Skip to content

Contoh Karangan SPM Cara Memupuk Amalan Berjimat Cermat

Karangan Cara Memupuk Amalan Berjimat Cermat

Amalan berjimat-cermat merupakan budaya yang harus dipupuk sejak dari kecil lagi. Huraikan cara-cara yang boleh memupuk amalan berjimat cermat dalam masyarakat kita.

Cara-cara untuk Memupuk Amalan Berjimat Cermat

‘Lapan puluh peratus graduan lepasan universiti disenarai hitam’ merupakan sebahagian daripada petikan akhbar arus perdana yang membuktikan sikap boros telah menyebabkan kerugian pada diri sendiri. Pada hari ini, sikap membazir dan boros juga semakin banyak terjadi sepantas ledakan teknologi yang berlaku pada alaf pandemik ini. Kita dapat melihat kegilaan masyarakat membeli barangan dalam talian sehingga syarikat-syarikat penghantar barangan menghadapi lambakan barangan yang hendak dihantar ke rumah pelanggan. Iklan-iklan di televisyen semakin kerap. Kesemua ini, menjadi faktor berlakunya pembaziran dan sikap boros dalam diri masyarakat. Oleh itu, cara-cara perlu dilakukan untuk menyekat nafsu berbelanja dalam tempoh kritikal ini.

Ibu bapa menunjukkan amalan berjimat cermat

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ibu bapa seharusnya mengambil peluang keemasan ini dengan memupuk amalan berjimat cermat kerana kebanyakan ibu bapa bekerja dari rumah. Mereka mestilah menjadi contoh kepada anak-anak dengan menunjukkan amalan berjimat cermat. Ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak menutup suis lampu atau kipas apabila keluar dari bilik. Begitu juga dengan penggunaan air. Ibu bapa pula hendaklah menyediakan juadah untuk keluarga mengikut keperluan. Amalan ini dapat mengurangkan sikap suka membeli makanan di luar atau menempah makan secara dalam talian. Oleh itu, ibu bapalah menjadi penentu dalam memupuk amalan berjimat cermat.

Pelajar membawa bekal makanan ke sekolah

Salah satu cara untuk memupuk amalan berjimat cermat ialah menggalakkan anak-anak membawa bekal makanan dan minuman ke sekolah. Dalam hal ini, anak-anak bukan sahaja ditanam minat berjimat-cermat tetapi juga membawa bekalan makanan seimbang yang disediakan oleh ibu dari segi khasiatnya malah terjamin kebersihannya. Wang belanja harian pula boleh ditabungkan untuk belanja yang lebih berfaedah. Pelajar dapat memupuk amalan yang berhemah apabila berbelanja sejak kecil lagi. Tegasnya, membawa bekalan makanan dari rumah  perlu dijadikan satu budaya yang patut diamalkan oleh setiap pelajar kerana hal ini menggalakkan amalan berjimat-cermat.

Gunakan pengangkutan awam

Golongan masyarakat mestilah sentiasa memerah otak mencari cara baru untuk menjadikan amalan berjimat cermat. Pelajar yang tinggal di pusat bandar haruslah menggunakan pengangkutan awam seperti MRT, LRT dan Monorail biasanya melibatkan kos yang lebih rendah berbanding memandu kereta atau motosikal. Amalan menaiki pengangkutan awam boleh menjimatkan wang untuk petrol serta merancang perjalanan mengikut jadual dan keperluan sahaja. Sekiranya anda tinggal di luar bandar, fikirkan juga tentang berjalan kaki, menggunakan basikal atau menaiki bas sekolah untuk menjimatkan wang.

Aktiviti jualan amal

Dari sudut yang berbeza pula, masyarakat juga dikatakan mampu memupuk amalan berjimat cermat. Masyarakat hendaklah menggalakkan aktiviti berjimat cermat seperti aktiviti jualan amal. Aktiviti ini akan memberi kesedaran kepada masyarakat, betapa beruntungnya mereka berada di kawasan yang jauh daripada malapetaka dan bencana alam. Oleh itu, mereka akan lebih menghargai dan menilai sesuatu barangan sebelum membeli barang. Tegasnya, aktiviti bantuan amal atau kemanusiaan ini mampu memberi kesedaran kepada masyarakat bandar agar mereka sentiasa berjimat cermat. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.

Sokongan syarikat swasta

Tambah menarik lagi kehadiran televisyen pintar dengan pelbagai aplikasi telah memudahkan semua rakyat memperoleh maklumat. Atas kemudahan teknologi ini, syarikat- syarikat penerbitan filem dan drama, syarikat penyiaran siaran berbayar, dan syarikat telekomunikasi perlulah memberi sokongan padu kepada kerajaan dalam kempen berjimat cermat. Syarikat konglomerat tersebut seharusnya mengambil pendekatan melalui pelbagai aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat untuk membantu kerajaan menjayakan kempen berjimat cermat. Usaha syarikat konglomerat ini bukan saja dapat membantu kerajaan malah dapat mendidik rakyat supaya bijak berbelanja. Secara tidak langsung, mereka dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

Peranan Kerajaan

Pihak kerajaan juga haruslah menjadi peranan utama dalam memupuk amalan berjimat cermat. Hal yang demikian ini kerana kerajaan memiliki kuasa otonomi dan ekonomi untuk melaksanakan pelbagai aktiviti yang mampu menyuburkan amalan berjimat cermat. Contohnya, kerajaan menganjurkan Karnival Jualan Akhir Tahun dan Jualan Kembali Ke Sekolah yang menawarkan potongan harga yang banyak. Dengan program ini, pengguna dapat berjimat cermat untuk membeli barangan keperluan yang lebih utama seperti peribahasa yang menyebut ingat sebelum kena jimat sebelum habis.

Penutup Karangan Amalan Berjimat Cermat

Secara keseluruhannya, usaha memupuk amalan berjimat cermat ini, bukanlah hanya terletak pada bahu ibu bapa sahaja malah kerjasama daripada semua pihak amat perlu untuk merealisasikan amalan ini. Jika usaha ini hanya dipikul oleh satu pihak sahaja ibarat menepuk sebelah tangan, akhirnya nescaya gagal mencapai matlamat sebenar. Sikap boros akan menyebabkan wujudnya jelaan sifat buruk yang merugikan bukan sahaja diri sendiri dan keluarga, bahkan negara. Oleh itu, semua pihak haruslah berganding bahu, bekerjasama dan tolong-menolong antara satu sama lain dalam usaha memupuk amalan berjimat cermat agar generasi akan datang dapat menikmati kesejahteraan hidup.


Contoh Karangan: Kepentingan Menabung
Contoh Karangan: Kepentingan Amalan Berjimat Cermat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *