Skip to content

Contoh Karangan Cara belajar yang berkesan

Cara belajar yang berkesan

Pelajar hendaklah belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu yang diingini pada masa depan. Huraikan cara belajar yang berkesan untuk meningkatkan kecemerlangan pelajar.

Cara belajar yang berkesan untuk meningkatkan kecemerlangan Pelajar

Kalau tidak dipecahkan ruyong, manakan dapat sagunya, peribahasa Melayu lama ini menyatakan bahawa untuk seseorang harus berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang diingininya. Kata-kata pujangga ini amat tepat untuk kita fahami agar tidak ketinggalan daripada arus kemajuan negara yang sedang memecut laju untuk mencapai status negara maju. Oleh itu, bagi memastikan remaja hari ini tidak tercicir daripada rantaian tersebut, mereka hendaklah belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu yang diingini serta berada dalam lingkungan pasaran pekerjaan dan pasaran ekonomi. Persoalan yang bermain di dalam horizon pemikiran kita ialah, apakah cara belajar yang berkesan untuk membantu remaja agar mereka menjadi golongan yang diperlukan dalam pasaran pekerjaan?

Poster impian

Antara cara belajar yang jarang dilakukan oleh pelajar ialah poster impian. Kebiasaannya poster impian ini dibuat pada awal tahun sebagai pelan perancangan untuk mencapai impian tersebut. Bagi seseorang pelajar, mereka boleh menjelaskan impian atau keinginan diri dan perasaan dalam poster impian tersebut. Sebagai contoh, pelajar boleh menampal gambar universiti yang menjadi idamannya, atau keputusan SPM yang hendak dicapai. Apatah lagi penyediaan poster impian ini menggambarkan matlamat yang jelas untuk dicapai oleh seseorang pelajar. Secara tidak langsung, poster impian ini mendidik pelajar untuk teguh pendirian dengan satu impian yang ingin dicapai. Sesungguhnya, manusia yang tidak merancang sebenarnya merancang untuk gagal.

Misi mencapai visi

Kaedah belajar yang masih berkait dengan langkah yang pertama iaitu misi mencapai visi yang telah dilakar dalam poster impian. Pelajar yang ada perancangan masa hadapan akan menyusun strategi pembelajaran di rumah dan di sekolah. Mereka akan menyediakan satu jadual belajar agar dapat memastikan mereka tidak ketinggalan dalam aktiviti sekolah dan aktiviti di rumah. Malah jadual belajar dapat mengelakkan pelajar daripada melakukan kerja sekolah pada saat akhir lalu akan menghasilkan kerja yang tidak sempurna. Dengan cara ini, pelajar akan berdisiplin dan menghargai masa kerana masa itu emas. Maka jelas sekali bahawa penyusunan jadual belajar sangat diperlukan oleh pelajar untuk membantu pelajar dapat belajar dengan berkesan.

Belajar secara berkumpulan

Dari sudut yang berlainan pula, belajar secara berkumpulan juga merupakan cara belajar yang berkesan. Sebagai contoh, sekumpulan pelajar yang terdiri daripada 6 orang akan belajar bersama-sama dan masing-masing akan mengupas tajuk atau topik setiap mata pelajaran. Hal ini akan dapat meningkatkan kemahiran setiap pelajar dalam kumpulan tersebut menguasai mata pelajaran. Malah semangat tolong-menolong bagai aur dengan tebing akan dapat diwujudkan dalam kalangan ahli kumpulan. Oleh itu, belajar berkumpulan bukan sahaja sebagai cara belajar berkesan malah menjadi penanda aras untuk memilih rakan sejati.

Memberi tumpuan di dalam kelas

Pada masa yang sama, seseorang pelajar harus memberi tumpuan dan perhatian ketika guru sedang mengajar di dalam kelas. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan guru yang mengajar telah dilatih dan mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing. Dengan kepakaran yang ada di sekolah, pelajar-pelajar seharusnya memberi fokus dan tumpuan kepada guru yang memberi pengajaran di dalam kelas. Perahu sudah di air dayung sudah di tangan, maka pelajar sepatutnya mengambil peluang yang ada di sekolah untuk menimba ilmu pengetahuan kerana mereka bersama dengan guru yang mampu mengubah masa depan mereka. Tegasnya, hanya jauhari yang mengenal manikam.

Penutup Karangan Kaedah belajar

Secara keseluruhannya, cara belajar yang berkesan menjadi inti pati seseorang untuk terus kekal bersemangat menuntut ilmu pengetahuan biar dilanda pelbagai masalah yang menimpa mereka. Oleh itu, ibu bapa hendaklah sentiasa memberi sokongan kepada anak-anak agar mereka dapat menikmati kejayaan dalam pelajaran seterusnya membina kerjaya untuk masa depan mereka dan negara.


Contoh Karangan berkaitan:
Persediaan dan Usaha untuk mencapai Kerjaya Impian
Usaha untuk mencapai harapan ibu bapa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *