Skip to content

Karangan SPM : Kepentingan Amalan Berjimat Cermat

Kepentingan Amalan Berjimat Cermat

Berjimat-cermat bermaksud menggunakan apa yang kita miliki untuk perkara-perkara yang perlu sahaja tanpa pembaziran. Bincangkan kepentingan amalan berjimat cermat dalam kehidupan kita.

Faedah dan Kepentingan Amalan Berjimat Cermat

Tahun 2020 dilakari peristiwa hitam akibat pandemik Novel Coronavirus atau lebih dikenali COVID-19. Situasi yang berlaku ini telah memberi pengajaran kepada negara dan rakyatnya tentang kepentingan amalan berjimat cermat dalam kehidupan. Walau bagaimanapun, kita masih belum terlambat untuk terus mengamalkan amalan mulia ini di tengah-tengah kemelut pandemik yang masih belum ketemu titik pengakhiran episod sedih. Intihanya, cermat masa banyak , jimat masa sedikit. Persoalannya, apakah kepentingan amalan berjimat cermat terhadap kehidupan kita?

Perbelanjaan harian dapat dikurangkan

Melalui amalan berjimat cermat, perbelanjaan harian dapat dikurangkan. Hal ini demikian kerana kita membandingkan harga barang-barang yang hendak kita beli dan membeli barangan buatan tempatan yang lebih murah harganya. Barang yang berkualiti dan mahal juga eloklah dibeli kerana alah membeli, menang memakai. Kasut sekolah Bata, misalnya ,bukan sahaja tahan lama bahkan berbaloi Pemakaian kasut ini memberikan keselesaan dan kepuasan. Dengan cara ini, bukan sahaja perbelanjaan harian dapat dijimatkan bahkan kebahagaian terjamin.

Persediaan awal sebelum kecemasan

Dari satu perspektif, wang bukanlah segala-galanya namun wang masih menjadi faktor utama penyelesaian masalah. Keadaan ini boleh dilihat apabila seseorang menghadapi dugaan seperti bencana alam, kemalangan, dan kebakaran yang sering dikaitkan dengan pepatah ‘malang tidak berbau’. Kesemua dugaan tersebut memerlukan wang untuk membaik pulih dan membeli barangan keperluan untuk meneruskan kehidupan. Tidak lain dan tidak bukan hanya dengan amalan berjimat cermat sahaja dapat menyelamatkan keadaan. Benarlah kata peribahasa Melayu, “sediakan payung sebelum hujan’. Tegasnya, amalan berjimat cermat ini merupakan persediaan awal sebelum sesuatu kecemasan berlaku.

Membeli barangan yang diharapkan

Dari perspektif yang berbeza pula, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pernah memberitahu bahawa kebanyakan individu yang meminjam daripada lintah darat ini terperangkap akibat kegagalan pengurusan kewangan mereka. Jika mereka bersikap ukur baju di badan sendiri, pasti masalah pengurusan kewangan ini tidak berlaku. Sebagai contoh, seseorang yang hendak membeli barangan peribadi seperti jam pintar akan mula melakukan penjimatan wang belanja harian lalu menabung wang simpanan tersebut sehingga mencapai matlamat kewangan untuk membeli barangan yang diminatinya. Keadaan ini seolah- olah sebagai ganjaran setelah berjimat cermat. Secara tidak langsung, amalan ini dapat memberi kepuasan kepada seseorang yang berjimat cermat untuk mendapatkan sesuatu yang diharapkan.

Menjamin masa depan yang lebih cerah

Di samping perspektif di atas, amalan berjimat cermat dikatakan mampu menjamin masa depan yang lebih cerah. Amalan berbelanja secara berhemat dan menyimpan wang merupakan amalan yang mampu menjamin masa hadapan. Amalan ini akan mengelakkan nafsu kita daripada berbelanja sesuka hati bak kata peribahasa, íkut hati mati, ikut rasa binasa, malah tabiat ini akan menggalakkan kita berhutang setiap bulan untuk memenuhi kehendak kita. Hanya dengan berjimat cermat, kita dapat merancang masa depan pendidikan, kerjaya, perkahwinan, dan keperluan hidup dengan lebih mudah dan terancang. Bukti jelas lagi konkrit ini menunjukkan kepentingan amalan berjimat cermat diamalkan sejak usia remaja lagi mampu menjamin masa depan yang gilang-gemilang.

Ekonomi negara dapat distabilkan

Seterusnya, faedah berjimat-cermat ialah ekonomi negara dapat distabilkan. Tanpa kestabilan ekonomi, sesebuah negara tidak dapat dibangunkan atau dimajukan. Komitmen masyarakat untuk berjimat-cermat amatlah diharapkan bagi membangunkan ekonomi negara. Seseorang itu dapat berjimat cermat dengan cara membeli barangan buatan tempatan atau melancong dalam negara mereka sendiri. Contohnya, apabila seseorang itu membeli barangan buatan tempatan, hal ini akan mengelakkan pengaliran wang keluar negara. Maka, negara akan dapat membiayai pelbagai projek yang mendatangkan keuntungan, lebih-lebih lagi ketika kegawatan ekonomi.  Oleh yang demikian apabila kita berjimat-cermat , kegiatan ekonomi tempatan dapat dihidupkan secara lebih aktif dan efektif. Impaknya, ekonomi negara akan menjadi lebih mampan.

Memelihara dan memulihara alam sekitar

Tidak dapat dinafikan bahawa, amalan berjimat cermat merupakan amalan yang memberi kesan positif dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar. Hal ini dikatakan demikian kerana manusia sedang mengeksploitasi sumber alam semaksimumnya tanpa memikirkanakibatyangbakaldihadapiolehmereka. Jikamanusiadapatmengubahkehidupan mereka dengan berjimat cermat dari segi makanan, penggunaan bekalan air dan elektrik serta kertas dan lain-lain lagi, kita sebenarnya sedang menuju ke arah menyelamatkan bumi daripada mengalami kemusnahan. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna, maka, kita perlu berjimat cermat dalam penggunaan setiap benda sebagai langkah menjimatkan sumber alam agar kita dapat hidup sejahtera dan harmoni di muka bumi ini.

Penutup Karangan Amalan Berjimat Cermat

Secara keseluruhannya, amalan berjimat cermat ini merupakan amalan yang mendisiplinkan seseorang agar dapat berfikir sebelum bertindak dengan menjadikan fikiran waras dan rasional untuk melakukan pertimbangan yang wajar sebelum pembelian sesuatu barangan sama ada barang tersebut barang keperluan atau barang kehendak semata-mata. Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi memupuk amalan berjimat cermat ini dapat agar disemai dalam jiwa remaja masa kini demi kelangsungan hidup yang lebih terjamin.


Contoh Karangan: Kepentingan Menabung
Contoh Karangan: Cara Memupuk Amalan Berjimat Cermat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *