Skip to content

Contoh Karangan SPM: Langkah Mengatasi Gejala Sosial

Karangan Langkah Mengatasi Gejala Sosial

Gejala sosial banyak mendatangkan keburukan kepada diri, keluarga dan masyarakat. Apakah langkah yang harus diambilkan untuk mengatasi Gejala Sosial?

Langkah untuk Mengatasi Gejala Sosial

Pada era globalisasi ini, gejala sosial dalam kalangan remaja begitu membimbangkan dan berleluasa. Paparan media massa menunjukkan gejala sosial semakin bertambah setiap tahun. Gejala sosial yang melibatkan golongan remaja bukan sahaja menimpa remaja kelas bawahan tetapi juga membabitkan kelompok remaja kelas menengah dan atasan. Hal ini berlaku kerana golongan remaja tidak mempunyai tempat mengadu dan tidak diurus dengan saksama lagi bijaksana. Terdapat beberapa langkah yang perlu dilakukan untuk mengatasi gejala sosial untuk mengekang kemelut ini daripada terus menular.

Peranan diri sendiri

Untuk mengatasi gejala sosial ini, peranan diri sendiri memainkan peranan yang utama. Hal ini demikian kerana apa-apa yang dilakukan adalah berdasarkan kehendak dan kemahuan diri sendiri. Sekiranya diri sendiri tidak mahu melakukan itu, maka kita tidak akan melakukannya. Sudah terang lagi bersuluh, sesetengah kajian menyatakan apa-apa yang berlaku atas kemahuan diri sendiri. Oleh itu, kita perlulah muhasabah diri sebelum menunding jari kepada sesiapa. Dengan ini, kebejatan moral dalam kalangan remaja boleh dikurangkan seterusnya dapat membuka jendela kepada kemajuan dan pembangunan negara.

Didikan ibu bapa dan agama

Selain itu, ibu bapa boleh memainkan peranan penting dalam mengekang masalah gejala sosial ini.Ibu bapa perlulah mendidik dan mengajar mereka dengan didikan agama yang kamil kepada anak-anak sejak kecil lagi. Hal ini bersesuaian dengan pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Ibu bapa sepatutnya meluangkan masa untuk menasihati anak-anak tentang nilai-nilai murni yang perlu diamalkan dan gejala sosial yang perlu dijauhi oleh anak-anak. Di samping itu, ibu bapa perlu memahirkan diri menjadi ‘rakan anak-anak’ supaya dapat mendengar dan berbincang dengan anak-anak perlu dipupuk. Sebagai contoh, ibu bapa harus peka dan membantu remaja dalam memahami perubahan fizikal dan seksual mereka.

Peranan masyarakat

Di samping itu, masyarakat juga boleh memainkan peranan untuk mengatasi masalah sosial dan keruntuhan moral dalam kalangan remaja ini. Anggota masyarakat perlu menunjukkan contoh yang baik, khususnya kepada golongan muda. Selain itu, sekiranya masyarakat terserempak dengan remaja yang terlibat dengan gejala sosial, janganlah bersikap menutup sebelah mata. Jika terdapat golongan muda yang melakukan gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah dan pergaulan bebas, masyarakat setempet hendaklah menegur sekap negatif tersebut. Jika didapati gejala sosial masih berlaku, aduan kepada pihak berkuasa perlulah dibuat dengan segera. Dengan ini, usah membanteras kemelut kebejatan akhlak ini berjaya.

Peranan pihak sekolah

Pihak sekolah juga boleh memainkan peranan dalam mengatasi gejala sosial. Sebagai contoh, pihak sekolah boleh menasihati pelajar di perhimpunan sekolah agar menjauhi gejala sosial yang akan mendatangkan kesan buruk kepada pelajar dan juga keluarga. Guru-guru juga boleh memberikan nasihat secara langsung atau tidak langsung tentang keburukan gejala sosial dalam mata pelajaran seperti Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik.

Media massa mempengaruhi tingkah laku remaja

Seterusnya, tidak dapat disangkal lagi bahawa media massa juga menyemai benih-benih salah laku dalam kalangan remaja. Media massa seperti televisyen, filem dan majalah harus menayangkan lebih banyak program yang berunsur positif dan memberi pendidikan kepada penonton dan pembaca. Hal ini kerana media massa boleh mempengaruhi tingkah laku seseorang dengan berkesan. Sebaliknya, remaja mudah terikut-ikut dengan watak pelakon yang membawa unsur yang negatif. Oleh itu, rancangan yang berunsurkan hiburan yang melalaikan tidak wajar ditayangkan di televisyen. Tuntasnya, media massa memang berperanan untuk mengurangkan masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja hingga ke peringkat akar umbinya.

Peranan Kerajaan

Selain itu, pihak kerajaan juga boleh memainkan peranan untuk mengatasi gejala sosial. Hal ini kerana pihak kerajaan mempunyai sumber kewangan untuk melaksanakan program bagi menangani gejala sosial di kalangan rakyat. Pihak kerajaan boleh mengadakan pelbagai kempen yang dapat meningkat kesedaran pelajar supaya tidak melibatkan diri dalam gejala sosial. Selain itu, pihak kerajaan juga mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang bagi mengatasi gejala sosial.

Penutup Karangan Gejala Sosial

Kesimpulannya, beberapa langkah perlu dilakukan untuk mengatasi gejala yang mendatangkan banyak masalah. Remaja mesti dikekang daripada melibatkan diri dalam kegiatan sosial yang negatif. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja merupakan orang yang bakal mengambil alih bagi menerajui pucuk kepimpinan negara. Usaha mengatasi gejala sosial ini mesti dilakukan secara berterusan oleh semua pihak. Kemelut ini nescaya dapat ditangani dengan adanya penggemblengan tenaga daripada semua pihak kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Oleh itu, marilah kita bersama-sama bekerjasama seperti kata perumpamaan ini “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh” untuk membanteras masalah keruntuhan akhlak ini daripada terus menular.


Contoh Karangan: Langkah-langkah Mengatasi vandalisme

1 thought on “Contoh Karangan SPM: Langkah Mengatasi Gejala Sosial”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *