Skip to content

🔥 Contoh Karangan SPM | Topik Penting Ujian Bertutur
⚡️ Senarai Nota KOMSAS | Peristiwa Menarik KOMSAS SPM

Sinopsis Darah Titik Di Semantan mengikut Bab Novel

Sinopsis Darah Titik Di Semantan mengikut Bab Novel Sinopsis Darah Titik Di Semantan mengikut Bab Novel

Darah Titik di Semantan karya Arman Sani mengisahkan perjuangan Datuk Bahaman dan penduduk Lubuk Terua mempertahankan tanah air mereka daripada penjajahan Inggeris dengan penuh keberanian dan pengorbanan. Berikutnya Sinopsis Darah Titik Di Semantan mengikut bab.

Sinopsis Darah Titik Di Semantan

Novel Darah Titik di Semantan mengisahkan perjuangan Datuk Bahaman dan penduduk Lubuk Terua menentang penjajahan Inggeris yang mencabuli perjanjian. Datuk Bahaman dan pengikutnya melancarkan beberapa serangan terhadap Inggeris, termasuk menawan rumah pasung dan menggempur pasukan Desborough. Namun, pertempuran dengan askar sultan menyebabkan ramai pejuang gugur, dan Datuk Bahaman akhirnya berundur ke Lubuk Terua. Walaupun Sultan Ahmad mengampunkan kebanyakan pejuang, perjuangan Datuk Bahaman tetap berterusan bersama Mat Kilau dan Tuk Gajah.

Nota Lengkap Novel Darah Titik Di Semantan

Bab 1 – Cemas

Pada tengah hari itu, Zahid, Samad, Rahman, dan Awang Muhammad berjalan ke Masjid Lubuk Terua melalui kebun kelapa dan dusun buah-buahan, masing-masing tenggelam dalam fikiran sendiri. Zahid terkenang Datuk Bahaman, seorang Orang Kaya Semantan yang berubah sejak pulang dari Pulau Tawar. Dahulu, selepas menyelia Mat Lela dan Datuk Panglima Raja Awang Ishak mengajar silat, Datuk Bahaman sering berkongsi kisah pahlawan Melayu, tetapi kini tidak lagi.

Samad bertanya kepada Awang Muhammad, anak bongsu Datuk Bahaman, mengenai perubahan ayahnya, tetapi dia hanya menggeleng. Rahman paling memahami Datuk Bahaman, kerana dia bekerja sebagai jurutulis pelatih. Menurutnya, Datuk Bahaman kecewa dengan perjanjian Inggeris dan raja, kerana banyak perkara tidak dimasukkan, menyebabkan kemarahannya terhadap Inggeris.

Di simpang jalan ke tebing sungai, mereka terserempak dengan Mat Lela dan berbual tentang ketamakan Inggeris yang merampas emas, bijih timah, serta mengenakan cukai tinggi. Perbualan terhenti apabila mereka tiba di halaman masjid. Zahid dan rakan-rakannya duduk di tengah masjid, manakala Mat Lela di hadapan bersama Datuk Panglima Raja Awang Ishak. Imam Perang Weh turut hadir di sebelah Datuk Bahaman.

Selepas solat, Datuk Bahaman menyeru rakyat bangkit menentang Inggeris, tetapi hanya selepas mempersiapkan diri dengan ilmu dan ajaran agama.

Zahid dan rakan-rakannya bercadang membina kubu di ‘Merbau Berdarah’, tetapi tiba-tiba Mak Long Esah, ibu Samad, datang tergesa-gesa membawa berita bahawa Inggeris telah sampai di Lubuk Terua. Berita tersebar pantas, dan penduduk kampung segera bersiap sedia dengan keris mereka, menunggu perintah Datuk Bahaman.

Bab 2 – Lubuk Terua Tergugat

Zahid terkejut melihat empat perahu sarat dengan papan dan atap nipah tertambat di tebing sungai bersebelahan dusun Datuk Panglima Raja Awang Ishak. Setelah memastikan ibu bapanya ke sawah, dia segera ke rumah Samad, kemudian ke rumah Rahman, tetapi Rahman telah ke rumah Datuk Bahaman lebih awal. Seterusnya, mereka menemui Awang Muhammad untuk berbincang tentang penggalian kubu di Lubuk Sengarat.

Dalam perjalanan ke rumah Datuk Bahaman, mereka terserempak dengan Pak Long Abas dan Datuk Panglima Raja, yang juga menuju ke sana. Datuk Panglima Raja meluahkan kemarahannya terhadap Inggeris yang menceroboh Semantan dan menjadikan dusun duriannya sebagai tapak mereka. Pak Long Abas memohon izin untuk mengamuk, tetapi Datuk Bahaman menenangkan mereka, menegaskan bahawa perang tanpa persiapan hanya membawa kekalahan.

Datuk Bahaman berasa terhina kerana Syres tidak berunding dengannya sebelum menggali kubu dan membina rumah pasung. Namun, beliau menegaskan bahawa Inggeris tetap akan ditentang selepas menghadap sultan. Mendengar kata-katanya, Datuk Panglima Raja dan Pak Long Abas berjanji setia kepadanya.

Selain itu, Datuk Bahaman memuji Zahid dan rakan-rakannya kerana berusaha membina kubu di Merbau Berdarah dan mengarahkan mereka menyiapkan bambu runcing untuk peperangan. Dalam perjalanan ke Lubuk Sengarat, mereka melihat dari seberang sungai mata-mata Inggeris sibuk menggali kubu panjang, menghadap rumah Datuk Bahaman.

Bab 3 – Mencari Penyelesaian

Rahman mengikut ayahnya, Datuk Bahaman dan Datuk Panglima Raja ke Johor, menimbulkan tanda tanya di hati Zahid. Samad mengandaikan mereka ingin mengadu kepada raja tentang tekanan Inggeris, sementara Zahid berpendapat mereka ke sana untuk membeli senjata di pasar gelap Singapura.

Dalam ketiadaan Rahman, Samad mencadangkan mereka berkawal dan Zahid serta Awang Muhammad bersetuju untuk keluar meronda. Zahid menolak kepercayaan Samad tentang penunggu Merbau Berdarah, menyatakan bahawa “hantu” sebenar adalah sifat malas, dengki, dan angkuh dalam diri manusia.

Tiba-tiba, Awang Muhammad mengajak mereka ke Mempatih untuk melihat persiapan pemuda di sana. Di dusun durian, mereka menemui Rahmad dan kawan-kawannya bermain sembunyi-sembunyi. Zahid menegur mereka, menegaskan bahawa masa ini bukan untuk bermain, tetapi untuk berlatih menggunakan senjata dan bambu runcing.

Di kubu, mereka terlihat dua perahu dikayuh empat orang Melayu. Perahu pertama membawa seorang Inggeris dan tiga mata-mata, manakala perahu kedua membawa empat mata-mata Inggeris. Samad mahu menyerang, tetapi Awang Muhammad menghalangnya, mengingatkan bahawa Datuk Bahaman tiada di Semantan.

Mereka segera melaporkan kepada Tuk Muda Bidin, yang setelah mendengar berita itu, menukar pakaian dan bergegas ke sebelah hulu. Mat Lela berpendapat bahawa Inggeris tersebut mungkin Owen, yang datang untuk banci penduduk atau menakut-nakutkan mereka.

Bab 4 – Budi Kepadatan

Awang Muhammad mengajak Zahid dan Samad ke Mempatih. Mereka terkejut melihat kawasan semak di dusun durian telah menjadi padang kecil. Rahmad menjelaskan bahawa dia dan rakan-rakan menggunakannya untuk latihan membaling bambu runcing serta belajar silat dengan Abang Lajis. Zahid memuji usaha mereka.

Sebelum meneruskan rondaan ke hilir, Rahmad mengingatkan mereka tentang dua pemuda Melayu yang mencurigakan. Ketika tiba berhampiran rumah Lajis, mereka terdengar suara perempuan meminta tolong. Mereka melihat dua pemuda mengepung Kak Minah, isteri Lajis. Zahid, Samad, dan Awang Muhammad segera bertindak, bergelut dengan pemuda tersebut.

Tiba-tiba, Datuk Bahaman, Rahman, dan Datuk Panglima Raja muncul. Datuk Bahaman menyoal kedua-dua pemuda itu, yang mengaku datang atas arahan Owen untuk bancian di Lubuk Terua. Datuk Bahaman menghalau mereka, memberi amaran agar tidak menjadi pengkhianat bangsa.

Selepas pemuda itu pergi, Datuk Bahaman dan Datuk Panglima Raja memeluk Zahid serta rakan-rakannya. Awang Muhammad bertanya tentang hasil perjumpaan dengan Gabenor Singapura. Datuk Bahaman menjelaskan bahawa pihak Inggeris tidak berpegang pada janji, hanya mengiktiraf apa yang tertulis dalam perjanjian.

Tidak lama kemudian, Lajis dan Rahmad tiba. Setelah mendengar kejadian menimpa isterinya, Lajis naik angin dan bersumpah menentang Inggeris.

Bab 5 – Inggeris Mencabar Lagi

Samad tertanya-tanya tentang kedatangan Syres ke Lubuk Terua. Dia mengesyaki ada pengkhianat dalam kalangan orang Semantan yang melaporkan kegiatan pemuda-pemuda kepada Inggeris.

Lajis datang ke kubu Zahid untuk berterima kasih kerana menyelamatkan isterinya. Kejadian itu menyedarkannya untuk bangkit menentang Inggeris. Dia telah berbincang dengan Pak Uda Ismail untuk mendirikan bengkel membuat bedil. Datuk Bahaman juga telah mendapatkan jaminan daripada seorang saudagar Melayu untuk membekalkan besi bagi laras bedil.

Sementara itu, Pak Long Abas ditugaskan mencari rotan untuk dijual, dan hasil jualan akan diberikan kepada saudagar tersebut. Datuk Bahaman turut meminta Lajis menjadi pengintip di Kuala Semantan bersama Rahmad, menyamar sebagai pekerja kedai kopi untuk memantau gerakan Inggeris.

Sebelum pulang, Lajis menyampaikan pesanan bahawa Datuk Bahaman mahu semua orang berkumpul di masjid malam itu untuk bacaan surah Yasin.

Bab 6 – Kedatangan Mat Kilau

Sementara menunggu waktu Isyak, Zahid dan Samad berada di pekarangan masjid. Mereka terlihat seorang lelaki asing, Mat Kilau, yang datang dan berjabat tangan dengan Datuk Bahaman serta Datuk Panglima Raja.

Mat Kilau membawa berita tentang mesyuarat di Pulau Tawar antara Clifford, sultan, dan para pembesar. Dalam mesyuarat itu, Syres mengadu bahawa Datuk Bahaman tidak bekerjasama dalam pembinaan rumah pasung, Owen mendakwa beliau menghalang bancian, dan Rodger membangkitkan suratnya kepada Residen Selangor meminta Semantan di bawah Selangor.

Paling mengejutkan, Clifford mendesak sultan menandatangani perisytiharan Datuk Bahaman sebagai penderhaka. Jika enggan, sultan boleh dibuang daerah ke Lautan Hindi. Demi menyelamatkan takhta, sultan terpaksa menandatangani perisytiharan itu, menyebabkan gelaran Datuk Bahaman ditarik balik dan kuasanya dihapuskan.

Namun, Datuk Bahaman menegaskan pangkat tidak penting. Bagi beliau, Inggeris telah mencabar dan memecahbelahkan bangsa Melayu untuk melemahkan mereka. Beliau juga mendedahkan bahawa Gabenor Singapura pernah menawarkan 500 ringgit sebulan agar beliau tidak memihak kepada rakyat, tetapi beliau menolak tawaran tersebut dengan tegas.

Bab 7 – Retak Menanti Belah

Zahid dan Awang Muhammad berkawal di kubu Lubuk Sengarat, manakala Rahman membantu Pak Cik Hassan Tahmid di rumah Datuk Bahaman. Tidak lama kemudian, Imam Perang Weh dan Datuk Panglima Raja tiba, diikuti oleh Lajis yang membawa berita mengejutkanIsmail, Pak Long Abas, dan Samad ditangkap oleh Desborough di Batu Hampar.

Datuk Bahaman segera merancang misi menyelamat. Mereka bergerak ke Kuala Semantan lewat tengah malam. Sesampainya di sana, Datuk Bahaman membacakan sesuatu, lalu dua pengawal Inggeris tertidur lena, membolehkan mereka membebaskan Pak Uda Ismail, Pak Long Abas, dan Samad.

Selepas kejayaan itu, Datuk Bahaman menegaskan bahawa perang sebenar semakin hampir. Inggeris pasti akan menyerang dalam masa terdekat. Namun, beliau berpendapat bahawa peperangan perlu ditangguhkan buat sementara waktu. Titah sultan juga menekankan kepentingan memperkukuh barisan sebelum bertempur.

Bab 8 –  Darah Titik di Semantan

Rahman dan Awang Muhammad mengawal kubu, manakala Zahid dan Samad meronda di hujung kampung sebelum singgah di bengkel membuat senapang. Mereka dimaklumkan bahawa besi laras senapang dari Singapura hanya akan dihantar selepas pembayaran dibuat.

Tiba-tiba, Pak Long Abas muncul dalam keadaan basah kuyup, berlari ke arah hulu. Dia rebah di tangga rumah Datuk Bahaman, menyebabkan Samad panik dan mengejarnya. Setelah Datuk Bahaman memercikkan air sejuk ke wajahnya, Pak Long Abas tersedar dan menceritakan kejadian pagi tadirakit mereka ditahan oleh Desborough.

Desborough mengenali Pak Long Abas, kerana dia pernah ditangkap sebelum ini. Desborough tetap berkeras bahawa Datuk Bahaman mesti ditangkap kerana dianggap penderhaka. Demi menyelamatkan diri, Pak Long Abas terjun ke dalam air dan menyelam, tetapi dia tidak pasti nasib Ismail.

Datuk Bahaman kini tekad menentang Inggeris. Jika benar Ismail telah ditembak di Sungai Semantan, itu adalah titik darah pertama—dan selepas ini, darah Desborough pula yang akan menitik. Beliau segera mengarahkan semua orang bersiap sedia untuk menghadapi Inggeris.

Bab 9 – Ada Ubi Ada Batas

Zahid, Samad, Rahman, dan Awang Muhammad bersiap siaga di kubu Lubuk Sengarat. Buluh runcing telah tersedia, sementara Pak Long Abas tiba dalam pakaian perang, bersenjatakan keris dan senapang.

Datuk Bahaman muncul dengan seutas rantai besi, lalu mengikatnya di pangkal pokok merbau berdarah. Beliau berenang menyeberangi sungai, mengikat hujung rantai di pokok jambu air di seberang, sebelum kembali ke darat. Rantai itu telah dijampi.

Arahan diberikanTuk Muda Bidin dan Imam Perang Weh akan mengepung rumah pasung. Apabila bunyi tabuh kedengaran, serangan akan dilancarkan untuk menghapuskan mata-mata Inggeris. Zahid dan Samad diarahkan pulang makan sebelum kembali ke kubu.

Berita tiba—Desborough mudik bersama lima puluh mata-mata Inggeris. Salah satu perahu membawa mayat, yang dipercayai jasad Ismail. Enam perahu lain berpatah balik untuk menangkap Datuk Bahaman. Inggeris bertekad menangkapnya hidup-hidup.

Saat perahu Desborough tiba di air berpusing, Datuk Bahaman merentap rantai besi yang tenggelam. Perahu terbalik, mencampakkan Desborough dan orang-orangnya ke dalam sungai. Tabuh dibunyikan—serangan dimulakan.

Hujan buluh runcing menghujani Inggeris, menyebabkan beberapa orang lemas dalam pusaran lubuk. Datuk Bahaman terjun dengan keris panjang, mengejar musuh yang berpaut pada perahu terbalik.

Sejam kemudian, keadaan kembali tenang. Pejuang Semantan pulang ke kubu dengan kemenangan besarsemua mata-mata Inggeris di rumah pasung tewas, kecuali segelintir yang melarikan diri. Senjata dan ubat bedil kini di tangan mereka.

Malam itu, Datuk Bahaman mengadakan mesyuarat penting di rumahnya, menandakan perjuangan baru bermula.

Bab 10 – Inggeris Mesti Dikalahkan

Mesyuarat malam itu lebih tegas dan berani. Datuk Bahaman mengarahkan Tuk Muda Bidin dan Imam Perang Weh membawa 50 hingga 60 orang untuk menyerang Bentong pada malam itu juga. Rahman dan Hassan Tahmid ditugaskan berkawal di Lubuk Terua, menguatkan semangat orang-orang di sana.

Pesanan dihantar kepada Tuk Selampi dan Batin Orang Asli—mereka juga perlu bersatu dalam perjuangan ini. Sementara itu, Datuk Bahaman, Datuk Panglima Raja, dan Mat Lela bersama 40 hingga 50 orang akan berjalan kaki ke Temerloh, bertujuan menyelamatkan mayat Ismail.

Zahid, Awang Muhammad, dan Samad ditugaskan mengikut Datuk Bahaman ke Kuala Semantan. Selepas mesyuarat, semua segera bergerak.

Sebelum subuh, mereka tiba di Kuala Semantan. Datuk Bahaman bergerak ke rumah pasung, berhenti kira-kira 30 depa dari bangunan itu. Beliau membaca sesuatudua mata-mata Inggeris yang berkawal terus tertidur.

Mayat Ismail segera dibawa ke perahu. Datuk Bahaman memerintahkan beberapa orang membawa jasadnya ke Lubuk Terua untuk dikebumikan esok.

Kemudian, Datuk Bahaman dan orang-orangnya menyerbu rumah pasung. Beliau dan Mat Lela masuk ke dalam—semua mata-mata Inggeris telah dibunuh, senapang serta peluru dirampas.

Mereka menyeberangi Sungai Semantan dengan perahu dan menuju ke tanjung untuk berehat. Datuk Bahaman memberi arahan penting—jangan tidur berbaris, bagi mengelakkan diri daripada terkena pukau musuh.

Bab 11 – Desborough Datang Lagi

Pasukan Datuk Bahaman dan Datuk Panglima Raja terdiri daripada pemuda-pemuda lasak yang ditugaskan meronda di luar kawasan bandar Kuala Semantan. Ketika meronda, mereka terdengar suara asing dari sebuah bukit. Apabila didekati, mereka mendapati lima orang Inggeris sedang memasak roti di dalam hutan. Tiba-tiba, seorang pemuda dari pasukan mereka melepaskan tembakan ke arah mata-mata Inggeris itu.

Pada malam itu, mereka tidak tidur di tanjung seperti sebelumnya. Keesokan harinya, perjalanan diteruskan. Datuk Panglima Raja mengarahkan Zahid, Awang Muhammad, Samad, dan lima orang lagi untuk meminjam kawah, lima puluh mangkuk, sepuluh kelapa parut, serta gula kabung. Beberapa pemuda lain diarahkan ke hutan mencari ubi gadung. Setelah bubur ubi gadung siap, mereka menghidangkannya di atas tikar yang terbentang di kawasan lapang sebelum bersembunyi.

Tidak lama kemudian, empat puluh mata-mata Inggeris dan dua pegawai Inggeris, termasuk Desborough, tiba di situ. Mata-mata Inggeris tanpa ragu-ragu berebut menikmati bubur tersebut, tetapi Desborough dan seorang lagi pegawai enggan menjamahnya. Akibatnya, mata-mata Inggeris mula mabuk dan seorang demi seorang terjun ke sungai sebelum akhirnya lenyap dibawa arus. Dua pegawai Inggeris yang terselamat segera melarikan diri.

Setelah lima hari di Kuala Semantan, pasukan itu kembali ke Lubuk Terua dan bertemu semula dengan Datuk Bahaman. Sementara itu, Rahman dan Hassan Tahmid telah berjaya mengumpulkan ratusan orang yang mahu berjuang menentang Inggeris. Namun, perjuangan mereka masih belum selesai kerana Desborough dan Owen masih hidup.

Bab 12 – Tipu Helah Inggeris

Dalam dua hingga tiga minggu berikutnya, keadaan di Semantan kembali tenang. Mat Lela menyusun jadual tugas pemuda-pemuda untuk mengawal kampung, sementara Imam Perang Weh mengatur latihan menembak. Tuk Selampit pula menggerakkan orang Asli untuk menyiapkan khemah dan kubu di Darat Kelubi. Namun, ketenangan itu tidak bertahan lama. Pada suatu malam, Datuk Bahaman mengadakan mesyuarat di rumahnya. Keesokan harinya, beliau mengumpulkan semua perajurit Semantan dan memberi amaran bahawa musuh akan kembali mudik ke Semantan.

Dalam persiapan menghadapi musuh, Datuk Bahaman membahagikan kawasan kawalan. Batu Hampar berada di bawah jagaan Datuk Panglima Raja, manakala Imam Perang Weh dan Tuk Muda Bidin mengawal kubu di Pasir Tuk Anjang. Sementara itu, Lubuk Sengarat dijaga oleh Datuk Bahaman sendiri bersama Mat Lela, Tuk Selampit, dan Tuk Muda Bidin. Menurut maklumat yang diperoleh, Desborough akan mengetuai pasukan mata-mata Inggeris yang berjumlah lima puluh orang. Selain itu, tiga ratus askar sultan yang diketuai oleh Tengku Ali juga akan menyertai mereka. Datuk Bahaman mengingatkan bahawa jika askar sultan kelihatan bersama-sama dengan mata-mata Inggeris, pasukan Semantan akan berundur.

Datuk Panglima Raja memimpin Zahid, Samad, Awang Muhammad, dan Rahman ke Batu Hampar. Mereka segera membina kubu di sana. Ketika Zahid dan Samad pergi mengintai pergerakan musuh, mereka mendapati askar-askar sultan telah bercampur dengan mata-mata Inggeris. Setelah menerima laporan itu, Datuk Panglima Raja mengarahkan pasukannya untuk berundur ke Lubuk Terua.

Menjelang senja, Desborough tiba di Lubuk Terua, tetapi perahunya tidak membawa askar-askar sultan. Ketika perahunya melintasi rantai yang telah direntangkan merentasi Sungai Semantan, Datuk Bahaman segera menarik rantai itu dengan kuat. Perahu Desborough terbalik serta-merta, mencampakkan Desborough dan mata-mata Inggeris ke dalam sungai. Serangan segera dilancarkan—orang-orang Datuk Bahaman menghujani musuh dengan buluh runcing, sementara Tuk Selampit menggunakan sumpitannya bertubi-tubi.

Melihat keadaan yang semakin genting, perahu-perahu musuh yang lain enggan meneruskan perjalanan mereka. Datuk Bahaman segera memerintahkan Samad untuk memukul tabuh, memberi isyarat kepada pasukan yang berkawal di hilir Lubuk Sengarat untuk menyerang perahu-perahu Inggeris. Keadaan menjadi kacau-bilau. Askar-askar sultan yang terpinga-pinga tidak tahu sama ada harus berperang atau berundur. Akhirnya, mereka memilih untuk kembali ke Batu Hampar dan seterusnya berundur ke Kuala Semantan.

Beberapa hari kemudian, Mat Kilau datang dari Pulau Tawar dengan berita baru. Clifford tidak berpuas hati kerana tiada seorang pun askar sultan yang tercedera dalam pertempuran itu. Pihak Inggeris kini mencurigai askar-askar sultan dan beranggapan bahawa mereka telah membuat perjanjian rahsia dengan Datuk Bahaman. Clifford mengugut sultan, menyatakan bahawa baginda akan dibuang daerah ke sebuah pulau di Lautan Hindi sekiranya terus berlembut dengan Datuk Bahaman.

Sementara itu, Rodger yang berang dengan keadaan tersebut telah merancang untuk mudik ke Semantan bersama sultan dan Tengku Ali. Kali ini, Inggeris mahu memastikan bahawa askar-askar sultan menembak perajurit-perajurit Datuk Bahaman. Jika tidak, itu bermakna sultan telah berpihak kepada Datuk Bahaman, dan Rodger tahu apa yang perlu dilakukannya.

Kini, Datuk Bahaman berada dalam dilema. Mat Kilau mencadangkan agar Datuk Bahaman berunding dengan sultan apabila baginda tiba kelak. Keputusan ini sangat penting kerana ia akan menentukan masa depan perjuangan mereka.

Bab 13 – Sebuah Perjanjian

Berita kedatangan musuh kali ini menyebabkan penduduk Semantan menjadi kelam-kabut. Dalam tempoh empat hari, Datuk Bahaman tiba di Lubuk Sengarat dan mengesahkan berita yang dibawa oleh Mat Kilau—Rodger benar-benar mudik dengan sultan dan Tengku Ali dalam perahu yang sama. Menyedari keadaan semakin genting, Datuk Bahaman segera mengarahkan Hassan Tahmid untuk memindahkan semua wanita, kanak-kanak, dan orang tua ke Darat Kelubi demi keselamatan mereka.

Sementara itu, Datuk Panglima Raja dan Imam Perang Weh diarahkan berkubu di tebing Pasir Tuk Anjang, manakala Tuk Selampit tetap berkeras mahu menggunakan sumpitnya terhadap orang-orang Inggeris dan mata-mata mereka. Namun, Datuk Bahaman menegaskan bahawa Tuk Selampit hanya boleh menyumpit Rodger sekiranya sultan tidak duduk di sebelahnya.

Petang itu, suasana di Lubuk Sengarat sunyi sepi. Ketika semua orang dalam keadaan berjaga-jaga, Lajis tiba dengan tergesa-gesa membawa berita bahawa musuh telah sampai. Dalam perahu yang pertama tiba di Lubuk Sengarat, Rodger duduk diapit oleh sultan dan Tengku Ali. Tuk Selampit hampir sahaja melepaskan sumpitnya ke arah Rodger, tetapi Datuk Bahaman segera menghalangnya. Akhirnya, satu demi satu perahu yang membawa mata-mata Inggeris dan askar-askar sultan berlalu tanpa sebarang pertempuran. Tuk Selampit beredar dengan perasaan marah kerana tidak dapat bertindak.

Malam itu, Datuk Bahaman dan orang-orangnya berpindah ke darat Pasir Tuk Anjang. Beliau bersiap sedia untuk bertemu dengan sultan, dan selepas pertemuan itu, beliau kembali ke kubunya pada malam yang sama. Menurut Datuk Bahaman, sultan sebenarnya menyokong perjuangan mereka dan mahukan pertempuran esok menjadi pertempuran yang terakhir. Selepas itu, semua pengikut Datuk Bahaman perlu meletakkan senjata dan kembali menjalani kehidupan seperti biasa. Baginda berjanji akan mengampunkan mereka serta mengembalikan pangkat dan kuasa kepada Datuk Bahaman.

Satu perjanjian telah dibuat antara sultan dan Datuk Bahaman. Esoknya, askar-askar sultan akan naik ke darat dan berpura-pura berperang dengan pasukan Datuk Bahaman. Namun, kedua-dua pihak hanya akan melepaskan tembakan ke udara. Kemudian, menjelang tengah hari, pasukan Datuk Bahaman akan berpura-pura berundur. Pihak sultan dan Inggeris akan bersorak meraikan “kemenangan” mereka dan akan mengajak Rodger menyaksikan kejayaan tersebut.

Bagi memastikan semua pengikutnya memahami rancangan ini, Datuk Bahaman segera mengarahkan Mat Lela untuk pergi ke kubu Datuk Panglima Raja, Tuk Muda Bidin, dan Imam Perang Weh bagi menyampaikan perjanjian tersebut. Kejayaan pelaksanaan rancangan ini bergantung kepada kerjasama semua pihak.

Bab 14 – Jatuhnya Lubuk Terua

Di Pasir Tuk Anjang, sekumpulan askar sultan mula naik ke tebing dalam keadaan meniarap sambil menghalakan senapang ke udara. Seperti yang telah diarahkan oleh Datuk Bahaman, mereka hanya akan melepaskan tembakan ke langit sebagai tanda pertempuran yang telah dirancang. Satu demi satu pasukan askar sultan naik ke darat, memenuhi tebing Pasir Tuk Anjang. Tidak lama kemudian, tembakan pertama dilepaskan oleh askar sultan, dan pasukan Datuk Bahaman membalasnya dengan tembakan ke udara.

Namun, keadaan bertukar huru-hara apabila Mat Lela terkena tembakan yang dilepaskan oleh askar sultan. Situasi menjadi semakin parah apabila Awang Muhammad turut ditembak di dadanya dan tidak dapat diselamatkan. Datuk Panglima Raja yang melihat pengkhianatan ini segera mengarahkan orang-orangnya untuk mengamuk. Namun, Datuk Bahaman tetap berpegang pada janjinya dan melarang mereka daripada bertindak balas dengan kekerasan.

Ketegangan semakin memuncak apabila Datuk Panglima Raja merampas senjata daripada Zahid dan melompat keluar dari kubu. Dalam pergelutan, bahu kanannya tercedera akibat hentakan peluru dan ubat bedil. Imam Perang Weh dan Tuk Muda Bidin yang menyedari keadaan yang semakin genting, memutuskan untuk menyerah diri kepada askar-askar sultan. Namun, nasib mereka malang apabila ketua askar sultan bertindak kejam dengan menikam perut mereka hingga menyebabkan kematian.

Menjelang waktu Zuhur, bunyi tembakan semakin berkurangan. Perajurit-perajurit Semantan akhirnya terpaksa berundur ke Darat Kelubi, manakala askar-askar sultan bersorak meraikan kemenangan mereka. Pada petang itu, Sultan Ahmad dan Tengku Ali membawa Rodger ke darat. Rodger dengan angkuh mengucapkan tahniah kepada pasukan sultan atas kemenangan yang diperoleh dan menyatakan bahawa kemungkinan besar Datuk Bahaman telah mati.

Beberapa hari kemudian, Mat Kilau tiba di Darat Kelubi untuk bertemu dengan Datuk Bahaman. Beliau membawa satu surat pengampunan beramai-ramai yang telah ditandatangani oleh Sultan Ahmad. Namun, apabila Hassan Tahmid membaca perintah tersebut, mereka mendapati bahawa semua yang menentang Inggeris telah diampunkan kecuali Datuk Bahaman. Meskipun kecewa, Datuk Bahaman tetap berjiwa besar dan mengarahkan Hassan Tahmid untuk menyampaikan berita itu kepada orang ramai supaya mereka boleh kembali ke kampung halaman masing-masing tanpa rasa takut.

Tidak lama selepas itu, berita tentang Tuk Gajah yang sedang mudik ke Batu Hampar bersama tiga ratus orang askarnya sampai ke pengetahuan Datuk Bahaman. Apabila mereka bertemu, Datuk Bahaman memberitahu Tuk Gajah bahawa kini dia sudah keseorangan dalam perjuangan ini. Tuk Gajah pula menyampaikan berita buruk bahawa rancangan besar-besaran Mat Kilau untuk menentang Inggeris hampir gagal kerana rahsia mereka telah terbongkar. Bahkan, rancangan untuk membunuh Clifford juga menemui kegagalan. Sultan Ahmad yang diberi amaran terakhir oleh pihak Inggeris telah dipindahkan semula ke Pekan. Dalam keadaan yang semakin meruncing, Tuk Gajah memutuskan untuk mudik Sungai Tembeling bersama Mat Kilau dan melarikan diri ke Kelantan atau Terengganu.

Seminggu kemudian, askar-askar sultan yang dipimpin oleh pemimpin lain tiba di Lubuk Terua bersama sekumpulan mata-mata Inggeris yang diketuai oleh Wise. Mereka datang dengan satu tujuan—menangkap Datuk Bahaman. Namun, apabila mereka gagal menemui beliau, mereka bertindak kejam dengan membakar semua rumah penduduk kampung. Orang tua, wanita, dan kanak-kanak turut menjadi mangsa kekejaman mereka, ada yang ditembak dan dibakar hidup-hidup hingga hangus.

Mendengar berita itu, Datuk Bahaman yang sudah meninggalkan Semantan berpatah balik untuk membalas dendam. Bersama-sama pengikutnya, beliau menyerang pihak Inggeris dan membunuh ramai mata-mata mereka. Selepas pertempuran sengit itu, Datuk Bahaman akhirnya membuat keputusan untuk mudik ke Sungai Tembeling dan bersatu kembali dengan Tuk Gajah serta Mat Kilau, meneruskan perjuangan mereka ke negeri lain.

3.4 10 votes
Article Rating
Subscribe
Notify of
guest

1 Comment
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
sya

Hi, namasaya hasya …. saya sedang membaca sinopsis bab 14!

You cannot copy content of this page

1
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x