Skip to content

Contoh Karangan – Punca Pencemaran Sungai

Contoh Karangan Punca- punca pencemaran sungai

Manusia yang sibuk mengejar kemewahan dunia memberi kesan kepadaalam sekitar.Antara yang teruk terjejas akibat perbuatan manusia ini adalah sungai. Apakah punca pencemaran sungai yang boleh dikenal pasti.

Punca dan Faktor Pencemaran Sungai

Alam sekitar merupakan kurniaan Tuhan yang diamanahkan kepada kita untuk menjaganya kerana kita akan mewariskannya kepada generasi akan datang. Seharusnya, alam ini perlulah digunakan dengan sebaik-baiknya, dijaga dengan teliti dan dilindungi daripada pencemaran. Namun, keadaan sekarang memperlihatkan bahawa manusia alpa dengan tanggungjawab mereka untuk menjaga alam sekitar kerana terlalu sibuk mengejar kemewahan dunia. Manusia lebih sibuk mengeksploitasi alam sekitar untuk kepentingan diri sendiri tanpa memikirkan tentang kesan akibatnya kepada alam sekitar.

Antara yang teruk terjejas akibat perbuatan manusia ini adalah sungai. Jesteru, punca-punca yang menyebabkan pencemaran perlulah dikenal pasti dengan segera kerana adakah kita mahu menunggu sehingga sungai di negara sudah teruk tercemar barulah kita hendak mengambil tindakan, seperti kata pepatah, sudah terhantuk baru terngadah?

Pembuangan sampah sarap ke dalam sungai

Antara punca pencemaran sungai ialah pembuangan sampah sarap ke dalam sungai. Sampah sarap dan sisa buangan domestik yang dibuang ke dalam sungai memberikan kesan yang buruk kepada sungai. Hal ini kerana, pembuangan sampah sarap ke dalam sungai akan menyebabkan sungai dipenuhi plastik-plastik sampah dan bahan-bahan terbuang yang terapung pada permukaan air. Selain itu, warna sungai akan bertukar daripada jernih kepada kehitam-hitaman atau kehijau-hijauan. Sebagai contoh, di negara kita sendiri, jika kita lihat sungai-sungai di kawasan bandar mahupun di kawsan kampung, keadaan sungai adalah keruh dan sisa-sisa sampah boleh dilihat terampai di permukaan sungai. Kesannya, hidupan akuatik akan musnah dan sumber air manusia akan tercemar serta menyebabkan bau yang kurang menyenangkan. Oleh itu, pembuangan sampah ke dalam sungai boleh menyumbangkan kepada pencemaran sungai.

Pembuangan sisa dari kilang-kilang

Selain itu, pembuangan sisa dari kilang-kilang juga menyebabkan berlakunya pencemaran sungai. Kilang-kilang yang dibina di tepi sungai pada kebiasaannya akan mengalirkan sisa-sisa daripada kilang mereka ke dalam sungai sebagai cara mudah untuk melupuskan sisa tersebut. Apabila sisa ini dialirkan ke sungai, pengusaha kilang dapat menjimatkan kos bagi pelupusan sisa tersebut. Kesannya, sungai akan dicemari dengan sisasisa toksik dan bahan-bahan kimia yang merendahkan kualiti air dan sungai menjadi tidak sesuai untuk didiami hidupan-hidupan akuatik. Jesteru, pengaliran sisa dari kilang memberikan kesan buruk kepada sungai.

Kegiatan pembalakan

Punca lain yang menyebabkan berlakunya pencemaran sungai ialah kegiatan pembalakan. Apabila pokok-pokok ditebang, tanah akan terdedah kepada hakisan daripada air hujan kerana pokok-pokok tidak lagi menaungi tanah daripada hakisan terus daripada air hujan. Tanah yang terhakis akan mengalir ke sungai dan sungai menjadi lebih cetek kesan mendapan tanah tersebut. Selain itu, ranting-ranting pokok dan kayu-kayu yang dibuang ke dalam sungai juga akan menyebabkan sungai-sungai tersekat. Kesannya, fenomena seperti banjir kilat boleh berlaku dan kualiti air untuk tujuan domestik akan menurun berikuta adanya mendapan yang banyak di dalam air sungai. Oleh itu, kegiatan pembalakan dapat memberikan kesan buruk kepada sungai.

Kesimpulanpunca pencemaran sungai

Kesimpulannya, punca- punca pencemaran sungai perlulah diteliti dengan lebih mendalam supaya usaha-usaha menangani masalah pencemaran ini dapat dijalankan dengan lebih berkesan. Pihak kerajaan seharusnya menjalankan langkah yang lebih proaktif dengan mengadakan lebih banyak kempen kesedaran tentang pentingnya menjaga sungai, mengenakan denda yang lebih tinggi kepada pihak-pihak yang melakukan pencemaran sungai serta mengadakan pemantauan yang lebih kerap terhadap tahap kualiti air sungai di negara kita. Diharapkan, pencemaran sungai dapat diatasi dengan segera agar generasi akan datang dapat menikmati alam sekitar yang kita wariskan kepada mereka tanpa sebarang masalah.


Contoh Karangan: Mengatasi Pencemaran Alam Sekitar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *