Skip to content

Karangan SPM: Punca tanah runtuh berlaku dan Kesannya

Punca tanah runtuh berlaku

Kejadian tanah runtuh merupakan kejadian fenomena alam semula jadi dan juga akibat aktiviti manusia di sepanjang lereng bukit dan lereng curam. Apakah punca dan kesan kejadian ini?

Punca tanah runtuh berlaku dan kesan kejadian ini

Kejadian tanah runtuh merujuk kejadian fenomena alam semula jadi yang sering dikaitkan dengan perubahan kedudukan tanah sesuatu kawasan itu. Antara contoh kawasan yang sering dilanda tanah runtuh ialah lereng bukit, kawasan projek perumahan dan juga kawasan berhampiran dengan aliran air seperti sungai. Media massa sering mengetengahkan kejadian alam ini sehingga menjadikan kejadian ini sesuatu yang biasa pula di negara ini. Oleh itu, kefahaman tentang pelbagai punca dan kesan kejadian ini amat penting untuk menangani kemelut alam sekitar ini.

Projek pembangunan yang tidak seimbang

Secara amnya kejadian tanah runtuh berpunca daripada projek pembangunan yang tidak seimbang kerana keghairahan manusia mengejar erti kemodenan sebenar. Pembangunan yang tidak seimbang ini sering mengabaikan pengekalan alam sekitar terutama hutan atau penggunaan alam sekitar dalam sesuatu projek pembangunan tersebut. Keadaan ini telah menyebabkan hujan lebat sahaja berupaya untuk mencetuskan kejadian tanah runtuh di sesuatu kawasan pembangunan tersebut. Jadi, tanah runtuh berlaku kerana ketiadaaan keseimbangan antara projek pembangunan dan sistem ekologinya.

Ketiadaan peruntukan perundangan yang sesuai

Selain itu, ketiadaan peruntukan perundangan yang menyeluruh turut menjadikan isu ini semakin meruncing. Masyarakat dengan mudah lagi berani melakukan projek pembangunan sesuka hati kerana sedar bahawa mereka tidak akan didakwa oleh pihak kerajaan kerana ketiadaan akta yang mampu untuk digunakan terhadap kesalahan mereka itu. Kelemahan dalam system perundangan inilah yang menyebabkan masalah ini terus berlaku tanpa ada sebarang perasaan bersalah dalam jiwa masyarakat kita. Jelaslah, ketiadaan peruntukan perundangan yang holistik dan ketat telah membawa masalah ini terus menerus berlaku dalam masyarakat kita.

Kekurangan kemahiran menarah sistem bukit

Bukan sahaja ketiadaan keseimbangan pembangunan dan kelemahan dalam sistem perundangan tetapi kekurangan dalam kemahiran menarah sistem bukit di negara ini turut menjadikan polemik ini semakin serius. Kita masih menggunakan sistem tarahan kawasan berbukit yang lama kerana kekurangan kemahiran atau pengalaman dalam kalangan jurutera tempatan di negara ini. Situasi ini menyebabkan bukit yang digondolkan itu mudah sahaja mengalami kejadian tanah runtuh setiap kali hujan lebat melanda.

Mangsa korban dalam kejadian

Namun, kesan yang timbul daripada kejadian alam ini begitu menakutkan terutama pertambahan dalam bilangan mangsa korban kejadian ini. Saban tahun ada sahaja nyawa insan yang tidak bersalah akan hilang bersama-sama runtuhan tanah tersebut walaupun mereka tidak bersalah dalam hal ini. Kehilangan nyawa ini seolah-olah tidak mendapat perhatian semua pihak sehingga hanya komen-komen biasa kedengaran setiap kali sesuatu malapetaka melanda negara ini. Justeru, tanah runtuh yang berlaku telah menyebabkan negara ini kehilangan banyak nyawa manusia yang tidak berdosa.

Kemusnahan harta benda

Malah, kemusnahan harta benda turut berlaku yang menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit setiap tahun begitu sahaja. Biasanya kerugian ini berlaku akibat kemusnahan harta benda terutama rumah, bangunan, dan juga kemudahan awam terutama jalan raya. Akibatnya, kerajaan terpaksa membelanjakan pula sejumlah wang yang banyak untuk membina semula kemudahan ini atau memberikan bayaran pampasan kepada mangsa-mangsa kejadian tanah runtuh.

Penutup Karangan Tanah Runtuh

Kesimpulannya, kejadian tanah runtuh telah menjadikan imej negara ini terjejas dengan teruknya. Lantaran itu, kerjasama semua pihak terutama pihak pemaju perumahan amat diperlukan agar tidak membina projek mereka di kawasan yang berisiko tinggi seperti kawasan berbukit. Ketiadaan kerjasama atau kedegilan pihak-pihak tertentulah yang menyebabkan masalah ini sukar untuk dikekang oleh kerajaan kita. Bak kata orang tua-tua, “nasi sudah menjadi bubur” yang mengingatkan kita bahawa semua yang berlaku sudah terlewat untuk dikesali kecuali kita sedar lalu bertindak mengatasinya dengan lebih awal.  


Contoh Karangan berkaitan:
Punca Banjir Kilat Berlaku
Kesan Banjir berlaku di Malaysia
Cara menangani masalah banjir

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You cannot copy content of this page