Skip to content

Peleraian dan Peristiwa Menarik Novel

Peleraian dan Peristiwa Menarik Novel

Peleraian merupakan pengakhiran novel sama ada dengan kisah gembira atau duka. Jelaskan peristiwa menarik dalam bahagian peleraian novel yang anda membaca.

Peristiwa menarik Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa

Novel yang saya kaji di Tingkatan 4 ialah novel Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip bin Talib. Terdapat beberapa peristiwa pada bahagian peleraian yang boleh menarik minat pembaca.

Peristiwa pada bahagian peleraian yang pertama ialah peristiwa Pak Saidi berjaya membunuh beberapa orang tentera Jepun. Pak Saidi telah melawan dan menikam tentera Jepun dengan hanya menggunakan sebilah keris pusaka peninggalan ayahnya. Pak Saidi telah berjaya membunuh lima orang dan mencederakan 15 orang tentera Jepun yang lain semasa dia dipaksa menaiki trak oleh Leftenan Renya Mutuguchi. Peristiwa ini menarik minat pembaca kerana pembaca kagum akan semangat patriotik dan keberanian Pak Saidi yang sanggup berjuang mempertahankan maruah negara dan keluarga hingga titisan darah terakhir.

Peristiwa pada bahagian peleraian yang kedua ialah peristiwa penduduk kampung yang tidak memberikan maklumat kepada tentera Jepun yang mencari ahli keluarga Leftenan Adnan di Kampung Sungai Ramal. Mereka menyembunyikan keluarga Adnan. Hanya Pak Saidi yang berjaya dikesan oleh Leftenan Renya Mutuguchi. Peristiwa ini menarik minat pembaca kerana wujudnya kerjasama dalam kalangan penduduk kampung untuk menyelamatkan keluarga Leftenan Adnan yang telah terkorban demi negara.

Nota Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa


Peristiwa menarik Novel Di Sebalik Dinara

Novel yang saya kaji di Tingkatan 4 ialah novel Di Sebalik Dinara karya Dayang Noor. Terdapat beberapa peristiwa pada bahagian peleraian yang boleh menarik minat pembaca.

Peristiwa pada bahagian peleraian yang pertama ialah peristiwa pertemuan Farisha dengan Karl ketika Karl sedang nazak. Farisha bertemu dengan Karl yang semakin tenat di rumah agam Karl. Ketika bertemu, Farisha hanya merenung wajah Karl yang kelihatan cengkung. Farisha berjanji kepada Karl bahawa dia akan sentiasa mengingati ayahnya itu. Farisha menangis mengucapkan selamat tinggal kepada Karl dan tidak semena-mena air mata mengalir di pipi lelaki itu. Peristiwa ini menarik minat pembaca kerana dapat sikap Farisha yang masih ingin bertemu dan menziarahi ayahnya walaupun Karl telah melakukan pelbagai keburukan kepada dirinya ketika masih kecil.

Peristiwa menarik yang kedua ialah peristiwa terbongkarnya rahsia tentang hubungan Karl dan Marilyn. Marilyn ialah seorang saintis yang membantu Karl membina Sistem Dinara. Kegilaan dan persaingan antara Marilyn dan Karl menyebabkan anak luar nikah mereka iaitu Farisha menjadi mangsa. Karl telah menanam berbagai-bagai implan dalam tubuh Farisha untuk menjadikannya kanak-kanak genius. Peristiwa ini menarik minat pembaca kerana ketaasuban terhadap sains dan teknologi menyebabkan Karl dan Medina telah bersaing antara satu sama lain dan menyebabkan Farisha membesar tanpa kasih sayang ibu bapa setelah dia diserahkan kepada keluarga angkat.

Nota Novel Di Sebalik Dinara


Peristiwa menarik Novel Jendela Menghadap Jalan

Novel yang saya kaji di Tingkatan 4 ialah novel Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin. Terdapat beberapa peristiwa pada bahagian peleraian yang boleh menarik minat pembaca.

Peristiwa menarik yang pertama ialah peristiwa Kak Mimah mencadangkan Che Jah membuat laporan polis. Che Jah bersetuju membuat laporan polis tentang keganasan yang telah dilakukan oleh suaminya Seman terhadap dirinya dan anak anaknya. Akhirnya Seman berjaya ditangkap oleh penduduk kampung dan diserahkan kepada pihak polis. Hal ini supaya suaminya itu dapat dipulihkan. Peristiwa ini menarik minat pembaca kerana atas bantuan Kak Mimah penderitaan yang dihadapi oleh Che Jah sekeluarga dapat diselesaikan.

Peristiwa pada bahagian peleraian yang kedua ialah peristiwa datuk menceritakan rahsia jendela rumah yang menghadap jalan. Datuk menjelaskan bahawa rekaan jendela dan pintu rumah ketika itu dibina menghadap ke jalan supaya senang untuk penduduk kampung mengintai pergerakan musuh komunis yang datang ke kampung mereka. Peristiwa ini menarik minat pembaca kerana cerita datuk dapat menamatkan penantian pembaca tentang misteri jendela menghadap jalan.

Nota Novel Jendela Menghadap Jalan


Peristiwa menarik Novel Pantai Kasih

Novel yang saya kaji di Tingkatan 4 ialah novel Pantai Kasih karya Azmah Nordin. Terdapat beberapa peristiwa pada bahagian peleraian yang boleh menarik minat pembaca.

Peristiwa menarik yang pertama ialah peristiwa Doktor Raiha bertanggungjawab membedah Doktor Uwang setelah beliau terlibat dalam kemalangan iaitu terlanggar tembok garaj kereta Pusat Rawatan Pantai Kasih. Pembedahan harus dilakukan segera bagi menyelamatkan nyawa Doktor Uwang dan menggantikan sendi pada lutut dan sebelah pergelangan tangannya yang parah.Peristiwa ini menarik minat pembaca kerana Doktor Raiha sentiasa bertanggungjawab terhadap tugasnya sebagai seorang doktor.

Peristiwa pada bahagian peleraian yang kedua ialah peristiwa Doktor Raiha yang telah mengusap dahi Felicia Landosi sambil tersenyum dan menasihatinya. Doktor Raiha bersedia memaafkan Felicia Landosi dan menerima semua takdir itu dengan menyatakan bahawa mereka merupakan mangsa keadaan. Peristiwa ini menarik minat pembaca kerana Doktor Raiha telah memaafkan kesilapan Felicia Landosi dan beliau pasrah menerima takdir hidupnya.

Nota Novel Pantai Kasih


Peristiwa menarik Songket Berbenang Emas

Novel yang saya kaji di Tingkatan 5 ialah novel Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip. Terdapat beberapa peristiwa pada bahagian peleraian yang boleh menarik minat pembaca.

Peristiwa pada bahagian peleraian yang pertama ialah peristiwa penduduk kampung bekerjasama antara satu sama lain mengumpulkan wang untuk Dahlia mengikuti kursus bahasa Jepun selama enam bulan di Universiti Malaya. Haji Sulaiman telah menyerahkan sampul derma daripada orang kampung yang berjumlah RM500 kepada Dahlia. Peristiwa ini menarik minat pembaca kerana wujudnya kerjasama penduduk kampung untuk mengurangkan beban kewangan keluarga Dahlia demi merealisasikan impiannya untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Peristiwa pada bahagian peleraian yang kedua ialah peristiwa Azhari berjumpa Dahlia di stesen bas. Azhari pergi berjumpa dengan Dahlia dan memberitahu punca kelewatannya kerana jurucakap majlis yang merupakan pakciknya lambat sampai. Sebelum menaiki bas, Azhari telah menghadiahkan sehelai songket berbenang emas berwarna merah kepada Dahlia. Azhari juga menyebut “Koi-bito” yang tidak diketahui maksudnya. Azhari meminta Dahlia agar menjaga jati diri sebagai orang Melayu walau berada di mana-mana pun. Peristiwa ini menarik minat pembaca kerana Azhari dan Dahlia sempat juga bertemu sebelum berpisah kerana Dahlia akan melanjutkan pelajaran.

Nota novel Songket Berbenang Emas


Peristiwa menarik Novel Tirani

Novel yang saya kaji di Tingkatan 5 ialah novel Tirani karya Beb Sabariah. Terdapat beberapa peristiwa menarik pada bahagian peleraian novel ini.

Peristiwa pada bahagian peleraian yang pertama ialah peristiwa Waheeda dan Ghazi membeli dan mengusahakan Chalet Iwana-Iwani yang terletak di Cameron Highlands daripada Pak Cik Aziz dan menukarkan nama chalet itu kepada Aya-Sajinah. Waheeda menggembleng kudratnya untuk membangunkan chalet itu walaupun kadang kala terpaksa berjauhan dengan anak kesayangannya, Izzati yang bersekolah di Sarawak. Peristiwa ini menarik minat pembaca kerana kegigihan Waheeda dalam perniagaan Chalet Aya-Sajinah telah berjaya membuahkan kejayaan apabila chalet tersebut menjadi tumpuan pelancong.

Peristiwa pada bahagian peleraian yang kedua ialah peristiwa Zahid muncul pada waktu pagi di Kafe Iwana-Iwani dengan harapan akan dapat melihat wajah Izzati dengan lebih dekat lagi. Akhirnya, pertemuan Zahid dan Izzati mengungkap rasa kesal, sedih dan reda kerana gadis yang dilihat oleh Zahid dalam tiga hari ini ialah anaknya yang selama ini dirindukannya. Zahid juga ingin bertemu dengan Waheeda untuk meluahkan perasaan rindu, kesal dan bersalah akibat tindakannya mengabaikan dan meninggalkan Waheeda dan Izzati selama 20 tahun. Peristiwa ini menarik minat pembaca kerana Zahid akhirnya insaf atas kesilapannya selama ini yang mengabaikan keluarganya.

Nota Novel Tirani


Peristiwa menarik Novel Bimasakti Menari

Novel yang saya kaji ialah novel Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusop. Terdapat beberapa peristiwa menarik pada bahagian peleraian dalam novel ini.

Peristiwa pada bahagian peleraian yang pertama ialah peristiwa seorang penduduk tempatan telah membuat aduan tentang aktiviti bukan perladangan di sebuah ladang kelapa sawit yang terletak jauh di pedalaman Bestari Jaya. Pasukan Gerak Khas telah diarahkan ke lokasi tersebut untuk mengadakan serbuan dan tangkapan. Selepas berbalas tembakan, Muhammad Taufik berjaya diselamatkan. Peristiwa ini menarik minat pembaca kerana wujudnya kerjasama daripada penduduk setempat dengan pihak polis sehingga berjaya menyelamatkan Muhammad Taufik.

Peristiwa pada bahagian peleraian yang kedua ialah peristiwa Muhammad Taufik meluahkan isi hatinya terhadap Nurul Hafsa. Dia telah mengembalikan selendang hitam manik kristal yang disimpannya semenjak hari pertama dia mengetahui Nurul Hafsa diculik. Muhammad Taufik menyampaikan hasratnya untuk menghantar rombongan lamaran ke kediaman orang tua Nurul Hafsa. Peristiwa ini menarik minat pembaca kerana pada akhir cerita, Muhammad Taufik dan Nurul Hafsa akan berkahwin.

Nota Novel Bimasakti Menari


Peristiwa menarik Novel Silir Daksina

Novel yang saya kaji di Tingkatan 5 ialah novel Silir Daksina karya Nizar Parman. Terdapat beberapa peristiwa menarik pada bahagian peleraian novel ini.

Peristiwa pada bahagian peleraian yang pertama ialah peristiwa terlerainya dendam Rafiqah terhadap arwah suaminya, Abdullah bin Kayan. Rafiqah sedar bahawa darah yang mengalir dalam tubuh Haiqal ialah darah Abdullah bin Kayan. Haiqal Haqimi pula akan mewujudkan Aksara setelah dia menjadi sehebat bapanya. Peristiwa ini menarik minat pembaca kerana akhirnya Rafiqah merestui minat dan kebolehan anaknya dalam bidang seni dan sastera.

Peristiwa pada bahagian peleraian yang kedua ialah peristiwa penduduk kampung yang membuat persiapan untuk majlis persembahan tarian zapin. Haiqal dan kumpulan D’Purnama membuat latihan tarian zapin manakala penduduk kampung membantu membuat persiapan majlis. Peristiwa ini menarik minat pembaca kerana penduduk kampung bekerjasama bagi menjayakan majlis yang sungguh bermakna bagi Haiqal demi merealisasikan impian ayahnya.

Nota Novel Silir Daksina

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *