja dengan Laiman, membantu menjayakan projek tersebut. Kolam mula dikorek, dan dua orang pekerja dihantar menjalani latihan khusus dalam bidang penternakan. Sementara itu, kebun tembikai diserahkan kepada ayahnya untuk diuruskan. Dalam kesibukannya, Soniah masih sesekali menghubungi Laiman melalui surat. Kini, Soniah sedang melanjutkan pelajarannya di universiti.
Bab 11: Galau
Laiman terkejut apabila Milan memaklumkan bahawa Kadek dan Muali, dua pekerja yang dihantar menjalani latihan ternakan air tawar, memutuskan untuk memulakan projek mereka sendiri. Mereka enggan membantu projek Laiman dan Milan. Pada mulanya, Laiman berasa marah, namun dia yakin masih ramai penduduk kampung yang berbakat dan boleh menggantikan mereka.
Sementara itu, ayah Laiman mula memahami pengorbanan anaknya. Dia sedar bahawa walaupun Laiman memiliki ijazah, dia memilih untuk tidak bekerja dengan kerajaan kerana ingin membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak muda yang menganggur.
Bab 12: Tabah
Laiman tidak lagi memikirkan keengganan Muali dan Kedek untuk bekerja dengannya. Dia tetap bersemangat meneruskan usahanya. Abangnya, Mail, memberikan sokongan penuh dan menasihati Laiman agar terus bekerja bersungguh-sungguh tanpa menghiraukan cakap-cakap orang kampung.
Bab 13: Lumayan
Sementara menunggu hasil dari kolam penternakan, Laiman dan Milan tidak berdiam diri. Mereka melakukan kerja sambilan seperti menjaja kuih serta meraih pisang dan kelapa. Hasil pendapatan mereka disimpan di bank sebagai persediaan untuk masa depan.
Bab 14: Sinar
Laiman masih belum berpuas hati dengan pencapaiannya. Tidak lama lagi, kolam ternakannya akan mengeluarkan hasil. Dia berterima kasih kepada Pak Sahok kerana mengizinkannya mengusahakan tanah bersebelahan. Kini, Laiman dan Milan telah muncul sebagai usahawan tani termuda yang berjaya. Mereka juga telah membeli sebuah lori untuk memudahkan urusan mengangkut hasil tanaman, ternakan, dan perniagaan mereka.
Bab 15: Impian Terlaksana
Laiman merenung kembali susah payahnya selama ini untuk mencapai kejayaan. Namanya kini disebut-sebut sebagai contoh kepada anak-anak muda, dan dia bersedia membimbing mereka yang ingin berjaya sepertinya. Laiman ingin melihat bangsanya maju.
Kini, dia bukan sekadar seorang penternak, tetapi juga pengusaha kedai makan dan pemborong yang berjaya, meskipun memiliki ijazah dalam bidang kejuruteraan.
Di sebalik kejayaannya, Laiman masih mengingati Soniah. Dia sedar bahawa selama ini dia menyimpan perasaan terhadap gadis itu. Apabila mendapat berita bahawa Soniah akan berhijrah ke Sabah untuk bekerja di syarikat pakciknya, Laiman berasa sangat teruja. Dia berhasrat untuk mencurahkan isi hatinya kepada Soniah.
Maklumat tepat ! terima kasih banyak ye . Saya ambil nota ini untuk buat novel folio ! 😀