Skip to content

Contoh Karangan SPM Kesan Peperangan

Contoh Karangan SPM Kesan Peperangan

Peperangan merupakan peristiwa yang membawa kesan negatif kepada sesebuah negara. Bincangkan kesan-kesan yang dialami oleh negara yang terlibat dalam peperangan tersebut.

Kesan peperangan terhadap negara dan Rakyat

Peperangan merupakan pertempuran antara dua atau lebih negara dengan menggunakan senjata. Peperangan boleh ditakrifkan sebagai konflik antara kumpulan-kumpulan pesaing dengan menggunakan taktik kekerasan. Peperangan yang berleluasa semasa perkembangan tamadun manusia sehingga hari ini telah memberi banyak kesan negatif dari segi ekologi dan kehidupan manusia. Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk memastikan peristiwa peperangan tidak berlaku. Namun demikian, usaha yang dilakukan ini ibarat mencurah air ke daun keladi kerana pencerobohan Rusia ke atas Ukraine telah berlaku pada tahun 2022. Peperangan masih menjadi alat utama untuk memenuhi cita-cita politik dan keperluan pihak yang tidak bertanggungjawab. Persoalannya, apakah kesan buruk yang dialami oleh negara yang terlibat dalam peperangan?

Mengorbankan nyawa manusia

Salah satu kesan peperangan yang paling buruk ialah peperangan akan mengorbankan nyawa manusia yang tidak berdosa. Rakyat yang tidak bersalah seperti kanak-kanak, wanita dan orang tua sentiasa dibunuh tanpa rasa belas kasihan apabila peperangan berlaku. Kekejaman tentera penceroboh yang tidak berperikemanusiaan melakukan serangan letupan bom tanpa mengira tempat dan keadaan. Tambahan pula, wabak-wabak penyakit akan merebak semasa peperangan kerana keadaan persekitaran telah tercemar. Kekurangan kemudahan hospital dan peralatan perubatan juga memburukkan keadaan ini. Sebagai contoh, gerakan ketenteraan Russia di Ukraine telah mengorbankan banyak nyawa tanpa mengira rakyat Russia atau Ukraine. Tegaslah di sini bahawa, peperangan yang berlaku akan membawa kepada kehancuran dan mengorbankan nyawa manusia malah dapat menjejaskan keharmonian sejagat manusia.

Kehilangan kebebasan dan keselamatan

Peperangan telah menghancurkan komuniti masyarakat di sesuatu kawasan itu. Akibat daripada keganasan dan kezaliman semasa peperangan, orang ramai terpaksa melarikan diri ke kawasan yang selamat dengan berjalan kaki beratus-ratus kilometer jauhnya. Untuk mengelakkan serangan bom, penduduk terpaksa bersembunyi di tempat perlindungan yang dibina khas. Mangsa yang tidak berdosa akan kehilangan tempat tinggal. Mereka juga kehilangan orang yang tersayang kerana terkorban dalam peperangan. Dalam keadaan sedemikian, tidak ada hak kebebasan diri lagi. Mangsa perang akan berhidup dengan perasaan takut kerana tiada pihak yang boleh menjamin keselamatan seseorang.

Ekonomi negara terancam

Selain itu, peristiwa peperangan akan menimbulkan krisi ekonomi dan mengancamkan sektor ekonomi negara. Sistem ekonomi bagi negara yang terlibat dalam peperangan akan mengalami gangguan yang teruk sehingga menjejaskan pembangunan negara kerana bajet negara telah berbelanja dalam membeli senjata dan memperkukuhkan ketenteraan negara. Apabila peperangan berlaku, masyarakat setempat terpaksa melepaskan pekerjaan mereka. Kebanyakan firma juga terpaksa memberhentikan operasi. Aktiviti-aktiviti ekonomi seperti pertanian, perdagangan dan pelancongan tidak dapat berjalan dengan lancar. Setelah peperangan sudah tamat, keadaan ketidakstabilan politik juga tidak dapat menarik pelabur asing untuk melabur di negara tersebut. Kadar penggangguran dan krisis inflasi akan meningkat dan pembangunan negara tidak dapat berkembang dalam masa yang singkat.

Pencemaran berlaku

Pencemaran yang berlaku merupakan satu lagi kesan peperangan yang serius dan bahaya terhadap manusia. Pencemaran yang dahsyat di mana telaga-telaga minyak diletupkan telah memberi kesan yang teruk kepada hidupan akuatik dan mengakibatkan sumber makanan terancam. Selain itu, letupan bom, terutamanya bom nuklear akan mengakibatkan kesan pencemaran radioaktif dan mengakibatkan kawasan yang diletupkan itu menjadi gersang. Banyak spesies fauna dan flora akan musnah dan kehilangan habitat mereka. Kesan pencemaran radioaktif akan mengakibatkan masalah kepada zuriat manusia seperti kecacatan pada generasi yang seterusnya. Sebagai contoh, bom atom yang digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki telah menyebabkan sisa-sisa nuklear terbebas di udara dan mengancam kehidupan manusia sampai ke hari ini.

Penutup Karangan Kesan Peperangan

Kesimpulannya, peperangan akan membawa banyak kesan terhadap sektor politik, ekonomi dan sosial seperti yang dilihat di negara Ukraine. Kesedaran tentang kesan peperangan mesti diwujudkan di seluruh dunia supaya manusia cinta akan keamanan. Negara-negara mestilah memupuk semangat toleransi dan keharmonian supaya dapat mengelakkan konflik atau peperangan. Peperangan harus dielakkan melalui jalan perundingan di peringkat antarabangsa. Persidangan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu harus lebih peka dalam menangani dan mengelakkan peperangan agar pembangunan ekonomi dan kemajuan manusia dapat dimantapkan.


Contoh Karangan: Langkah mengatasi Masalah Kemasukan Pendatang Asing
Isi Karangan: Kesan dan langkah mengatasi Keganasan antarabangsa
Sumber: Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine 2022 (Wikipedia)

1 thought on “Contoh Karangan SPM Kesan Peperangan”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *