Skip to content

Contoh Karangan SPM: Kesan Banjir

Kesan Banjir Contoh Karangan SPM: Kesan Banjir

Banjir yang melanda kawasan Klang secara dahsyat telah memberi kesan buruk kepada ekonomi negara kita. Huraikan kesan banjir berlaku di Malaysia.

Kesan Banjir berlaku di Malaysia

Kemunculan bencana banjir beberapa ketika dulu sudah cukup untuk memberikan ancaman besar kepada keselamatan dan ekonomi negara kita. Sejarah telah mencatatkan fenomena banjir besar berlaku pada 2014 sehingga mengorbankan banyak nyawa. Malangnya, sikap rakyat yang kurang prihatin terhadap alam sekitar telah menyebabkan berlakunya banjir yang membawa pelbagai kesusahan kepada banyak pihak. Langkah-langkah pemulihan selepas bencana mengambil masa yang panjang dan melibatkan kos yang tinggi. Persoalannya, apakah kesan banjir berlaku di Malaysia?

Kehilangan nyawa

Kejadian banjir merupakan fenomena alam semula jadi yang membawa kepada tragedi dan kebiasaannya berlaku dalam keadaan yang luar jangka. Kesan banjir yang paling buruk adalah kehilangan nyawa insan atau individu yang disayangi. Kesan ini mungkin terjadi akibat daripada lemas sewaktu meredahi banjir dalam usaha menyelamatkan diri atau disebabkan putus bekalan makanan dan bekalan air bersih. Bagaimana sekiranya air naik dan tidak surut-surut? Bukan saja boleh membunuh manusia, bahkan boleh melenyapkan negara.

Kehilangan harta benda

Dari segi kehilangan harta benda, banjir boleh menyebabkan mangsa kehilangan barang-barang kepunyaan mereka akibat dibawa arus. Selain itu, perkakas rumah yang ditenggelami air menyebabkan ianya rosak dan sudah tidak boleh digunakan lagi. Kerosakan harta benda sudah membayangkan kesannya kepada ekonomi manusia. Sekurang-kurangnya, mereka memerlukan belanja untuk mengembalikan keadaan kepada sediakala. Bank, premis perniagaan, semuanya mengalami kerugian teruk bukan sahaja kerana kerosakan harta, bahkan kerana aktiviti perniagaan yang terhenti. Syarikat yang menyertai bursa saham akan terjejas dan menyebabkan pelabur merasa tidak selamat dan mula mengalihkan modal kepada negara-negara lain sebagai alternatif.

Mengancam kesihatan

Selain itu, banjir juga menyebabkan kesihatan penduduk terjejas. Penyakit seperti cirit-birit, taun, demam kepialu, denggi, hepatitis A dan kudis buta menjadi ancaman akibat daripada bahana banjir yang menjejaskan kebersihan makanan, minuman, persekitaran. Bakteria yang tersebar melalui air banjir mengancam keselamatan kerana penularan yang susah untuk terkawal. Bahkan kesesakan di pusat-pusat pemindahan mangsa banjir turut memudahkan penularan sebarang penyakit berjangkit.

Sektor pertanian dan penternakan terjejas

Sektor pertanian dan penternakan turut terjejas akibat berlakunya banjir. Air banjir yang bertakung terlalu lama di kawasan pertanian menyebabkan tanaman mati. Antara tanaman yang mudah mati adalah getah, koko, kepala sawit dan padi. Kemusnahan tanam-tanaman ini akan merugikan para petani. Selain itu, pengusaha-pengusaha penternakan seperti ayam, itik dan sebagainya turut menanggung kerugian akibat ternakan mereka yang mati ditenggelami arus banjir. Mereka yang mengalami kemusnahan ladang tanaman dan ternakan memerlukan bantuan kerajaan kerana kerugian yang besar.

Penutup Karangan Kesan Banjir

Kesimpulannya, banjir bukan sahaja memberi kesan buruk kepada semua mangsa yang terlibat, bahkan juga melibatkan semua pihak merasai akibatnya. Di samping itu, peristiwa banjir ini juga memberi kesan kepada kesedaran manusia terutamanya dalam persiapan menghadapi banjir. Banjir telah membuka mata kita berkenaan sistem perparitan yang dilaporkan bermasalah, serta beberapa aktiviti pembalakan yang tidak terancang. Justeru, pihak yang berkenaan harus mengambil tindakan secepat mungkin untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini ini daripada terus berlaku bak kata pepatah “mencegah lebih baik daripada merawat”.


Contoh Karangan berkaitan:
Punca tanah runtuh berlaku
Punca Banjir Kilat Berlaku
Cara menangani masalah banjir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *