Skip to content

KOMSAS BM: Konflik Watak Utama Novel

Konflik Watak Utama Novel

Konflik yang timbul dalam cerita membuatkan cerita semakin berkembang. Berikutnya konflik novelTirani,Leftenan Adnan,Di Sebalik Dinara,Jendela Menghadap Jalan,Pantai Kasih,Songket Berbenang Emas,Bimasakti Menari,Silir Daksina.

Berdasarkan sebuah novel yang telah anda pelajari, jelaskan dua konflik yang dihadapi oleh watak utamanya.

Konflik Novel Tirani

Berdasarkan novel yang telah saya pelajari iaitu novel Tirani karya Beb Sabariah, terdapat beberapa konflik yang dihadapi oleh watak utamanya iaitu Waheeda.

Konflik yang pertama ialah konflik antara anak dengan bapa. Waheeda berkonflik dengan bapanya, Fadhil apabila bapanya menegur Waheeda selepas mengetahui bahawa Waheeda mahu menjalani pembedahan kosmetik. Bapanya tidak mengizinkan Waheeda menjalani pembedahan plastik kerana perbuatan melanggar fitrah Allah itu bertentangan dengan kehendak agama Islam dan melanggar adat resam keturunan mereka. Larangan tersebut menunjukkan bahawa ibu bapa Waheeda tidak mahu anaknya melanggar hukum agama dan adat resam.

Konflik yang kedua ialah antara suami isteri. Waheeda bertengkar dengan suaminya, Zahid kerana Zahid menuduhnya mempunyai hubungan dengan Dawood selepas Zahid menemui mereka di dalam bilik Chalet Tajau Emas. Ketika sampai di chalet tersebut, Zahid terlihat lelaki itu berjabat tangan dengan Waheeda agak lama. Zahid juga sering menuduhnya bermain kayu tiga, nusyuz, ingkar dan pelbagai tuduhan lagi. Sikap Zahid yang sering meragui kejujuran dan keikhlasan Waheeda menyebabkan hubungan mereka menjadi dingin.


Salah satu konflik yang dihadapi oleh Waheeda ialah penentangan hasratnya untuk menjalani pembedahan plastik pada wajahnya.  Waheeda merupakan seorang gadis yang mahu menjadi cantik dan berhidung mancung kerana hidung asalnya pesek. Hidungnya yang kemet  atau pesek ini menjadi ejekan kepada kawan-kawannya seperti  Si Nuar, Si Man dan Mat Gusi. Hatinya sentiasa memberontak dengan keadaan itu. Waheeda memasang niat untuk membuat pembedahan plastik. Hasrat ini telah dinyatakan kepada ibunya, Raidah. Akan tetapi, bapa Waheeda tidak menggalakkankan kerana  bercanggah dengan hukum agama. Emak Waheeda terus memujuk anaknya supaya tidak melakukan  apa yang dihajatinya.

Selain itu, Waheeda juga menghadapi konflik dengan tuduhan suaminya, Zahid. Zahid telah menemui Waheeda di sebuah bilik penginapan penghuni di Chalet Tajau Emas. Zahid berasa cemburu dan salah sangka atas kesetiaan Waheeda itu. Rentetan daripada peristiwa itu, Zahid telah mempertikaikan status anak yang dilahirkan oleh Waheeda setelah meneliti ciri-ciri fizikal yang terdapat pada anak perempuannya itu.


Konflik Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa

Setiap novel mempunyai beberapa unsur yang membuatkan novel tersebut menarik untuk dibaca. Berdasarkan novel yang saya kaji iaitu Leftenan Adnan Wira Bangsa, karya Abdul Latip bin Talib, terdapat unsur konflik yang membuatkan novel tersebut semakin berkembang.

Konflik pertama yang timbul dalam cerita adalah apabila Nordin memperlekehkan usaha Adnan untuk menjadi tentera. Adnan telah dituduh sebagai pengkhianat bangsa kerana keluarganya pernah menjadi tali barut kepada Inggeris ketika moyangnya telah menjadi orang buruan Inggeris.Walau bagaimanapun, Adnan sabar dengan lekehan rakan-rakannya dengan tidak menghiraukan tempelak rakan-rakan sekampungnya itu.

Selain itu, konflik yang timbul dalam novel Leftenan Adnan adalah ketika pertempuran  Batalion Kedua Askar Melayu dengan pendaratan askar Jepun di Pantai Cahaya Bulan pada 8 Disember 1941. Dalam pertempuran ini, askar Jepun telah ditentang hebat oleh askar Melayu yang dibantu oleh tentera India British. Pada hari kedua, kapal-kapal perang Jepun telah melepaskan tembakan menyebabkan banyak terkorban dan banyak askar India British melarikan diri. Namun begitu, semangat Leftenan Adnan tidak berputus asa lalu bertahan dan berjaya menggagalkan askar Jepun tetapi pada hari ketiga askar Melayu yang bertempur terpaksa berundur. Askar Jepun berjaya mendarat di Kelantan.

Di samping itu, terdapat satu lagi konflik dalam novel di mana berlaku di antara askar Melayu dengan tentera Jepun pada masa terakhir Perang Dunia Kedua. Pada masa ini Leftenan Adnan terus memberikan kata-kata semangat kepada anak-anak buahnya.Walaupun mereka semakin kehabisan peluru sedangkan asakan tentera Jepun semakin bertambah, semangat askar Melayu tidak pernah berkurang dan terus berjuang mempertahankan diri dan maruah negara.

Nota Komsas:Leftenan Adnan Wira Bangsa


Konflik NovelDi Sebalik Dinara

Novel yang saya kaji di Tingkatan 4 ialah novel Di Sebalik Dinara karya Dayang Noor. Terdapat banyak konflik yang dihadapi oleh watak utama iaitu Farisha dalam novel ini.

Konflik yang pertama ialah konflik antara adik dengan abang. Konflik tercetus apabila Farisha berasa terkilan selepas menyedari dirinya merupakan anak angkat keluarga Azraai dan merupakan seorang anak yang tidak sah taraf. Hal ini dikatakan demikian kerana pengenalan bapanya tidak tercatat dalam fail manakala ibunya bernama Marilyn berketurunan Portugis. Farisha terkilan kerana Azraai menyembunyikan perkara yang sebenar selama ini daripadanya.

Konflik yang kedua ialah antara anak dengan ibu. Farisha berkonflik dengan ibunya, Medina/Marilyn apabila dia mengetahui bahawa ibunya itu cuba membunuhnya semasa kecil. Farisha melarang Marilyn mendekatinya atau memeluknya ketika mereka berdua berada di dalam kereta. Farisha turut memalingkan muka apabila Marilyn mengucupnya pada bahagian pipi.

Nota Komsas: Di Sebalik Dinara


Konflik NovelJendela Menghadap Jalan

Novel yang saya kaji di Tingkatan 4 ialah novel Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin. Watak utama dalam novel ini ialah Lili. Terdapat pelbagai konflik yang telah dihadapi oleh Lili dalam novel ini.

Konflik yang pertama ialah konflik sesama rakan. Lili berkonflik dengan Danel apabila Danel tidak serius membincangkan isu kubah. Lili meminta Danel menjadi penggerak kepada pembangunan di kampung itu dengan memberikan penjelasan kepada penduduk kampung tentang kemajuan yang ingin dilaksanakan. Sikap Danel yang tidak serius membincangkan hal tersebut membuatkan Lili berasakan semangatnya luntur. Danel telah memujuk Lili dengan membawa aiskrim sebagai tanda minta maaf kerana menyakiti hati Lili.

Konflik yang kedua ialah dengan diri sendiri. Lili berkonflik dengan dirinya sendiri apabila terpaksa merelakan dirinya untuk pulang ke kampung datuk dan neneknya yang jauh daripada pembangunan di satu kawasan di Dungun, Terengganu. Lili terpaksa menyembunyikan perasaannya daripada diketahui oleh ibu. Lili tidak mahu pulang ke kampung kerana dia mahu menghabiskan cuti sekolah yang terakhirnya itu bersama-sama rakan sekelasnya.

Nota Komsas: Jendela Menghadap Jalan


Konfliknovel Pantai Kasih

Novel yang saya kaji di Tingkatan 4 ialah novel Pantai Kasih karya Azmah Nordin. Watak utama dalam novel ini ialah Doktor Raiha. Terdapat pelbagai konflik yang telah dihadapi oleh Doktor Raiha dalam novel ini.

Konflik yang pertama ialah konflik dengan diri sendiri. Doktor Raiha berkonflik dengan dirinya sendiri apabila dia sentiasa dibayangi dengan peristiwa hitam yang dialaminya. Doktor Raiha tidak dapat melupakan detik hitam dalam kehidupannya apabila sentiasa dibayangi dengan kenangan silam kematian anaknya. Kehidupan sehariannya menjadi tidak ceria disebabkan peristiwa hitam itu. Konflik diri ini menyebabkan Raiha berasa bersalah dengan kematian anaknya itu dan tetap menyalahkan bekas suaminya atas kematian itu.

Konflik yang kedua ialah antara suami dengan isteri. Raiha berkonflik hebat dengan suaminya, Doktor Sadiz yang menuduh Raihalah punca kematian anak perempuannya itu. Sebaliknya Raiha menuduh Doktor Sadizlah yang menyebabkan kematian anaknya itu dan merancang kematian anaknya itu. Konflik itu membawa mereka hingga ke mahkamah dan akhirnya Doktor Sadiz menang dalam perbicaraan kematian anak tunggalnya itu. Doktor Raiha turut berkonflik dengan Doktor Sadiz apabila bekas suaminya itu menuduh Raiha mempunyai hubungan sulit dengan Doktor Uwang. Doktor Sadiz telah bertindak ganas dengan cuba mencederakan Raiha sambil memaksa Raiha menggugurkan janin yang dikandungkannya.

Nota Komsas: Pantai Kasih


Konflik novel Songket Berbenang Emas

Novel yang saya kaji di Tingkatan 5 ialah novel Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip. Watak utama dalam novel ini ialah Dahlia. Terdapat pelbagai konflik yang telah dihadapi oleh Dahlia dalam novel ini.

Konflik yang pertama ialah konflik dengan diri sendiri. Dahlia berkonflik dengan dirinya apabila mengambil keputusan untuk keluar dari asrama. Walaupun Cikgu Salwani dan Cikgu Hisyam cuba untuk memujuk Dahlia menceritakan masalah yang dihadapinya namun Dahlia tetap menyimpan masalah yang membelenggu hidupnya. Begitu juga kegagalannya hadir ke sekolah pada hari Selasa dan Rabu tetap dirahsiakan daripada Cikgu Hisyam sebab musababnya. Pada hari Selasa, Dahlia tidak pergi ke sekolah kerana adiknya sakit ditambah dengan dirinya yang masih lemah kerana meredah arus sungai untuk menyelamatkan Said.

Konflik yang kedua ialah dengan jiran. Dahlia berkonflik dengan Aton apabila Aton menyindir dan memfitnah Dahlia sebagai seorang gadis yang rendah akhlak. Aton turut menuduh Dahlia sebagai buah kelapa yang telah ditebuk tupai. Aton juga sering menyindir Dahlia apabila dia mengatakan bahawa Dahlia pulang ke rumah untuk melihat emaknya yang dianggap tidak siuman.


Konflik novel Bimasakti Menari

Novel yang saya kaji di Tingkatan 5 ialah novel Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusop. Watak utama dalam novel ini ialah Nurul Hafsa. Terdapat pelbagai konflik yang telah dihadapi oleh Nurul Hafsa dalam novel ini.

Konflik yang pertama ialah konflik dengan diri sendiri. Nurul Hafsa berkonflik dengan dirinya sendiri apabila memikirkan kegagalan pengunjung dari Jepun melihat bintang.Murid dan guru pengiring dari Sekolah Rendah Kichihimahigashi, Hiroshima gagal melihat buruj Orion atau buruj Belantik dengan mata kasar kerana langit pada malam tersebut menjadi cerah. Nurul Hafsa runsing dengan situasi tersebut kerana dia baru bermula bertugas di Balai Cerap Sultan Salahuddin, Kuala Selangor. Dia mengakui puncanya kesan negatif akibat pembangunan pesat yang berlaku di Kuala Selangor mengakibatkan pencemaran cahaya.

Konflik yang kedua ialah dengan pegawai atasan . Nurul Hafsa berkonflik dengan Puan Foziah, pegawai atasan Pejabat Majlis Daerah Kuala Selangor berkenaan laporan tahap kecerahan langit Kuala Selangor. Nurul Hafsa berusaha menyediakan laporan tentang tahap kecerahan langit di Kuala Selangor namun tidak mendapat kerjasama daripada pegawai atasan sebaliknya Nurul Hafsa dinasihati agar tidak mengharapkan sebarang tindakan kerana tiada undang-undang alam sekitar yang telah dilanggar di Kuala Selangor.


Konflik novel Silir Daksina

Novel yang saya kaji di Tingkatan 5 ialah novel Silir Daksina karya Nizar Parman. Terdapat banyak konflik yang dihadapi oleh watak utama iaitu Haiqal dalam novel ini.

Konflik yang pertama ialah konflik antara ibu dengan anak. Umi Haiqal tidak menyokong tindakannya untuk pulang ke Johor kerana di Johor Haiqal tidak mengenali sesiapa dan Haiqal juga tidak mempunyai tempat tinggal untuk bermalam. Uminya juga tidak akan memberikan wang belanja kepada Haiqal jika Haiqal ke Johor.

Konflik yang kedua ialah antara sahabat. Haiqal berkonflik dengan Ratna apabila Ratna menyepikan diri sepanjang Haiqal berada di Batu Pahat. Setelah Haiqal pulang ke Terengganu, barulah Haiqal mengetahui sebab Ratna menyepikan diri. Rupa-rupanya Ratna telah bertunang dengan seorang usahawan muda yang menjadi rakan kongsi dan bakal suaminya.

Nota Komsas: Silir Daksina

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *