Skip to content

Karangan Kemasukan Pendatang Asing (Langkah)

Langkah mengatasi Masalah Kemasukan Pendatang Asing

Malaysia menjadi tumpuan pekerja-pekerja asing untuk mencari rezeki. Apakah langkah yang boleh kita ambil untuk mengatasi masalah kemasukan pendatang asing?

Langkah mengatasi Masalah Kemasukan Pendatang Asing

Dalam era dunia tanpa sempadan ini, kemasukan pendatang asing sudah menjadi lumrah sama ada dengan cara yang sah atau haram. Kedatangan pendatang asing ini ibarat ada gula ada semut. Mereka datang dengan tujuan mencari rezeki lalu dibawa pulang ke kampung halaman mereka. Oleh itu, kita perlu mengenal pasti langkah bagi mengawal kemasukan pendatang asing ke Malaysia agar dapat membendung aktiviti ini seperti peribahasa yang menyebut cegah sebelum parah. Persoalannya, apakah langkah yang boleh kita ambil bagi menangani masalah kemasukan pendatang asing?

Penguatkuasaan undang-undang

Langkah yang paling efektif dalam menangani kemasukan pendatang asing adalah melalui penguatkuasaan undang-undang. Kerajaan hendaklah mengenakan hukuman penjara mandatori kepada majikan atau ejen yang mengambil pendatang asing bekerja. Tindakan ini akan menyebabkan orang ramai berasa takut untuk mengambil pendatang asing bekerja di premis mereka sekali gus akan menyebabkan permintaan tenaga kerja asing menjadi kurang. Oleh itu, pihak berkuasa hendaklah tegas dalam menjalankan penguatkuasaan agar mereka gerun dan tidak memandang rendah kepada penguatkuasa.

Menggalakkan majikan mengambil pekerja tempatan

Selain penguatkuasaan, kerajaan hendaklah menggalakkan majikan mengambil pekerja tempatan berbanding pekerja asing untuk mengurangkan permintaan pekerja asing dalam pasaran kerja. Apabila kurang permintaan, maka pekerja asing akan beralih ke negara lain untuk mencari pekerjaan. Malah, jadual waktu anjal atau konsep kerja dari rumah juga dapat membantu wanita bekerja untuk menguruskan anak-anak dengan lebih mudah tanpa memerlukan bantuan daripada pengasuh atau pembantu rumah warga asing. Keadaan ini dapat mengelakkan wanita bekerjaya mengambil pendatang asing sebagai pembantu rumah. Secara tidak langsung, kita dapat membantu kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Mengambil pekerja Orang Kurang Upaya

Bukan itu sahaja, kerajaan juga hendaklah menggalakkan majikan mengambil pekerja daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU). Hal ini dikatakan demikian kerana golongan OKU juga memiliki kemahiran bekerja setanding pekerja normal. Malah daya usaha mereka lebih daripada pekerja normal kerana faktor kekurangan fizikal menjadikan mereka lebih bersemangat dan tabah. Tidak dinafikan bahawa pengambilan pekerja daripada golongan OKU dapat mengurangkan kebergantungan syarikat kepada pekerja asing. Oleh itu, golongan OKU turut berperanan membantu kerajaan mengurangkan permintaan kepada pekerja asing.

Kerjasama serantau antara negara jiran

Langkah terakhir yang wajar diambil bagi menangani masalah kemasukan pekerja asing adalah dengan kerjasama serantau antara negara-negara jiran. Hal ini bertujuan untuk membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin yang sesuka hati keluar masuk melalui lorong-lorong tikus di sempadan negara seperti di sempadan Malaysia dan Thailand. Sebagai contoh , seorang anggota polis telah ditembak oleh penyeludup di sempadan negara semasa melakukan operasi pengintipan. Peristiwa ini membuktikan bahawa penjenayah antarabangsa bertindak berani menjadikan laluan tikus sebagai laluan penyeludupan barang, dadah, manusia dan senjata. Dengan cara ini kemasukan pekerja asing dapat dikawal agar tiada agenda jahat yang boleh mengganggu-gugat keselamatan negara.

Penutup Karangan Kemasukan Pendatang Asing

Secara kesimpulannya, kerajaan haruslah mengambil pendekatan undang-undang agar mereka patuh akan peraturan di Malaysia kerana di mana bumi dipijak, disitu langit di junjung. Mereka tidak seharusnya bersikap seperti kaduk naik ke junjung atau seperti cacing naik ke mata sehingga bersikap sombong dengan penduduk tempatan. Sesungguhnya, kerajaan perlulah mengkaji semula kontrak pekerja asing demi menyelamatkan rakyat tempatan yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik Coronavirus-2019 (COVID-19) yang menyerang negara agar mereka terus dapat menikmati kemakmuran bersama menjelang 2030.


Contoh Karangan: Faktor Kedatangan Pendatang Asing
Contoh Karangan: Kesan kemasukan warganegara asing

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *