Skip to content

Contoh Karangan SPM: Kesan Negatif Pelaburan Asing

Karangan Kesan Negatif Pelaburan Asing

Pelaburan asing menjadi penggerak pertumbuhan ekonomi sesebuah Negara. Pelaburan asing telah memajukan sosioekonomi negara kita dan juga mendatangkan keburukan. Huraikan Kesan Negatif Pelaburan Asing terhadap negara kita.

Kesan Negatif Pelaburan Asing terhadap Malaysia

Kemajuan negara dapat dirasai oleh rakyat melalui penawaran pekerjaan dan seterusnya menyumbang peningkatan sosioekonomi negara. Namun, kejayaan ini telah mengaburi rakyat tentang hasrat sebenar pelabur asing yang datang melabur ke dalam negara. Kegiatan mereka semakin terserlah dan berani melakukan tindakan di luar batas perundangan negara. Tidak dinafikan penguasaan pelabur asing dalam sektor ekonomi akan memberi impak negatif pada sektor ekonomi dan sosial. Persoalannya, apakah kesan negatif pelaburan asing di negara kita?

Sikap pelabur asing yang hanya bermatlamatkan keuntungan

Salah satu impak negatif yang dibawa oleh pelabur asing ialah sikap mereka yang hanya bermatlamatkan keuntungan semata-mata. Mereka mempunyai tujuan lain selain matlamat mereka untuk memperoleh keuntungan yang besar bak kata peribahasa, ada udang di sebalik batu. Mereka hanya menjadikan negara ini sebagai suatu ‘persinggahan’. Mereka hanya berminat dengan tawaran daripada kerajaan lalu mengambil peluang dan kesempatan atas tawaran tersebut. Malangnya, apabila pelabur asing menarik diri daripada melabur di negara kita dan berpindah ke negara lain, masalah pengangguran dalam kalangan pekerja tempatan berlaku. Insiden ini terjadi pada 20 tahun lalu apabila pelabur-pelabur asing mula beralih ke negara Vietnam untuk melabur di sana.

Tidak memenuhi piawaian alam sekitar

Seterusnya pemindahan teknologi yang dibawa oleh pelabur-pelabur asing kebanyakannya tidak memenuhi piawaian alam sekitar. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan teknologi yang dibawa masuk ke negara-negara sedang membangun tidak menepati piawaian alam sekitar dan boleh memberi kesan sampingan kepada kesihatan pekerja. Lihatlah contoh yang berlaku di Papan, Menglembu pada tahun 1986. Asian Rare Earth telah melupuskan sisa toksik tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan dan beratus-ratus penduduk di Papan mengalami kanser. Kes yang sama juga berlaku di negeri Pahang apabila warna air laut berubah menjadi warna merah akibat kesan perlombongan bauksit. Malah penduduk sekitar di Kuantan turut terkesan dengan debu bauksit. Akibatnya, penduduk yang menderita menghidap pelbagai penyakit kronik.

Pekerja asing yang tidak sesuai dengan budaya tempatan

Seterusnya, kesan buruk pelaburan asing juga dapat dilihat dari sudut sosial. Pelabur-pelabur asing membawa masuk pekerja-pekerja dari negara mereka. Keadaan ini akan menyebabkan pekerja-pekerja asing membawa budaya mereka yang tidak sesuai dengan budaya tempatan. Mereka melepak dan minum arak di rumah pekerja. Malah mereka sering bergaduh semasa sendiri kerana berebut wanita. Tidak dinafikan, kes rompakan yang berlaku di kawasan perumahan sering dikaitkan dengan pekerja asing. Masalah ini berlaku disebabkan kebajikan mereka tidak dijaga oleh majikan mereka. Secara tidak langsung masalah sosial ini semakin meningkat.

Pelabur asing yang menutup kilang

Di samping itu , kesan pelaburan asing juga dapat dirasai apabila negara-negara membangun mengalami kemelesetan ekonomi. Pelabur asing yang membuat pelaburan akan mengambil kesempatan menutup kilang mereka dengan alasan mengalami kerugian atau muflis. Akibatnya, masalah pengangguran akan berleluasa dan hal ini akan membawa kesan sampingan kepada negara-negara membangun. Malaysia juga tidak terkecuali mengalami impak negatif ini apabila pelabur-pelabur asing mula bertindak mengurangkan kos operasi dengan memberhentikan pekerja kontrak. Kesan pandemik COVID-19 yang berlaku pada 2020, membuktikan sikap pelabur asing yang mula menarik diri dari sektor ekonomi negara. Akibatnya, negara menghadapi masalah pengangguran yang tinggi.

Penutup Karangan Keburukan Pelaburan Asing

Secara keseluruhannya, dalam usaha mengejar kemajuan negara, kerajaan harus bijak mengatur langkah untuk menarik pelabur asing ke negara kita. Kerajaan perlulah mengambil satu pendekatan yang lebih tegas tetapi berhemah kerana pisang tidak berbuah dua kali demi mengelakkan impak negatif yang dialami ini tidak berlaku lagi. Kerajaan juga tidak seharusnya melihat keuntungan pelaburan semata-mata tanpa menilai aspek-aspek lain yang patut diambil kira dalam perbincangan ekonomi negara.

Contoh Karangan: Kepentingan pelaburan asing
Contoh Karangan berkaitan: Faktor untuk Menarik Pelaburan Asing

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *