Contoh Karangan – Masalah Remaja

Remaja kini terdedah kepada pelbagai cabaran hidup akibat pengaruh rakan sebaya, media massa dan budaya Barat. Huraikan peranan ahli keluarga dalam membantu para remaja menghadapi cabaran-cabaran tersebut.

Dalam mendepani arus modenisasi tanpa limitasi ini, pelbagai cabaran hidup yang perlu diharungi oleh setiap strata masyarakat. Golongan remaja pastinya difokuskan kerana mereka merupakan golongan majoriti yang mendiami planet Bumi ini. ‘Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’, begitulah slogan yang kini menjadi tunjang utama kepada kemajuan peradaban negara. Hal ini jelas merujuk kepada golongan remaja kerana mereka memainkan peranan yang amat besar dalam memastikan kejayaan Malaysia terus memacu ke hadapan. Namun, apa yang menyayat hati adalah apabila golongan remaja diperhatikan amat mudah tewas dengan cabaran dunia. Kebobrokan akhlak golongan remaja yang kian jelas semakin memuncakkan kerisauan semua pihak. Oleh itu, ahli keluarga perlulah sedar dan membuka mata bahawa terdapat satu tanggungjawab yang besar di pundak mereka dalam membantu para remaja yang kian terjerumus dalam lembah kegelapan. 

Peranan pertama yang utama ialah ahli keluarga perlulah memastikan para remaja berkawan dengan mereka yang mantap akhlak dan sahsiahnya. Memetik kata-kata Saidina Ali bin Abi Talib, “Manusia yang lemah imannya adalah mereka yang tidak mampu mencari sahabat, dan yang lebih lemah dari itu ialah mereka yang mensia-siakan sahabat yang telah dicari”. Kata-kata tokoh Islam yang masyhur ini jelas membuktikan bahawa sahabat merupakan insan yang penting dalam mencerminkan diri kita yang sebenar. Tamsilnya, ibu bapa berperanan untuk mengetahui maklumat yang terperinci tentang rakan anak emas mereka. Tindakan pantas yang pragmatik ini amatlah signifikan kerana para remaja majoritinya amat mudah terpengaruh dengan rakan sebaya. Ibu bapa juga perlulah tahu setiap tindak-tanduk para remaja bersama dengan rakan-rakan mereka di luar rumah. Oleh itu, mereka pastinya berasa takut untuk melakukan perkara yang berunsurkan negatif dan menurut hawa nafsu semata-mata bak kata peribahasa Melayu, beraja di hati, bersultan di mata. Hal ini jelas menunjukkan peranan ahli keluarga terutamanya ibu bapa dalam mengawasi para remaja agar tidak mudah terpengaruh dengan rakan sebaya. 

Promotion! Himalaya product free shipping

Seperkara yang tidak kurang penting juga, media massa kini semakin rancak berkembang dan maju ke hadapan. Media sosial terutamanya merupakan medium canggih yang majoritinya digunakan oleh golongan remaja. Hal ini kerana mereka telah pintar dan bijak dalam mengakses aplikasi-aplikasi seperti ini. Sebagai tamsilan, remaja pastinya mempunyai aplikasi media sosial seperti ‘Facebook’, ‘Twitter’, ‘Instagram’ dan ‘Whatsapp’ di dalam telefon pintar mereka. Oleh itu, banyak masa yang telah dihabiskan oleh mereka dengan menatap skrin bercahaya dari pagi hingga ke petang. Masyarakat 15 Melayu lazim dengan peribahasa masa itu emas. Bertitik tolak daripada itu, ahli keluarga perlulah memainkan peranan masing-masing dalam menasihati remaja agar tidak mensia-siakan waktu yang ada. Ahli keluarga seperti abang dan kakak sewajarnya berusaha bagai air mencari jenisnya bagi memastikan adik-beradik mereka agar tidak lalai dan leka dengan media massa. Mereka seharusnya mengaplikasikan peribahasa buang yang keruh, ambil yang jernih. Media massa hakikatnya menyediakan kita dengan pelbagai maslahat. Namun, jika tersilap langkah media tersebut juga berupaya menyajikan kita dengan seribu mafsadah. Oleh itu, ahli keluarga mestilah tidak mengambil enteng dalam tugas mereka menasihati para remaja agar tidak terpengaruh dengan media massa. 

Disingkap dari aspek yang lain pula, ahli keluarga perlulah bahu-membahu dalam membantu para remaja agar tidak rosak akibat budaya Barat. Hal ini kerana, budaya Barat yang merupakan budaya hedonistik ini kian menular dalam sukma setiap remaja. Sebagai uswah, para remaja gemar melayan drama-drama artis dari Korea. Hal ini menyebabkan mereka mengikut jejak langkah setiap artis pujaan mereka dari aspek penggayaan rambut, pemakaian baju sehinggalah gaya pertuturan mereka. Para remaja berasa hidung tinggi dan berbangga apabila mereka dimiripkan dengan artis-artis luar negara. Rentetan itu, ahli keluarga perlulah mengambil langkah sederap untuk menghalangkan penerapan budaya asing dalam diri para remaja. Hal ini kerana, peribahasa Melayu sering mengingatkan, biar mati anak, jangan mati adat. Peribahasa ini jelas menunjukkan peri pentingnya adat dan budaya resam kaum kita agar dipelihara sehingga ke generasi yang seterusnya. Oleh itu, ahli keluarga perlulah menghalang para remaja daripada menyaksikan drama-drama luar negara, membeli majalah-majalah yang tidak berfaedah serta pertuturan loghat asing. Oleh itu, para remaja akan terpelihara daripada unsur budaya Barat. Ahli keluarga juga terutamanya ibu bapa perlulah menerapkan nilai-nilai agama dan unsur-unsur kerohanian dalam diri remaja. Oleh itu, atma para remaja akan bersih dan mereka mampu membezakan antara intan dan kaca. 

Jika ditelusuri, remaja juga perlu dipadatkan dengan aktiviti seharian bersama-sama ahli keluarga. Hal ini kerana golongan remaja mudah lupa tentang asal usul keturunan mereka. Oleh itu, ahli keluarga wajarlah menyediakan pelbagai aktiviti yang menarik untuk dilakukan bersama-sama remaja. Sebagai contoh, aktiviti mengemas rumah, menonton televisyen, beriadah di taman dan melancong ke luar negara. Ahli keluarga berperanan memastikan para remaja sentiasa berada di sisi mereka. Oleh itu, remaja akan terjaga daripada terjebak dengan aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral seperti menghisap rokok, menagih dadah dan ponteng kelas. Ahli keluarga tidak sewajarnya memainkan peranan masingmasing bagai melepaskan batuk di tangga. Para remaja pastinya akan berasa terabai lantas memberikan seribu alasan untuk melakukan perkara-perkara yang negatif. Ibu bapa perlulah menjaga anak mereka bagai menatang minyak yang penuh kerana sesungguhnya anak-anak terutamanya yang sedang meniti usia remaja amatlah menagih kasih sayang ibu bapa. Jelaslah bahawa, aktiviti yang membawa kepada pelbagai maslahat sesama keluarga amatlah signifikan dalam memastikan para remaja tidak tewas dengan cabaran hidup. 

Natijahnya, terdapat pelbagai peranan yang perlu digalas oleh ahli keluarga dalam memastikan para remaja mempunyai kekuatan mental dan fizikal dalam menghadapi cabaran hidup yang mendatang. Ingatlah bahawa kemajuan negara pada masa hadapan ditentukan oleh golongan remaja pada masa ini. Inspirasi daripada kata-kata George Washington Carver, “99 peratus kegagalan datangnya daripada mereka yang suka memberi alasan”. Kata-kata beliau jelas mengingatkan bahawa tiada alasan yang wajar diberi oleh masyarakat terutamanya ahli keluarga dalam membantu golongan remaja mengatasi rintangan-rintangan dalam kehidupan mereka. Pada saat getir seperti ini, ahli keluarga tidak wajar bersikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Golongan remaja tidak kuat dan mudah goyah untuk mengorah langkah dalam kehidupan mereka. Ahli keluarga yang merupakan darah daging mereka sendiri merupakan insan yang paling penting untuk berada di sisi mereka dalam membantu mereka membuat keputusan yang tepat yang menjanjikan kecemerlangan hidup mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.