Kandungan
Novel ini mengisahkan perjalanan berbasikal tiga remaja yang penuh cabaran, konflik, dan pengajaran. Watak Firdaus akhirnya belajar tentang keberanian, tanggungjawab, dan erti kejatuhan sebelum kejayaan.
Nota Lengkap Novel Destinasi Impian
(KOMSAS Tingkatan 1)
Sinopsis Novel Destinasi Impian
Novel ini mengisahkan ekspedisi berbasikal Johari, Azlina, dan Firdaus dari Klang ke Morib sebagai cabaran membuktikan ketahanan diri. Sepanjang perjalanan, konflik tercetus antara Firdaus dan Azlina kerana Firdaus bersikap manja dan sering mengeluh, manakala Johari bersikap matang dan penyabar. Di Pantai Morib, Firdaus menjadi sombong dengan kejayaannya tetapi akhirnya mengalami detik mencemaskan apabila hampir lemas ketika cuba menyelamatkan Mazlinda. Pengalaman itu menyedarkan Firdaus bahawa keberanian harus disertai kebijaksanaan, lalu dia belajar untuk lebih bertanggungjawab dan yakin diri.
Bab 1 Johari Teruskan Perjalanan Ini!
Johari, Firdaus, dan Azlina mengayuh basikal dari Kampung Bukit Kapar ke Pantai Morib Baru kerana menyahut cabaran datuk mereka. Jarak perjalanan sejauh 50 kilometer. Firdaus, yang sering merungut kerana perjalanan jauh dan berasa letih, bertanyakan tujuan ekspedisi tersebut. Johari menjelaskan bahawa ekspedisi itu bertujuan untuk membuktikan ketahanan mereka serta melihat tanah air yang merdeka.
Azlina mencabar Firdaus untuk menjadi lebih kuat sebagai seorang lelaki, membuatkan Firdaus berasa marah, namun Johari berjaya menyabarkannya. Tayar basikal Firdaus kemudiannya kempis akibat tertusuk paku, yang menyebabkan pertengkaran antara Firdaus dan Azlina.
Johari menasihati Firdaus dengan mengatakan bahawa perjalanan pasti akan ada halangan. Oleh itu, Firdaus haruslah berani, tabah, dan sabar menghadapinya. Selepas itu, mereka bertiga meneruskan perjalanan.
Bab 2 Firdaus Penyesalan Sepanjang Perjalanan
Firdaus berasa terlalu penat dan mula menyesal kerana menyertai Johari dan Azlina dalam perjalanan gila ini. Dia teringat bagaimana perjalanan ini bermula daripada perbualan dengan datuk mereka. Pada asalnya, Firdaus menyertai ekspedisi ini untuk menyahut cabaran datuknya, tetapi kini dia mula mempertikaikan keputusannya. Dia juga teringat sindiran rakan-rakannya yang mempersoalkan keinginannya untuk menyertai perjalanan ini.
Tiba-tiba, bunyi hon yang kuat dari arah belakang membuatkan Firdaus terkejut. Dia segera membelok ke kiri, tetapi malangnya, dia terlanggar seketul batu besar. Sikunya luka akibat terjatuh.
Azlina membandingkan keadaan abangnya itu dengan orang yang sebaya dengannya di Afghanistan dan Palestin yang berjuang mempertahankan tanah air mereka. Kata-kata Azlina menyakiti hati Firdaus, tetapi dia tidak membalasnya.
Johari segera membalut luka di siku Firdaus. Walaupun Firdaus ingin berehat, mereka tetap meneruskan perjalanan.
Bab 3 Azlina Kerana Abang
Azlina amat penat setelah mengayuh basikal sejak 7:00 pagi. Kini sudah hampir 12:00 tengah hari, dan matahari terik membakar. Namun, dia teringat kata-kata seorang peniaga bahawa wanita perlu bekerja dua kali lebih keras untuk diiktiraf dalam bidang lelaki. Dalam ekspedisi ini, Azlina yakin dia telah melakukan lebih baik daripada Firdaus dan berharap abangnya akan tercabar untuk berusaha lebih gigih.
Tiba-tiba, bunyi hon kereta Volkswagen mengejutkannya. Azlina segera menepikan basikal ke tanah merah. Pemandu kereta itu bersiul ke arahnya, mengingatkannya pada kata-kata kawannya, Salamah, bahawa itu cara mengurat zaman lama.
Keletihan, Azlina berhenti di sebuah gerai air tebu dan menikmati minuman sambil berehat. Ketika itu, wajah Firdaus muncul dalam ingatannya. Dia menyedari bahawa abangnya kacak tetapi berperwatakan lembut, sesuatu yang sering menjadi ejekan kawan-kawan mereka. Firdaus juga lebih suka menonton televisyen dan menolong di dapur berbanding bermain sukan.
Lamunannya terhenti apabila bunyi hon dan brek mengejutkannya. Azlina tersenyum melihat Johari dan Firdaus akhirnya sampai. Firdaus merungut, mengatakan bahawa perjalanan ini kerja gila.
Johari menghulurkan segelas air tebu kepada Firdaus dan menjelaskan bahawa mereka lambat kerana Firdaus mahu berehat dan hampir menaiki bas pulang. Mendengar itu, Azlina segera mengingatkan Firdaus tentang ejekan datuk mereka, membuatkan Firdaus tertunduk diam.
Johari kemudian mengumumkan bahawa mereka akan meneruskan perjalanan dalam lima minit lagi.
Bab 4 Johari Antara Mereka Berdua
Johari mempunyai hasrat tersirat sebab Firdaus dan Azlina perlu menyertai perjalanan berbasikal ini. Tujuannya adalah untuk mengajar mereka supaya tabah dan kuat menghadapi cabaran. Selain itu, Johari berharap agar Firdaus dan Azlina menjadi seorang yang lasak, berdikari dan berani.
Sehingga pukul 2:30 petang, mereka masih mengayuh basikal dengan peluh mencurah. Johari sedar bahawa peluh berkait dengan kerja, dan kerja berkait dengan penat. Dia berharap pengalaman ini akan membantu mereka memahami kepayahan ibu bapa dalam membesarkan mereka. Malah, dia mahu mereka menghargai perjuangan pejuang tanah air dan mengisi kemerdekaan dengan sebaiknya.
Bagi Johari, perjalanan ini seperti kehidupan dan mereka tidak boleh lari dari cabaran, sebaliknya harus menghadapinya dengan tabah dan berani. Dia juga melihat perbezaan antara Azlina dan Firdaus. Firdaus sering mengeluh tentang kepenatan, manakala Azlina peka dan berani mengkritik, tetapi tidak melenting apabila dikritik.
Setelah tiba di pekan Banting, Johari mengingatkan mereka bahawa datuk mereka pernah berbasikal ke Morib dalam sehari, sedangkan mereka masih belum tiba walaupun sudah pukul 3:00 petang. Azlina menyalahkan terlalu banyak berehat, tetapi Firdaus tetap mengeluh tentang keletihan. Azlina membidasnya dengan mengatakan jika ada semangat, kepenatan akan hilang.
Bab 5 Firdaus Kesal Belum Bernoktah
Firdaus sangat marah apabila Azlina menyindir bahawa penyanyi lagu cinta tidak berguna. Bagi Firdaus, cinta adalah sebahagian penting dalam hidup. Firdaus mula mencurigai hubungan Azlina dan Johari, tetapi dia tidak peduli kerana cinta itu buta.
Firdaus teringat bahawa kawannya, Salim yang pernah mengajaknya menonton wayang, tetapi Firdaus menolak kerana menyertai ekspedisi ini. Kekesalannya bertambah apabila menyedari esok adalah majlis sambutan ulang tahun kelahiran Mazlinda, gadis pujaan hatinya.
Ketika Azlina mencabar Firdaus berlumba, Firdaus tidak memberi reaksi. Azlina menyindirnya, membuatkan Firdaus semakin marah. Tiba-tiba, sebuah lori besar menyebabkan Azlina terbabas, terjatuh ke dalam lubang. Johari segera menolong Azlina, tetapi Firdaus hanya berkata “padan muka”.
Johari menegur Firdaus yang berdendam, tetapi Firdaus membalas bahawa dia juga tahu sakit hati. Johari mengingatkan Firdaus bahawa persaingan berunsur dendam merugikan. Firdaus merungut bahawa Johari selalu memenangkan Azlina. Johari bertanya apakah Firdaus benar menganggap dia pilih kasih, namun Firdaus hanya diam dan meneruskan perjalanan.
Bab 6 Johari Api Itu Mesti Dipadamkan
Johari bimbang apabila mengenangkan dendam Firdaus terhadap Azlina. Johari menghampiri Firdaus untuk memberitahu bahawa Morib tidak sampai dua kilometer lagi tetapi Firdaus seperti tidak mengendahkannya.
Johari memberitahu Azlina bahawa Firdaus benar-benar marah, tetapi Azlina menenangkan Johari dengan mengatakan bahawa Firdaus memang begitu dan cepat marah apabila penat. Mereka berbual tentang luka Azlina yang kelihatan tidak berbekas. Johari memuji ketahanan Azlina, dan Azlina menjelaskan bahawa kecederaan adalah perkara biasa bagi orang yang aktif bersukan.
Namun, Johari tetap bimbang akan dendam Firdaus terhadap Azlina. Dia menghampiri Firdaus dan memberitahunya bahawa Morib hanya dua kilometer lagi, tetapi Firdaus tidak mengendahkannya.
Johari yakin keletihan dan kemarahan Firdaus akan reda setelah mandi-manda di Morib. Bagi Johari, api dendam di hati Firdaus mesti dipadamkan.
Bab 7 Firdaus Tidak Kuduga
Firdaus bertanya dalam hati, adakah salah jika dia berkata ‘padan muka’ kepada Azlina yang terjatuh tadi? Jika itu menyakitkan hati Azlina, bukankah usikan dan sindiran Azlina juga menyakitkan hatinya? Namun, Firdaus tidak meluahkan perasaan itu kepada Johari.
Firdaus tahu Pantai Morib semakin hampir, tetapi perasaan gembira tidak hadir kerana masih berdendam dengan Azlina dan Johari. Dia berfikir untuk meninggalkan mereka berdua, membiarkan basikalnya, dan pulang menaiki bas.
Namun, Firdaus berbangga kerana berjaya mengayuh basikal sejauh 50 kilometer. Dia telah membuktikan kepada Moksin, Sazali, dan kawan-kawannya bahawa dia tiba di Morib bukan dengan menaiki bas, kereta, atau ambulans.
Setelah membelok ke kanan, Firdaus akhirnya tiba di Pantai Morib Baru. Dia terkejut melihat kawan-kawannya menyambutnya. Moksin, Sazali, Salim, dan Moktar memberinya ucapan tahniah. Lebih mengejutkan, Mazlinda, gadis idamannya, turut mengucapkan tahniah. Dengan itu, segala keletihan Firdaus hilang serta-merta.
Bab 8 Johari Kuinjaki Destinasi Ini
Firdaus tiba di Pantai Morib Baru dan bergembira dengan kawan-kawannya. Azlina mengadu kepada Johari tentang sikap Firdaus yang tidak mempedulikan mereka. Sebenarnya, Johari sengaja berhenti di bawah teduhan pokok ru untuk melihat Firdaus disambut oleh kawan-kawannya.
Semakin mereka menghampiri pantai, khemah-khemah yang sudah didirikan mula kelihatan. Kawan-kawan Johari menyambut mereka. Kemudian, Johari dan Azlina pergi berjumpa Firdaus. Johari mengucapkan tahniah kepadanya.
Azlina marah kerana Firdaus melupakan mereka yang telah bersusah payah menunggunya sepanjang perjalanan. Dia menganggap abangnya masih berdendam. Namun, Johari yakin Firdaus bukan berdendam, tetapi terlalu seronok dengan kawan-kawannya.
Bab 9 Azlina Senja di Pantai
Azlina berbual dengan Kasmadiana, yang memuji kecekalan Azlina mengayuh basikal sejauh 50 kilometer. Azlina menjelaskan bahawa dia hanya mengikut cabaran datuk mereka yang diketuai oleh Johari. Kasmadiana menceritakan bahawa abangnya, Kasman, bersama Johari dan Tamrin merancang untuk mengelilingi Malaysia dengan berbasikal.
Perbualan mereka beralih kepada kisah Kasman dan Tamrin yang pernah berbasikal ke Bagan Lalang, serta tragedi empat orang mati lemas di sana. Semasa perbualan, mereka didatangi oleh Sazali dan Moksin yang bertanya sama ada benar Firdaus sampai dahulu ke Pantai Morib. Azlina menafikannya dan mengatakan bahawa mereka telah ditipu.
Azlina menceritakan kepada Johari tentang pembohongan Firdaus, serta rancangan Moksin dan Sazali untuk mencampakkan Firdaus ke laut jika dia tidak mahu mengaku. Johari berseloroh bahawa itu tindakan yang baik agar Firdaus belajar akibat berbohong.
Namun, sebelum Azlina sempat berkata sesuatu, azan maghrib berkumandang dari dalam khemah, dilaungkan oleh Tamrin. Azlina tiba-tiba berasa takut kepada Allah SWT, merenungkan perbuatan dan kata-kata mereka sepanjang hari itu.
Bab 10 Firdaus Usah Lupa Bumi yang Dipijak
Firdaus duduk berbual dengan Mazlinda di bawah pokok ru sementara kawan-kawan mereka sedang mandi-manda. Mazlinda berkongsi bahawa ibu bapanya terpaksa ke Sarawak atas urusan perniagaan, menyebabkan majlis hari jadinya terpaksa ditunda.
Mazlinda menceritakan bahawa semalam, kawan-kawan mereka heboh berbicara tentang Firdaus yang berbasikal ke Morib. Dalam perbualan, Mazlinda memuji Firdaus dan mengatakan bahawa dia pasti hebat berenang juga. Firdaus mengiyakan walaupun sebenarnya dia tidak mahir berenang.
Ketika mereka berbual, Moksin dan Sazali datang dan berkata bahawa mereka ada “rahsia” tentang sesuatu, tetapi enggan memberitahu Firdaus dan terus berlalu pergi sambil tergelak. Firdaus ingin mendesak mereka, tetapi akhirnya memutuskan untuk bertanya pada waktu malam.
Malam itu, Firdaus bermimpi Azlina marah kepadanya. Dalam mimpi itu juga, Johari menasihatinya bahawa kejayaan harus disertai dengan rasa syukur, bukan keangkuhan. Tiba-tiba, Moksin dan Sazali muncul, menuduhnya berbohong dan mencampakkannya ke laut. Firdaus hampir lemas dan menjerit meminta tolong, lalu tersedar dalam keadaan cemas.
Firdaus cuba tidur semula tetapi terganggu oleh bunyi deburan ombak, takut jika mimpinya menjadi kenyataan. Ketika itu, barulah Firdaus teringat bahawa dia belum lagi ke khemah Azlina dan Johari sejak tiba di Morib. Dia mula tertanya-tanya, adakah dia telah bersalah, dan mengapa dia berasa begitu?

Bab 11 Johari Perubahan
Azlina bertanya kepada Johari tentang abangnya, Firdaus. Johari memberitahu bahawa Firdaus ingin pulang bersendirian.
Johari menjawab dengan mengingatkan tentang seorang lelaki Inggeris yang berbasikal mengelilingi dunia seorang diri. Baginya, Firdaus juga perlu menjadi sehebat itu, dan ini adalah latihan untuknya. Johari menasihati Azlina supaya tidak risau kerana Firdaus kini lebih berani dan berdikari.
Setelah berkemas, Azlina dan Johari mula berbasikal pulang. Mereka berhenti di persimpangan jalan, dan Azlina tampak risau akan keselamatan Firdaus. Dengan hati yang berat, Azlina akhirnya mengayuh basikalnya perlahan-lahan meninggalkan Pantai Morib Baru.
Bab 12 Firdaus Pahit Manis dalam Perjalanan
Moksin bertanya sama ada Firdaus akan balik sendiri. Firdaus menempelaknya, manakala Mazlinda meyakinkan bahawa Firdaus kini lasak dan berani.
Mereka pergi mandi di laut. Mazlinda berpura-pura ingin belajar berenang. Namun, ketika timbul, Mazlinda dipukul ombak besar dan menjerit meminta tolong. Firdaus cuba menyelamatkannya, tetapi dia sendiri yang hampir lemas.
Apabila sedar, Firdaus berada di hospital, dengan Johari dan Azlina di sisinya. Dia segera bertanya keadaan Mazlinda. Azlina memberitahu bahawa Mazlinda selamat, malah Mazlindalah yang menolongnya kerana hanya berpura-pura tidak tahu berenang untuk menguji keberaniannya.
Johari menasihati Firdaus agar tidak angkuh dengan kejayaan, kerana keberanian harus disertai fikiran yang waras. Firdaus berasa insaf. Apabila Mazlinda dan rakan-rakan datang melawat, Firdaus berasa malu dan ingin menundukkan kepala, tetapi dia teringat kata-kata Johari lalu mengangkat kepala dengan berani.
Sinopsis Novel Destinasi Impian (Keseluruhan)
📖 [e-Book Novel Destinasi Impian]
Thank you
thak you i can get A+ now
Destinasi impian
Very too too bad
Much reading
I hate this