Skip to content

Contoh Karangan: Faktor Kedatangan Pendatang Asing

Kedatangan Pendatang Asing

Kebanjiran pendatang asing semakin meningkat di Malaysia menjadi satu masalah kepada negara. Apakah punca puncaKedatangan Pendatang Asing di Malaysia?

Faktor Kedatangan Pendatang Asing di Malaysia

Isu pendatang asing bukanlah satu perkara baru di negara kita. Kebanjiran pendatang asing semakin meningkat dari hari ke hari dan menjadi satu masalah kepada negara. Pekerja asing kebanyakannya datang dari negara yang mempunyai masalah dalaman seperti Indonesia, Filipina, Bangladesh, India, Myanmar, Vietnam, dan yang terbaru dari China. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Jabatan Imigresen, jumlah pekerja asing mencecah 6.7 juta. Jumlah itu termasuk lebih 3 juta pendatang asing yang dipercayai memasuki negara ini secara haram.

pelaksanaan projek pembangunan

Pertambahan pekerja asing dijangka meningkat secara mendadak berikutan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan sepanjang pembangunan Rancangan Malaysia. Pertambahan pekerja asing memang tidak dapat dielakkan, terutama negara kita yang sedang melaksanakan Rancangan Malaysia yang memerlukan beribu-ribu pekerja baru bagi memastikan semua sektor dapat digerakkan dengan lancar. 

kemakmuran dan kestabilan ekonomi negara kita

Antara faktor pekerja asing lebih berminat dengan negara kita ialah kemakmuran dan kestabilan ekonominya. Kekurangan tenaga kerja tempatan juga membuka peluang kepada penduduk negara- negara luar untuk mencari rezeki di sini. Walau apa pun ramai penduduk tempatan berpendapat bahawa masalah pekerja asing ini perlu dikawal agar ia tidak menjadi lebih serius. Apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan ialah menguatkuasakan undang-undang dengan lebih tegas. Hal ini kerana banyak pekerja asing adalah pendatang haram yang menyusup masuk dengan menggunakan dokumen palsu. Akta imigresen perlulah lebih tegas agar pendatang haram ini tidak berani bertindak lebih jauh. Perairan negara juga haruslah dikawal sepanjang masa untuk mengelakkan mereka menyusup melalui jalan laut. 

masalah kekurangan pekerja

Tidak dapat dinafikan, kadangkala pekerja asing dapat mengatasi masalah kekurangan pekerja tetapi hal yang berlaku di Nilai baru-baru ini menyedarkan negara bahawa mereka juga boleh bertindak ganas. Kita tidak mahu negara yang cukup aman ini akan menjadi kacau bilau kerana kemasukan pekerja asing yang tidak dikawal. Sesetengah pihak juga sering menyalahkan belia kerana terlalu memilih pekerjaan tetapi pernahkah mereka cuba untuk memahami masalah belia itu sendiri? Sebagai contoh walaupun belia itu tidak memilih pekerjaan tetapi adakah majikan akan mengambil pekerja tempatan dan dibayar dengan gaji yang berpatutan. Sudah tentu tidak. Majikan lebih rela mengambil pekerja asing dengan bayaran yang murah dan tidak dikenakan caruman EPF atau SOCSO. Bukankah itu lebih menguntungkan? Begitu juga sekiranya belia itu mendapat pekerjaan yang dimintanya tetapi hidup dalam sua sana di kalangan pekerja asing. Dapatkah belia itu menyesuaikan diri dalam keadaan sebegitu? 

Penduduk tempatan tidak menghiraukan

Penduduk tempatan kadangkala tidak menghiraukan sangat dengan kebanjiran pekerja asing. Apatah lagi jika kedatangan pekerja asing ini melancarkan lagi urusan harian mereka dengan bekerja sebagai pembantu rumah, menjaga anak, atau tukang kebun. Tetapi jika kehadiran pekerja asing ini menimbulkan pelbagai kes-kes jenayah seperti membunuh, samun bersenjata api, merogol, pecah rumah, ragut dan banyak lagi maka inilah yang menyedarkan mereka tentang keburukan pekerja asing. Banyak pendatang asing telah ditahan dan diusir di seluruh Malaysia kerana melakukan pelbagai kesalahan di negara ini. 

Penutup Karangan Pendatang Asing

Walau apa jua pendapat masyarakat tentang isu ini, kedatangan pekerja asing ini tetap ada keburukan dan kebaikannya. Terpulanglah kepada polisi kerajaan sama ada ingin kebaikan atau menghadapi masalah dengan isu ini. Untuk mencapai yang terbaik, kerajaan haruslah mengkaji segala aspek dari segi ekonomi, politik, dan sosial agar kedatangan pandatang asing ini dapat dimanfaatkan untuk pembangunan negara.


Contoh Karangan: Kesan kemasukan warganegara asing
Contoh Karangan: Langkah mengatasi Masalah Kemasukan Pendatang Asing

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *