Skip to content

Contoh Karangan SPM – Kepentingan Sungai

Kepentingan Sungai Kepada Manusia

Sungai merupakan anugerah tuhan yang penting kepada kehidupan manusia dan haiwan. Huraikan kepentingan sungai kepada manusia.

Kepentingan Sungai Kepada Manusia

‘Enam kali sungai Selangor tercemar’ merupakan antara tajuk akhbar yang mengejutkan seluruh penduduk negeri Selangor pada tahun 2020. Pencemaran sungai ini dikatakan berpunca daripada pengusaha-pengusaha kilang yang membuang sisa industri ke dalam sungai berdekatan kilang. Keadaan ini menyebabkan bekalan air ke kawasan perumahan dan industri terpaksa dihentikan untuk kerja-kerja pembersihan loji. Oleh itu, kerajaan perlu bertindak tegas dalam membanteras jenayah alam sekitar ini demi menjamin kepentingan air kepada pengguna khususnya penduduk negeri Selangor. Persoalan yang masih menjadi tanda tanya dalam fikiran ialah, apakah kepentingan sungai kepada kita?

Sumber bekalan air utama

Sejak zaman dahulu lagi, sungai merupakan perkara utama dalam kehidupan kita. Air sungai merupakan sumber bekalan air utama kepada manusia dan haiwan. Manusia menjadikan air sungai sebagai sumber bekalan minuman dan keperluan harian. Sebagai contoh, manusia menggunakan air untuk mencuci pakaian, membersihkan diri, membersihkan kawasan rumah dan pelbagai lagi penggunaan air dalam kehidupan manusia. Hal ini dikatakan demikian kerana air sungai sangat penting kepada manusia. Secara tidak langsung, air sungai dapat memastikan manusia berada dalam keadaan bersih dan terhindar daripada sebarang kotoran yang boleh menyebabkan serangan penyakit. Jelaslah bahawa air sangat penting dalam keperluan asasi manusia.

Sumber makanan dan punca pedapatan

Selain kepentingan tersebut, air sungai juga menjadi sumber makanan dan punca pedapatan kepada manusia. Mereka yang tinggal berdekatan sungai akan mencari sumber makanan dengan menangkap ikan menggunakan pelbagai cara seperti menjala dan memancing ikan. Malah manusia juga menjadikan sungai sebagai sumber pendapatan. Mereka akan menjual hasil tangkapan kerana harga ikan sungai amat mahal berbanding ikan laut. Antara ikan sungai yang menjadi buruan ialah ikan kelah, ikan sebarau, ikan krai, ikan patin, ikan baung, ikan ketutu dan ikan temoleh. Harga ikan tersebut mencecah ratusan hingga ribuan ringgit. Jelas menunjukkan bahawa sungai mampu menjana pendapatan kepada manusia.

Pusat rekreasi dan aktiviti pelancongan

Dari sudut yang berlainan pula, sungai turut mampu menjadi pusat rekreasi dan aktiviti pelancongan. Kewujudan pusat pelancongan di kawasan sungai seperti sungai Congkak di Hulu Langat Selangor telah menggamit ribuan pengunjung ke kawasan tersebut pada hari minggu. Mereka yang datang ke pusat rekreasi tersebut dapat menikmati keindahan alam sekitar sambil beriadah bersama dengan keluarga. Hal ini sekali gus dapat merapatkan hubungan kekeluargaan pengunjung di samping dapat merehatkan diri dan minda daripada memikirkan bebanan kerja. Secara tidak langsung aliran sungai akan memberi ketenangan kepada pengunjung. Jelaslah bahawa sungai memberi pelbagai manfaat kepada manusia.

Sungai sebagai medium pengangkutan

Kepentingan sungai yang terakhir ialah sungai sebagai medium pengangkutan. Sejak dahulu lagi, sungai telah menjadi sumber pengangkutan air. Bukan sahaja pengangkutan untuk membawa manusia dari satu tempat ke satu tempat yang lain tetapi sungai juga menjadi laluan penting dalam menjana ekonomi negara. Bot-bot kecil nelayan mencari rezeki di kawasan sungai dan kebanyakan daripada mereka merupakan nelayan kampung yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Secara tidak langsung sungai dapat berbakti kepada manusia dalam semua aspek demi kelangsungan manusia untuk hidup. Tegasnya sungai merupakan laluan dan lubuk mencari rezeki.

PenutupKarangan Kepentingan Sungai

Sesungguhnya sungai merupakan anugerah yang amat besar kepada manusia dan haiwan serta alam sekitar. Jika sungai tidak dijaga dengan baik, maka kerosakan teruk akan dirasai sendiri oleh manusia kerana keadaan sungai di Malaysia bagai retak menanti belah dan pada bila-bila masa akan mengalami bencana yang besar. Oleh itu, semua pihak haruslah bergembleng tenaga, bersatu hati, melangkah bersama mencari kesepakatan dan titik penyelesaian bagi memastikan sungai terus dipulihara dan dipelihara untuk diwarisi oleh generasi akan datang.


Contoh Karangan: Punca pencemaran sungai dan Kepentingan Sungai

1 thought on “Contoh Karangan SPM – Kepentingan Sungai”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *