Kandungan
Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip Talib, yang merupakan bacaan wajib KOMSAS SPM Tingkatan 4, mengisahkan keberanian yang perlu dikenang. Berikut ialah sinopsis mengikut bab untuk memahami perjuangan beliau.
Sinopsis Novel mengikut Bab
Bab 1 Darah Pahlawan
Kisah Leftenan Adnan Wira Bangsa bermula dengan kehidupan Adnan semasa kecil bersama keluarganya. Ayahnya, Pak Saidi, merasa amat gembira kerana dikurniakan tiga orang anak lelaki: Adnan sebagai anak sulung, Ahmad sebagai anak tengah, dan Amarullah sebagai anak bongsu. Mereka membesar di Kampung Sungai Ramal, Kajang, Selangor.
Keluarga Adnan memiliki darah pahlawan—moyangnya pernah membantu Dol Said menentang Inggeris di Naning. Namun, Pak Saidi tidak suka menghebahkan kisah itu kerana pada masa itu, sesiapa yang menentang Inggeris dianggap sebagai penderhaka. Penjajah British tidak suka akan sebarang bentuk penentangan, kerana mereka mahu mengaut sebanyak mungkin hasil bumi dari Tanah Melayu.
Bab 2 Kampung Sungai Ramal
Adnan bermimpi mengenai kehebatan Hang Tuah dan kawan-kawannya. Dia sangat menggemari kisah kepahlawanan Hang Tuah. Setiap malam sebelum tidur, emaknya akan bercerita mengenai pahlawan dahulu kala, menanamkan semangat kepahlawanan dalam dirinya.
Setiap pagi, Pak Saidi membawa Adnan ke tempat kerjanya untuk mengajarnya tentang kesusahan mencari rezeki. Pak Saidi memiliki satu hektar kebun getah dan sebidang tanah sawah sebagai sumber pendapatan utama untuk menyara keluarga mereka. Penduduk Kampung Sungai Ramal bergantung sepenuhnya kepada aktiviti pertanian, sama ada mengusahakan sawah padi atau menoreh getah.
Namun, tidak semua penduduk rajin bekerja. Ada segelintir yang lebih suka menghabiskan masa di warung kopi milik Pak Samad di persimpangan kampung. Warung itu sentiasa meriah dengan penduduk kampung berbual, menjamu selera, dan bermain dam. Pak Saidi dan Adnan turut singgah sebentar di situ untuk berehat sebelum meneruskan kerja mereka.
Bab 3 Harapan Seorang Ayah
Pak Saidi disambut oleh anak-anaknya apabila pulang dari menoreh getah. Hatinya gembira melihat gelagat mereka. Sambil berehat di atas pangkin kayu, dia memerhatikan anak-anaknya yang sedang berlatih silat.
Adnan mengajak adik-adiknya bertarung dalam silat. Walaupun perlawanan itu dua lawan satu, Adnan tetap sukar dikalahkan kerana sikapnya yang tidak mahu mengalah. Setiap kali mereka bersilat, Adnan yang selalu menang. Pak Saidi melihat semangat pahlawan dalam diri anak sulungnya itu.
Walaupun tidak berpelajaran tinggi, Pak Saidi mempunyai wawasan serta keazaman yang tinggi terhadap masa depan anak-anaknya.
Bab 4 Dusun Durian Di Tanah Perkuburan
Pak Saidi bersama anak sulungnya, Adnan, pergi ke kebun durian untuk membersihkan kawasan tersebut. Setelah selesai, mereka berehat di sebuah pondok kecil di dalam kebun.
Sambil bersantai, Adnan mengambil peluang untuk bertanya kepada ayahnya mengapa kebun itu terletak berhampiran kawasan perkuburan. Pak Saidi kemudian menceritakan asal usul kebun tersebut. Adnan turut bertanya mengenai asal keturunan keluarganya, yang berasal daripada darah Minangkabau.
Selain itu, Pak Saidi juga berkongsi kisah penentangan orang Melayu terhadap penjajah, memberikan Adnan pemahaman lebih mendalam tentang sejarah dan perjuangan bangsanya.
Bab 5 Harapan Seorang Ibu
Pak Saidi baru pulang dari ladang getah dan ditegur oleh isterinya, Mak Milah. Mak Milah mempelawa Pak Saidi untuk makan tengah hari. Pak Saidi mengajak anak-anaknya untuk makan tengah hari bersama.
Ketika makan, Pak Saidi tidak lupa untuk memberi nasihat kepada anak-anaknya. Adnan meminta kebenaran daripada ayahnya untuk bersekolah pada tahun hadapan. Mak Milah telah bertikam lidah dengan Pak Saidi untuk menghantar Adnan sama ada di sekolah Melayu, sekolah Inggeris, ataupun di sekolah pondok.
Akhirnya, Mak Milah akur dengan keputusan yang diambil oleh Pak Saidi.
Bab 6 Guru Besar Steward
Pak Saidi membuat keputusan untuk menghantar Adnan ke sekolah Inggeris, walaupun kebanyakan penduduk kampung enggan berbuat demikian kerana bimbang anak-anak mereka akan terpengaruh dengan budaya asing. Namun, Pak Saidi berpendapat sebaliknya—baginya, pendidikan adalah kunci masa depan.
Setiap pagi, sebelum menuju ke sawah, Pak Saidi akan mengayuh basikalnya untuk menghantar Adnan ke sekolah Inggeris di pekan Sungai Ramal. Menjelang tengah hari, dia kembali ke sekolah untuk menjemput anaknya pulang.
Bab 7 Mereka Tidak Mengerti
Penduduk Kampung Sungai Ramal menjadi gempar. Orang ramai heboh bercerita mengenai Pak Saidi yang menghantar anaknya belajar di sekolah Inggeris. Ramai penduduk tidak bersetuju. Pak Saidi menjadi perintis dalam keputusan ini, sebagai orang pertama yang berbuat demikian. Mereka khuatir anak Saidi akan dipengaruhi oleh Orang Putih.
Lebai Pian menyuruh Tok Ketua mengambil tindakan atas perbuatan Saidi. Namun, Tok Ketua membantah. Lalu, Tok Ketua menyatakan bahawa anak Lebai Pian mencuri buah rambutan dan durian orang kampung. Nordin, iaitu anak Lebai Pian, membuat rancangan untuk mengenakan Pak Saidi.
Bab 8 Seteguh Karang
Pak Saidi berehat di pondok yang terletak di tepi sawah, tiba-tiba Karim datang menghampirinya lalu menyerahkan wang hasil jualan getah. Kemudian, Karim memberitahu Pak Saidi bahawa Abu menghasut Tok Ketua supaya mengambil tindakan ke atasnya kerana menghantar anaknya ke sekolah Orang Putih.
Karim ingin mendapatkan penjelasan terus daripada Pak Saidi mengenai keputusannya itu. Petang itu, rumah Pak Saidi didatangi oleh Tok Ketua Kampung, Lebai Pian, Karim, dan Isa untuk mendengar penjelasannya. Sedikit perbalahan berlaku antara Pak Saidi dengan Lebai Pian. Akhirnya, Lebai Pian terdiam setelah dibidas oleh Pak Saidi.
Bab 9 Anak-Anak Kampung
Adnan dan Ahmad duduk di atas pangkin kayu untuk melepaskan penat setelah bermain perang olok-olok. Adnan mengajar Ahmad beberapa perkataan dalam bahasa Inggeris.
Pada malam itu, rumah Pak Saidi telah dicerobohi oleh pencuri. Adnan dan Pak Saidi segera mengejar pencuri tersebut, dan Pak Saidi kagum dengan keberanian Adnan. Namun, pencuri itu sempat melarikan diri selepas membocorkan tayar basikal Pak Saidi.
Di sekolah, Adnan terkenal sebagai pelajar yang rajin dan pintar. Dia amat disenangi oleh rakan-rakan serta guru-gurunya.
Bab 10 Masuk Jawi Basikal Baharu
Adnan merupakan pelajar yang rajin dan disayangi oleh gurunya, seorang lelaki Inggeris bernama Anderson. Guru tersebut semakin kagum apabila Adnan menyatakan bahawa dia bercita-cita untuk menjadi seorang askar.
Sementara itu, Adnan berasa risau kerana bakal dikhatankan tidak lama lagi. Namun, dia merasa sedikit teruja kerana Pak Saidi telah berjanji untuk membelikannya sebuah basikal baharu selepas berkhatan.
Bab 11 Yakin Boleh
Adnan ingin mencuba menyertai pertandingan syarahan dalam bahasa Inggeris, tetapi rakan-rakannya mengejeknya. Namun, Cikgu Nazri tertarik dengan kesungguhan Adnan.
Tidak lama kemudian, ramai rakannya yang lain turut terinspirasi dan mahu menyahut cabaran daripada Cikgu Nazri. Di rumah, Mak Milah menguji keyakinan anaknya, sementara Pak Saidi memberikan kata-kata semangat untuk menguatkan lagi tekad Adnan.
Akhirnya, Adnan berjaya menjuarai pertandingan tersebut.
Bab 12 Jaguh Kampung
Adnan dan Budin bertarung dalam pertandingan tinju. Sebelum pertandingan bermula, mereka bertikam lidah kerana Budin tidak berpuas hati dengan kemenangan pasukan bola Sungai Ramal dalam perlawanan bola sepak.
Pada hari itu, diadakan perlawanan tinju antara Kampung Sungai Ramal dan Kampung Sungai Merab, di mana Adnan dan Budin turut bertanding. Para penyokong bersorak dengan penuh semangat, tetapi penonton terkejut apabila melihat Budin dan Adnan berpelukan serta bersalaman selepas perlawanan.
Bab 13 Darah Muda
Selepas menamatkan pengajiannya, Adnan terpilih sebagai guru pelatih di sekolah Sungai Ramal. Namun, dia tidak berminat menjadi guru, kerana cita-citanya adalah untuk menjadi seorang askar.
Ketika itu, peluang untuk menyertai angkatan tentera Melayu masih belum wujud. Sejak kecil, Adnan gemar mendengar kisah pahlawan Melayu, yang membangkitkan semangatnya untuk mempertahankan tanah air. Tambahan pula, arus kebangsaan mula berkembang di kalangan anak muda, terutamanya dalam kalangan guru-guru.
Bab 14 Askar Melayu Diraja
Tersebar berita mengenai ura-ura penubuhan pasukan Askar Melayu, di mana pihak Inggeris akan mengambil anak-anak muda untuk dilatih sebagai tentera. Hal ini membuatkan keinginan Adnan semakin membara untuk menyertai angkatan tentera.
Suatu hari, beberapa anggota tentera British datang ke Kampung Sungai Ramal untuk mencari pemuda tempatan yang berkelayakan bagi diserapkan ke dalam pasukan Askar Melayu. Beberapa pemuda kampung, termasuk Adnan bin Saidi, ingin memohon, namun ibunya melarang kerana lebih suka Adnan terus menjadi guru untuk mendidik anak bangsa.
Walaupun begitu, Adnan tetap berkeras dengan keputusannya, dan Pak Saidi merestui cita-cita anaknya. Akhirnya, ibu Adnan akur dengan kehendaknya.
Bab 15 Buku Bertemu Ruas
Adnan bersama beberapa rakannya nekad meninggalkan kampung untuk pergi ke kem latihan ketenteraan di Port Dickson. Mereka berjalan kaki dan menumpang lori barang dari Kajang ke Seremban, kemudian dari Seremban ke Port Dickson.
Setelah melalui perjalanan yang mencabar, mereka akhirnya diterima sebagai tentera, seperti yang dimaklumkan oleh dua orang anggota tentera yang datang ke rumah Adnan.
Bab 16 Perwira
Setelah melaporkan diri di kem, Adnan dan Ahmad menjalani latihan fizikal dan mental yang ketat untuk melayakkan diri sebagai tentera. Adnan menunjukkan kesungguhan luar biasa, sehingga terpilih sebagai rekrut terbaik dan akhirnya diserap ke dalam pasukan Askar Melayu—momen yang paling menggembirakan hatinya.
Setelah tamat upacara perbarisan, semua rekrut menerima perintah pertukaran. Adnan ditugaskan ke Singapura, manakala Ahmad dihantar ke Kedah. Sebelum bertugas, mereka diberikan cuti seminggu, berita yang amat menggembirakan kerana mereka sudah lama merindukan keluarga.
Bab 17 Kehidupan Baharu
Kerana kesungguhan dan ketekunannya, Adnan dinaikkan pangkat menjadi Sarjan pada tahun 1937 dalam waktu yang singkat. Pada tahun yang sama, beliau terpilih untuk menghadiri upacara pertabalan King George VI di London.
Tidak lama selepas itu, Adnan sekali lagi menerima kenaikan pangkat, kali ini sebagai Leftenan. Sekembalinya dari London, Leftenan Adnan Saidi berkahwin dengan seorang guru dari kampungnya, Sophia Pakih Muda.
Bab 18 Berhari Raya Di Kampung
Perkahwinan Adnan dan Sophia diserikan dengan kebahagiaan, terutama dengan kehadiran tiga orang anak—dua lelaki, Mokhtar dan Zainudin, serta seorang anak perempuan. Namun, bayi perempuan mereka meninggal dunia, meninggalkan kedukaan dalam keluarga.
Pada akhir tahun 1941, Leftenan Adnan Saidi ditempatkan di Pasir Panjang dan membawa keluarganya bersama. Mereka menetap di rumah besar dalam kawasan khas untuk keluarga Rejimen Askar Melayu, menjalani kehidupan yang bahagia.
Bab 19 Perang Dunia Kedua
Apabila Perang Dunia II meletus dan Jepun bersiap sedia untuk menjajah Tanah Melayu, Leftenan Adnan mengambil keputusan untuk menghantar keluarganya pulang ke kampung di Kajang demi keselamatan mereka.
Keputusan ini amat berat baginya, lebih-lebih lagi kerana isterinya, Sophia, sedang mengandungkan anak ketiga mereka. Ini menjadi pertemuan terakhir mereka sebagai sebuah keluarga. Dengan hati yang pilu, Sophia membawa anak-anaknya pulang ke Kajang, meninggalkan Adnan yang bersiap sedia menghadapi peperangan.
Bab 20 Bukit Candu
Leftenan Adnan diarahkan bertugas di Bukit Candu, kerana kedudukan strategiknya amat penting untuk dipertahankan. Jika pertahanan di Bukit Candu ditembusi, musuh dapat menawan Singapura dengan mudah.
Setibanya di Bukit Candu, Leftenan Adnan segera mengarahkan anggota tenteranya untuk menggali lebih banyak parit sebagai kubu pertahanan. Selain itu, beliau bertemu dengan Penghulu Sidek untuk membincangkan isu penduduk kampung yang enggan berpindah, demi memastikan keselamatan mereka.
Bab 21 Di Ambang Perang
Pada Sabtu, 6 Disember 1941, pegawai-pegawai Tentera Laut Amerika Syarikat mengadakan persidangan di Manila, Filipina. Antara yang hadir ialah Laksamana Thomas C. Hart, pegawai pemerintah Angkatan Asia Amerika Syarikat (U.S. Asiatic Fleet), serta Laksamana Sir Thomas Phillips, komander Tentera Laut British, Timur Jauh.
Mereka membincangkan persiapan tentera Jepun untuk menakluk Asia, termasuk Tanah Melayu dan Filipina. Para pegawai yakin serangan Jepun dapat dipatahkan, terutama dengan adanya Askar Melayu yang berganding bahu dengan tentera Inggeris bagi mempertahankan Tanah Melayu.
Bab 22 Hati-Hati Yang Resah
Sebuah pesawat peninjau Lockheed Hudson Australia yang berpangkalan di lapangan terbang Tanah Melayu telah mengesan konvoi Jepun yang berlepas dari Saigon, Indochina Perancis.
Komandernya, Pegawai Penerbangan Ramshaw, pada awalnya melaporkan hanya tiga buah kapal, tetapi kemudian sekurang-kurangnya 25 buah kapal pengangkut lain turut dikesan. Angkatan itu diiringi oleh sebuah kapal tempur, lima kapal penjajap, dan tujuh kapal pembinasa. (Ramshaw tersilap mengenal pasti kapal penjajap berat sebagai kapal tempur). Menurutnya, kapal-kapal tersebut kemungkinan menuju ke Thailand yang berkecuali atau ke Tanah Melayu.
Isyarat ini jelas menunjukkan bahawa perang bakal meletus. Kedua-dua laksamana bertindak segera. Empat kapal pembinasa Amerika Syarikat di Balikpapan diarahkan belayar ke laut lepas.
Sementara itu, Laksamana Muda Arthur E.F. Palliser dan Panglima Besar Phillips menerima arahan untuk membatalkan pelayaran HMS Repulse ke Darwin, Australia, dan kembali ke Singapura secepat mungkin.
Maklumat lanjut mengenai konvoi Jepun terus diterima. Pesawat British diperintahkan melakukan lebih banyak penerbangan peninjauan, tetapi cuaca buruk menghalang mereka daripada berlepas.
Pada pukul 7 malam, angkatan penjajahan Jepun tiba-tiba menukar haluan dan bergerak ke utara menuju ke Teluk Siam.
Bab 23 Bermulanya Sengketa
Penduduk di Tanah Melayu mula cemas mendengar berita bahawa tentera Jepun bakal menyerang. Namun, ada juga yang gembira, menyangka Jepun akan menghalau penjajah dan memerdekakan Tanah Melayu.
Di Kampung Sungai Ramal, orang ramai juga sibuk membincangkan perang yang semakin hampir. Pak Saidi tidak menginginkan peperangan, tetapi dia pasrah dengan takdir. Tiga orang anaknya—Leftenan Adnan dalam Askar Melayu, Ahmad dalam Angkatan Laut di kapal HMS Pelanduk, dan Amarullah juga dalam Askar Melayu—semuanya berada dalam pasukan pertahanan negara.
Sebagai seorang ayah, Pak Saidi berbangga, tetapi dalam hatinya tetap terselit kerisauan, lebih-lebih lagi bagi ibu mereka yang sentiasa bimbang sekiranya perang benar-benar meletus.
Sementara itu, Leftenan Adnan sering menulis surat kepada adik-adiknya, memberikan kata-kata semangat agar mereka berjuang dengan sepenuh hati demi tanah air
Bab 24 Perangkap Tidak Mengena
Sejurus selepas tengah malam, tentera Jepun mula bergerak menuju ke pantai yang dikawal oleh pasukan India British. Sebaik sahaja tentera Jepun memulakan pendaratan, pasukan meriam British segera membedil kawasan persisiran pantai dan laut. Tembakan suar menerangi lokasi pendaratan, dan unit Dogra terus melepaskan tembakan ke arah pesawat pendarat Jepun sebaik sahaja mereka kelihatan.
Unit Dogra bertahan sehabis daya, namun tentera Jepun memberikan tentangan sengit. Kubu mesingan (MG) di pantai digunakan dengan berkesan, mengakibatkan banyak askar Jepun terbunuh, termasuk komander batalion mereka, Mejar Nakamura, yang mengetuai serangan.
Kolonel Masanobu Tsuji dalam bukunya mengenai Kempen Tanah Melayu mencatatkan:
Kubu-kubu kecil musuh yang disediakan dengan teliti bertindak dengan ganas dan sepenuh kekuatan sehinggakan orang-orang kami terbaring di pantai, separuh dalam air, separuh di pantai, tidak dapat mengangkat kepala mereka”.
Tidak sehingga tentera Jepun memusatkan serangan ke atas dua kubu kecil dan parit pertahanan utama, barulah mereka berjaya menguasai kawasan pendaratan.
Dalam pertempuran berhadapan, tentera Jepun akhirnya menewaskan tentera India British yang mempertahankan kawasan strategik ini. Ketika pertempuran berlangsung, gelombang penyerang kedua terperangkap di pantai terbuka dan menghadapi serangan meriam British, mengakibatkan korban yang besar. Namun, sebaik sahaja kubu kecil dimusnahkan, pasukan Jepun terus mara dan menembusi pertahanan Dogra.
Meskipun pasukan India berusaha melakukan serangan balas, mereka tidak lagi mampu mempertahankan kedudukan, menyebabkan pasukan pertahanan akhirnya berundur。
Bab 25 Gagalnya Operasi Matador
Pada pagi 8 Disember 1941, satu mesyuarat tergempar diadakan di Bilik Gerakan Tentera British, Kota Bharu. Pemerintah Kor, Jeneral Heath, segera menghubungi Ibu Pejabat untuk memaklumkan bahawa tinjauan udara di Teluk Siam telah mengesan gerakan besar-besaran tentera Jepun di Songkla dan Pattani. Namun, Ops Matador tidak dapat dilaksanakan kerana Jeneral A. E. Percival, yang bertanggungjawab terhadap operasi tersebut, sedang menghadiri mesyuarat Majlis Perundangan Negeri Selat.
Ketika itu, mereka mendapati tentera Jepun sudah mendarat di Kota Bharu. Keadaan di Barat sudah tidak terkawal, seperti pepatah, nasi sudah menjadi bubur. Jeneral A. E. Percival segera menghubungi Panglima Sir Brooke-Popham untuk memaklumkan situasi tersebut, dan hanya setelah itu barulah Ops Matador dapat dijalankan.
Di Kota Bharu, kemaraan tentera Jepun tersekat di Sungai Kelantan. Tentera Jepun mengalami korban besar akibat letupan kuat.
Bab 26 Serangan Bertali Arus
Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Pulau Pinang diserang oleh tentera Jepun dalam waktu yang singkat. Kebanyakan pertahanan telah musnah. Empat buah kapal pembinasa yang bertindak sebagai kapal pengiring tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka turut diserang oleh pesawat Jepun.
Jeneral A. E. Percival mengarahkan tentera India British untuk menyerang tentera Jepun. Namun, dalam keadaan kelam-kabut, mereka terpaksa berundur dari Nongka. Panglima Briged Jeneral Garret dilaporkan hilang semasa menyeberangi sungai, menyebabkan pasukannya terputus hubungan.
Pada masa yang sama, Jeneral Yamashita mengarahkan 85 pesawat pengebom Jepun untuk menyerang pertahanan British di Pulau Pinang.
Di kampung, Pak Saidi menerima berita bahawa Ahmad telah tiada. Pegawai tentera laut yang sepatutnya membawa berita tentang Ahmad telah terkorban di medan perang. Penduduk kampung beramai-ramai membaca Yasin untuk Ahmad.
Bab 27 Perancangan Dua Jeneral
Penduduk Johor Bahru gempar dengan kehadiran ramai tentera Jepun. Mereka tiba di Johor Bahru setelah hampir sebulan mendarat di Kota Bharu. Pertempuran demi pertempuran berlaku, dan dalam masa singkat, satu demi satu negeri di Semenanjung Tanah Melayu jatuh ke tangan Jepun. Pihak British terpaksa berputih mata dan akhirnya mengundurkan tenteranya ke Singapura, lalu membina pertahanan terakhir di sana.
Ketika itu, Panglima Tertinggi British di Timur Jauh, Sir Robert Brooke-Popham, telah dilucutkan jawatan dan digantikan oleh Lt. Jen. Sir Henry Pownall. Pada petang 31 Januari 1942, seluruh Semenanjung Tanah Melayu jatuh sepenuhnya ke tangan tentera Jepun.
Dalam situasi yang semakin meruncing, tentera Jepun menawarkan Samad untuk bekerjasama dengan mereka bagi membebaskan Singapura, dan Samad bersetuju.
Sementara itu, Jeneral A. E. Percival berada dalam keadaan tertekan akibat perkembangan yang tidak memihak kepada British. Panglima Tentera Australia, Henry Gordon Bennett, segera melakukan pemeriksaan pertahanan pasukan tenteranya di bahagian barat laut.
Di pihak Askar Melayu, Kapten Rix dan Leftenan Adnan sibuk mengatur persiapan strategik bagi menentang tentera Jepun di Bukit Candu dan Pasir Panjang.
Bab 28 Pertempuran Demi Pertempuran
Serangan mengejut daripada tentera Jepun segera dibalas oleh Angkatan Tentera Diraja British. Namun, serangan balas itu hanya menyebabkan tentera Jepun menggandakan bedilan mereka secara bertubi-tubi.
Pasukan tentera India dan British, yang bertahan di kawasan itu, tidak lagi berupaya memberikan tentangan yang berkesan. Akhirnya, mereka terpaksa berundur.
Kejayaan tentera Jepun dalam pertempuran ini amat menggembirakan Jeneral Yamashita. Beliau segera menghantar surat kepada Jeneral A. E. Percival, mendesaknya supaya menyerah kalah.
Namun, di Pasir Panjang dan Bukit Candu, Leftenan Adnan bertekad untuk bertahan hingga ke titisan darah terakhir, walau dengan apa cara sekalipun.
Bab 29 Terus Berjuang
Penghulu Deraman bersama anak-anak buahnya, terdiri daripada pengawal kampung, datang bertemu dengan Leftenan Adnan. Tujuan mereka adalah untuk menyatakan kesediaan bertempur dan membantu pasukan Askar Melayu menentang tentera Jepun.
Pasukan Rejimen Askar Melayu memilih untuk bertahan di sebuah rabung yang dikenali sebagai Rabung Pasir Panjang.
Sementara itu, Jeneral Yamashita berang apabila tiga orang pengintipnya mati ditembak oleh Askar Melayu.
Di pihak lawan, berita penawanan Askar Melayu dari Kompeni “B” menimbulkan keresahan dalam diri Leftenan Adnan. Namun, semangatnya tetap membara—beliau tekad berjuang hingga ke titisan darah terakhir.
Bab 30 Serangan Balas
Suasana pagi itu hening. Askar Melayu yang tidak bertugas hanya tidur-tidur ayam. Tiba-tiba, ketenangan itu dikejutkan dengan satu jeritan bergema: “Tentera Jepun sudah menyerang Tanah Melayu!”
Leftenan Renya, yang mengetuai pasukan penggempur, segera memerintahkan anak buahnya untuk melepaskan tembakan mortar ke arah pertahanan pihak lawan. Sebahagian besar tembakan tepat mengenai sasaran.
Di pihak Jepun, Jeneral Yamashita semakin berang. Dia mahu pasukannya mencari jalan untuk menembusi kubu pertahanan Askar Melayu.
Untuk mengelirukan musuh, tentera Jepun memakai pakaian tentera Sikh. Namun, helah mereka terbongkar, dua puluh orang tentera Jepun yang memakai turban dibunuh dari jarak dekat.
Bab 31 Biar Putih Tulang
Kehebatan Askar Melayu yang berjaya menghidu tipu helah tentera Jepun menyebabkan Leftenan Renya Mutugchi berang. Akibatnya, tentera Jepun bertekad untuk melancarkan serangan besar-besaran terhadap Bukit Candu. Mereka memulakan serangan dengan menggunakan kapal terbang bagi melakukan pengeboman udara, diikuti oleh serangan artileri. Tentera Jepun berusaha menembusi pertahanan Askar Melayu yang masih bertahan dengan sengit.
Bab 32 Tumpah Darah Perwira
Pertempuran sengit terus berlaku di Bukit Candu. Semua jenis senjata digunakan, termasuk bom tangan dan senjata automatik. Leftenan Adnan sendiri mengendalikan senjata mesingan Lewis Gun. Dalam kebanyakan situasi, pertempuran berhadapan menggunakan bayonet tidak dapat dielakkan. Namun, Askar Melayu tetap bertahan, menyukarkan kemaraan tentera Jepun.
Dalam pertempuran berikutnya, ramai pegawai dan tentera gugur. Leftenan Adnan yang cedera parah tetap enggan berundur. Sebaliknya, beliau mengarahkan anggotanya berjuang hingga ke titisan darah terakhir. Keberaniannya membakar semangat tenteranya untuk terus bertahan dengan penuh tekad.
Tentera Jepun yang berang akhirnya berjaya menangkap Leftenan Adnan. Beliau yang cedera parah diserkup dengan guni dan digantung pada dahan pokok ceri. Tentera Jepun yang kehilangan ramai anggota bertindak kejam—mereka beratur dan, seorang demi seorang, menikam tubuh Leftenan Adnan dengan bayonet. Koperal Yaakob menyaksikan peristiwa tragis itu.
Bab 33 Jatuhnya Kota Singa
Dua hari selepas pertempuran di Bukit Candu, setelah tentera British menyerah kalah, Haji Burhan bersama beberapa penduduk kampung yang tinggal berhampiran memanjat bukit tersebut. Mereka menjumpai sebuah banglo dan memasukinya. Di dalamnya, kelihatan mayat berpuluh-puluh Askar Melayu bergelimpangan. Ada yang putus lehernya, dan ada pula yang terburai perutnya akibat tikaman serta tetakan senjata tajam.
Dalam pencarian itu, mereka menemui seorang yang masih hidup lalu segera memberikan rawatan. Koperal Yaakob kemudian menceritakan keberanian Askar Melayu yang bertempur hingga ke titisan darah terakhir. Dengan penuh hormat, penduduk kampung mengumpulkan mayat-mayat yang gugur dan mengebumikan mereka.
Bab 34 Darah Mengalir di Sungai Ramal
Berpuluh-puluh askar Jepun tiba di Kampung Sungai Ramal, Kajang, mencari keluarga Leftenan Adnan. Namun, penduduk kampung telah berpakat untuk tidak bekerjasama dengan tentera Jepun dan menyembunyikan keluarga Leftenan Adnan.
Keberanian Leftenan Adnan menjadi pencetus semangat anak muda untuk bangkit menentang penjajah. Ramai yang menyertai pasukan pembebasan rakyat dalam usaha menentang pendudukan Jepun di Tanah Melayu.
Bab 35 Perjuangan Belum Berakhir
Penduduk Pekan Sungai Ramal hidup dalam ketakutan dan kesusahan di bawah pemerintahan Jepun. Peniaga-peniaga Cina menutup kedai kerana takut akan keganasan Jepun. Penduduk kampung yang menjadi mangsa hidup dalam serba kekurangan, terpaksa memakan ubi, pisang, dan apa saja yang boleh mengalas perut.
Sophia dan anak-anaknya dijaga oleh ayahnya, Pakih Muda. Namun, dia diuji lagi dengan kematian anak perempuannya, Fatimah, akibat demam panas.
Pada 15 Ogos 1945, Jepun menyerah kalah, dan Tanah Melayu kembali diperintah oleh British. Rakyat mula memulakan kehidupan baharu dengan mengerjakan ladang dan sawah sebagai sumber rezeki. Sophia menyara anak-anaknya dengan bekerja di sawah dan menoreh getah. Setelah Sekolah Kebangsaan Sungai Ramal dibuka semula, Sophia ditawarkan semula untuk mengajar di sekolah itu.
Pada hari pertama kembali bertugas, Sophia berkenalan dengan Ustaz Ridwan, dan akhirnya mereka berkahwin serta menjalani kehidupan berkeluarga yang bahagia. Empat tahun kemudian, mereka berpindah ke Melaka. Tidak lama selepas itu, Sophia disahkan menghidap penyakit leukemia.
Nota Leftenan Adnan Wira Bangsa
really helpful to understand the whole story of leftenan adnan !
nice bab 24 panjang nak mambos wehhh penatttt tulisss
hahaha betul2
ye weee
Terima kasih Creator
Sama-sama 🙂
pantat nye mizi
Terima kasih creator
Ada kesalahan ejaan
nama tu ahmad ke mamat?
ahmad tu adik adnan, mamat tu kawan baik adnan
why did u change it it was really helpful for me bfr the update its more like an karangan then sinopsis
It’s really very useful 👌
Check Bab 8 again. Nordin is the son of Abu, not Lebai Pian. Lebai Pian Menyuruh Tok Ketua mengambil tindakan atas perbuatan Saidi. Namun, Tok Ketua membantah. Lalu, Tok Ketua menyatakan bahawa anak Abu*
Juga di Bab 9. ia Mamat bukan Ahmad yang berada dengan Adnan tu