Skip to content

Soalan Novel: Peristiwa yang memberikan pedoman

Peristiwa novel yang memberikan pedoman

Soalan komsas SPM Bahasa Melayu. Huraikan dua peristiwa yang memberikan pedoman yang terdapat dalam sebuah novel yang anda pelajari.

Peristiwa Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa

Novel yang saya kaji di Tingkatan 4 ialah novel Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip bin Talib.Terdapat banyak peristiwa yang memberikan pedoman dalam novel ini.

Peristiwa yang pertama ialah peristiwa Adnan mematuhi cadangan ibunya untuk mengahwini Sophia. Sebagai seorang anak, Adnan menjalankan tanggungjawabnya untuk patuh akan kehendak ibu bapanya. Walaupun tidak mengenali Sophia, namun Adnan tidak membantah apabila mereka mahu menjodohkannya dengan Sophia, seorang guru sekolah yang merupakan anak Pak Faqih Muda sekembalinya dari London dan setelah berjaya menjawat jawatan leftenan muda. Peristiwa ini memberikan pedoman supaya kita sentiasa mentaati kata-kata ibu bapa agar dapat hidup dengan bahagia.

Peristiwa yang kedua ialah peristiwa Pak Saidi sangat mementingkan ilmu apabila dia berkeras untuk menghantar anaknya, Adnan ke sekolah Inggeris. Pak Saidi berpendapat bahawa untuk mencari ilmu mestilah belajar dengan bangsa yang lebih berjaya dan maju. Walaupun mendapat tentangan dan halangan daripada penduduk kampung, namun Pak Saidi tetap meneruskan hajatnya menghantar anaknya ke sekolah Inggeris. Hasilnya anak-anak Pak Saidi telah berjaya dan menjadi ikutan oleh penduduk kampung yang lain. Peristiwa ini memberikan pedoman supaya kita seharusnya mementingkan ilmu pengetahuan untuk masa depan yang cemerlang walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Nota Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa


Peristiwa Novel Di Sebalik Dinara

Novel yang saya kaji di Tingkatan 4 ialah novel Di Sebalik Dinara karya Dayang Noor.Terdapat banyak peristiwa yang memberikan pedoman dalam novel ini.

Peristiwa yang pertama ialah peristiwa Farisha tidak dapat masuk ke dalam rumah kerana rumah Farisha telah dilengkapi dengan sistem keselamatan yang canggih iaitu retinal scanner dan interkom yang bersambung dengan rumah abangnya, Azraai. Apabila Azraai menelefon Farisha, hologram Azraai akan muncul. Mereka berbual tentang kes pembunuhan yang berlaku tidak jauh dari apartmen Farisha. Sistem keselamatan ini dipasang oleh Azraai untuk menjamin keselamatan adiknya yang tersayang. Peristiwa ini memberikan pedoman supaya kita sentiasa menyayangi adik- beradik dengan menjaga keselamatan mereka.

Peristiwa yang kedua ialah peristiwa pekerja Soft Lab menunaikan wasiat Karl supaya mayatnya dibakar dan abunya ditaburkan di Selat Melaka. Selepas subuh pada hari Ahad, berpuluh-puluh orang pekerja Soft Lab berkumpul di Port Dickson untuk upacara tersebut. Dr. Maxi dan beberapa orang pengurus besar Soft Lab memberikan sepatah dua kata tentang kenangan bekerja dengan Karl dan jasa-jasanya terhadap syarikat. Peristiwa ini memberikan pedoman supaya kita sentiasa mentaati perintah ketua dalam menjalankan amanah yang diberikan.

Nota Novel Di Sebalik Dinara


Peristiwa Novel Jendela Menghadap Jalan

Novel yang saya kaji di Tingkatan 4 ialah novel Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin.Terdapat banyak peristiwa yang memberikan pedoman dalam novel ini.

Peristiwa yang pertama ialah peristiwa datuk Lili atau Haji Abdul Rahman rajin masuk ke hutan untuk mencari akar-akar kayu sebagai ramuan perubatan tradisional. Sikapnya yang rajin ini membimbangkan nenek kerana pernah datuk tidak balik pada waktu malam semata-mata untuk mencari akar-akar kayu. Datuk turut ke paya bakau untuk mencari tumbuhan eksotik dan suka merayau-rayau ke tempat-tempat yang berpotensi untuk dijadikan penyembuh tubuh manusia yang sakit. Peristiwa ini memberikan pedoman agar kita menghargai sumber alam semula jadi yang banyak memberikan manfaat kepada kesihatan manusia.

Peristiwa yang kedua ialah peristiwa Geetha yang rajin membantu nenek memasak apabila dia memotong sayur dan menyiang ikan ketika dia tidur di rumah nenek. Walaupun nenek melarang Geetha menolongnya kerana Geetha ialah tetamu namun dia tetap membantu nenek. Bagi Geetha, membantu melakukan kerja-kerja di dapur ialah kerja orang perempuan. Peristiwa ini memberikan pedoman agar kita rajin membantu orang yang lebih tua untuk meringankan kerja-kerja mereka.

Nota Novel Jendela Menghadap Jalan


Peristiwa Novel Pantai Kasih

Novel yang saya kaji di Tingkatan 4 ialah novel Pantai Kasih karya Azmah Nordin.Terdapat banyak peristiwa yang memberikan pedoman dalam novel ini.

Peristiwa yang pertama ialah peristiwa ibu Unong Siron menjaga Unong Siron yang terlantar sakit di Pusat Rawatan Pantai Kasih kerana menjalani pembedahan penggantian sendi pinggul kali keenam. Wang pampasan yang diperoleh hampir habis untuk mengubati anaknya yang sakit. Peristiwa ini memberikan pedoman supaya kita sentiasa menyayangi anak-anak dengan menjaga kesihatan mereka.

Peristiwa yang kedua ialah peristiwa Doktor Muhammad dedikasi dalam menjalankan tugasnya apabila dia sanggup datang bertugas semula apabila dia menerima on call pada suatu malam. Doktor Muhammad terpaksa dipanggil bertugas kerana terdapat kes kelahiran pramatang seorang bayi yang belum cukup masa dan menghadapi kesukaran bernafas. Peristiwa ini memberikan pedoman supaya kita sentiasa berdedikasi menjalankan tugas yang telah dipertanggungjawabkan dalam apa-apa jua keadaan.

Nota Novel Pantai Kasih


Peristiwa Novel Songket Berbenang Emas

Novel yang saya kaji di Tingkatan 5 ialah novel Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip.Terdapat banyak peristiwa yang memberikan pedoman dalam novel ini.

Peristiwa yang pertama ialah peristiwa keprihatinan Tauke Lim terhadap kesusahan dan kemiskinan hidup yang dialami oleh keluarga Embong. Dia sanggup memberikan makanan dan wang kepada keluarga Embong. Tauke Lim membenarkan Embong sekeluarga mengambil barang runcit di kedainya dengan berhutang. Tauke Lim turut menyumbangkan wang sebanyak RM300.00 untuk membiayai perbelanjaan Dahlia di Universiti Malaya. Peristiwa ini memberikan pedoman agar kita prihatin akan kesusahan orang lain dengan menghulurkan bantuan kepada mereka.

Peristiwa yang kedua ialah peristiwa Cikgu Hisyam yang mengingatkan Dahlia agar tidak mengabaikan pelajaran apabila Dahlia membuat keputusan untuk keluar dari asrama. Cikgu Hisyam telah memanggil Dahlia untuk menemuinya kerana Dahlia tidak hadir dua hari ke sekolah. Cikgu Hisyam cuba mencungkil masalah yang dihadapi oleh Dahlia namun Dahlia lebih suka merahsiakannya. Cikgu Hisyam yang bimbang akan pelajaran Dahlia telah meminta rakan-rakan Dahlia membantu meminjamkan nota-nota untuk memudahkan Dahlia mengulang kaji pelajarannya. Peristiwa ini memberikan pedoman agar kita sentiasa mementingkan pelajaran walaupun berhadapan dengan pelbagai masalah.

Nota novel Songket Berbenang Emas


Peristiwa Novel Tirani

Novel yang saya kaji di Tingkatan 5 ialah novel Tirani karya Beb Sabariah.Terdapat banyak peristiwa yang memberikan pedoman dalam novel ini.

Peristiwa yang pertama ialah peristiwa Waheeda berani menghadapi risiko apabila dia mengambil alih perniagaan Pak Cik Abdul Aziz yang mempunyai masalah kewangan sehingga dia diisytiharkan muflis kerana penyelewengan yang dilakukan oleh pekerja-pekerjanya. Waheeda berani membeli Chalet Iwana-Iwani sedangkan dia baru sahaja sembuh daripada penyakit kemurungan yang dihadapinya setelah mendapatkan rawatan dan kaunseling daripada Dr. Qamariah serta sokongan moral daripada ibu dan abangnya. Peristiwa ini memberikan pedoman agar kita berani berhadapan dengan risiko untuk mendapatkan kejayaan.

Peristiwa yang kedua ialah peristiwa Fadhil dan Raidah yang mematuhi ajaran agama apabila mereka tidak membenarkan Waheeda melakukan pembedahan kosmetik kerana perbuatan mengubah fitrah Allah itu bertentangan dengan kehendak agama Islam dan melanggar adat resam keturunan mereka. Fadhil tidak mahu Waheeda melanggar ajaran agama semata-mata ingin akan kecantikan. Justeru, ajaran agama perlulah dipatuhi oleh semua dalam melakukan sebarang tindakan agar tidak tersalah membuat keputusan. Peristiwa ini memberikan pedoman agar kita tidak melakukan perkara yang melanggar hukum agama supaya hidup diberkati Tuhan.

Nota Novel Tirani


Peristiwa Novel Bimasakti Menari

Novel yang saya kaji di Tingkatan 5 ialah novel Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusop.Terdapat banyak peristiwa yang memberikan pedoman dalam novel ini.

Peristiwa yang pertama ialah peristiwa kegigihan Nurul Hafsa dan Budiman mencari dan mengumpul data-data tentang kepupusan kelip-kelip di Kampung Kuantan, Kuala Selangor. Nurul Hafsa dan Budiman duduk di jeti menunggu kumpulan kelip-kelip. Kerja-kerja mencerap populasi kelip-kelip terhenti selama seminggu kerana Muhammad Taufik dimasukkan ke hospital. Sebagai menunaikan janji serta menjaga integriti data yang akan dipersembahkan dalam kerja-kerja mereka pada masa depan, Budiman dan Nurul Hafsa terpaksa melakukan pengumpulan data tanpa Muhammad Taufik. Mereka perlu mengambil foto setiap kali ternampak kelip- kelip dalam masa 10 minit mereka duduk di jeti tersebut. Mereka pulang selewat- lewatnya pada pukul 10.00 malam. Peristiwa ini memberikan pedoman agar kita gigih melakukan sesuatu tugasan untuk mendapatkan bukti-bukti yang sahih.

Peristiwa yang kedua ialah peristiwa Tan Sri Muhaimin terus membesarkan anaknya Muhammad Taufik dengan baik dan penuh kasih sayang walaupun telah berpisah dan bercerai dengan isterinya, iaitu Puan Mariam Wickham. Segala keperluan anaknya dipenuhi dengan sebaik-baiknya supaya anaknya dapat kasih sayang yang secukupnya. Peristiwa ini memberikan pedoman supaya kita menyayangi anak-anak dengan memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada mereka.

Nota Novel Bimasakti Menari


Peristiwa Novel Silir Daksina

Novel yang saya kaji di Tingkatan 5 ialah novel Silir Daksina karya Nizar Parman.Terdapat banyak peristiwa yang memberikan pedoman dalam novel ini.

Peristiwa yang pertama ialah peristiwa Ai Ling telah meminta Cikgu Zam mengajarnya mendeklamasikan puisi yang betul. Semasa Ai Ling mendeklamasikan sajak, Cikgu Zam berkhayal seolah-olah Aiman mendeklamasikan sajak bersama- sama Ai Ling. Ai Ling telah memenangi pertandingan mendeklamasi puisi di sekolahnya. Cikgu Zam sudah menduga kejayaan Ai Ling kerana persembahannya baik dan mengesankan. Peristiwa ini memberikan pedoman agar kita berani meminta bantuan orang lain yang lebih pakar untuk melakukan sesuatu agar mendapat kejayaan.

Peristiwa yang kedua ialah peristiwa Tauke Ong yang rajin bekerja apabila dia menoreh getah pada sebelah pagi bersama-sama isterinya. Pada sebelah petang pula, mereka akan meraih hasil kampung seperti pinang, biji kopi, pisang, getah beku dan getah sekerap untuk dijual di pekan. Sekiranya dia tidak menoreh getah, dia akan membersihkan kebun ayah Abdullah bin Kayan. Hasil kerajinannya berusaha, dia dapat membeli setengah ekar tanah kebun untuk dijadikan tapak rumah. Peristiwa ini memberikan pedoman agar kita rajin bekerja agar dapat menampung keperluan keluarga.

Nota Novel Silir Daksina

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *