Skip to content

Contoh Karangan SPM: Faedah belajar sambil bekerja

Faedah belajar sambil bekerja Contoh Karangan SPM: Faedah belajar sambil bekerja

Pelajar masa kini bijak mencari peluang dengan bekerja sambilan. Huraikan faedah belajar sambil bekerja secara sambilan terhadap pelajar di sekolah.

Faedah Bekerja Secara Sambilan terhadap Remaja

Pada zaman ini, kita sering melihat pekerja yang bekerja di pasar raya merupakan pelajar sekolah. Kebanyakan pelajar masa kini tertarik untuk bekerja secara sambilan di luar waktu sekolah. Hal ini demikian, mungkin disebabkan oleh faktor kemiskinan yang dihadapi oleh pelajar tersebut, sekaligus memaksa mereka untuk berbuat demikian atau sekadar ingin mencari wang poket tambahan. Tempat-tempat seperti pasar raya, pusat beli-belah dan kedai buku merupakan tempat pilihan pelajar untuk belajar selepas tamatnya sesi persekolahan. Persoalannya, apakah kebaikan yang bakal diperolehi oleh pelajar jika mereka belajar sambil bekerja?

Meringankan beban keluarga

Pelajar yang belajar sambil bekerja akan dapat manfaat seperti dapat membantu meringankan beban keluarga. Pelajar yang bekerja ini dapat membantu ibu bapa mereka dari segi kewangan, lebih-lebih lagi jika ibu bapa mereka mempunyai tanggungan yang banyak. Hal ini kerana terdapat sesetengah keluarga yang menghadapi masalah kewangan sehingga terpaksa berhutang dengan orang lain untuk menampung segala perbelanjaan termasuk persekolahan anak-anak. Sebagai contoh, gaji yang diperolehi melalui pekerjaan ini dapat digunakan untuk membeli barang keperluan sekolah. Selebihnya mungkin dapat diberikan kepada ibu bapa untuk disimpan untuk kegunaan masa hadapan. Oleh hal yang demikian, masalah kewangan yang dihadapi oleh keluarga dapat dibendung jika pelajar mengambil inisiatif untuk bekerja secara sambilan.

Melatih perancangan masa

Selain menambah pendapatan, mencuba pengalaman baru dan mengisi masa lapang adalah antara sebab lain pelajar memilih untuk bekerja sambilan. Kerja separuh masa melatih pelajar menjadi bakal graduan yang berdisiplin. Disiplin diri seperti pengurusan masa boleh diperbaiki dengan cara mengurus masa antara bekerja dan belajar pada masa yang sama. Dengan perancangan masa yang betul, pelajar akan sedaya upaya menggunakan masa belajar dan bekerja dengan sebaiknya. Sebagai persediaan untuk menguruskan masa, pelajar perlulah mempunyai buku perancangan (planner) harian supaya pelajar tidak terlepas atau terlupa apa-apa tarikh atau perkara penting dek kerana kesibukan bekerja dan belajar.

Membentuk sikap berdikari

Bukan itu sahaja, pelajar yang bekerja sambil bekerja boleh membentuk sikap berdikari dala diri mereka. Hal ini disebabkan oleh pelajar yang bekerja sambal belajar ini akan dapat merasai pengalaman bekerja dan berusaha mencari wang hasil titik peluh mereka sendiri. Dengan ini, sikap berdikari yang timbul dalam diri pelajar itu akan menjadikan mereka sentiasa berusaha mendapatkan sesuatu tanpa bergantung kepada orang lain. Misalnyajka pelajar itu ingin mendapatkan sesuatu yang mereka inginkan, mereka akan bekerja untuk mendapatkannya tanpa menggunakan duit ibu bapa. Maka, sikap berdikari akan dapat dipupuk dalam diri pelajar yang mengambil inisiatif untuk bekerja.

Penguasaan kemahiran komunikasi

Bekerja sambilan juga boleh mengasah kemahiran amali pelajar seperti kemahiran komunikasi. Penguasaan Bahasa Inggeris adalah salah satu aspek yang penting yang perlu ada dalam diri pelajar. Apabila bekerja, pelajar dapat bertutur dan berbual dengan cara formal yang mana tidak diamalkan semasa sesi pembelajaran. Tempoh masa bekerja ialah waktu latihan secara tidak langsung yang patut diambil oleh pelajar bagi membaiki kelemahan dalam bertutur Bahasa Inggeris. Kemahiran seperti komunikasi ini perlu dilatih supaya menjadi amalan kebiasaan yang mana pelajar tidak akan teragak-agak ataupun dianggap anti sosial sekiranya tidak mempunyai kemahiran komunikasi yang baik semasa bekerja nanti.

Menjauhi dari jenayah seperi merompak

Selain itu, salah satu faedah belajar sambil bekerja ialah bekerja dapat menjauhkan mereka daripada jenayah seperi merompak. Mengapakah para remaja bekerja? Mereka bekerja kerana mereka memerlukan duit untuk membeli barang keperluan mereka seperti telefon bimbit yang terkini dan gajet sebagainya. Oleh itu, apabila mendapat gaji, para remaja tidak perlu mencuri kerana mereka sudah mempunyai wang untuk membelinya. Selain itu, para remaja harus bekerja sewaktu bersekolah kerana mereka masih mentah dan harus menghadapi dunia yang luas pada umur yang muda supaya mereka sudah bersedia untuk menghadapinya pada masa yang akan datang. Mereka juga dapat pengalaman yang berguna dan boleh digunakan pada masa depan mereka.

Remaja akan lebih bersyukur

Kegiatan belajar sambil bekerja juga mendidik remaja menjadi lebih bersyukur pada apa yang mereka punyai kini. Para remaja kini tidak bersyukur pada apa yang telah diberikan oleh ibu bapa mereka kerana mereka tidak tahu betapa susahnya ibu bapa mereka bekerja untuk mendapatkan rezeki yang halal untuk memberi makan kepada para remaja. Oleh itu, bekerja pada umur yang mudah dapat menyedarkan diri para remaja betapa dalamnya kasih sayang ibu bapa mereka terhadap mereka. Dari itu, para remaja harus memanjat kesyukuran kepada Tuhan pada apa ia telah berikan kepada mereka. Dari itu, bekerja sewaktu bersekolah dapat membawa beberapa kesan-kesan positif seperti menjauhkan mereka daripada jenayah, mendapat pengalaman dan menyedarkan diri mereka.

Penutup Karangan Faedah Bekerja Secara Sambilan

Kesimpulannya, pelajar yang bekerja secara sambilan akan mendapat faedah untuk diri sendiri. Remaja pada masa kini haruslah mempersediakan diri dengan kemahiran-kemahiran yang secukupnya. Walau bagaimanapun, pelajar perlu sedar akan kemampuan serta kekuatan dan kekurangan diri dalam mengimbangi antara belajar dan bekerja. Bak kata orang masa itu emas, dan hidup ini hanya sekali. Jadi buatlah yang terbaik supaya tidak menyesal di kemudian hari.


Contoh Karangan: Kebaikan bekerja sendiri
Contoh Karangan: Keburukan Bekerja Secara Sambilan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *