Skip to content

Perwatakan Watak Utama Novel Tingkatan 4 , 5

Perwatakan Watak Utama Novel Perwatakan Watak Utama Novel Tingkatan 4 , 5

Watak utama dalam sesebuah novel sentiasa mempunyai keistimewaan yang tertentu. Berdasarkan novel yang anda kaji, jelaskan dua perwatakan yang terdapat dalam watak utama.

Perwatakan Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa

Novel yang saya kaji di Tingkatan 4 ialah novel Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip bin Talib. Watak utama dalam novel ini ialah Leftenan Adnan bin Saidi. Terdapat banyak perwatakan Leftenan Adnan dalam novel ini.

Perwatakan Leftenan Adnan yang pertama ialah seorang yang berani. Leftenan Adnan berani memimpin pasukannya untuk mempertahankan Bukit Candu. Walaupun ramai askar Melayu yang terkorban namun Leftenan Adnan tidak mengalah sehinggalah akhirnya beliau sendiri meninggal dunia setelah diseksa oleh tentera Jepun.

Perwatakan Leftenan Adnan yang kedua ialah seorang yang gigih. Adnan gigih menjalani latihan ketenteraan sehingga mendapat pangkat leftenan. Beliau gigih menjalani latihan ketenteraan yang keras dan penuh disiplin di Kem Haig Lines, Port Dickson. Beliau turut mempelajari ilmu agama dan undang-undang di kem tersebut. Selain itu, beliau dilatih menggunakan senjata api, teknik mempertahankan diri dan gerak gempur.

Nota Penuh: Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa


Watak Utama Novel Di Sebalik Dinara

Novel yang saya kaji di Tingkatan 4 ialah novel Di Sebalik Dinara karya Dayang Noor. Watak utama dalam novel ini ialah Farisha. Terdapat banyak perwatakan Farisha dalam novel ini.

Perwatakan Farisha yang pertama ialah seorang yang tabah. Farisha tabah apabila mengetahui bahawa dia hanyalah anak angkat keluarga Azraai. Azraai telah menyerahkan fail yang mengandungi dokumen yang mengandungi segala maklumat tentang diri Farisha. Walaupun kecewa, namun Farisha terpaksa menerima hakikat bahawa dia dan Azraai bukan lahir dari rahim yang sama.

Perwatakan Farisha yang kedua ialah seorang yang pemaaf. Farisha tetap memaafkan ayahnya, Karl apabila dia berjanji akan sentiasa mengingati ayahnya itu ketika Farisha bertemu ayahnya yang sedang nazak di rumah agam milik Karl. Farisha turut menangis apabila mengucapkan selamat tinggal kepada Karl dan tidak semena- mena air mata Karl turut mengalir di pipinya.

Nota Penuh: Novel Di Sebalik Dinara


Perwatakan Novel Jendela Menghadap Jalan

Novel yang saya kaji di Tingkatan 4 ialah novel Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin. Watak utama dalam novel ini ialah Lili. Terdapat banyak perwatakan Lili dalam novel ini.

Perwatakan Lili yang pertama ialah seorang yang bijak. Lili bijak apabila dia meminta bantuan Kak Mimah bagi mengatasi masalah keluarga Che Jah ketika Kak Mimah mendapatkan rawatan di rumah datuknya. Kak Mimah yang bekerja sebagai Pegawai Kebajikan Masyarakat telah banyak membantu keluarga Che Jah untuk mencari jalan penyelesaian bagi menyelamatkan Che Jah dan anak-anaknya daripada terus menjadi mangsa kekejaman Seman.

Perwatakan Lili yang kedua ialah seorang yang berani. Lili berani pergi ke rumah Che Jah walaupun baru berhadapan dengan peristiwa diculik oleh anak-anak Che Jah. Che Jah mengadu kepada Lili tentang Haziq yang kena balun dengan tali pinggang oleh ayahnya. Manakala Rafik menjadi kutu rayau kerana asyik gagal dalam peperiksaan dan dibuang sekolah akibat selalu ponteng dan melawan guru.

Nota Penuh: Novel Jendela Menghadap Jalan


Watak Utama Novel Pantai Kasih

Novel yang saya kaji di Tingkatan 4 ialah novel Pantai Kasih karya Azmah Nordin. Watak utama dalam novel ini ialah Doktor Raiha. Terdapat banyak perwatakan Doktor Raiha dalam novel ini.

Perwatakan Doktor Raiha yang pertama ialah seorang yang berani. Doktor Raiha berani mengengkari kehendak Doktor Sadiz yang mahu dia menggugurkan kandungannya setelah mengetahui janin dalam kandungannya cacat. Doktor Sadiz juga berkeras bahawa dia tidak akan menerima kelahiran bayinya yang cacat disebabkan statusnya sebagai pakar perunding pembedahan yang terkenal. Doktor Sadiz berusaha untuk menghantar anaknya itu ke Pusat Rawatan Khas bagi kanak-kanak yang menghidap sindrown down.

Perwatakan Doktor Raiha yang kedua ialah seorang yang penyayang. Doktor Raiha menyayangi anaknya, Rohayu kerana dia tidak sanggup menggugurkan kandungannya apabila diminta oleh Doktor Sadiz. Bagi Doktor Raiha, Rohayu mempunyai hak untuk lahir dan mendapatkan kasih sayangnya. Doktor Raiha banyak menghabiskan masa melayani Rohayu berbanding bekas suaminya.

Nota Penuh: Novel Pantai Kasih


Perwatakan Novel Songket Berbenang Emas

Perwatakan Novel Songket Berbenang Emas
Novel Songket Berbenang Emas

Novel yang saya kaji di Tingkatan 5 ialah novel Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip. Watak utama dalam novel ini ialah Dahlia. Terdapat banyak keistimewaan perwatakan Dahlia dalam novel ini.

Perwatakan Dahlia yang pertama ialah seorang yang rajin. Dahlia rajin menguruskan kerja-kerja rumah. Dia mengasuh adiknya Anggerik, memasak dan mengemas rumah. Ketika kerja-kerja memasak secara bergotong-royong di balai raya bersempena sambutan Maulidur Rasul pula, Dahlia menjadi orang terawal datang ke balai raya itu untuk membantu kerja-kerja memasak.

Perwatakan Dahlia yang kedua ialah seorang yang tabah. Dahlia tabah menghadapi pelbagai kesusahan dalam hidup. Dia sanggup keluar asrama untuk menjaga adik-adiknya setelah ibunya , Saleha dirawat di Hospital Permai dan ayahnya dirawat di Hospital Batu Pahat.

Nota Penuh: Novel Songket Berbenang Emas


Watak Utama Novel Tirani

Novel yang saya kaji di Tingkatan 4 ialah novel Tirani karya Beb Sabariah. Watak utama dalam novel ini ialah Waheeda Nurlyana. Terdapat banyak perwatakan Waheeda dalam novel ini.

Perwatakan Waheeda yang pertama ialah seorang yang gigih. Waheeda gigih mengembangkan sayap perniagaannya apabila dia berani membuat pinjaman baharu dari Bank Pembangunan untuk membeli Chalet Iwana-Iwani di Cameron Highlands. Waheeda juga gigih apabila menyediakan pakej pelancongan yang berbentuk ekopelancongan dan agropelancongan untuk menarik para pengunjung menginap di chalet Tajau Emas.

Perwatakan Waheeda yang kedua ialah seorang yang bijaksana. Waheeda bijak menegakkan kebenaran apabila dia mendapatkan khidmat sahabat lamanya, Nurjihan untuk membuktikan bahawa Izzati ialah anaknya dengan Zahid. Waheeda telah menyerahkan sampel rambut Zahid, Izzati dan dirinya untuk ujian DNA.

Nota Penuh: Novel Tirani


Perwatakan Novel Bimasakti Menari

Novel yang saya kaji di Tingkatan 4 ialah novel Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusop. Watak utama dalam novel ini ialah Nurul Hafsa. Terdapat banyak perwatakan Nurul Hafsa dalam novel ini.

Perwatakan Nurul Hafsa yang pertama ialah seorang yang berani. Nurul Hafsa berani membuat pembentangan dan menyatakan cadangan berkenaan projek Kawasan Simpan Langit Gelap di Kuala Selangor di hadapan menteri besar, ahli akademik, ahli perniagaan dan orang awam di bangunan SUK Shah Alam. Walaupun cadangan mereka dibantah oleh Dato’ Johann Arlington-Majid namun mereka tetap meneruskan pembentangan tersebut.

Perwatakan Nurul Hafsa yang kedua ialah seorang yang bertanggungjawab. Nurul Hafsa menjalankan tanggungjawabnya dengan melayan sekumpulan kanak-kanak dari Sekolah Rendah Kichihimahigashi, Hiroshima, Jepun. Sebagai Pegawai Sains di Balai Cerap Sultan Salahuddin, Nurul Hafsa melayan dengan baik sekumpulan kanak-kanak tersebut untuk melihat bintang. Namun demikian, hasrat mereka tidak kesampaian akibat keadaan langit yang cerah. Nurul Hafsa berjanji kepada mereka untuk memastikan hasrat 15 orang kanak-kanak dari Jepun itu tercapai.

Nota Penuh: Novel Bimasakti Menari


Watak Utama NovelSilir Daksina

Novel yang saya kaji di Tingkatan 4 ialah novel Silir Daksina karya Nizar Parman. Watak utama dalam novel ini ialah Haiqal Haqimi. Terdapat banyak perwatakan Haiqal Haqimi dalam novel ini.

Perwatakan Haiqal Haqimi yang pertama ialah seorang yang tabah. Haiqal tabah apabila umi memberitahunya bahawa walid ialah ayah tirinya manakala Nurul Asiyah ialah adik tirinya. Pada ketika itu, Haiqal baru berusia 6 tahun. Apabila mengetahui perkara tersebut, Haiqal Haqimi berazam untuk mencari ayah kandungnya pada suatu hari nanti.

Perwatakan Haiqal Haqimi yang kedua ialah seorang yang gigih. Haiqal Haqimi gigih berlatih menari tarian zapin daripada Pak Cik Bakar. Pak Cik Bakar yang mahir dalam tarian zapin meminta Haiqal mengikut langkah kaki dan lenggok badannya. Dia turut belajar menari dengan Lazim. Atas kegigihan Haiqal ini, dia dapat membuat persembahan dengan baik dan lancar.

Nota Penuh: Novel Silir Daksina

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *