Kandungan
Kemasukan warganegara asing membantu pertumbuhan ekonomin tetapi membawa banyak kesan kepada negara kita. Huraikan kesan-kesan kemasukan warganegara asing ke Malaysia.
Kesan kemasukan warganegara asing ke Malaysia
Warganegara asing merujuk kepada individu dari negara luar yang datang ke Malaysia atas pelbagai tujuan seperti mencari rezeki, melanjutkan pelajaran atau menetap secara tetap. Kebanyakan mereka berasal dari negara jiran seperti Indonesia, Myanmar, Vietnam, dan Bangladesh. Ada yang menyambut baik kehadiran mereka kerana menyumbang kepada pembangunan ekonomi, manakala ada juga yang memandang negatif atas faktor keselamatan dan sosial. Oleh itu, kita perlu melihat kesan kemasukan warganegara asing ini dari pelbagai sudut yang memberi impak kepada negara.
Kes jenayah meningkat
Salah satu kesan ketara ialah peningkatan kadar jenayah di negara ini. Terdapat kes warga asing yang terlibat dalam jenayah seperti rompakan, ragut dan penyeludupan akibat kesempitan hidup atau ditipu oleh ejen pekerjaan. Contohnya, pernah dilaporkan kes warga asing yang merompak pasar mini selepas diberhentikan kerja secara tiba-tiba. Ada juga yang menjalankan kegiatan jenayah secara tersusun dalam sindiket seperti pemalsuan dokumen dan pengedaran dadah. Bak kata pepatah, “diberi betis hendak paha”, sesetengah mereka menyalahgunakan kebaikan negara ini. Kehadiran mereka tanpa tapisan yang rapi boleh mengundang ancaman keselamatan kepada rakyat tempatan.
Penyakit berbahaya merebak
Selain itu, kehadiran warga asing secara besar-besaran juga berpotensi menyumbang kepada penularan penyakit berjangkit. Penyakit seperti Covid-19, H1N1 dan penyakit kulit mudah merebak dalam komuniti yang padat dan kurang akses kepada rawatan. Sebagai contoh, terdapat kes kluster Covid-19 yang berpunca daripada asrama pekerja asing yang sesak dan tidak bersih. Tambahan pula, ramai daripada mereka tidak menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum bekerja, menyebabkan risiko jangkitan bertambah. Jika keadaan ini tidak dikawal, sistem kesihatan negara akan terbeban dan rakyat menjadi mangsa.
Populasi negara meningkat secara mendadak
Tambahan pula, populasi negara akan meningkat dengan ketara akibat kehadiran warga asing, terutama mereka yang masuk secara haram. Masalah ini menyukarkan pihak kerajaan untuk merancang kemudahan awam seperti perumahan, pengangkutan dan kesihatan. Situasi ini akan memburukkan lagi masalah kesesakan di kawasan bandar, terutamanya di Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Ibarat menampung air dalam tempayan bocor, perancangan negara akan menjadi sia-sia jika data populasi tidak tepat. Keadaan ini boleh menjejaskan taraf hidup rakyat tempatan akibat perebutan sumber yang terhad.
Peluang pekerjaan rakyat terjejas
Kemasukan warga asing juga menyebabkan persaingan dalam sektor pekerjaan, khususnya dalam sektor bergaji rendah. Mereka sanggup bekerja lebih masa dengan gaji yang rendah, sekali gus mengurangkan peluang pekerjaan rakyat tempatan. Sebagai contoh, ramai pekerja tempatan dalam sektor pembinaan mengadu kehilangan kerja kerana digantikan oleh pekerja asing. Hal ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi rakyat marhaen, malah mengurangkan motivasi anak tempatan untuk menceburi sektor tertentu. Simpulan bahasanya, rakyat tempatan ibarat melukut di tepi gantang jika kerajaan tidak mengambil tindakan sewajarnya.
Kos buruh menjadi murah
Namun begitu, kehadiran warga asing juga membawa kesan positif terutamanya dalam aspek kos buruh. Mereka membantu mengurangkan kos dalam sektor pembinaan, perladangan dan pembuatan kerana sanggup menerima upah yang lebih rendah. Sebagai contoh, majikan dapat menjimatkan kos operasi apabila menggaji pekerja asing dalam projek infrastruktur berskala besar. Ini juga membolehkan pelabur asing melihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif. Walaupun begitu, aspek keselamatan dan kebajikan pekerja tetap perlu dijaga agar tidak berlaku eksploitasi.
Penutup Karangan
Kesimpulannya, kemasukan warganegara asing ke Malaysia membawa pelbagai kesan, sama ada positif atau negatif. Oleh itu, langkah pengawalan yang tegas perlu diambil agar hanya warga asing yang sah dan berkelayakan dibenarkan masuk. Kerajaan perlu menapis kemasukan mereka secara sistematik demi menjamin keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat. Jika ditangani dengan bijak, kehadiran warga asing boleh menjadi aset yang menguntungkan negara. Masyarakat juga perlu berpandangan jauh dan tidak menilai perkara ini dari satu sudut sahaja.
Contoh Karangan: Faktor Kedatangan Pendatang Asing
Contoh Karangan: Langkah mengatasi Masalah Kemasukan Pendatang Asing