Skip to content

Contoh Karangan: Kesan ponteng sekolah

Karangan Kesan ponteng sekolah

Gejala ponteng sekolah merupakan masalah yang masih membelenggu institusi pendidikan negara walaupun telah melalui zaman pasca-2020. Huraikan kesan ponteng sekolah.

Kesan buruk ponteng sekolah

Sedasawarsa ini, masalah ponteng sekolah dalam kalangan pelajar semakin menjadi-jadi. Malah kelibat pelajar beruniform melepak sambil menghisap rokok bersama-sama rakan bagai tiada kesalahan atau dosa yang dilakukan oleh mereka. Jika masalah ponteng sekolah dibiarkan tanpa sebarang usaha daripada semua pihak untuk menanganinya, kita khuatiri masalah ini akan menjadi duri dalam daging kepada masyarakat sehingga sukar untuk ditangani bagai retak menanti belah. Oleh itu kita perlu meneliti implikasi daripada aktiviti ponteng sekolah sebelum perkara yang lebih buruk berlaku. Persoalan yang masih berlegar-legar dalam horizon pemikiran kita ialah, apakah kesan daripada aktiviti ponteng sekolah?

Pelajar mengalami kerugian masa

Kesan ponteng sekolah yang telah kita kenal pasti ialah pelajar akan mengalami kerugian masa dan tenaga. Mereka melepak di rumah kenalan sambil bermain permainan dalam talian sehingga habis waktu persekolahan. Akibatnya, mereka telah membuang tenaga dan masa belajar di sekolah dengan bermain permainan dalam talian. Hal ini menyebabkan mereka mengalami kerugian berganda kerana masa dan tenaga yang dibazirkan untuk melepak tidak akan dapat kembali semula. Oleh itu, pelajar perlulah menghargai masa kerana masa itu emas dan sesungguhnya peribahasa Arab ada menyebut ‘masa itu ibarat sebilah pedang, jika kau tidak memotongnya, dia akan memotongmu’.

Sikap masyarakatmemandang serong terhadap pelajar

Selain itu, sikap masyarakat yang memandang serong terhadap pelajar yang ponteng sekolah juga merupakan kesan buruk daripada masalah ponteng sekolah. Apabila masyarakat melihat aktiviti ponteng sekolah, mereka akan menjadikan isu ini sebagai satu polemik dalam masyarakat malah turut menjadikan bahan tular dalam media sosial. Keadaan ini menyebabkan berlaku tanggapan buruk kepada pelajar tersebut lalu mengeruhkan lagi keadaan apabila masyarakat turut mengecam ibu bapa pelajar tersebut yang dianggap tidak pandai menjaga anak seperti ibu ketam mengajar anaknya berjalan lurus. Tegasnya kesalahan yang dilakukan oleh anak-anak pasti ibu bapa menerima akibatnya.

Pihak sekolahmenghadapi masalah dengan ibu bapa

Dari sudut lain pula, pihak pentadbir sekolah turut menerima kesan daripada tindakan pelajar yang ponteng sekolah. Pihak sekolah akan menghadapi masalah dengan ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan tindakan pihak sekolah yang mengenakan tindakan tatatertib terhadap anak mereka. Namun pihak pentadbir sekolah bertindak bijak seperti menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak. Mereka berjaya menyelesaikan masalah tersebut dengan baik malah ibu bapa dan pelajar turut memohon maaf atas keterlanjuran mereka kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Maka, pihak sekolah hendaklah tegas dalam menangani kes ponteng sekolah.

Cikgu akan berasa sedih

Gejala ponteng sekolah juga memberi impak negatif kepada guru mata pelajaran. Mereka berasa sedih setiap kali melangkah masuk ke dalam bilik darjah lalu melihat banyak kerusi kosong yang tidak diduduki pelajar. Keadaan ini menyebabkan guru berasa sedih seolah-olah pelajar tidak meminati subjek dan cara pengajarannya. Malah ketidakhadiran pelajar turut menjejaskan rekod kedatangan dan mata pelajaran. Keadaan ini akan memberi penilaian buruk kepada guru mata pelajaran. Oleh itu, guru-guru perlu tabah menghadapi dugaan dalam menyampaikan ilmu kerana sesungguhnya guru itu ibarat pelita yang menjadi penyuluh hidup. Tegasnya, sikap pelajar yang ponteng sekolah tidak harus menjadi bebanan kepada guru.

Penutup Karangan Kesan ponteng sekolah

Kesimpulannya, aktiviti ponteng sekolah bukanlah hanya satu masalah disiplin sahaja tetapi menjadi faktor yang akan menggalakkan pelbagai aktiviti tidak sihat berlaku. Jika masalah ponteng sekolah tidak dapat diatasi dengan segera, maka masalah ini akan menjadi beban kepada sekolah dan warganya serta merencatkan proses pembelajaran dan pemudahcaraan. Oleh itu, kita hendaklah membantu sekolah menyelesaikan masalah yang masih belum ketemu titik penyelesaian demi menjadikan institusi pendidikan negara sebagai wadah pembinaan insan kamil.


Contoh Karangan: Langkah Mengatasi Masalah Ponteng Sekolah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page