Skip to content

Contoh Karangan Langkah Membendung Hidupan Liar

Contoh Karangan Langkah Membendung Hidupan Liar

Kepupusan hidupan liar adalah disebabkan oleh tindakan manusia. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang boleh Membendung Hidupan Liar?

Langkah-langkah Membendung Hidupan Liar

Secara umumnya, hidupan liar dapat didefinisikan sebagai spesies haiwan liar yang hidup bebas sama ada di daratan, di udara mahupun di dalam air. Hakikatnya, dari hari ke hari, hidupan liar semakin dilaporkan mengalami kepupusan. Hal ini berpunca daripada kegiatan pemburuan haram yang dilakukan secara berleluasa oleh pihak yang ingin mengaut keuntungan dengan cara yang mudah. Tidak kurang juga, pencemaran alam turut menjadikan hidupan liar semakin terancam. Sebagai contoh, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) telah menyenaraikan badak Sumatera, harimau Malaya, orang utan, seladang, tenggiling dan tapir sebagai antara haiwan yang diancam kepupusan. Sebenarnya, terdapat pelbagai langkah membendung kepupusan hidupan liar yang perlu diambil segera kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Penguatkuasaan undang-undang

Satu daripada usaha membendung kepupusan hidupan liar ialah pihak berkuasa perlulah menguatkuasakan undang-undang hidupan liar secara tegasnya, Hal ini disebabkan oleh undang-undang diwujudkan untuk mendisiplinkan masyarakat sejak zaman ketamadunan manusia. Sebagai contoh, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 perlu dipinda agar pemburu haram boleh dipenjara lebih 10 tahun dan didenda sehingga RM5 juta jika sabit kesalahan. Tambahan pula, pemeriksaan yang lebih ketat di lapangan terbang atau sempadan negara perlulah dijalankan kerana sindiket perdagangan hidupan liar yang mengaut keuntungan ibarat peribahasa menangguk di air keruh. Impaknya, pihak yang terbabit berasa lebih takut untuk melakukan jenayah hingga berfikir masak-masak.

Pusat perlindungan haiwan terancam

Selain itu, kerajaan hendaklah mewujudkan pusat perlindungan haiwan terancam yang lebih banyak di seluruh negara. Umum mengetahui bahawa pusat perlindungan ialah medan penyelamat dan pembiakan haiwan terancam. Misalnya, Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu telah didirikan di Melaka dan juga di Pahang bagi melindungi dan menetaskan telur penyu. Bukan itu sahaja, pusat ini juga menerima kunjungan orang ramai dalam usaha mendidik dan menyedarkan masyarakat tentang usaha untuk menjaga penyu sejak kecil bak kata orang tua-tua, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Implikasinya, populasi hidupan terancam dapat ditambah dari semasa ke semasa sekali gus menjadikan haiwan ini berkembang biak.

Pelaporan aktiviti pemburuan haiwan liar

Di samping itu, masyarakat haruslah melaporkan aktiviti pemburuan haiwan liar sekiranya tahu. Seperti yang kita ketahui, laporan lengkap yang dibuat oleh masyarakat memudahkan pihak berwajib untuk mengambil tindakan selanjutnya. Umpamanya, sebuah badan bukan kerajaan telah memberikan maklumat tentang sindiket perdagangan haiwan liar di Taman Negara Terengganu. Susulan daripada hal itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) telah membuat serbuan dan menangkap dua warga Vietnam bersama-sama organ haiwan yang bernilai ratusan ribu ringgit dan peralatan memburu. Natijahnya, sindiket perdagangan haram dapat ditumpaskan kerana sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.

Penutup Karangan Cara Membendung Hidupan Liar

Kesimpulannya, terdapat seribu satu langkah membendung kepupusan hidupan liar yang perlu dipraktikkan oleh pelbagai pihak kerana setiap penyakit tentu ada penawarnya. Oleh itu, semua pihak perlulah bekerjasama untuk menyelamatkan hidupan liar yang kian diancam kepupusan ibarat peribahasa Melayu, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Moga-moga, generasi akan datang dapat menatapi hidupan liar dengan mata sendiri bukannya seperti mendengar kisah dinosour yang telah pupus. Bukan itu sahaja, populasi hidupan liar yang terancam akan bertambah demi keseimbangan alam. Akhir kata, usaha yang komited perlulah dijalankan secara bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan hidupan liar, bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga.

Soalan Ramalan dan Tajuk Penting Karangan SPM


Nota Tambahan

Walaupun kewujudan hidupan liar amat penting untuk mengekalkan ekosistem, haiwan ini menghadapi kepupusan sangat serius akibat kegiatan pemburuan haram.

Perdagangan hidupan liar ialah ancaman utama kepada haiwan tanpa mengira spesies atau sama ada eksotik atau tidak. Pemburu haram tidak peduli sama sekali, selagi ada permintaan pasaran, mereka akan memburu haiwan berkenaan.

Jelaslah kita harus berusaha gigih mengekang dan menghapuskan perdagangan hidupan liar demi untuk melindungi ekosistem Kita perlu memperkukuhkan undang-undang untuk melindungi hidupan liar dengan lebih baik. Semua perburuan hidupan liar dilindungi harus dilarang dengan atau tanpa lesen memburu atau permit khas.

[Berita Harian] Ekosistem, manusia rosak jika hidupan liar musnah

image 2 Contoh Karangan Langkah Membendung Hidupan Liar
Hidupan liar yang hampir pupus dan faktor kepupusannya

1 thought on “Contoh Karangan Langkah Membendung Hidupan Liar”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *