Skip to content

Contoh Karangan SPM: Kesan Buruk Teknologi Maklumat

Karangan Kesan Buruk Teknologi Maklumat

Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi memberi kebaikan dan juga mendatang keburukan terhadap negara kita. Huraikan Kesan Buruk Teknologi Maklumat.

Kesan buruk Teknologi Maklumat di negara kita

Pada awal milinium tahun 2000 lalu, negara dirancakkan dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi. Syarikat gergasi telekomunikasi mula menguasai pasaran ekonomi. Malangnya, setelah 20 tahun berlalu, masyarakat menghadapi satu impak negatif dalam sistem perhubungan, eknomi dan sosial. Oleh itu kita perlu meneliti kesan buruk yang telah berlaku sepanjang 20 tahun perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi di negara kita.

Masyarakat membuang masa dengan melayari internet

Antara kesan negatif perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi ialah masyarakat lebih banyak membuang masa dengan melayari internet. Keseronokan melayari laman-laman sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan bermain permainan maya secara dalam talian menyebabkan seseorang menghabiskan banyak waktu. Mereka terlalu leka sehingga tidak menyedari masa telah lama berlalu. Akibatnya, produktiviti seseorang pekerja juga akan merosot disebabkan banyak waktu kerja digunakan untuk melayari Internet dan bermain permainan maya.

Jenayah siber

Selain itu, teknologi maklumat dan komunikasi juga membuka peluang berlakunya jenayah siber. Pembangunan teknologi maklumat (TMK) yang semakin di luar batas kawalan akan meningkatkan jenayah siber. Jenayah siber yang dimaksudkan ialah aktiviti penipuan dalam talian dengan modus operandis yang menggunakan transaksi palsu, melakukan aktiviti membuli dengan mengaibkan seseorang di media sosial dan sebagainya. Mereka mampu mempengaruhi orang untuk melakukan transaksi melalui pelbagai teknik terutamanya teknik emosi yang menyentuh perasaan. Mereka hanya menyedari menjadi mangsa jenayah siber apabila diberitahu oleh rakan mereka.

Contoh Karangan: Kesan jenayah siber | Langkah mengatasi Jenayah Siber

Laman sesawang pornografi yang tidak bermoral

Seterusnya, kewujudan laman sesawang yang tidak bermoral atau pornografi merupakan impak negatif daripada kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi. Akibat kekuatan iman yang lemah, generasi muda khususnya lebih terdedah untuk melayari laman sesawang yang tidak bermoral dan pornografi. Generasi muda akan mudah terpengaruh dan mengikut perlakuan yang tidak baik melalui laman sesawang tidak bermoral ini. Kebebasan laman sesawang yang tidak bermoral ini telah menyukarkan usaha memupuk akhlak mulia dalam kalangan remaja. Akibatnya, remaja semakin bebas untuk melayari laman-laman tersebut tanpa perasaan takut dan malu.

Pejuang papan kekunci melakukan serangan siber

Di samping itu, teknologi maklumat dan komunikasi juga telah membuka peluang pejuang papan kekunci melakukan serangan siber ke atas pemimpin-pemimpin negara. Artis – artis juga tidak terkecuali menerima serangan siber daripada pejuang papan kekunci. Malah, hari ini pejuang papan kekunci semakin berani menyerang individu tertentu. Akibatnya, mereka menjadi mangsa fitnah dan kecaman. Malah, maruah diri dan keluarga diaibkan oleh pejuang papan kekunci. Mereka lebih mementingkan populariti yang diperoleh jika komen mereka mendapat perhatian dan menjadi ‘Top Fan’. Akibatnya, laman -laman media sosial tercemar dengan pelbagai aktiviti negatif yang dilakukan oleh mereka.

Penutup Karangan Keburukan Teknologi Maklumat

Secara tuntasnya, kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi bukanlah satu tiket untuk bebas melakukan apa-apa saja dalam laman media sosial. Kerajaan haruslah mengambil tanggungjawab untuk mengurangkan impak negatif yang dialami oleh remaja. Pada masa yang sama, semua pihak perlu bersama-sama kerajaan bergembleng tenaga dan bahu membahu untuk menyelesaikan masalah yang masih membelenggu negara. Sikap menuding jari dan menyalahkan oang lain hendaklah dihentikan demi mencari titik penyelesaian mengatasi kelemahan dan keburukan yang dibawa oleh teknologi maklumat. Sesungguhnya, kemajuan teknologi maklumat ini haruslah dikawal dan dipantau agar kita dapat menikmati kebaikan daripada kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi.


Contoh Karangan: Kebaikan menguasai teknologi maklumat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *