Skip to content

Komsas Novel Hempasan Ombak Tingkatan 3

Novel Hempasan Ombak

Novel Hempasan Ombak karya Zailiani Taslim ialah komsas tingkatan 3. Berikutnya tema, persoalan, plot, gaya bahasa, nilai, pengajaran, latar tempat, latar masa, latar masyarakat, watak perwatakan dan sinopsis novel.

Tema Novel Hempasan Ombak

Tema Novel Hempasan Ombak ialah kegigihan seorang anak dalam memajukan perniagaan warisan keluarga. Watak utama novel ini iaitu Farid, dia begitu gigih memikul tanggungjawab pada usia yang muda untuk meneruskan perusahaan batik peninggalan ayahnya.

Pada usia yang muda, Farid begitu cekal memikul tanggungjawab untuk meneruskan perusahaan batik peninggalan arwah ayahnya. Farid telah berusaha dengan begitu cekal menjelaskan bebanan hutang yang terpaksa ditanggung oleh Syarikat Batik Nusantara dengan menjual van dan lori syarikat serta menggadaikan tanah dan emas milik ibunya. Farid begitu cekal menghadapi ancaman pesaingnya seperti Mukhtar yang telah mengupah samseng-samseng membakar bengkel batik moden Syarikat Batik Nusantara


Persoalan Novel Hempasan Ombak

Cabaran dalam dunia perniagaan
Watak utama dalam novel hempasan ombak iaitu Farid menghadapi pelbagai cabaran dalam menguruskan perniagaan batik milik keluarganya. Farid menguruskan perniagaan Syarikat Batik Nusantara yang mengalami masalah aliran perbelanjaan yang tidak lancar.

Ketabahan dalam dunia perniagaan
Farid tabah menempuh pelbagai cabaran demi mengembangkan syarikat warisan milik keluarganya iaitu Syarikat Batik Nusantara.

Kasih sayang sesama ahli keluarga
Hajah Zaoyah sangat menyayangi anak-anaknya dan dia sanggup menggadai tanah dan barang kemas demi membantu Farid memajukan perusahaan warisan arwah suaminya.
Farid juga sanggup menggalas tanggungjawab mengambil alih syarikat arwah ayahnya kerana adik-beradiknya yang lain tidak mempunyai keupayaan dalam menguruskan syarikat tersebut.

Sikap manusia yang sanggup menolong orang lain.
Mokhsein menjadi mentor kepada Farid dalam usaha membangunkan semula Syarikat Batik Nusantara. Mokhsein sering memberi motivasi kepada Farid. Dia juga membantu Farid mendapatkan pengedar dari Singapura dan Kuala Lumpur bagi memasarkan batik milik keluarga Farid.

Persoalan kepentingan ilmu dalam kehidupan.
Zuraida menyambung pelajarannya pada hujung minggu manakala Farid menghadiri pelbagai kursus yang dianjurkan oleh MIDA, MARA bagi meningkatkan kemahiran pengurusan dan pentadbiran syarikat.

Sikap suka memandang rendah terhadap orang lain.
Mukhtar memandang rendah terhadap kemampuan Farid menguruskan syarikat batiknya.

Persaingan dalam dunia perniagaan.
Mukhtar telah sabotaj Syarikat Batik Nusantara dengan pelbagai cara untuk memastikan Syarikat Batik Rajawali bertahan dalam industri batik.


Plot Hempasan Ombak

Novel Hempasan Ombak bermula dengan Farid yang baru berusia 19 tahun terpaksa menerajui Perusahaan Batik Nusantara yang telah diusahakan selama 20 tahun. Ibunya, Hajah Zaoyah menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada Farid. Farid mengadakan mesyuarat syarikat buat kali yang pertama dengan pekerja- pekerjanya.

Zuraida berjanji mahu membantu Farid dengan menjualkan batik di gerainya tanpa mengenakan sebarang komisen, namun dia mencadangkan Farid mengeluarkan batik bercorak baharu untuk menarik perhatian pembeli. Farid bertemu Mokhsein untuk meminta pandangannya. Mokhsein diundang untuk merasmikan bangunan bengkel batik moden. Pada hari tersebut, Hartini Noor, jurulukis batik datang. Zuraida melahirkan rasa cemburu terhadap kehadiran Hartini Noor. Farid mengunjungi Zuraida di gerainya untuk menjelaskan keadaan yang sebenar.

Pemilik Syarikat Batik Rajawali, Mukhtar begitu marah apabila batik keluaran syarikatnya tidak mendapat sambutan dengan alasan batik keluarannya bercorak lama. Mukhtar yakin, batik pilihan pengguna sekarang adalah keluaran pesaingnya, Syarikat Batik Nusantara. Mukhtar memberi amaran agar Zuraida tidak menjual batik itu dan jika masih degil, dia akan merobohkan gerai Zuraida. Farid pula menerima amaran keras dalam bentuk surat layang agar memutuskan hubungannya dengan Zuraida dan memastikan batik keluarannya tidak menguasai pasaran. Di bengkel membuat batik moden kepunyaan Farid, Mahmood, pekerja Mukhtar mencari Azmi dan Masri. Berlaku pertengkaran antara mereka.

Berlaku kebakaran di bengkel tempat pengeluaran batik moden. Farid menerima dugaan yang menimpanya sebagai takdir. Pihak polis yakin kebakaran itu bermotifkan jenayah lalu meminta Farid mengikutnya ke balai polis untuk diambil keterangan. Di balai polis, Inspektor Rusman menjelaskan, pihaknya telah memberkas Mahmood di sebuah klinik ketika lelaki itu sedang menerima rawatan kerana tersiram lilin batik. Mahmood mempunyai rekod jenayah dan merupakan pekerja Syarikat Batik Rajawali. Pemilik syarikat tersebut ialah Mukhtar bin Yusof dan kini pihak polis berusaha untuk memberkasnya.

Tiga hari selepas peristiwa kebakaran bengkel, Mokhsein datang ke bengkel Farid sekembalinya dari Singapura. Mokhsein berjanji akan membantu Farid menjadi pembekal pakaian siap. Kata-kata itu memberi semangat semula ke dalam jiwa Farid iailah Mukhtar kini berada di Penjara Marang dan dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun. Kemudian Farid dan Zuraida mengikuti Mokhsein serta isterinya menghadiri majlis perkahwinan Hartini Noor di Kuantan.


Teknik Plot

Pemerian
Pengarang menggambarkan aktiviti yang dilakukan oleh keluarga Hajah Zaoyah pada waktu malam.

Dialog
Perbualan antara Farid dengan Tomsiah mengenai kedudukan kewangan Syarikat Batik Nusantara yang bergerak perlahan dan kurang memberangsangkan.

Imbas kembali
Farid teringat kembali akan kata- kata bapanya bahawa dunia perniagaan tidak ubah seperti gelanggang persilatan yang dipenuhi dengan sepak terajang dan dipenuhi faktor politik dalam mengaut laba.

Imbas muka
Mukhtar membayangkan wajah Farid yang hanya menangis ketika berdepan dengan masalah kurangnya pengalaman dan ilmu pengurusan perniagaan dalam menguruskan perniagaan batik milik keluarganya itu.

Saspens
Pembaca tertanya-tanya dan ingin mengetahuiidentiti lelaki yang dihubungi oleh Farid berpandukan nombor telefon yang diberikan oleh Tomsiah. Pembaca juga tertanya-tanya sebab Tomsiah memberikan nombor telefon itu kepada Farid. Pembaca juga tertanya-tanya individu yang menghantar surat layang kepada Farid yang memberikan amaran agar memutuskan hubungan dengan Zuraida dan melarang batik modennya menguasai pasaran. Selain itu, pembaca tertanya-tanya perkara yang akan terjadi kepada Azmi apabila Mahmood mencekak leher baju – T Azmi dan mengheretnya menghampiri kawah yang mengandungi lilin panas yang menggelegak.

Kejutan
Pembaca terkejut dan tidak menyangka Masri akan bertindak menerpa ke arah Mahmood dan mencurahkan lilin panas dari canting batik ke muka Mahmood yang sedang mencekik leher baju Azmi untuk membenamkan kepalanya ke dalam kawah lilin yang panas itu.

Monolog
Farid bermonolog sendirian apabila memikirkan tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan setelah dia dilantik untuk menerajui Syarikat Batik Nusantara yang sedang berhadapan dengan masalah kewangan.


Watak dan Perwatakan

Watak Utama: Farid

  • Farid berusia 19 tahun dan bertubuh sederhana.
  • Bertanggungjawab menerajui Syarikat Batik Nusantara.
  • Bersikap sederhana.
  • Penyayang terhadap ahli keluarga dan rakan baik.
  • Bersikap rasional dalam mengambil tindakan.
  • Mengamalkan semangat bermasyarakat.
  • Rajin berusaha untuk memajukan syarikat.
  • Taat pada ajaran agama.
  • Berani dalam membuat tindakan.
  • Bersifat tabah dan penyabar.

Seorang yang rajin.
Contoh: Farid rajin turun ke bengkel untuk melihat pekerjanya menyiapkan batik walaupun tidak mempunyai pengalaman berniaga. Dia juga rajin bertanya kepada orang yang lebih berpengalaman seperti Mokhsein dan Zuraida.

Seorang yang bertanggungjawab
Contoh: Farid menjalankan tugas sebagai Pengarah Urusan Syarikat Batik Nusantara. DIa memastikan proses menghasilkan batik moden berjalan dengan baik.

Seorang yang gigih
Contoh: Farid gigih menyelesaikan masalah perniagaannya. Dia mendapatkan bimbingan daripada Mokhsein dan Zuraida.


Watak Sampingan

  • Bertubuh gelap, berwajah bulat dan tampan.
  • Pemilik Syarikat Nadi Zaman.
  • Mengenang budi.
  • Baik hati dan berhemah tinggi.
  • Bijak dalam menyusun strategi pemasaran perniagaan.
  • Hajah Zaoyah berusia 56 tahun dan balu kepada Allahyarham Haji Badrul, pemilik Syarikat Batik Nusantara.
  • Dia mempunyai enam orang anak.
  • Seorang ibu yang penyayang.
  • Seorang yang gigih dalam mengharungi cabaran dan masalah dalam perniagaan.
  • Seorang yang berani menanggung risiko dalam menguruskan perniagaan.
  • Seorang ibu yang sanggup berkorban untuk memajukan perniagaan.
  • Seorang yang bijak dan rasional dalam membuat tindakan.
  • Zuraida berusia 19 tahun dan merupakan rakan sekelas Farid dari tingkatan satu hingga tingkatan lima di Sekolah Menengah Seri Budiman.
  • Dia berniaga pakaian di bazar MARA di Jalan Banggol sejak tujuh tahun lalu dengan dibantu oleh adik-adiknya.
  • Seorang yang gigih dalam perniagaan.
  • Seorang yang mudah cemburu.
  • Seorang yang berpandangan jauh dalam mencorak masa depan.

Seorang yang gigih berusaha
Buktinya, Zuraida seorang peniaga gigih mengusahakan gerainya, lebih-lebih lagi ibunya telah melepaskan gerai tersebut sepenuhnya kepada Zuraida setelah dia tamat SPM.

Seorang yang berfikiran jauh
Zuraida memiliki banyak pandangan yang bernas untuk membolehkan Farid mengembangkan perusahaan batiknya.

Seorang yang mementingkan ilmu pengetahuan
Farid berasa kagum terhadap Zuraida apabila mengetahui bahawa Zuraida sebenarnya sedang menuntut ilmu dalam bidang Pentadbiran Perniagaan di UiTM, semester 1.


Latar Novel Hempasan Ombak

Latar Tempat

Latar TempatContoh
Rumah FaridTempat Farid makan malam bersama keluarganya.
Pejabat FaridTempat Farid dan pekerjanya mengadakan mesyuarat pertama.
Tempat Farid bekerja sebagai pengurus di syarikat milik keluarganya
Firma Nadi ZamanTempat Farid bertemu Mokhsein bagi meminta nasihat dan tunjuk ajar dalam dunia perniagaan.
Bazaar Mara Jalan BonggolTempat Zuraida berniaga pakaian.
Kampung TanjungRumah Zuraida
Pantai Batu BurukTempat Zuraida memberitahu Farid bahawa dia sedang melanjutkan pelajaran di UiTM dalam jurusan pentadbiran perniagaan.
Balai Polis Daerah Kuala TerengganuTempat Farid memberi kenyataan tentang peristiwa kebakaran bangsal moden milik syarikatnya.
Mahkamah Rendah Kuala TerengganuTempat Mukhtar dibicarakan dan dijatuhkan hukuman terhadap kes kesalahan membakar bangsal moden Farid.
UITM ( Universiti Teknologi Mara)Tempat Zuraida menyambung pelajaran dalam bidang Pentadbiran Perniagaan
Bangsal batik modenTempat Farid berbual-bual dengan Hartini berkaitan dengan penghasilan batik moden dan kebakaran yang berlaku
Latar Tempat Novel Hempasan Ombak

Latar Masa

Latar MasaContoh
Pagi SabtuFarid berkunjung ke kedai Zuraida
2.00 pagiBangsal moden Syarikat Batik Nusantara terbakar
15 minitBunyi letupan kedengaran dan orang kampung tersedar akan kebakaran bangsal tersebut.
Tiga hariSelepas tiga hari berlakunya peristiwa kebakaran itu, Mokhsein mengunjungi Farid di pejabatnya.
9.00 pagiMesyuarat kali pertama diadakan oleh Farid dan pekerjanya.
SebulanHartini menjadi tenaga pengajar batik moden kepada pekerja Farid.
Akhir tahun 60-anSyarikat Batik Nusantara ditubuhkan
Waktu MalamPada waktu malam, Farid dan keluarganya makan malam bersama.
Latar Masa Novel Hempasan Ombak

Latar MasyarakatNovel Hempasan Ombak

Masyarakat peniaga
Contoh: Farid, Zuraida, Mokhsein dan Mukhtar seorang yang terlibat dalam perniagaan batik.

Masyarakat yang gigih berusaha
Contoh: Farid begitu gigih berusaha untuk mengembangkan perusahaan batiknya dan hasil kegigihannya itu Farid berjaya membuka sebuah bengkel batik moden.

Masyarakat yang mementingkan ilmu
Contoh: Moksein menyarankan agar Farid mengikuti kursus – kursus dalam perniagaan supaya dapat meningkatkan pengetahuan dalam pengurusan syarikat.
Contoh: Zuraidah melanjutkan pelajaran dalam bidang Pentadbiran Perniagaan di UiTM Dungun walaupun dia sudah memiliki kedai.

Masyarakat hidup saling membantu
Contoh: Mokhsein dan Zuraida sering membantu Farid dalam urusan perniagaan seperti memberikan cadangan yang membina.

Masyarakat yang sanggup berkorban
Contoh:Hajah Zaoyah sanggup menggadaikan barang-barang kemas miliknya untuk dijadikan modal dalam membangunkan perusahaan batik yang diwarisi anaknya.

Masyarakat yang dengki
Contoh: Mukhtar yang dengki kepada Farid sanggup sabotaj perusahaan Farid agar dapat menyingkirkan pesaingnya di dalam pasaran batik.

Masyarakat yang kreatif dan inovatif
Contoh: Hartini menggunakan daya kreativitinya untuk menghasilkan corak batik dan mempelbagaikan kegunaan batik sebagai pakaian, perabot dan penghias dinding.

Masyarakat yang berani mengubah masa depan
Contoh: Farid suka bertanya dan meminta pendapat orang lain untuk mendapatkan idea yang dikehendakinya kerana dia percaya masa depan hanya boleh diubah sekiranya kita berani bertindak.

Masyarakat yang bekerjasama dan saling membantu
Contoh: Farid selalu berbincang meminta pendapat dan bantuan daripada keraninya, Tomsiah sebelum membuat sebarang tindakan.


Nilai Novel Hempasan Ombak

Hormat-menghormati
Contoh: Watak utama dalam novel Hempasan Ombak iaitu Farid selaku pengurus Syarikat Batik Nusantara dan para pekerjanya seramai 57 orang saling menghormati antara satu dengan yang lain ketika sama-sama memajukan perniagaan batik di syarikatnya itu.

Baik hati
Contoh: Mokhsein bersikap murah hati apabila bersedia membantu Farid memajukan Syarikat Batik Nusantara dan menerangkan perlunya Farid menjalankan “strategi terkunci” jika mahu syarikatnya kukuh kembali.

Kasih sayang
Contoh: Hajah Zaoyah amat menyayangi anak-anaknya. Sebagai ibu, dia sanggup berkorban menjaga anaknya, Lotfi yang sudah 10 tahun hidup di atas kerusi roda kerana lumpuh dari paras pinggang ke bawah setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Keberanian
Contoh: Farid berani menanggung risiko untuk mengembangkan pemasaran syarikat batiknya dengan membina bengkel baharu yang bermodalkan RM75 ribu.

Nilai Ketaatan
Contoh: Sebagai seorang muslim yang taat akan ajaran agama Islam, Farid tidak pernah mengabaikan solat lima waktu.

Nilai Ketabahan
Contoh: Farid begitu tabah menghadapi dugaan sepanjang menguruskan perusahaan batik ayahnya. Dia tabah menghadapi masalah hutang, pasaran yang semakin merosot dan bengkel batik modennya yang terbakar.

Semangat bermasyarakat
Contoh: Farid telah mengundang 200 orang penduduk kampung untuk merapatkan hubungan silaturahim dengan masyarakat setempat ketika perasmian bengkel batik moden baharu.

Tanggungjawab
Contoh: Farid bertanggungjawabmenguruskan masalah kewangan syarikat batik peninggalan ayahnya. Dia sanggup mengambil risiko dengan mencari idea baharu bagi menyelesaikan masalah syarikatnya.

Kegigihan
Contoh: Farid gigih berusaha untuk mengembangkan perusahaan batiknya sehingga dia berjaya membangunkan bengkel batik moden.

Nilai bekerjasama
Contoh: Keluarga Farid bekerjasama dengan pekerja-pekerjanya dalam menghasilkan kertas kerja bertajuk ‘Projek Pembesaran Keupayaan Pengeluaran Batik Cap dan Perintis Batik Lukis Syarikat Batik Nusantara’ bagi memajukan perusahaan batik Syarikat Batik Nusantara.


Pengajaran Novel Hempasan Ombak

Kita perlulah bersikap sederhana dalam menjalani kehidupan.
Farid bersederhana dalam menjalani kehidupannya walaupun dia memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Syarikat Batik Nusantara.

Kita hendaklah mencurahkan kasih sayang terhadap ahli keluarga.
Contohnya, sebagai seorang ibu, Hajah Zaoyah sanggup berkorban menjaga anaknya, Lotfi yang sudah 10 tahun hidup di atas kerusi roda kerana lumpuh dari paras pinggang ke bawah setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Kita mestilah bersikap baik hati dengan membantu orang yang memerlukan.
Mokhsein bersikap baik hati apabila bersedia membantu Farid untuk memajukan Syarikat Batik Nusantara. Dia menyarankan agar Farid melaksanakan ‘strategi terkunci’ untuk membaik pulih keadaan syarikatnya.

Kita mestilah mengamalkan semangat bermasyarakat.
Farid telah mengundang 200 orang penduduk kampung semasa majlis perasmian bengkel batik moden yang baharu bagi merapatkan hubungan silaturahim dengan masyarakat setempat.

Kita hendaklah tabah apabila diuji dengan musibah dan masalah.
Farid tabah menerima dugaan apabila bengkel batik moden baharunya terbakar dan menganggapnya sebagai takdir Tuhan.

Kita hendaklah bersabar apabila berdepan dengan pelanggan yang berbagai-bagai ragam.
Farid kagum akan kesabaran Zuraida melayani pelanggan yang pelbagai kerenah ketika berurus niaga di gerai pakaiannya di bazar MARA, Jalan Banggol.

Kita hendaklah melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik
Farid yang baru berusia 19 tahun telah melaksanakan tanggungajawabnya dengan baik apabila menguruskan perusahaan batik warisan arwah ayahnya sehingga berjaya membangunkan sebuah bengkel batik moden

Kita hendaklah bersaing secara sihat antara satu sama lain dalam bidang perniagaan
Mukhtar telah berusaha untuk memecahkan monopoli pasaran batik Syarikat Batik Nusantara dengan memberikan komisen yang tinggi kepada para ejen dan menjual dengan harga yang murah

Kita hendaklah melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang secukupnya
Zuraida yang rajin berniaga telah melanjutkan pengajiannya di UiTM dalam bidang pentadbiran perniagaan untuk menguasai kemahiran mengurus perniagaan


Gaya Bahasa Novel Hempasan Ombak

Bahasa Arab.
Contohnya, Assalamualaikum; Astaghfirullah.

Bahasa Inggeris.
Contohnya, window shopping; classmate.

Hiperbola.
Contohnya, Lidah api menjilat ganas apa-apa sahaja yang tercapai.

Personifikasi.
Contohnya, Rasa serba salah mula mencekik dirinya.

Repetisi.
Contohnya, “Kerja, kerja. Makan, makan,” ujar Hajah Zaoyah tegas.

Simile.
Contohnya, Syarikat yang ditubuhkan sejak hujung 60-an itu bagai pelita yang meliuk-liuk apinya.

Sinkope.
Contohnya, “Tak kisahlah tu,” tangkis Farid, tersenyum.

Peribahasa.
Contohnya, putih mata; gulung tikar; genggam bara api biar sampai jadi arang; diluah mati emak, ditelan mati bapa; kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.


Sinopsis Novel Hempasan Ombak

Farid yang baru berusia 19 tahun terpaksa menerajui Perusahaan Syarikat Batik Nusantara yang telah diusahakan selama 20 tahun apabila pemiliknya, Haji Badrul meninggal dunia akibat barah dalam perut. Ibunya, Hajah Zaoyah terpaksa menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada Farid kerana anak-anaknya yang lain tidak mampu memikul tugas tersebut. Farid menerima tugas itu dengan penuh tanggungjawab. Sebagai tugasan pertama, Farid melawat bengkel untuk melihat kerja-kerja mengecap batik. Pak Nik, pekerja syarikat itu menerangkan keadaan syarikat, iaitu batik keluaran syarikat tidak laku dan wujudnya sebuah syarikat yang mahu menggerhanakan syarikat mereka. Untuk mengukuhkan kewangan syarikat, Hajah Zaoyah bercadang mahu menggadaikan emas dan tanah miliknya. Seterusnya, Farid meluahkan keinginannya untuk membesarkan bengkel sekiranya kewangan syarikat semakin kukuh.

Farid mengadakan mesyuarat syarikat buat kali yang pertama dengan pekerja-pekerjanya. Dalam mesyuarat tersebut, Farid mahu syarikat menjual batik dalam bentuk pakaian siap dengan jenama tersendiri dan Farid mencadangkan bengkel diperbesar dan mesin baharu perlu dibeli. Pada satu hari, Farid mengunjungi pejabat pemborong binaan Nadi Zaman kepunyaan Mokhsein, bekas pekerja ayahnya satu ketika dahulu. Mokhsein memaklumkan, terdapat sebuah syarikat pesaing di Kuala Terengganu yang mahu memonopoli pengeluaran batik dengan menjual batik dengan harga yang murah untuk memastikan syarikat yang sedia ada muflis. Mokhsein kemudian menerangkan akan perlunya Farid menjalankan “strategi terkunci” jika mahu syarikatnya kukuh kembali.

Zuraida berniaga pakaian di bazar MARA di Jalan Banggol sejak tujuh tahun lalu. Farid, rakan sekelasnya ketika berada di tingkatan satu hingga tingkatan lima di Sekolah Menengah Seri Budiman datang berkunjung untuk bertanya khabar. Dalam pertemuan yang lain, Zuraida berjanji mahu membantu Farid dengan menjualkan batik di gerainya tanpa mengenakan sebarang komisen, namun dia mencadangkan Farid mengeluarkan batik corak baharu untuk menarik perhatian pembeli. Farid bertemu Mokhsein ntuk mendapatkan pandangannya. Hasilnya dia dapat menyiapkan kertas kerja “Projek Pembesaran Keupayaan Pengeluaran Batik Cap dan Perintis Batik Lukis Syarikat Batik Nusantara” dan seterusnya, Farid membina bengkel tambahan dengan modal sebanyak RM75 ribu. Hal berkaitan tenaga pengajar batik moden akan diuruskan oleh Mokhsein. Sebagai seorang usahawan yang berjaya, Mokhsein diundang untuk merasmikan bangunan bengkel batik moden. Pada hari tersebut, Hartini Noor, adik sepupu Mokhsein datang. Zuraida melahirkan rasa cemburu terhadap kehadiran Hartini Noor. Farid mengunjungi Zuraida di gerainya. Farid menjelaskan bahawa Hartini Noor sudah bertunang dengan pereka bentuk dalaman dan bekerja selama sebulan sahaja di syarikatnya. Zuraida melihat kerja-kerja mencanting di bengkel.

Selanjutnya, pemilik Syarikat Batik Rajawali, Mukhtar begitu marah apabila batik keluaran syarikatnya tidak mendapat sambutan dengan alasan batik keluarannya bercorak lama. Mukhtar yakin, batik pilihan pengguna sekarang adalah keluaran syarikat pesaingnya, Syarikat Batik Nusantara. Mukhtar kemudiannya pergi ke gerai anak saudaranya, Zuraida dan mendapati batik bercorak baharu dijual di gerai Zuraida. Mukhtar memberi amaran agar Zuraida tidak menjual batik itu dan jika masih degil, dia akan merobohkan gerai Zuraida. Farid pula menerima amaran keras dalam bentuk surat layang. Dia diingatkan agar memutuskan hubungannya dengan Zuraida dan memastikan batik keluarannya tidak menguasai pasaran. Jika amaran tersebut tidak dipandang serius, padah yang lebih besar akan menanti. Hajah Zaoyah mahu perkara itu dilaporkan kepada pihak polis.

Farid mendapat panggilan telefon daripada Zuraida. Zuraida menjelaskan akan larangan bapa saudaranya agar tidak menjual batik moden yang dikeluarkan oleh syarikat Farid. Di bengkel membuat batik moden kepunyaan Farid, Mahmood, pekerja Mukhtar mencari Azmi dan Masri. Mahmood tidak berpuas hati kerana dua-dua lelaki itu telah meninggalkan Syarikat Batik Rajawali. Azmi dan Masri memberi alasan meninggalkan syarikat kerana tidak dibayar gaji walaupun sudah bekerja selama dua bulan. Berlaku pertengkaran. Mahmood yang hilang sabar kemudiannya mencekik leher baju Azmi. Disebabkan Masri tiada pilihan lain untuk menyelamatkan Azmi, dia menerpa ke arah Mahmood lalu mencurahkan lilin panas dari canting ke muka Mahmood.

Ketika jam menunjukkan pukul 2:00 pagi, seisi rumah Hajah Zaoyah dikejutkan dengan bunyi letupan yang kuat. Alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati bengkel tempat pengeluaran batik moden dijilat api. Bengkel tersebut tinggal rangka. Lebih 75 peratus peralatan dan bahan mentah untuk membuat batik musnah. Farid menerima dugaan yang menimpanya sebagai takdir. Pihak polis yakin kebakaran bermotifkan jenayah lalu meminta Farid mengikutnya ke balai polis untuk diambil keterangan. Di balai polis, Inspektor Rusman menjelaskan, pihaknya telah memberkas Mahmood di sebuah klinik ketika lelaki itu sedang menerima rawatan kerana tersiram lilin batik. Mahmood mempunyai rekod jenayah dan merupakan pekerja Syarikat Batik Rajawali. Pemilik syarikat tersebut ialah Mukhtar bin Yusof dan kini pihak polis berusaha untuk memberkasnya.

Tiga hari selepas peristiwa kebakaran bengkel, Mokhsein datang ke bengkel Farid sekembalinya dari Singapura. Mokhsein berjanji akan membantu Farid menjadi pembekal pakaian siap. Kata-kata itu memberi semangat semula ke dalam jiwa Farid. Zuraida pula menjelaskan, kerana kekurangan ilmu dalam bidang perniagaan, dia mengikuti kursus luar kampus dalam bidang Pentadbiran Perniagaan di UiTM. Zuraida mencadangkan Farid menimba ilmu lagi kerana terdapat banyak kolej di Kuala Terengganu. Mukhtar kini berada di Penjara Marang dan dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun atas kesalahannya mengupah tiga orang samseng untuk membakar bengkel perusahaan batik Farid. Kemudian Farid dan Zuraida mengikuti Mokhsein serta isterinya menghadiri majlis perkahwinan Hartini Noor di Kuantan.

Sinopsis Hempasan Ombak mengikut bab


Contoh Soalan Novel Hempasan Ombak

Novel yang telah saya kaji dalam tingakatan 3 ialah novel Hempasan Ombak karya Zailiani Taslim. Watak utama novel ini ialah Farid. Terdapat beberapa nilai murni yang dimiliki oleh watak Farid boleh menjadi contoh dan teladan kepada pembaca dalam kehidupan.

Nilai pertama adalah nilai kegigihan. Contoh peristiwa yang dapat menunjukkan nilai ini semasaFarid gigih berusaha untuk mengembangkan perusahaan batik Nusantara walaupun menghadapi pelbagai cabaran. Hasilnya, Farid berjaya membangunkan bengkel batik moden.

Selain itu, terdapat juga nilai bertanggungjawab pada watak Farid. Sebagai contoh, Farid bertanggungjawabmenguruskan masalah kewangan syarikat batik peninggalan ayahnya.Farid jugabertanggungjawab mencari ideabaharu daripada pengusaha yang berpengalaman dalam bidang perniagaan untuk menyelesaikan masalah syarikatnya.

Tambahan pula, Farid juga memiliki nilai kesederhanaan. Nilai ini dapat dibukti dalam peristiwaFarid menggunakan kereta Peugeot lama peninggalan arwah ayahnya dan berasa kereta ini lebih selesa. Farid mengekalkan sikap bersederhana dalam menjalani kehidupan walaupun dia menduduki jawatan sebagai Pengarah Urusan Syarikat Batik Nusantara. Kadang kala,Farid juga menaiki motosikal jika ada urusan luar. Selain itu, semasa makan tengah hari bersama-sama Zuraida,Farid juga memilih untuk makan di warung biasa dan bukan di hotel yang mewah.

Novel yang saya kaji di tingkatan 3 ialah Hempasan Ombak. Terdapat beberapa persoalan yang telah saya pelajari.

Persoalan yang pertama ialah persoalan sikap manusia yang suka membantu orang lain tanpa mengharapkan balasan. Sebagai contoh, Mokhsein telah bersikap murah hati untuk membantu Farid memajukan Syarikat Batik Nusantara. Mokhsein sudi menerangkan tentang perlunya Farid menjalankan “strategi terkunci” jika mahu syarikatnya kukuh kembali.

Persoalan yang seterusnya ialah persoalan kehidupan yang bersederhana walaupun mempunyai wang dan kedudukan. Peristiwa yang boleh membukti ialah Farid yang mengekalkan sikap bersederhana walaupun dia menduduki jawatan sebagai Pengarah Urusan Syarikat Batik Nusantara. Dia sentiasa menaiki motosikal jika ada urusan luar. Sekiranya dia ingin berkereta, dia lebih selesa menggunakan kereta Peugeot lama peninggalan arwah ayahnya. Ketika makan tengah hari bersama-sama Zuraida, dia lebih selesa memilih untuk makan di warung biasa, bukan di hotel.

Persoalan yang terakhir ialah persoalan kasih sayang seorang ibu terhadap anak dan warisan keluarga. Sebagai contoh, Hajah Zaoyah amat menyayangi anak-anaknya. Dia sanggup menggadaikan barang kemasnya untuk membantu Farid memulihkan kewangan syarikat arwah suaminya.

Novel yang saya kaji ialah novel Hempasan Ombak karya Zailiani Taslim. Dalam novel ini,terdapat satu later tempat yang penting, iaitu Bangsal Batik.

Antara peristiwa yang berlaku di Bangsal Batik ialah Encik Mokhsein merasmikan bangsal batik kepunyaan Syarikat Batik Nusantara, majlis dijalankan dengan sederhana dengan diiringi doa selamat dan jamuan makanan yang turut dihadiri oleh 200 orang penduduk kampung. Peristiwa yang seterusnya ialah Hartini Noor menceritakan kaedah,corak dan sejarah batik asli (sarung) kepada Farid di bangsal batik sehingga meyebabkan Zuraida berasa cemburu.

Akhirnya, peristiwa yang berlaku di bangsal batik ialah Mahmood iaitu pekerja Mukhtar dan berkonflik dengan Azmi dan Mazri. Mahmood cuba memfitnah dan memukul Masri. Tindakan itu berjaya dihalang oleh Azmi. Azmi telah mencurah lilin panas pada muka Mahmood. Pertengkaran antara mereka menyebabkan Hartini Noor meminta Mahmood beredar kerana lelaki itu sengaja menimbulkan kekacauan di bengkel.

Novel yang saya kaji ialah Hempasan Ombak. Watak utama dalam novel ini ialah Farid.

Farid merupakan seorang yang sedia bekerjasama. Contohnya, Farid memberikan kerjasama kepada pihak polis demi mengukuhkan lagi fakta untuk dikemukakan kepada pendakwa raya dalam siasatan kes kebakaran di bengkel batiknya.

Selain itu, Farid juga merupakan seorang yang cekap dalam menguruskan perniagaan. Misalnya, Farid cekap menguruskan syarikat walaupun baru menerajui Syarikat Batik Nusantara.

Antara lain, Farid reda akan ketentuan Tuhan. Contohnya, Farid reda akan pemergian ayahnya dan pasrah menerima ketentuan itu.

Novel yang saya kajisemasa tingkatan 3 ialah novel Hempasan Ombak.

Dalam novel ini terdapat beberapa contoh peristiwa yang berkaitan dengan persoalan ketabahan menghadapi dugaan. Contohnya, Farid tabah menghadapi dugaan apabila menerima surat ugutan daripada musuhnya. Selain itu, Farid juga tabah apabila bangsal batik modennya telah dibakar oleh musuhnya dalam usahanya memajukan perniagaan batik keluarganya.

Persoalan kedua ialah kepentingan ilmu dalam kehidupan. Sebagai contoh, Zuraida menyambung pelajarannya dalam bidang Pentadbiran Perniagaan di kampus UiTM pada hujung minggu demi menambahkan pengetahuan.

Novel yang saya kaji ialah novel Hempasan Ombak.

Terdapat beberapa peristiwa yang menggambarkan latar masyarakat yang gigih berusaha. Misalnya, Farid gigih berusaha untuk memasarkan batik keluaran syarikat milik keluarganya dengan menjelajah ke bandar-bandar utama di Semenanjung Malaysia. Selain itu, Mokhsein pula gigih berusaha membuka perniagaannya sendiri setelah berhenti kerja dari syarikat ayah Farid.

Sementara itu, contoh peristiwa yang mencerminkan latar masyarakat yang mementingkan ilmu pengetahuan ialah Zuraida yang mementingkan ilmu pengetahuan telah menyambung pelajaran dalam bidang perniagaan di UiTM Dungun walaupun telah memiliki gerai sendiri.

Novel yang saya kaji semasa tingkatan tiga ialah novel Hempasan Ombak.

Puncak bagi novel ini ialah bangsal batik moden milik Farid telah dibakar pada pukul 2:00 pagi. Usaha Farid memadamkan api gagal. Pihak bomba memaklumkan bahawa sebanyak 75 peratus peralatan dan bahan mentah telah musnah termasuk batik-batik moden yang telah siap. Farid terpaksa menanggung kerugian melebihi RM70,000.00. Farid tabah menghadapi dugaan itu. Siasatan yang dijalankan oleh pihak bomba merumuskan bahawa ada unsur sabotaj dalam insiden kebakaran itu.

Novel yang saya kaji ialah novel Hempasan Ombak. Terdapat beberapa peristiwa yang memberikan teladan dalam novel ini.

Antaranya termasuklah peristiwa Farid tetap tabah dan bersemangat untuk memajukan perniagaan batiknya walaupun menghadapi pelbagai cabaran seperti menerima surat ugutan dan bangsal batiknya dibakar. Peristiwa ini memberikan teladan kepada kita, iaitu kita mestilah tabah menghadapi pelbagai dugaan dalam hidup.

Selain itu, Farid gigih berusaha dengan melakukan pelbagai transformasi untuk memajukan perniagaan batik keluarganya. Peristiwa ini memberikan teladan kepada kita, iaitu kita mestilah gigih berusaha untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu bidang.

Seterusnya, Zuraida akan mengulang kaji pelajaran di gerainya sementara menunggu pelanggan datang. Peristiwa ini memberikan teladan kepada kita, iaitu kita hendaklah bijak mengisi masa dengan aktiviti yang berfaedah.

Novel yang saya kaji ialah novel Hempasan Ombak. Watak sampingan dalam novel ini ialah Zuraida.

Antara perwatakan Zuraida ialah dia seorang yang bijak memanfaatkan masa. Contohnya, Zuraida bijak memanfaatkan masa terluang dengan mengulang kaji pelajaran di gerainya sementara menunggu pelanggan datang.

Selain itu, Zuraida juga seorang yang sabar melayani kerenah pelanggan. Misalnya, Zuraida sabar melayani kerenah pelanggan yang cerewet dan pelanggan yang mahukan harga yang rendah dengan sebaik mungkin.

Antara lain, Zuraida merupakan seorang yang berpandangan jauh. Contohnya, Zuraida berpandangan jauh dengan meminta Farid melakukan perubahan dalam perniagaan batiknya untuk menarik pelanggan.

Novel yang saya kaji ialah novel Hempasan Ombak.

Antara latar tempat yang terdapat dalam novel ini ialah Bazaar Mara, Jalan Banggol. Contohnya, Zuraida berniaga pakaian di Bazaar Mara, Jalan Banggol.

Latar kedua ialah Balai Polis Daerah Kuala Terengganu. Misalnya, Farid memberikan kenyataan tentang peristiwa kebakaran yang berlaku di bangsal batiknya di Balai Polis Daerah Kuala Terengganu.

Latar ketiga pula ialah Penjara Marang. Mukhtar menjalani hukuman selama tiga tahun di Penjara Marang atas tuduhan membakar bangsal batik kepunyaan Farid.

Novel yang telah saya kaji ialah Hempasan Ombak karya Zailiani Taslim.

Binaan plot yang pertama ialah bahagian permulaan. Antara peristiwa yang berlaku di bahagian permulaan ialah Syarikat Batik Nusantara ibarat hidup segan mati tak mahu. Kelonggaran kredit yang diberikan oleh ayah Farid, arwah Haji Badrul menjadikan ejen-ejen syarikat mula tunjuk belang. Hal ini menyebabkan syarikat arwah ayah Farid menanggung hutang dengan ejen pembekal bahan-bahan mentah.

Binaan plot yang kedua ialah bahagian perkembangan. Peristiwa yang berlaku di bahagian perkembangan ialah bangunan bangsal batik moden dan bangsal tambahan batik asli dibina di atas tanah milik keluarga Farid. Encik Mokhsein telah menghantar Hartini, adik sepupunya yang merupakan graduan seni reka fabrik lepasan UiTM sebagai pengajar batik moden di Syarikat Batik Nusantaraseperti yang telah dijanjikan kepada Farid. Zuraida, rakan Farid sejak di tingkatan satu banyak membantunya dalam merangka strategi pemasaran. Zuraida juga menjual batik-batik moden keluran Syarikat Batik Nusantara di gerainya tanpa sebarang komisen.

Binaan plot yang ketiga ialah klimaks. Disebabkan marahnya yang tidak tertanggung lagi, Mukhtar telah mengupah tiga orang samseng membakar bangsal batik moden yang menjadi punca kemerosotan perniagaan batik aslinya. Akibatnya, hampir 75 peratus peralatan dan bahan mentah serta batik-batik moden yang baru siap di dalam stor bangsal tersebut musnah. Farid telah menyerahkankes tersebut di bawah siasatan polis.

Binaan plot yang terakhir ialah peleraian. Contoh peristiwa ialah Mukhtar akhirnya ditangkap polis atas tuduhan membakar bangunan bengkel batik moden milik syarikat Farid. Atas perlindungan insurans, segala kemusnahan dapat dipulihkan semula. Farid tuurt menerima berita gembira daripada Encik Mokhsein yang menyatakan bahawa terdapat dua buah butik di Singapura dan Ampang park, Kuala Lumpur optimis mlanggan batik moden keluaran syarikatnya. Farid akhirnya berjaya membangunakn semula Syarikat Batik Nusantara yang telah diwariskan kepadanya.


Nota Komsas BM – Tingkatan 1 hingga 5

12 thoughts on “Komsas Novel Hempasan Ombak Tingkatan 3”

    1. Pantai Batu Buruk
      Farid bertemu dengan Zuraida di Pantai Batu Buruk dan Zuraida memberitahu Farid bahawa dia sedang melanjutkan pelajaran di UiTM dalam jurusan pentadbiran perniagaan.

    1. Persoalan kehidupan yang bersederhana walaupun mempunyai wang dan kedudukan.

      Peristiwa yang boleh membukti ialah Farid yang mengekalkan sikap bersederhana walaupun dia menduduki jawatan sebagai Pengarah Urusan Syarikat Batik Nusantara. Sebagai contoh, dia sentiasa menaiki motosikal jika ada urusan luar. Sekiranya dia ingin berkereta, dia lebih selesa menggunakan kereta Peugeot lama peninggalan arwah ayahnya. Ketika makan tengah hari bersama-sama Zuraida, dia lebih selesa memilih untuk makan di warung biasa, bukan di hotel.

    1. Tema novel Hempasan Ombak ialah usaha dan kecekalan seorang anak muda untuk memajukan perniagaan.

      Contoh Peristiwa:
      Farid yang hanya berusia 19 tahun berusaha dan menerima tanggungjawab untuk meneruskan perusahaan batik peninggalan arwah ayahnya. Dia berusaha dengan cekal untuk menjelaskan bebanan hutang yang ditanggung oleh Syarikat Batik Nusantara dengan menjual van dan lori syarikat serta menggadaikan tanah dan emas milik ibunya.

    1. Konflik dalam diri Farid bermula apabila dia mula untuk menerima tanggungjawab sebagai peneraju syarikat selepas kematian ayahnya. Farid terbeban memikirkan cara untuk memajukan syarikat ayahnya memandangkan perkembangan syarikat Batik Nusantara kurang memberansangkan. Selain itu, Farid juga memikirkan segala hutang-piutang ayahnya dengan syarikat pembekal bahan mentah.

      Konflik antara Syarikat Farid dan Syarikat Mukhtar
      Kemunculan batik bercorak baharu keluaran syarikat Farid telah menyebabkan batik keluaran Syarikat Batik Rajawali tidak lagi mendapat sambutan. Pemiliknya, Mukhtar berdendam terhadap Farid dan memberi amaran agar Zuraida tidak menjual batik syarikat Farid. Selain itu, Mukhtar juga mengirimkan surat layang berbaur ugutan kepada Farid.

      Seterusnya, samseng upahan Mukhtar, iaitu Mahmood telah datang ke bengkel batik Farid dan berkonflik dengan Masri dan Azmi. Berlaku pertengkaran antara mereka.

    1. Cabaran kewangan syarikat yang tidak kukuh

      Syarikat peninggalan batik arwah ayahnya menghadapi masalah kewangan.  Dia menghadapi cabaran yang besar kerana banyak tugas arwah ayahnya yang tertangguh di samping kewangan syarikat yang tidak kukuh. Perniagaan batik ayahnya beroperasi seperti biasa tetapi ada sebilangan ejen yang mengambil kesempatan tidak membayar hutang. Masalah ini telah menyebabkan aliran tunai syarikatnya yang tidak lancar.

      Cabaran syarikat pesaing yang mahu memonopoli pengeluaran batik.

      Sebuah syarikat pesaing di Kuala Terengganu mahu memonopoli pengeluaran batik. Syarikat itu menjual batik dengan harga yang murah untuk memastikan syarikat yang sedia ada muflis.

  1. putri serlina candra abdullah

    apakah latar belakang dan peristiwa yang berlaku untuk semua bab 1-14 buku hempasan ombak?

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You cannot copy content of this page