Skip to content

Contoh Karangan SPM: Kepentingan pelaburan asing

Karangan Kepentingan pelaburan asing

Kerajaan Malaysia sentiasa menggalakkan kemasukan pelaburan asing untuk mengatasi masalah kekurangan modal. Huraikan kepentingan pelaburan asing terhadap negara kita.

Kepentingan pelaburan asing di Malaysia

Pada alaf perindustrian negara, Malaysia menjadi salah sebuah pasaran baharu bagi pelaburan asing. Kerajaan mengorak langkah dengan menyediakan pelbagai kemudahan yang diperlukan terutamanya dari aspek pembangunan asas demi menggamit para pelabur cenderung untuk menanam modal di negara kita. Bukan itu sahaja, kerajaan juga membuka peluang pelaburan bersama dengan syarikat tempatan agar wujud daya saing yang sihat. Usaha ini bertujuan agar negara dan rakyat Malaysia dapat menikmati kemakmuran daripada pelaburan asing. Persoalannya, mengapakah kerajaan begitu optimis dengan usaha untuk menarik pelabur asing memilih Malaysia?

Kemasukan teknologi moden dan kepakaran

Selain itu, pelaburan asing juga membawa masuk teknologi moden serta kepakaran ke negara kita yang sedang membangun dengan pesatnya. Tidak dapat dinafikan bahawa penyelidikan dan pembangunan memerlukan sumber atau dana yang besar untuk menampung kos penyelidikan. Oleh sebab itu, tindakan kerajaan membawa masuk pelaburan asing adalah untuk membiayai penyelidikan dan pembangunan teknologi moden. Secara tidak langsung, kerajaan dapat menyerap teknologi moden untuk diguna pakai dalam sektor perindustrian, sektor pertanian, sektor perubatan, sektor pendidikan dan sektor perkhidmatan. Pada masa sama, kerajaan dapat membekalkan kursus dan latihan kepada anak tempatan untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam pasaran pekerjaan.

Meningkatkan pendapatan negara

Dari sudut pertukaran mata wang pula, kerajaan dapat meningkatkan pendapatan negara melalui pelaburan asing. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila pelabur asing membawa masuk modal ke negara Malaysia, kos pembuatan menjadi murah kerana menggunakan bahan mentah yang mudah diperoleh di pasaran tempatan. Pengaliran wang ke luar negara akan berkurangan kerana banyak barangan import telah digantikan dengan barangan tempatan. Malah, pembelian bahan mentah dan barangan dari pasaran tempatan akan membantu Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Keadaan ini membuka peluang yang besar kepada IKS untuk bersaing secara sihat dalam industri tempatan. Secara tidak langsung, ekonomi tempatan menjadi kukuh kerana tidak bergantung pada pasaran luar negara.

Mengatasi Masalah Pengangguran

Pelaburan asing di sector industri akan menawarkan peluang pekerjaan kepada masyarakat kita. Demi meningkatkan produktiviti, tenaga kerja rakyat yang mahir dan separuh mahir amat diperlukan walaupun teknologi moden digunakan. Dalam konteks Malaysia, belia lepasan sekolah memang mendahagakan pekerjaan untuk membaiki nasib diri dan keluarga. Golongan ini sedar, peluang bekerja di sektor awam amat terhad, ditambah lagi kelulusan setakat SPM, lalu kilang-kilang menjadi pilihan. Hal ini bermakna, kehadiran pelabur asing mampu mewujudkan peluang-peluang pekerjaan sekali gus mengurangkan kadar pengangguran dan seterusnya mengurangkan gejala sosial yang dicetuskan oleh penganggur. Setelah mengatasi pengangguran, turut meningkat taraf hidup rakyat Malaysia.

Contoh Karangan: Langkah mengatasi pengangguran

Pembangunan infrastruktur

Pelaburan asing merupakan nadi penggerak ke arah kemajuan negara dalam pelbagai sektor. Kemudahan asas yang sempurna merupakan nadi utama untuk mempergiat pembangunan perindustrian. Bagi menjamin kelicinan perkembangan industri, kerajaan akan memperuntukkan perbelanjaan yang besar untuk membaiki dan menambah infrastruktur awam demi kepentingan bersama. Kerajaan akan mendirikan jalinan lebuh raya, system telekomunikasi canggih, lapangan terbang untuk menarik dan menjayakan projek pelaburan asing. Sebagai contoh, pembinaan jambatan kedua Pulau Pinang iaitu Jambatan Sultan Abdul Halim dibina untuk kemudahan pengangkutan ke pusat Industri Bayan Lepas, Pulau Pinang. Secara tidak langsung, masyarakat juga dapat menikmati kemudahan yang disediakan oleh kerajaan. Pendek kata, pelaburan asing merupakan pemangkin pembangunan negara.

Penutup Karangan Kepentingan pelaburan asing

Secara tuntasnya, kepentingan dan sumbangan pelabur asing kepada negara kita tidak ternilai. Oleh itu, negara perlulah mengambil langkah-langkah yang proaktif, konstruktif dan pragmatik agar menjadi pilihan utama di rantau ini. Dengan suntikan modal dari luar negara ini bukan saja meningkatkan teknologi malah negara mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara Asia. Seterusnya, negara akan makmur dan rakyat dapat menikmati kemakmuran negara.


Contoh Karangan berkaitan: Kesan Negatif Pelaburan Asing
Contoh Karangan berkaitan: Faktor untuk Menarik Pelaburan Asing

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *