Skip to content

Karangan SPM: Faktor untuk Menarik Pelaburan Asing

Faktor untuk Menarik Pelaburan Asing ke Malaysia

Malaysia merupakan salah sebuah pasaran baru yang menawarkan kelebihan bagi pelaburan langsung asing. Apakah faktor yang dapat menarik Pelaburan Asing ke Malaysia?

Faktor untuk Menarik Pelaburan Asing ke Malaysia

Dalam menuju arus kemodenan negara, pelaburan asing menjadi sebahagian daripada insentif ekonomi yang mampu melonjakkan pendapatan syarikat mahupun negara. Keadaan ini sama seperti negara-negara di dunia yang lain, Malaysia turut terlibat dalam industri yang sedang berkembang dengan membuka dasar pelaburan luar di samping turut menggalakkan pelabur-pelabur tempatan untuk mengembangkan sayap perniagaan di arena antarabangsa. Namun, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif dan pragmatif untuk menggamit pelabur asing seterusnya membawa masuk pelaburan ke dalam negara. Persoalannya, apakah faktor yang menarik pelaburan asing ke negara kita?

Menyediakan tenaga kerja

Pemimpin kita bertekad menarik pelaburan asing supaya menjadikan Malaysia negara perindustrian. Antara usaha kerajaan dalam menarik minat pelabur asing ini adalah dengan menyediakan tenaga kerja yang diperlukan oleh pelabur-pelabur asing. Sistem Pendidikan Vokasional atau kolej Vokasional telah menyediakan pelajar-pelajar yang mampu diserapkan dalam bidang pekerjaan setelah mereka tamat persekolahan. Mereka akan diterima masuk ke kolej-kolej yang menawarkan kursus kemahiran peringkat diploma. Kursus Giat Mara dan Kolej Komuniti dibawah MARA telah membantu negara dalam melahirkan tenaga kerja separa mahir justeru, penyediaan tenaga kerja ini adalah untuk menjamin pasaran kerja yang diperlukan oleh pelabur asing.

Kestabilan politik dan ekonomi

Keamanan dalam sesebuah negara menjadi penanda aras bagi pelaburan asing. Kestabilan politik dan ekonomi menjadi daya pengukur pelabur asing untuk melabur ke negara Malaysia. Ekonomi negara yang kukuh telah menjadi faktor utama kedatangan pelabur asing untuk membawa masuk pelaburan ke dalam negara. Malah, kestabilan politik turut menjadi elemen utama yang dilihat oleh pelabur asing demi pelaburan mereka di Malaysia. Sebagai contoh, walaupun negara mengalami kejatuhan harga minyak mentah, namun disebabkan kestabilan pentadbiran negara, maka banyak pelabur masuk untuk membuat pelaburan. Perkara inilah yang selalu dititikberatkan oleh kerajaan demi memastikan pelaburan asing tidak keluar dari negara Malaysia.

Dasar pelaburan asing yang telus dan mesra

Kerajaan juga mengamalkan dasar pelaburan asing yang telus dan mesra pelabur. Kerajaan telah banyak membuka peluang dan ruang kepada pelabur asing untuk melabur dengan syarat-syarat yang minimum tetapi masih menguntungkan negara. Hal ini dikatakan demikian kerana kerajaan mendapati kehadiran pelabur asing ini akan membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat. Strategi ini juga membantu pemindahan teknologi. Sebagai contoh, Kehadiran syarikat ternama automobil dari negara Jepun dan Korea seperti Toyota, Honda, Kia dan Hyundai pada hari ini telah mula memindahkan teknologi mereka ke Malaysia atas dasar ketelusan negara dalam polisi pelaburan asing mereka dalam situasi menang menang.

Kepadatan penduduk

Jumlah kepadatan penduduk juga menjadi faktor yang mampu menarik minat pelabur. Pelabur melihat pasaran tempatan sebagai tempat mereka untuk menjual produk. Objektif utama mereka ialah memasarkan produk yang boleh terima oleh rakyat Malaysia. Pelabur akan melihat kecenderungan pasaran tempatan yang kebanyakannya merupakan penganut agama Islam. Produk yang mendapat pengiktirafan halal akan diberi keutamaan. Matlamat utama pelaburan adalah untuk memperluas pasaran produk. Dengan cara ini, pelabur memasarkan barangan dengan kos pekerja tempatan untuk pasaran tempatan atau domestik. Secara tidak langsung, pelaburan asing ini telah membantu kemasukan teknologi dalam negara.

Masyarakat yang mudah menerima orang asing

Selain itu, sosio budaya masyarakat Malaysia yang mudah menerima kedatangan orang asing menjadi faktor menarik minat pelabur asing untuk melabur ke Malaysia. Pelabur asing berasa selamat dan tenang apabila berada dalam kolompok penduduk tempatan. Mereka selesa berurusan dengan masyarakat tempatan untuk melakukan hubungan dan kerjasama perniagaan. Malah hubungan baik ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang bebas untuk memasarkan produk terutamanya produk muslim yang mendapat pensijilan Halal dari JAKIM. Secara tidak langsung, budaya mesra ini turut memberi impak kepada pekerja asing yang mencari rezeki bak kata peribahasa ada gula ada semut.

Penutup Karangan Faktor untuk Menarik Pelaburan Asing

Tuntasnya, dalam usaha menarik pelaburan dari luar negara, kerajaan tidak harus lupa akan pelabur tempatan yang turut menyumbang dalam KDNK negara. Kerajaan perlulah menjadi jambatan penghubung antara syarikat tempatan dengan syarikat luar negara agar jalinan kerjasama perniagaan dapat diadakan demi kebaikan bersama. Oleh itu, kerajaan janganlah menganaktirikan pelabur tempatan dengan menafikan persaingan sihat dalam perniagaan . Dasar pelaburan negara ini haruslah dikaji impak secara mikro dan makro dalam memastikan kerajaan tidak bersikap seperti menyusukan kera dihutan anak di rumah mati kelaparan.

Contoh Karangan berkaitan: Kesan Negatif Pelaburan Asing
Contoh Karangan berkaitan: Kepentingan Pelaburan Asing

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *